Buruh ladang dipenjara lapan tahun, empat sebatan – Bernama

Buruh ladang dipenjara lapan tahun, empat sebatan

2011/07/26

TEMERLOH: Seorang buruh ladang dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyimbah cuka getah terhadap dua adik beradik pada 19 Julai lalu.

Hakim Dazuki Ali membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohamad Hafiz Ismail, 31, mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah kepada Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13 dan Syaffiy Aiman, 10, dengan menyimbah cecair disyaki cuka getah di bahagian muka dan badan mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di atas jalan raya berhampiran rumah bernombor 149, Felda Jengka 9, Maran antara pukul 7.30 malam dan 8.30 malam pada 19 Julai lepas mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama (menyimbah cuka kepada Syafiq Haikal) tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 8 tahun dan dua sebatan manakala bagi pertuduhan kedua (menyimbah cuka kepada Syaffiy Aiman) dia juga dijatuhi hukuman penjara selama 8 tahun dan dua sebatan.

Dazuki bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Terdahulu, Mohamad Hafiz yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana dia perlu menanggung ibunya yang menghidap penyakit jantung.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidi Abd Rahim bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan mangsa bukan sahaja cedera tetapi turut mengalami trauma akibat kejadian itu.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, kedua-dua beradik berkenaan sedang dalam perjalanan ke rumah rakan mereka untuk mengulangkaji pelajaran dengan menaiki motosikal sebelum disimbah cecair berkenaan oleh tertuduh. – BERNAMA

Kerajaan, YNY meterai MoU projek Hati Nurani – Berita Harian

Kerajaan, YNY meterai MoU projek Hati Nurani

2011/07/26

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) bagi projek Hati Nurani: Sekolah dalam hospital di unit pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Projek itu bertujuan memastikan pembelajaran murid tidak terjejas, tercicir dalam pelajaran ketika berada di wad dan matlamat pendidikan untuk semua perlu terus dipelihara.

Pembelajaran yang berorientasikan pendekatan didik, hibur dan fleksibel itu akan dilaksanakan secara perintis di HKL, Hospital Serdang dan Hospital Ampang bermula 18 Julai 2011 membabitkan 16 guru dan empat pembantu murid.

13,000 guru sandaran tidak terlatih diserap – Bernama

13,000 guru sandaran tidak terlatih diserap

2011/07/26

PUTRAJAYA: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akan diserapkan sebagai guru tetap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata surat tawaran telah kepada semua GSTT tersebut mulai bulan lepas setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan jawatan baru kepada mereka.

“Sasaran pihak kementerian adalah mahukan semua jawatan GSTT menjadi guru tetap dan tiada lagi isu mengenai tidak sambung kontrak.

“Namun mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu pernah berkhidmat sebagai GSTT selama dua tahun berturut-turut dan umur mereka tidak melebihi 35 tahun pada 31 Disember 2010,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Akhir Rekacipta dan Inovasi Bot Lumba RA3 peringkat kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 9 (2) di sini hari ini.

Mohd Puad berkata GSTT yang layak akan diserap mengikuti kursus sama ada di institut pendidikan guru atau program Kursus Dalam Cuti sebelum diserap sebagai guru tetap.

Mereka juga harus bersedia ditempatkan di sebarang kawasan yang diperlukan mereka bertugas di seluruh negara, katanya. – BERNAMA

Akta Kanak-Kanak dipinda elak kanak-kanak dipenjara – Bernama

Akta Kanak-Kanak dipinda elak kanak-kanak dipenjara

26/07/2011 4:40pm

KUALA LUMPUR 26 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang untuk meminda Akta Kanak-Kanak 2001 bagi melindungi kanak-kanak yang melakukan kesalahan ringan supaya tidak diperintahkan ke penjara.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sebaliknya, kanak-kanak tersebut dicadang agar menjalani Perintah Khidmat Masyarakat, satu program pemulihan yang akan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata, pendekatan secara “keadilan pemulihan” iaitu pemulihan serta keinsafan dilihat bersesuaian kerana kanak-kanak yang terlibat dalam kesalahan ringan seperti mencuri dan menjual VCD haram tidak akan mengulangi kesalahan mereka.

