Akta Kanak-Kanak dipinda elak kanak-kanak dipenjara
KUALA LUMPUR 26 Julai – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang untuk meminda Akta Kanak-Kanak 2001 bagi melindungi kanak-kanak yang melakukan kesalahan ringan supaya tidak diperintahkan ke penjara.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sebaliknya, kanak-kanak tersebut dicadang agar menjalani Perintah Khidmat Masyarakat, satu program pemulihan yang akan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Beliau berkata, pendekatan secara “keadilan pemulihan” iaitu pemulihan serta keinsafan dilihat bersesuaian kerana kanak-kanak yang terlibat dalam kesalahan ringan seperti mencuri dan menjual VCD haram tidak akan mengulangi kesalahan mereka.
“Kita tidak mahu kanak-kanak ini apabila menjalani hukuman dalam penjara atau pusat tahanan, mereka akan terus duduk dalam persekitaran yang lebih mempengaruhi mereka untuk mengulangi kesalahan yang lebih besar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini dan menambah akta tersebut dijangka dimuktamadkan pada penghujung Disember ini. – Bernama