Bapa bimbang, remaja lembam dipercayai sesat ketika cari tin
 |
JUSOH Deraman bersama isterinya, Maryam Daud menunjukkan gambar anak mereka yang hilang, Mohamad Sulaiman Jusoh di rumah mereka di Kampung Binjal, Batu 11, Ketereh, Kota Bharu, semalam.
|
KOTA BHARU 31 Julai – Ketika umat Islam bersiap sedia menyambut Ramadan esok, seorang bapa dilanda kebimbangan apabila anaknya, seorang remaja lembam masih tidak pulang ke rumah sejak kelmarin.
Remaja itu, Mohamad Sulaiman Jusoh, 18, dilaporkan hilang selepas keluar dengan menunggang motosikal dari rumahnya di Kampung Binjal Batu 11, Ketereh, dekat sini.
Remaja buta huruf yang juga menghidap penyakit sawan itu dipercayai kehabisan minyak motosikal sehingga menyebabkan dia tidak dapat pulang ke rumah.
Mohamad Sulaiman ketika itu menunggang motosikal Honda C70 berwarna kelabu dengan dengan nombor pendaftaran KH 3538.
Kali terakhir dia dikesan adalah petang semalam apabila dilihat merayau-rayau di pekan Selising, Pasir Puteh, kira-kira 30 kilometer, dari rumahnya dekat sini.
Ayahnya, Jusoh Deraman, 71, seorang pesawah padi, menyedari kehilangan anak bongsunya itu yang mesra disapa ‘Mat’ apabila dia tiada di rumah pada sebelah petang sebagaimana kebiasaan selepas seharian keluar mencari tin buruk.
“Itulah kerjanya setiap hari jika dia sihat… Pada pukul 10 pagi hari Jumaat dia keluar menunggang motosikal buruk saya. Ada penduduk nampak dia mencari tin di kawasan perumahan Taman Puspa, Kok Lanas pada hari itu.
“Saya perasan dia seperti tergesa-gesa mahu keluar seolah-olah ada orang yang memanggilnya tapi tidak sangka sebaik sahaja dia keluar dia tidak pulang pula sampai sekarang.
“Saya percaya dia tersesat selepas berjalan jauh kerana dia tidak pernah mencari tin di luar dari kawasan Ketereh dan Kok Lanas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Mohamad Sulaiman berkulit sawo matang, berbadan tegap, berambut pendek hitam dan mempunyai ketinggian 158 sentimeter dengan berat badan 70 kilogram.
Jusoh berkata, di samping masalah penyakit sawan, anaknya itu merupakan seorang remaja yang peramah dan dia bimbang kemungkinan ada pihak mengambil kesempatan ke atas remaja terbabit.
Menurutnya, selepas membuat laporan di Balai Polis Ketereh malam kelmarin, dia dan ahli keluarga yang lain memulakan gerakan mencari Mat sehingga ke daerah Pasir Mas namun gagal berjumpanya.
Jusoh meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi nombor 013-490 2254 (Nor Asmieda) atau 019-956 0327 (Zaidi).
Like this:
Like Loading...