“Kita tidak mahu kanak-kanak ini apabila menjalani hukuman dalam penjara atau pusat tahanan, mereka akan terus duduk dalam persekitaran yang lebih mempengaruhi mereka untuk mengulangi kesalahan yang lebih besar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini dan menambah akta tersebut dijangka dimuktamadkan pada penghujung Disember ini. – Bernama

Jawatankuasa pemandu kualiti dalam pendidikan perlu – TPM – Utusan Malaysia

Jawatankuasa pemandu kualiti dalam pendidikan perlu – TPM

26/07/2011 4:42pm

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

KUALA LUMPUR 26 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berkata, sebuah Jawatankuasa pemandu kualiti perlu diwujudkan dalam struktur pengurusan di setiap bahagian dan institusi pendidikan dalam Kementerian Pelajaran.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, ia selaras dengan objektif utama iaitu untuk meningkatkan kualiti kepimpinan sama ada di peringkat bahagian, jabatan, pejabat pendidikan daerah (PPD) serta sekolah. – Utusan

Sekolah dalam hospital bantu pelajar dalam rawatan – Bernama

Sekolah dalam hospital bantu pelajar dalam rawatan

26/07/2011 5:16pm

KUALA LUMPUR 26 Julai – Pelajar dan kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di hospital terutama bagi tempoh yang lama akan diberikan hak untuk mendapatkan pendidikan secara formal melalui program sekolah dalam hospital.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui program itu, ibu bapa tidak perlu risau tentang pelajaran anak-anak ketika mendapat rawatan di hospital.

“Sebagai seorang bapa, saya dapat merasakan kebimbangan dan keseriusan ibu bapa terhadap pelajaran anak-anak yang perlu berada di hospital untuk jangka masa yang lama kerana ketiadaan perkhidmatan pendidikan secara formal.

Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi sekiranya anak-anak akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan.

“Ibu bapa yang agak senang mungkin boleh menghantar anak-anak mereka untuk mengikuti kelas tuisyen bagi menggantikan pelajaran yang tertinggal, tetapi bagi yang tidak begitu senang anak-anak akan terus menerus ketinggalan dalam pelajaran,” katanya ketika melancarkan projek ”Sekolah Dalam Hospital” di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Projek sekolah dalam hospital itu adalah ilham isteri Muhyiddin Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang merupakan penaung projek Hati Nurani dan ia dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Ia bertujuan membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur kepada pelajar dan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital. – Bernama

Sempat masak sayur rebung sebelum maut – Harian Metro

Sempat masak sayur rebung sebelum maut

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita sempat menyediakan juadah sayur rebung untuk anak bongsunya yang baru mendirikan rumah tangga kira-kira enam bulan lalu sebelum dia terbunuh dalam kemalangan selepas melawat cucunya di Kampung Maras, Batu Rakit, di sini, petang kelmarin.

Tukang rumah, Abdul Razak Kadir, 65, suami kepada Dayang Ahmad, 70, berkata, dia terkejut mendengar berita isteri keempatnya yang dikahwini sejak setahun lalu terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari tempat kerjanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, wanita berkenaan maut selepas motosikal dinaiki bersama cucunya, Nor Aida Syazana Zainudin, 17, terbabas apabila mengelak daripada merempuh seekor lembu ketika dalam perjalanan pulang dari rumah anak bongsunya di Bukit Agu, Tepoh, di sini.

Motosikal Yamaha 125Z ditunggang cucunya yang juga pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Guntung ketika hujan renyai gagal dikawal sebelum terbabas di bahu jalan selepas seekor lembu tiba-tiba menghalang laluan mangsa.
Warga emas itu maut di tempat kejadian selepas mengalami pendarahan teruk di kepala manakala cucunya cedera parah di badan dan muka kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Alias Hashim ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian dan kedua beranak terbabit didapati tidak memakai topi keledar ketika kejadian.