Terpijak sarang tebuan – Harian Metro


Terpijak sarang tebuan

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: Dua pelajar sekolah masing-masing berusia 14 tahun terpaksa menanggung kesakitan hampir tujuh jam sebelum diselamatkan apabila mereka cedera disengat tebuan tanah ketika mendaki Gunung Bubu, Ulu Kenas, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, pelajar tingkatan dua Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star), Ipoh itu cedera terutama di bahagian muka dan seluruh badan akibat disengat sekumpulan tebuan sebelum dibawa turun sekumpulan anggota bomba dan penyelamat Kuala Kangsar malam kelmarin.
Kedua-dua pelajar itu, Muhammad Adli Aiman Razali dan Mohd Harith Zainudin, yang kini dirawat di Hospital Kuala Kangsar (HKK) dilaporkan stabil dan dijangka keluar hospital hari ini.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, 26 pelajar dan tiga guru pengiring Star berdepan saat mencemaskan apabila dua daripada mereka diserang tebuan sebelum diselamatkan untuk mendapatkan rawatan kecemasan tujuh jam kemudian.
Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Adli berkata, dia bersama pelajar lain termasuk guru pengiring mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 9 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 3 petang.
Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba dia dan Mohd Harith diserang tebuan tanah ketika mendaki.

 

 

“Saya dan Mohd Harith lari bertempiaran dan menjerit kepada rakan lain termasuk guru supaya menyelamatkan diri.
“Keadaan menjadi kelam kabut apabila masing-masing lari menyelamatkan diri. Bagaimanapun, keadaan kembali tenang setengah jam kemudian sebelum saya diberi rawatan awal oleh guru,” katanya ketika ditemui di HKK di sini semalam.

 

Katanya, dia banyak mengikuti perkhemahan dianjurkan sekolah sebelum ini, namun ekspedisi mendaki itu adalah yang pertama kali disertainya. Muhammad Adli berkata, dia percaya tebuan tanah itu menyerangnya selepas dia dan Mohd Harith terpijak sarang serangga berbisa itu ketika mendaki.
Menurutnya, dia mengakui trauma dengan kejadian itu, namun bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius. Sementara itu, usaha Harian Metro untuk menemuramah Mohd Harith gagal kerana pelajar tingkatan dua itu masih dirawat selain sukar untuk bercakap dengan jelas disebabkan kesan serangan tebuan terutama di bahagian muka dan mulut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.25 malam kelmarin sebelum tiba di kaki gunung setengah jam kemudian bersama 16 anggota.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk tiba di lokasi kejadian dan berjaya membawa turun dua mangsa berkenaan kira-kira jam 10.20 malam.
“Kami menghadapi kesukaran untuk menjejaki kedudukan mangsa dan pendaki lain berikutan hari gelap dan hujan. Namun, kami bernasib baik kerana operasi menyelamat disertai anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Jarak kedudukan mangsa dengan kaki gunung sekitar 15 kilometer (km) dan ia memaksa kami mengambil masa yang lama untuk tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati dua pelajar berkenaan berada dalam keadaan longlai sambil menahan kesakitan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s