Ingin anak berlari – Metro


Ingin anak berlari
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: “Saya teringin melihat dia merangkak, berjalan dan berlari, namun apakan daya dia tidak mungkin kembali normal,” begitu keluhan Fazilah Osman, 39, ibu kepada Mohd Farhan Aidil Roslan, 12, kanak-kanak malang yang lumpuh seluruh badan akibat kemalangan jalan raya ketika berusia dua bulan.

Berikutan kejadian itu, Mohd Farhan kini hanya mampu terbaring sepanjang masa di rumah keluarganya di Taman Bertuah, Chemor selain perlu diberi penjagaan rapi seperti bayi.
Lebih malang, Mohd Farhan juga tidak dapat melihat dengan jelas dan hanya mampu merengek jika mahukan sesuatu selain perlu dikawal kerana sering sawan sejak dua tahun lalu.

 

Fazilah berkata, dia tidak menyangka kejadian kira-kira 12 tahun lalu itu meninggalkan kesan sepanjang hayat kepada anak keduanya itu.
Menurutnya, doktor turut mengesahkan anaknya itu mengalami kecederaan dalaman di bahagian otak sekali gus menyebabkan fungsi derianya lumpuh.
“Saya pernah membawanya rawatan terapi di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tetapi doktor pakar mengesahkan dia sukar pulih kerana kecederaan dalaman dialaminya.

 

 

“Doktor turut memaklumkan tidak mampu berbuat apa-apa untuk memulihkan kecederaan dialami Mohd Farhan menyebabkan saya reda dengan nasib menimpanya dan hanya berharap dia mampu pulih,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan Aidilfitri oleh Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) Cawangan Perak di sini, semalam.
Sumbangan disampaikan Ketua Takaful Ikhlas Wilayah Perak, Zainal Rahmat Md Zain. Beliau berkata, sehingga kini, dia berusaha merawat Mohd Farhan termasuk melakukan terapi ringan selain memberi makanan kesihatan tambahan kepada anaknya.

 

“Dia umpama bayi kecil sejak 12 tahun lalu menyebabkan saya terpaksa menjaganya termasuk menyediakan susu dan memakaikan lampin pakai buang.
“Saya reda dengan kejadian yang berlaku, namun berharap dia pulih,” katanya.
Fazilah berkata, Aidilfitri yang disambut setiap tahun umpama hari biasa baginya sekeluarga memandangkan anaknya itu hanya mampu terlantar setiap masa.
Katanya, dia sudah membeli baju Melayu dan pakaian baru untuk Mohd Farhan sempena Aidilfitri kali ini.
“Saya kini bergantung kepada pendapatan suami, Roslan Talib, 43, yang berniaga kecil-kecilan di pasar malam selain bantuan kewangan RM300 sebulan diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan meninggal dunia – Berita Harian


Bekas Ketua Pengarah Pendidikan meninggal dunia

2011/08/31

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Pendidikan yang juga Ahli Dewan Negara Perak dan Pro Canselor UPSI, Tan Sri Abdul Shukor, kembali ke rahmatullah pada jam 1.20 pagi tadi.

Jenazah dimandikan di Masjid Al-Hidayah Assam Kumbang, Taiping dan dibawa ke Putrajaya jam 10 pagi tadi untuk dikebumikan selepas Asar.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah berangkat jam 9.45 pagi tadi untuk memberi penghormatan terakhir dan bersama-sama menyembahyangkan jenazah.

Gadis remaja masa kini mudah terjebak masalah sosial – Bernama


Gadis remaja masa kini mudah terjebak masalah sosial 

2011/08/30

KUALA LUMPUR: Pemahaman gaya hidup baru yang dianggap moden dengan pergaulan tanpa batasan dan pengaruh budaya barat tanpa tahu membezakan mana yang baik dan buruk adalah punca keruntuhan moral di kalangan gadis remaja kini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata peranan institusi kekeluargaan penting bagi mengatasi masalah gadis remaja kini daripada terus menjadi kes-kes jenayah.

“Kurangnya nilai-nilai murni dalam diri remaja itu menyebabkan punca keruntuhan moral.

“Kurangnya didikan agama juga merupakan punca gadis remaja kini senang terjerumus dalam masalah sosial seperti dadah, maksiat, dan menjalin hubungan songsang,” katanya kepada Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati kalangan remaja berpendapat hubungan erat dan komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak perempuan amat penting bagi mengelakkan anak mereka terpedaya dengan teman lelaki dan kenalan baru.

