Perogol janji nikah mangsa – Berita Harian


Perogol janji nikah mangsa
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

2011/07/29

Taktik lelaki bebas tuduhan ditolak

KUALA TERENGGANU: Seorang subkontraktor berusia 49 tahun yang dituduh merogol pelajar Tingkatan Tiga merayu Mahkamah Sesyen di sini, semalam membebaskannya daripada pertuduhan itu dengan alasan dia akan mengahwini mangsa selepas remaja berkenaan menamatkan persekolahannya.

Bagaimanapun, rayuan tertuduh, Azman Nor, dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun yang sudah berkahwin, tidak diterima Hakim Azman Mustapha, malah dia juga tidak ditawarkan jaminan.

Azman menetapkan 12 September ini untuk sebutan semula kes itu dengan pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Masriwarni Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, Azman yang berbaju kemeja hijau dan berseluar hitam dituduh merogol gadis berusia 15 tahun jam 11.30 pagi pada 2 Jun lalu, ketika keluarga mangsa tiada di rumah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2) (d) dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh menyelinap masuk ke dalam rumah mangsa ketika ketiadaan ibu bapanya dan memeluk mangsa yang ketika itu sedang membasuh baju dari belakang, sebelum merogol mangsa.

Berikutan kejadian itu, suspek cuba menebus kesalahannya dengan berjanji kepada keluarga mangsa untuk mengahwininya selepas dia tamat persekolahan, dua tahun lagi.

‘Kerjasama martabat ilmu’ – Berita Harian


‘Kerjasama martabat ilmu’
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Meor Hisham Zulkifli dan Sharifah Salwa Syed Akil

2011/07/29

Penyertaan pihak swasta bantu kementerian pacu sektor pendidikan

KUALA LUMPUR: Kerjasama jitu antara Kementerian Pelajaran dan pihak swasta mampu menjadi pemangkin dalam usaha memartabatkan sektor pendidikan negara bagi memacu kejayaan Malaysia ke peringkat global, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, selari pelbagai usaha dijalankan kerajaan, peranan pihak swasta penting untuk meletakkan asas pembinaan tradisi keilmuan di Malaysia, selari gagasan Falsafah Pendidikan Kebangsaan membangunkan modal insan holistik melalui sistem pendidikan terancang.

Justeru, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Pertandingan Pertunjukan Sains Petrosains 2011 anjuran Petrosains Sdn Bhd dengan sokongan kementerian itu, berjaya mewujudkan wadah untuk pelajar sekolah menengah mendalami ilmu pengetahuan dalam bidang berkaitan sains, sekali gus menyampaikannya dengan gaya menarik, kreatif dan berinovasi.

“Bentuk pertandingan yang memerlukan peserta mengendali dan juga menerangkan eksperimen sains dengan penyampaian dan gaya menarik sudah tentu mampu membentuk keyakinan dan sahsiah diri, secara langsung dapat membantu mereka menghadapi alam pengajian tinggi serta pekerjaan dengan penuh yakin kelak.

“Saya yakin dengan mewujudkan pertandingan seperti ini, negara kita mampu mengasah bakat dan mendidik generasi baru saintis dan ilmuwan muda yang mampu memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara,” katanya dalam ucapan pada Pertandingan Akhir Pertunjukan Sains Petrosains Peringkat Kebangsaan 2011 di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di sini, semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Dr Zahri Aziz. Hadir sama Pengurus Besar
Kanan, Bahagian Hal-Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Mohammad Medan Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim; dan Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainor Said.
Pada pertandingan akhir itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Temenggong Ibrahim, Johor Bahru, dinobatkan juara kategori menengah tinggi, diikuti Sekolah Tinggi Bukit Mertajam, Pulau Pinang (tempat kedua) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping (tempat ketiga).

Pasukan juara yang diwakili dua pelajar Tingkatan Empat Sains Tulen, Farah Adiba Yahaya dan Nurul Faradila Sambas, dengan hasil penyelidikan bertajuk ‘The Mystery of Chemistry’, membawa pulang piala pusingan, hadiah wang tunai RM3,000 dan Program Pembangunan Sains bernilai RM30,000 bagi sekolah mereka. SMK (P) Temenggong Ibrahim turut meraih Anugerah Demonstrasi Paling ‘Wow’ pada pertandingan itu.

Isteri ‘histeria’ kejar pencuri – Harian Metro


Isteri ‘histeria’ kejar pencuri

Oleh Fauzi Rahim Mustafa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki terpaksa memeluk sambil menahan isterinya daripada berlari keluar rumah selepas menyangka pasangannya dirasuk.

