Guru sandaran bakal ikuti latihan perguruan – Bernama


Guru sandaran bakal ikuti latihan perguruan

02/08/2011 5:42pm

 

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Seramai 972 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) akan mengikuti latihan perguruan selama 18 bulan di institusi-institusi pengajian tinggi awam pada Disember ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, 2,821 orang lagi akan mengikuti latihan di institusi-institusi pengajian guru (IPG) bagi ambilan Januari 2012.

Guru-guru tersebut merupakan mereka yang layak dilantik semula secara ”contract of service” daripada sejumlah 7,258 orang GSTT yang belum dilantik.

“Bagi yang mengikuti kursus di IPG, mereka yang mempunyai ijazah akan mengikuti latihan 18 bulan dan yang tidak berijazah akan mengikuti latihan 66 bulan iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Pendidkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedudukan baki 3,465 orang daripada kumpulan guru tersebut akan ditentukan selepas mereka disahkan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Katanya, ada di antara mereka yang masih berpeluang untuk dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan selepas semakan semula ke atas maklumat mereka selesai dijalankan.

“Bagi yang dikenal pasti tidak layak dilantik semula, semakan ke atas rekod mereka dan pengesahan akan dibuat sebelum akhir Ogos 2011.

“Bagi mereka yang dilantik semula, penempatan tidak akan terhad kepada lokasi, sekolah atau opsyen asal,” katanya.

Muhyiddin berkata, penempatan akan dibuat bagi memenuhi dan menyokong pelaksanaan dasar khususnya dasar baru kementerian seperti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS). – Bernama

Jabatan Penjara nafi dera pelajar – Bernama


Jabatan Penjara nafi dera pelajar

02/08/2011 5:47pm

 

PUTRAJAYA 2 Ogos – Jabatan Penjara menafikan dakwaan 32 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di Johor Baharu, bahawa mereka didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lepas.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar berkata, hasil siasatan awal mendapati, dakwaan para pelajar terbabit bahawa mereka ditumbuk, dipukul dan mendapat layanan di luar daripada batasan adalah tidak benar.

Bagaimanapun, katanya, siasatan terperinci sedang dijalankan dan sekiranya terdapat pihak tertentu mempunyai maklumat tambahan yang boleh membantu menyelesaikan aduan itu, bolehlah kemukakan kepada beliau di talian 03-8732 8081.

Beliau berkata, mereka juga boleh e-mel maklumat itu kepadanya di zulkifli@prison.gov.my atau menghubungi Pegawai Komunikasi Korporat Jabatan Penjara (Puan) Rusmiza Anuar di talian 03-8732 8388.

“Pihak kami akan memaklumkan hasil siasatan terperinci dari semasa ke semasa dan berharap dapat selesaikan kes pada 5 Ogos ini,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. – Bernama

Sekolah, IPT Perlu Didedah Kepada OSH – Niosh – Bernama


Sekolah, IPT Perlu Didedah Kepada OSH – Niosh

SHAH ALAM: Semua sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini perlu didedahkan kepada aspek latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) bagi memastikan mereka bersedia jika berdepan dengan kemalangan atau kecemasan. Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata sekolah dan IPT juga terdedah kepada risiko kemalangan seperti penggunaan bahan kimia berbahaya di makmal sains dan ujikaji.

“Pensyarah, guru-guru, pelajar, murid-murid serta warga kerja yang terbabit perlu diberi pendedahan mengenai OSH dalam usaha kita mengurangkan kemalangan di tempat kerja,” katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Niosh dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, Selasa. MoU antara Niosh dan UiTM itu masing-masing diwakili Pengarah Eksekutif Niosh Rosli Hussin dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, bagi menjalinkan kerjasama dalam akademik dan penyelidikan (Higen Industri dan Keselamatan) membabitkan Fakulti Sains Gunaan UiTM.