Nadyra Zaidi, 19, berkata gadis remaja perlu berhati hati dengan lelaki dan tidak terlalu percayakan lelaki

“Sebagai seorang perempuan tidak perlu ikut perasaan dan perlu pandai berfikir mana yang baik dan buruk…lelaki sekarang bukanlah sebaik yang disangka-sangkakan,” katanya
Kakitangan awam Suryati Wangiman, 24, berpendapat perempuan cepat mempercayai lelaki kerana sifat lelaki yang pandai mengambil hati perempuan.

“Pada masa yang sama perempuan cepat jatuh hati dan menyayangi lelaki, mungkin lelaki menjanjikan sesuatu kepada perempuan itu sehingga sanggup menyerah maruah diri yang amat berharga,” katanya.

Pelajar Muhammad Syabil Sukri, 15, berpendapat ibu bapa berperanan penting dalam mendidik anak-anak supaya tidak terjerumus ke dalam gejala ini.

Kakitangan awam Norsheeda Din, 24, berkata pendidikan agama sangat penting dan media massa perlu memainkan peranan dalam memaparkan tentang betapa pentingnya maruah seseorang wanita agar mereka tidak sewenang-wenangnya menggadaikan maruah begitu sahaja.

Ahmad Riduan Abdullah, 28, pula berpendapat remaja perempuan kini berhadapan dengan keadaan yang bahaya kerana banyak kes pembunuhan, lari rumah dan kes rogol.

“Remaja kini mudah terpedaya dengan lelaki yang baru dikenali…mereka juga kurang didikan agama…tidak malu berpeluk dan bercium di tempat umum dengan berpakaian menjolok mata.

“Mereka mudah sangat melayan lelaki, apabila lelaki menghadiahkan barangan berjenama dan bagi duit belanja mereka mudah melabelkan lelaki terbabit baik,” katanya.

Ahmad Riduan berkata, peranan ibu bapa amat penting dalam memberikan didikan agama kepada anak-anak perempuan supaya mereka mengambil tindakan berjaga-jaga dan sentiasa menjaga kesopanan supaya lelaki lebih menghormati mereka.

“Ibu bapa juga perlu ambil berat tentang masalah anak-anak supaya mereka akan mencari ibu bapa mereka sendiri daripada mencari lelaki untuk menyelesaikan masalah dan ia dapat mengelakkan anak gadis mereka dari terjerat atau terhutang budi”.

Beliau berkata ada juga ibu bapa terlalu memanjakan anak perempuan mereka dan percayakan seratus peratus kepada teman lelaki anaknya sehingga mereka tidak sedar anak mereka dalam bahaya.

Guru sekolah menengah, Norazimah Salleh, 25, berpendapat pelajar perempuan sekolah kini terlalu terpengaruh dengan bahan bacaan novel berunsur cinta.

“Cerita-cerita cinta dalam novel juga boleh mempengaruhi gadis remaja hanyut dibuai perasaan.

“Masalah remaja ini juga berpunca daripada masalah dalaman diri mereka sendiri kerana terpengaruh dengan rakan-rakan yang sudah ada teman lelaki,” katanya

Norazimah berkata, segelintir remaja bermasalah ini sanggup mengadai maruah diri semata-mata untuk kebendaan dan daripada segi sudut psikologi ada antara mereka ini kekurangan kasih sayang dan perhatian keluarga.

“Gadis remaja ini ingin mencuba rasa disayangi, dibelai oleh kenalan,” dan menurutnya sebab itu ibu bapa perlu ambil tahu setiap pergerakan anak perempuan mereka walaupun sibuk bekerja. – BERNAMA

Ingin cium tangan ayah – Metro


Ingin cium tangan ayah

Oleh Zaid Salim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MARANG: “Dia (Nurul Dahyatul Fazlinda) hendak sangat bersalaman dan mencium tangan ayahnya pada pagi Aidilfitri. Walaupun payah untuk ke sana (Penjara Marang) kerana masalah kenderaan, saya akan berusaha membawanya bertemu ayahnya itu kerana peluang berkenaan hanya terbuka pada hari raya kedua dan ketiga saja,” kata Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, ibu Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, mangsa simbahan asid bapa sendiri, Mat Haizan Mat Yasin, 33, pada 15 Ogos tahun lalu.