Zaludin Ibrahim, 41, dari Kampung Serukam, dekat sini, pada mulanya terkejut melihat isterinya, Roshana Jaafar, 44, menjerit tiba-tiba sambil berlari mengejar sesuatu kira-kira jam 2 pagi semalam.

Dia yang sedang nyenyak tidur terbangun serta-merta apabila mendengar jeritan kuat Roshana sebelum melihat isterinya seperti ‘hilang akal’ sambil menunjuk ke dapur.

“Saya cemas kerana jeritan isteri seperti dirasuk menyebabkan dua anak saya, Muhammad Zulhelmi, 11, dan Nurul Nadia, 9, turut terkejut dan menangis.

 
“Selepas bergelut dengannya kira-kira 10 minit, baru saya sedar rumah kami sebenarnya dimasuki pencuri menyebabkan isteri seperti terkena histeria,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Budak dirotan masuk hospital – Harian Metro


Budak dirotan masuk hospital

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
LEBAM...Mastura menunjukkan kaki cucunya, Nur yang lebam.
LEBAM…Mastura menunjukkan kaki cucunya, Nur yang lebam.

SAKIT...kaki Nur yang lebam dirotan guru.
SAKIT…kaki Nur yang lebam dirotan guru.

KUALA LUMPUR: Akibat dirotan guru tabika, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun lebam di kaki, tangan dan badan hingga dimasukkan ke hospital dalam kejadian Khamis lalu.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Nur, 6, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Isnin lalu akibat kecederaannya selepas dirotan guru terbabit yang mengajar di Taman Pelangi, Sentul. Akibatnya, mangsa trauma dan kini tidak mahu ke sekolah, malah sering meracau pada waktu malam.
Menceritakan kejadian itu, Nur berkata, guru terbabit memukulnya dengan rotan panjang beberapa kali dan bukan dia saja yang menjadi mangsa, tetapi beberapa rakannya turut dirotan.

 

Katanya, ini bukan kali pertama dia diperlakukan begitu, malah sudah lebih 10 kali, tetapi dia mendiamkan diri selepas diugut guru itu supaya tidak mengadu kepada keluarga.
“Saya tidak pernah memberitahu nenek kejadian itu kerana takut dirotan,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam.
Nenek mangsa yang dikenali sebagai, Mastura, 60, berkata dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian ketika mahu menyapu losyen di badan cucunya yang dijaga sejak kecil itu.

 

 

“Saya terkejut selepas mendapati kaki, tangan dan badannya lebam dan cuba bertanyakan hal itu.
“Pada mulanya dia enggan menceritakan hal sebenar dan memberitahu digigit nyamuk, selepas dipujuk baru dia memberitahu kerap dirotan guru walaupun tidak melakukan kesalahan,” katanya.

 

Menurutnya, ini bukan kali pertama dia nampak kesan kemerahan di badan cucunya itu, malah sudah beberapa kali sejak dia mula belajar di tabika berkenaan mulai awal tahun ini. “Cucu saya itu juga sudah tidak seceria dulu dan kini semakin murung,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Setapak, Jumaat lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

Dipenjara 16 tahun, 14 sebatan – Utusan Malaysia


Dipenjara 16 tahun, 14 sebatan

 

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my

 

Solahuddin Awang Man dijatuhi hukuman penjara 16 tahun, 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam. – utusan/Aizzul A. Majid

 

KOTA BHARU 28 Julai – Seorang buruh, Solahuddin Awang Man yang tidak berhati perut kerana sanggup merogol anak kandungnya sendiri sebanyak tiga kali, hari ini dihukum penjara 16 tahun dan sebatan 14 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Rofiah Mohamad menjatuhkan hukuman tersebut selepas lelaki berusia 51 tahun itu menukar pengakuan kepada bersalah di akhir kes pendakwaan atas tiga pertuduhan merogol anaknya yang berusia 15 tahun ketika kejadian.

Menurut hakim tersebut, sebagai seorang ayah, lelaki itu seharusnya berfikir panjang dan tidak mengikut hawa nafsu untuk merosakkan masa depan darah dagingnya sendiri.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol anaknya di rumah mereka di Tanah Merah kira-kira pukul 2 pagi, 6 Ogos 2007 sebelum mengulangi perbuatan tersebut empat hari kemudian pada masa dan tempat yang sama.

Kedua-dua tuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki tersebut didakwa merogol mangsa tersebut di rumah ibunya di kampung yang sama kira-kira pukul 8 pagi, 25 April 2008.

Dakwaan tersebut dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan dua kali, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua manakala pertuduhan ketiga, dia dihukum penjara 16 tahun dan sebatan 10 kali.