Sahol Hamid berkata usahasama yang telah dikenalpasti dengan Niosh termasuklah membangunkan program akademik di peringkat Diploma, Ijazah dan Sarjana melalui penawaran kursus dalam pengajian sepenuh masa, kursus jangka pendek atau penganjuran seminar. -BERNAMA

Remaja mengaku salah tertembak adik – Utusan


Remaja mengaku salah tertembak adik

02/08/2011 12:57pm

 

MARAN 2 Ogos – Seorang remaja Orang Asli hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap dua pertuduhan membunuh tanpa niat dan memiliki senjata api iaitu dua laras senapang buatan sendiri pada 26 Julai lalu.

Bagaimanapun Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali menetapkan 6 September ini bagi sebutan semula kes sebelum menjatuhi hukuman sementara menunggu laporan akhlak.

Suspek diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua kesalahan tersebut. – Utusan

Hidup bagai pelarian – Harian Metro


Hidup bagai pelarian

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
yusmawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Seorang guru mendakwa terpaksa hidup seperti pelarian apabila bekas suami tidak henti-henti mengancam keselamatannya termasuk mengupah samseng menyerang suami barunya sehingga telinga hampir putus dan menerima 65 jahitan.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul, 30, berkata biarpun dia berjaya mendapatkan perintah perlindungan sementara daripada mahkamah awal Disember tahun lalu, bekas suaminya mengganggunya dan terbaru, suami barunya dikenali sebagai, Kafi, 35, cedera akibat diserang samseng upahan.

“Kejadian pada malam 3 Julai lalu apabila kami bersiap untuk berangkat ke Kuala Lumpur. Ketika suami sibuk memasukkan beg pakaian ke dalam but kereta, tiga lelaki secara tiba-tiba datang menetaknya dengan senjata tajam.

“Kejadian di laman rumah di Besut, Terengganu berlaku terlalu pantas, dalam tempoh lima minit akibat tetakan itu suami menerima 65 jahitan dengan telinga suami hampir putus, retak tulang lengan, luka ibu jari dan sakit di seluruh badan.

 
“Dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selama dua minggu dan saya percaya kejadian serangan ini didalangi bekas suami kerana dendam,” katanya ketika ditemui di sini bagi mendapatkan bantuan Pembela Barisan Nasional (BN) Melaka.

Dera pelajar dipenjara – Harian Metro


Dera pelajar dipenjara

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Sekumpulan 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda di sini, menempuh pengalaman mengerikan apabila ditendang, ditumbuk, malah ada yang mendakwa digari dan dikurung dalam sel tahanan oleh warden bertugas ketika mereka mengikuti kem motivasi ‘ala penjara’ anjuran sekolah di Penjara Kluang pada 29 hingga 31 Julai lalu.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, kumpulan pelajar tingkatan satu, dua dan empat sekolah berkenaan mendakwa dilayan umpama banduan apabila makanan mereka dicatu, diarah berbogel, melakukan ketuk ketampi dan tekan tubi berulang kali serta hukuman lain setiap kali melakukan kesalahan.
Pengalaman ngeri itu dikatakan bermula apabila kumpulan pelajar yang mempunyai masalah disiplin terbabit diminta menghadiri program Sinar Harapan di sebuah kem motivasi di Kluang.

 

Bagaimanapun, kumpulan pelajar terbabit yang berkumpul dan bertolak dari sekolah mereka mula berasa ada yang tidak kena selepas diarahkan menaiki bas Jabatan Penjara.
Seorang peserta, Mohd Rafsanjani Mohd Rafi, 16, berkata dia terpaksa mengikut program berkenaan selepas 10 hari tidak hadir ke sekolah antara Februari hingga Julai lalu.
Katanya, dia dan rakan kebingungan apabila bas berkenaan menuju ke Penjara Kluang sedangkan kem motivasi tertera pada surat pelepasan ditandatangani ibu bapa menunjukkan ia terletak di lokasi lain.

