Polis buru 4 lelaki culik, samun guru – Utusan


Polis buru 4 lelaki culik, samun guru

SETIU 30 Julai – Polis memburu sekumpulan empat lelaki yang disyaki melarikan seorang guru wanita sebelum menyamun mangsa di Kampung Guntung Luar, dekat sini, semalam.

Mangsa yang berusia 35 tahun dikatakan diculik dari rumahnya di Kampung Guntung Luar sebelum dipaksa masuk ke dalam kereta oleh penjenayah terbabit.

Ketika kejadian pukul 6.30 petang, mangsa berada seorang diri di rumahnya, sebelum tiba-tiba didatangi empat lelaki berusia 30-an, menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

Salah seorang lelaki itu yang berusia 30-an turun lalu berpura-pura mencari alamat seseorang.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani berkata, semua suspek kemudian beredar selepas mangsa menyatakan tidak mengetahui individu yang dicari berkenaan.

“Mereka datang semula kira-kira 10 minit dan tiga daripadanya menghampiri mangsa yang berada di halaman rumah lalu mengusung mangsa ke dalam kereta.

“Mangsa kemudian ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Bintang, kira-kira 6 kilometer dari rumahnya, setelah suspek mengambil tiga utas gelang, seutas rantai dan sebuah telefon bimbit yang kesemuanya bernilai kira-kira RM20,000.

Katanya, sejurus disamun, mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dibantu orang awam pulang ke rumahnya.

Menurutnya, mangsa bersama suaminya, juga seorang guru telah membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, malam tadi.

Menurutnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan pihaknya setakat ini telah mengenal pasti seorang daripada suspek dipercayai turut terbabit dalam beberapa kes serupa sebelum ini.

Pelajar, guru diserang lebah – Utusan


Pelajar, guru diserang lebah

 

Oleh MOHD. ZAAIN MD. ZIN
utusansarawak@utusan.com.my

 

KUCHING 30 Julai – Sekumpulan 20 pelajar dan dua guru dari Sekolah Antarabangsa Lodge yang berkhemah di Kem Permai, Santubong dekat sini, cedera apabila diserang dan disengat ratusan ekor lebah.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, kumpulan terbabit diserang ketika sedang menyediakan hidangan makan tengah hari menyebabkan mereka bertempiaran menyelamatkan diri.

Hampir semua daripada mereka disengat dan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, dua pelajar mengalami kecederaan serius apabila disengat di seluruh badan. Salah seorang daripadanya pula menunjukkan tindak balas alergi namun dilaporkan tidak kritikal.

Menurut jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), pihaknya menggunakan semburan asap dan mengambil masa beberapa minit untuk menghalau kawanan lebah berkenaan.

“Lebah tersebut dipercayai terganggu dengan asap dan aroma daripada aktiviti membakar ayam ‘pansuh’ (ayam dalam buluh) kumpulan pelajar berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, dua guru pengiring kumpulan berkenaan enggan mengulas kejadian tersebut malah meminta semua pelajarnya supaya tidak memberi sebarang kenyataan kepada pihak media.

Remaja maut lumba motosikal curi – Harian Metro


Remaja maut lumba motosikal curi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEGAMAT: Seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai berlumba dengan rakannya maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu di Jalan Genuang di sini, 10 Julai lalu.

Lebih memeranjatkan polis, dalam kejadian jam 4 pagi itu, motosikal ditunggang mangsa dipercayai motosikal curi.
Sumber polis berkata, mangsa yang mati di tempat kejadian berasal daripada Batu Anam dan tidak memiliki lesen menunggang motosikal.

 

“Kejadian yang berlaku berhampiran stesen minyak bermula apabila mangsa dipercayai berlumba dengan seorang rakannya.
“Ketika memecut, mangsa di percayai memandang ke arah belakang untuk melihat rakannya yang tertinggal, akibatnya mangsa hilang kawalan sebelum merempuh tiang lampu itu,” katanya, semalam.
Orang ramai yang melalui jalan berkenaan kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian namun mangsa yang mengalami cedera parah di kepala disahkan mati di lokasi berkenaan.

 

 

Rakan mangsa pula dikatakan melarikan diri sejurus kejadian.
“Mangsa baru tiga bulan pulang ke daerah ini selepas bekerja di Singapura, siasatan awal mendapati motosikal ditunggangnya dilaporkan hilang di Larkin, tiga bulan lalu,” katanya.

 

Kes disiasat mengikut Seksyen 410 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara ghaib arah bunuh – Harian Metro


Suara ghaib arah bunuh

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BEBAS TUDUHAN...Chee Beng dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.
BEBAS TUDUHAN…Chee Beng dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.

SHAH ALAM: “Tertuduh mengalami penyakit jiwa dan diganggu bunyi ghaib,” kata Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad ketika membebaskan penjual telefon bimbit, Tan Chee Beng, 32, daripada tuduhan membunuh teman wanita berusia 16 tahun, dan cuba membunuh diri, di Cheras, dekat sini, tujuh tahun lalu.

Siti Mariah pada penghakimannya berkata, mahkamah menerima keterangan Chee Beng ketika membela diri bahawa dia berada dalam keadaan tidak siuman dan tidak menyedari perbuatannya apabila mendengar suara ghaib yang menyuruhnya membunuh mangsa dan diri sendiri.
Beliau berkata, ini disahkan laporan penilaian oleh saksi pembelaan kedua, Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Permai, Tampoi, Johor, Dr Badiah Yahya, yang menyatakan lelaki itu mengalami penyakit jiwa, halusinasi dan tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang rendah.

 

Menurutnya, pembelaan tertuduh berhubung perkara itu juga tidak disangkal atau dicabar pihak pendakwaan. “Oleh itu, mahkamah berpendapat adalah wajar untuk membebaskan tertuduh daripada tuduhan membunuh mangsa dan cuba membunuh diri. Tertuduh diperintah diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor,” katanya. Mengikut pertuduhan pertama, Chee Beng didakwa membunuh Tan Hui Choo di tepi tangga, Tingkat 2, Balok A, Apartmen Sri Bayu, Taman Kemacahaya, Batu 9, Cheras, jam 6.20 pagi, pada 6 September 2004. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu juga didakwa kerana membunuh diri dengan menggunakan sebilah pisau di tempat, masa dan tarikh sama. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau boleh didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hana Hadinah Sheik Mohd Ghazali.
Manakala, Chee Beng diwakili peguam, Edmund Boon. Sepanjang perbicaraan, seramai 14 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberi keterangan. Akhbar ini pada 1 September 2004 melaporkan seorang lelaki nekad mengelar leher dan menikam hingga mati teman wanitanya berusia 16 tahun kerana didorong perasaan cemburu. Hui Choo, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Kajang itu ditemui terbaring dengan baju kurung sekolahnya berlumuran darah di beranda kira-kira 10 meter daripada pintu rumahnya. Manakala, teman lelakinya yang ketika itu berusia 25 tahun ditemui terbaring berdekatan mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan nazak dipercayai cuba membunuh diri dengan sebilah pisau sepanjang 30 sentimeter di sisinya.