Bagaimanapun ketiga-tiga hukuman tersebut diperintahkan berjalan serentak dan ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 16 tahun dan sebatan 14 kali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hamizah Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam bela, Masitah Mohd. Noor.

Kempen bantu 150 rumah kebajikan – Utusan Malaysia


Kempen bantu 150 rumah kebajikan

KUALA LUMPUR 28 Julai – Kempen Secupak Budi, Sepenuh Hati anjuran Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bakal memberi sinar baru kepada anak-anak yatim di kira-kira 150 rumah kebajikan seluruh negara.

Pengerusi Bernas, Datuk Wira Syed Abdul Jabbar Syed Hassan Shahabudin berkata, menerusi kempen itu sebanyak 25 gram beras daripada setiap pembelian pek 10 kilogram beras Bernas akan disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim pelbagai kaum dan agama.

“Kempen ini akan diadakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun atau sehingga 150 rumah anak yatim yang dikenal pasti oleh Bernas menerima sumbangan ini,” katanya selepas pelancaran kempen itu di sini, hari ini.

Pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pertanian, Chua Tee Yong.

Syed Abdul Jabbar menambah, kempen itu adalah atas tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bernas untuk mendekati rakyat dan menjadikan mereka masyarakat yang prihatin dan pemurah.

Jelasnya, orang ramai juga boleh menyemak dan mendapatkan maklumat mengenai kempen itu serta rumah-rumah anak yatim yang mendapat manfaat daripadanya dengan melayari laman web http://www.bowls4humanity.com yang turut dilancarkan hari ini.

Sediakan keperluan anak yatim – TPM – Utusan Malaysia


Sediakan keperluan anak yatim – TPM

 

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

 

Muhyiddin Yassin merasmikan kempen Secupak Budi Sepenuh Hati di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Syed Abdul Jabbar Syed Hassan (belakang kiri), Chua Tee Yong dan Pengarah Urusan Bernas, Bakry Hamzah. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

 

KUALA LUMPUR 28 Julai – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta diminta terus membantu kerajaan meningkatkan sosioekonomi negara terutama dalam aspek kebajikan iaitu menyediakan makanan, kediaman dan pelajaran kepada golongan kurang berkemampuan khususnya anak-anak yatim.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar kerajaan sedia ada sememangnya memberi perhatian kepada golongan anak yatim dan kurang bernasib baik tanpa mengira agama dan bangsa.

Kata beliau, sejak empat tahun lepas, kerajaan memperuntukkan RM63.3 juta kepada rumah kanak-kanak kurang bernasib baik kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain menyalurkan geran berjumlah RM39.7 juta kepada pusat jagaan kanak-kanak kelolaan NGO.

“Kerajaan yakin antara 21,449 kanak-kanak yang telah mendapat manfaat daripada bantuan ini, ramai yang akan berjaya mencapai cita-cita, malah kemungkinan besar menjadi pemimpin negara kelak.

“Keprihatinan atas kebajikan generasi muda itu sangat penting kerana mereka juga terangkum dalam generasi yang akan menentukan masa depan negara,” katanya berucap merasmikan kempen ‘Secupak Budi Sepenuh Hati’ di sini, hari ini.

Program kemasyarakatan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu bertujuan membantu anak-anak yatim pelbagai kaum dan agama di seluruh negara.

Melalui kempen itu, Bernas akan menyumbang 25 gram beras bagi pembelian setiap pek 10 kilogram dari mana-mana kedai di seluruh negara dan akan disalurkan kepada rumah-rumah anak yatim yang terpilih.

Menurut Muhyiddin, kerajaan prihatin dan sedar bahawa dengan bantuan yang sesuai serta dorongan, kanak-kanak kurang bernasib baik boleh berjaya dalam pelajaran dan memenuhi aspirasi menjadi remaja yang bertanggungjawab dan warganegara yang maju.

Pada masa sama, katanya, kerajaan bertanggungjawab mengukuhkan dasar dan undang-undang bagi memastikan persekitaran negara terpelihara daripada anasir yang boleh menggugat kemakmuran dan perpaduan rakyat serta kemajuan ekonomi.

Dengan persekitaran yang kondusif itu kata beliau, sektor korporat dan swasta berpeluang meningkatkan keuntungan syarikat seterusnya berkongsi melalui pelbagai kempen dan aktiviti kebajikan untuk golongan kurang bernasib baik.

“Menjadi harapan kerajaan agar usaha meningkatkan sosioekonomi itu turut didukung oleh pihak swasta dan NGO dalam agenda meningkatkan kebajikan golongan kurang berkemampuan. Ia terutama anak-anak yatim yang sangat memerlukan bantuan terutama makanan, kediaman dan pelajaran,” katanya.