 

 

“Sejurus tiba, kami diarah menyerahkan telefon bimbit, barangan berharga, membotakkan kepala dan mengambil pakaian banduan sebelum diarahkan mengikuti program motivasi.
“Saya berasa takut dengan cara program itu dilaksanakan, apa tidaknya kami dipaksa masuk ke dalam sel, jika ada yang tidak kena pasti ada yang ditampar atau menerima hukuman lain,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Skudai Kanan, semalam.

 

Sementara itu, Firdaus Muhammad, 16, berkata pengalaman digari dan dikurung di dalam sel lebih sejam menyebabkan dia serik untuk mengikuti program sama pada masa depan kerana beranggapan hukuman ala penjara yang dikenakan keterlaluan.
“Saya antara kumpulan yang digari kerana melakukan kesalahan disiplin dianggap serius oleh pengurusan sekolah dan ia kononnya dilakukan bagi memberikan pengajaran kepada kami.
“Kami juga terpaksa mengikuti program ini kerana diugut akan dibuang atau digantung sekolah oleh guru. Memang kami terbabit dengan masalah disiplin tetapi cara kami dilayan adalah keterlaluan,” katanya.
Bagi Zuhidah Zainal, 41, ibu kepada Firdaus, pengurusan sekolah sepatutnya berterus terang dengan lokasi sebenar program diadakan bagi memastikan masalah seperti itu tidak timbul.
“Saya pelik apabila melihat bas digunakan untuk membawa anak milik Jabatan Penjara, apabila ditanyakan kepada seorang guru, dia memaklumkan pelajar hanya ke penjara untuk melihat cara hidup banduan.
“Tindakan guru terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana dia menipu ibu bapa, mereka menukar lokasi program tanpa pengetahuan kami sedangkan pada surat persetujuan pelepasan tertera lokasi lain,” katanya.
Menurut Zuhidah, kerana tidak sedap hati, dia menghubungi telefon bimbit Firdaus untuk bertanyakan khabar, tetapi gagal.
“Saya akui anak ada masalah disiplin dan berterima kasih kepada sekolah kerana mahu membantu.
“Bagaimanapun, menghantar anak mengikuti program di penjara, malah dilayan seolah-olah banduan perkara keterlaluan,” katanya.

Remaja lembam berjaya ditemui semula – Utusan


Remaja lembam berjaya ditemui semula

MOHAMAD Sulaiman bersama bapanya, Jusoh Deraman di Pekarangan Wad Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam.

 

KOTA BHARU 1 Ogos – Kedatangan Ramadan ini amat bermakna buat keluarga Jusoh Deraman, 71, apabila anak bongsunya, Mohamad Sulaiman, 18, yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu berjaya ditemui semula hari ini.

Remaja lembam itu ditemui oleh seorang lelaki di Wakaf Bharu, Tumpat kira-kira 24 kilometer dari rumahnya di Kampung Binjal, Ketereh sebelum menyerahkannya kepada polis yang kemudian menghantarnya ke Wad Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Menurut abang remaja itu, Zaidi Jusoh, 28, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama Faizal dari Pasir Pekan mengenai adik bongsunya itu pada pukul 8 pagi ini.

“Faizal memberitahu dia mengecam wajah adik saya setelah melihat gambar Mohamad Sulaiman yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini dan pernah terserempak dengannya ketika berada di Masjid Mukim Delima, Wakaf Bharu pada hari Jumaat lalu.

“Kata Faizal lagi, adik saya telah dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu bersama motosikal yang ditunggangnya. Sebaik sahaja mendapat maklumat itu, saya terus bergegas ke balai polis berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Polis kemudiannya memberitahu Mohamad Sulaiman telah dibawa ke Wad Psikiatri HRPZ II untuk rawatan selanjutnya. Saya terus ke sini (HRPZ II) dan bersyukur sebaik sahaja melihat adik saya berada dalam keadaan baik di sini. Kami sekeluarga akan membawanya pulang ke rumah hari ini,” jelasnya ketika ditemui di hospital berkenaan hari ini.