Che Ku Zaimah berkata, dia akan berusaha menunaikan permintaan anaknya yang dipanggil Lin itu kerana selain bersalaman dan mencium tangan ayahnya, dia juga bercadang beraya bersama lelaki berkenaan dalam suasana penuh kegembiraan dan sudah menempah sepasang baju Melayu hijau untuknya.
“Kami akan memakai pakaian sedondon hijau pada pagi raya. Walaupun sedih kerana hanya dapat beraya seketika dengan bekas suami namun raya tahun ini bakal menjadi kenangan manis buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek insuran Takaful Ikhlas kepada pewaris ahli Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang meninggal dunia dan terbabit dalam kecelakaan di Pejabat Rela Daerah Marang, di sini.

 

Che Ku Zaimah dari Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, yang turut mengalami kecederaan dalam kejadian itu menyertai Rela sejak empat tahun lalu menerima wang insuran RM2,800 yang disampaikan Pegawai Rela Hulu Terengganu, Leftenan Kolonel (Rela) Abd Razak Ishak.
Dalam majlis ringkas dihadiri Pengarah Rela Terengganu, Kolonel (Rela) Mohamad Abu Bakar dan Pegawai Rela Marang, Leftenan Kolonel (Rela) Siti Fatimah Aziz, seramai lima penerima termasuk Che Ku Zaimah menerima wang insuran berkenaan berjumlah antara RM1,000 hingga RM22,000.

Bayi pelajar sekolah agama masih di ICU – Metro


Bayi pelajar sekolah agama masih di ICU

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Keadaan bayi lelaki yang dilahirkan seorang pelajar sebuah sekolah agama di Tumpat, baru-baru ini dilaporkan sihat tetapi masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemerhatian lanjut oleh pihak hospital.

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Zaid Ahmad berkata, bayi lelaki dilahirkan cukup bulan seberat tiga kilogram dalam keadaan stabil.
“Bayi berkenaan stabil namun masih memerlukan pemerhatian lanjut daripada pihak hospital.

 

“Bayi itu kemungkinan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secepat mungkin untuk tindakan seterusnya,” katanya, semalam.
Ditanya mengenai keadaan ibu kepada bayi terbabit, Zaid berkata, pelajar berkenaan sudah dibenarkan keluar dari hospital sejak minggu lalu selepas pemeriksaan mendapati dia tidak menghadapi masalah kesihatan.
Mengenai tindakan selanjutnya ke atas ibu muda terbabit yang juga pelajar sebuah sekolah agama, Zaid menegaskan ia terpulang kepada pihak jabatan agama untuk melakukan siasatan.

 

 

Difahamkan, minggu lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Tumpat bertindak membuka kertas siasatan kes seorang pelajar perempuan sebuah sekolah agama di Tumpat yang melahirkan seorang bayi di tandas asrama itu.
Pegawai Agama Tumpat, Mohd Naim Ghazali, dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada pelajar berusia 18 tahun itu.

 

Bapa empat anak mengaku perkosa gadis 14 tahun – Metro


Bapa empat anak mengaku perkosa gadis 14 tahun

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Seorang bapa empat anak didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan merogol seorang gadis bawah umur di rumahnya di Kampung Bandar Kaba, di sini, 21 Ogos lalu.

Muhammad Ridzuan Omar, 21, didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Banda Kaba, kira-kira jam 5.30 pagi.
Tertuduh mengangguk faham dan mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di depan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret, V Kanasan.

 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd Kudus yang menyebut bagi Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan memohon tarikh baru bagi membacakan fakta kes.
Tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan empat anak dan tiada pendapatan tetap.

 

 

Mahkamah menetapkan 7 September ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.

Budak redah api cari kunci – Metro


Budak redah api cari kunci

Oleh Togi Marzuki
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MUSNAH...tingkat atas rumah mangsa tidak sempat diselamatkan. Gambar kecil, Andy Yusuf (kiri) bersama bapa dan ibu angkatnya.
MUSNAH…tingkat atas rumah mangsa tidak sempat diselamatkan. Gambar kecil, Andy Yusuf (kiri) bersama bapa dan ibu angkatnya.

PONTIAN: Keberanian seorang kanak-kanak berusia enam tahun meredah api bagi mencari kunci pintu berjaya menyelamatkan nyawa bapa dan nenek angkatnya daripada terperangkap dalam kebakaran rumahnya di Taman Sutera Batu 34, Jalan Johor, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, ketiga-tiga mereka iaitu kanak-kanak berkenaan, Andy Yusuf Andy Osman bersama bapa angkatnya yang menghidap angin ahmar sejak dua tahun lalu, Mohd Lasim Mohd Haris, 55, dan neneknya, Zaleha Mohamad, 79, yang uzur serta tidak boleh berjalan berada di tingkat atas rumah dua tingkat itu.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Lasim berkata, pada mulanya dia terhidu bau hangit diikuti kepulan asap tebal menyebabkan dia memanggil Andy bagi membantu menyelamatkan ibu mentuanya yang berada di bilik berasingan.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di bilik air tingkat atas, manakala ibu mentua dan anak angkatnya itu sedang berehat di dalam bilik masing-masing.

