Remaja lembam berjaya ditemui semula – Utusan


Remaja lembam berjaya ditemui semula

MOHAMAD Sulaiman bersama bapanya, Jusoh Deraman di Pekarangan Wad Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam.

 

KOTA BHARU 1 Ogos – Kedatangan Ramadan ini amat bermakna buat keluarga Jusoh Deraman, 71, apabila anak bongsunya, Mohamad Sulaiman, 18, yang dilaporkan hilang sejak beberapa hari lalu berjaya ditemui semula hari ini.

Remaja lembam itu ditemui oleh seorang lelaki di Wakaf Bharu, Tumpat kira-kira 24 kilometer dari rumahnya di Kampung Binjal, Ketereh sebelum menyerahkannya kepada polis yang kemudian menghantarnya ke Wad Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.

Menurut abang remaja itu, Zaidi Jusoh, 28, dia menerima panggilan daripada seorang lelaki bernama Faizal dari Pasir Pekan mengenai adik bongsunya itu pada pukul 8 pagi ini.

“Faizal memberitahu dia mengecam wajah adik saya setelah melihat gambar Mohamad Sulaiman yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini dan pernah terserempak dengannya ketika berada di Masjid Mukim Delima, Wakaf Bharu pada hari Jumaat lalu.

“Kata Faizal lagi, adik saya telah dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu bersama motosikal yang ditunggangnya. Sebaik sahaja mendapat maklumat itu, saya terus bergegas ke balai polis berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Polis kemudiannya memberitahu Mohamad Sulaiman telah dibawa ke Wad Psikiatri HRPZ II untuk rawatan selanjutnya. Saya terus ke sini (HRPZ II) dan bersyukur sebaik sahaja melihat adik saya berada dalam keadaan baik di sini. Kami sekeluarga akan membawanya pulang ke rumah hari ini,” jelasnya ketika ditemui di hospital berkenaan hari ini.

Sementara itu, Jusoh bersyukur dan gembira kerana dapat bertemu semula dengan anak lelakinya itu selepas bersusah payah mencarinya sejak beberapa hari lalu.

“Saya bersyukur kerana menemuinya semula. Jika tidak kerana keprihatinan seorang insan bernama Faizal dari Pasir Pekan, Tumpat, mungkin anak saya sukar untuk ditemui atau perkara buruk akan berlaku kepadanya.

“Bila sudah jumpa Mohammad Sulaiman, kebimbangan semua hilang dan dapatlah kami sekeluarga menjalani ibadat puasa dengan gembira,” katanya.

Tambahnya, dia dan keluarga berterima kasih kepada semua pihak termasuk Utusan Malaysiakerana membantu mencari anak bongsunya itu yang menghidap penyakit sawan dan buta huruf.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kebimbangan Jusoh dan keluarganya apabila Mohamad Sulaiman tidak pulang ke rumah sejak Jumaat lalu selepas keluar rumah dengan menunggang motosikal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s