Sementara itu, Jusoh bersyukur dan gembira kerana dapat bertemu semula dengan anak lelakinya itu selepas bersusah payah mencarinya sejak beberapa hari lalu.

“Saya bersyukur kerana menemuinya semula. Jika tidak kerana keprihatinan seorang insan bernama Faizal dari Pasir Pekan, Tumpat, mungkin anak saya sukar untuk ditemui atau perkara buruk akan berlaku kepadanya.

“Bila sudah jumpa Mohammad Sulaiman, kebimbangan semua hilang dan dapatlah kami sekeluarga menjalani ibadat puasa dengan gembira,” katanya.

Tambahnya, dia dan keluarga berterima kasih kepada semua pihak termasuk Utusan Malaysiakerana membantu mencari anak bongsunya itu yang menghidap penyakit sawan dan buta huruf.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kebimbangan Jusoh dan keluarganya apabila Mohamad Sulaiman tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu selepas keluar rumah dengan menunggang motosikal.

Kursus motivasi dera pelajar? – Utusan


Kursus motivasi dera pelajar?

 

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

 

Sebahagian pelajar menunjukkan kepala yang dibotakkan ketika mengikuti program di Penjara Kluang, Johor, semalam. – utusan/Nasirruddin Yazid

 

JOHOR BAHRU 1 Ogos – Seramai 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) di sini, mendakwa didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu.

Dalam program selama tiga hari itu, mereka bukan sahaja dibotakkan kepala tetapi mendakwa dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan diarahkan untuk memakai baju persalinan banduan.

Seorang pelajar, Mohd. Fakhrullah Masali, 16, mendakwa, pihak sekolah memberitahu program tersebut merupakan kem motivasi bagi pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan akan diadakan di hotel.

Namun, Jumaat lalu mereka dibawa ke Penjara Kluang dan diminta menyerahkan semua barangan peribadi kepada pihak urus setia kursus.

“Saya agak terkejut sebab pada mulanya kami diberitahu akan menjalani kursus motivasi di hotel selain diberi beberapa kemudahan lain.

“Namun apabila tiba di sana, kami dilayan tak ubah seperti banduan, malah dikejutkan seawal 4.30 pagi untuk latihan kawad dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Pelajar, Firdaus Mohammad, 16, memberitahu, mereka turut didera melakukan pelbagai aktiviti termasuk tekan tubi, berguling atas jalan dan ketuk ketampi sebanyak 150 kali.

Dakwanya, peserta juga dimarah dan dipukul sehingga ada yang menangis akibat tidak tahan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru, Khalid Mohamed yang menerima aduan tersebut berkata, satu memorandum ditandatangani oleh ibu bapa peserta terbabit akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan oleh pihak urusetia kursus tidak sesuai dan sewajarnya tidak berlaku.

“Saya harap pihak kementerian menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru terlibat termasuk pihak Jabatan Penjara Kluang.

“Kami rasa marah dan terkejut apabila para pelajar berkenaan dihantar ke penjara umpama seorang penjenayah malah turut digari. Tindakan seumpama itu seperti tidak bertamadun dan zalim,” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Datuk Samsol Bari Jamali ketika dihubungi hari ini mengakui pihaknya sedia maklum dengan program berkenaan iaitu pelajar menjalani simulasi kehidupan di penjara.

Menurutnya, sekolah berkenaan bukan yang pertama menjalani aktiviti itu, malah sebelum ini dua buah sekolah lain pernah mengikuti aktiviti sama.

“Konsultan dilantik oleh pihak sekolah juga adalah yang biasa dilantik oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dan mungkin modul sahaja berbeza. Bagaimanapun, pihak sekolah akan bersemuka dengan para pelajar apabila sekolah dibuka Rabu ini,” katanya.