 
“Selepas terhidu bau hangit, diikuti asap tebal hingga memedihkan mata, saya bersama anak angkat berusaha memapah ibu mentua saya hingga ke pintu tingkat bawah untuk menyelamatkan diri, namun gagal keluar kerana kunci rumah disimpan di tingkat atas.

Bangunan lama SK Tuarid Taud terbakar – Utusan


Bangunan lama SK Tuarid Taud terbakar

SEBUAH bangunan lama SK Tuarid Taud di Keningau musnah dalam kebakaran kelmarin.

 

KENINGAU 29 Ogos – Sebuah bangunan lama Sekolah Kebangsaan (SK) Tuarid Taud di sini yang dibina pada tahun 1963 musnah dalam kebakaran semalam.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Keningau, Lacius Salagon berkata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian pukul 10.27 pagi itu.

“Anggota bomba yang tiba di tempat kejadian pada pukul 10.34 pagi mendapati api telah merebak dan memusnahkan 80 peratus bangunan berkenaan.

“Tindakan pantas bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran pada pukul 11.46 pagi,” katanya di sini hari ini.

‘Saya kenal suara mereka’ – Utusan


‘Saya kenal suara mereka’

 

Oleh SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

 

GURUN 29 Ogos – Tiada apa yang paling diimpikan oleh Sarimah Abdullah, 33, ketika menyambut 1 Syawal esok melainkan melihat wajah tiga anaknya berusia lima hingga 12 tahun yang kali terakhir dilihatnya kira-kira dua tahun lalu.

Lebih malang, Sarimah yang buta sejak 2009 akibat menghidap penyakit saraf, kini tidak dapat lagi mengingati raut wajah anak kembarnya, Adam Mohd. Zainudin, 5, dan Amar, 5, serta anak sulungnya, Umi Zulaika, 12.

“Apabila mereka panggil ‘ibu’, memang saya kenal suara mereka tetapi sudah tak ingat muka anak-anak, lebih-lebih lagi sekarang mungkin wajah mereka berubah kerana sudah membesar.

“Saya minta tolong mana-mana pihak yang boleh membantu mengubati penyakit saya agar dapat melihat semula anak-anak dan menjaga mereka seperti orang lain,” katanya ketika ditemui selepas dibawa membeli-belah baju raya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Mohd. Tajudin Abdullah di Pasar Raya Aneka di sini, kelmarin.

Program anjuran Puteri UMNO Bahagian Sik itu turut dihadiri ketuanya, Norashima Md. Nowar yang juga Ketua Puteri UMNO Kedah.

Sebelum menghidap penyakit itu, Sarimah bekerja di sebuah kilang tetapi kini badannya lumpuh dan semua keperluannya diuruskan oleh ibunya, Samsiah Awang, 58, di rumahnya di Felda Teloi Timur, Sik.

Menurutnya, Umi Zulaika dan Adam tinggal bersamanya manakala Amar yang juga orang kurang upaya (OKU) akibat menghidap penyakit serupa, dipelihara oleh suami Sarimah, Mohd. Zainudin yang tinggal berasingan.

“Sambutan Aidilfitri tidak lagi seronok sejak jadi begini,” katanya.

Sarimah berkata, dia menjalani rawatan tiga kali sebulan di Hospital Sungai Petani, namun setakat ini tiada perubahan terhadap tahap kesihatannya.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Nor Azila Yusof, 24, yang ditinggalkan suami semasa masih dalam pantang selepas bersalin, kini pasrah dengan nasibnya terpaksa bercerai dengan suaminya.

Dia berkata, dua anaknya iaitu, Mohd. Adam Haikal yang sudah berusia tiga bulan dan Anis Syafikah, 2, menjadi pengubat kepiluan semasa menyambut Syawal di Kampung Gajah Putih Sik dekat ini.

Seorang janda muda, Farahanim Mohd. Saad, 18, yang sedang hamil lapan bulan pula berkata, sambutan Aidilfitri kali ini hanya ala kadar kerana kali pertama beraya tanpa suami.