Kes pelajar didera: Kursus motivasi akan ditambah baik – Bernama


Kes pelajar didera: Kursus motivasi akan ditambah baik

03/08/2011 4:09pm

 

JOHOR BAHRU 3 Ogos – Jabatan Pelajaran Johor bersedia melakukan penambahbaikan terhadap kursus motivasi yang dianjurkan pihak sekolah bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A. Ghani berkata, keputusan itu dibuat hari ini hasil perbincangan antara pihaknya dan Jabatan Penjara serta ibu bapa 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU), di sini, yang didakwa didera secara fizikal ketika mengikuti kursus motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang, minggu lepas.

“Program motivasi akan diteruskan kerana dapat meningkatkan kecemerlangan disiplin dan sahsiah peribadi pelajar.

“Kami berpendapat program di luar bilik darjah juga perlu digerakkan kepada pelajar selain hanya menumpukan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Mengenai isu dera itu, Mohd Nor berkata, perkara berkenaan sedang disiasat secara terperinci dan tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap guru yang melanggar tatatertib. – Bernama

Kes pelajar didera: Perlu tingkatkan kualiti jurulatih – Bernama


Kes pelajar didera: Perlu tingkatkan kualiti jurulatih

03/08/2011 5:15pm

 

JOHOR BAHRU 3 Ogos – Jabatan Penjara hari ini diminta meningkatkan kualiti jurulatih yang mengendalikan kursus motivasi kepada pelajar sekolah bagi mengelakkan dakwaan berlakunya penderaan menerusi kursus yang dijalankan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya Dua, Yip Siew Ling berkata, jurulatih yang mengendalikan kursus itu seharusnya memahami falsafah pendidikan negara dan tidak bersikap kasar terhadap pelajar.

“Kursus motivasi yang diketengahkan pihak sekolah ini memang bagus tetapi pihak penjara perlu melihat kelemahan yang ada pada sebahagian jurulatih supaya matlamat penganjuran kursus berkenaan dapat dicapai.

“Kursus juga tidak perlu terlalu lasak,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar yang diaturkan Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck di sini, hari ini.

Siew Ling berkata, beliau dimaklumkan terdapat 98 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya Dua, di sini, mendakwa turut didera sama seperti pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) ketika mengikuti kursus motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang pada 26 hingga 28 Februari tahun lepas.

Beliau berkata, kesemua 54 pelajar lelaki dan 44 perempuan itu dan ibu bapa mereka menerusi satu borang soal selidik mengenai hasil kursus berkenaan mendakwa dikasari, dipukul malah dihina dengan kata-kata kesat oleh jurulatih yang terlibat. – Bernama

‘Tahan anak saya’ – Harian Metro


‘Tahan anak saya’

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Tidak tahan perangai anak lelakinya berusia 13 tahun yang gemar mencuri, melawan cakap dan memukul adik, seorang ibu nekad membuat laporan polis dan mendesak pihak berkuasa menempatkan anaknya itu di pusat pemulihan akhlak.

Kesabaran ibu berusia 31 tahun itu hilang selepas remaja terbabit mencuri RM200 milik datuknya sebelum memecahkan cermin kereta dan menyerang ibunya dengan kayu di rumah mereka di Batu Caves di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, remaja terbabit bertindak demikian apabila mendapat tahu ibunya mengambil RM200 yang disoroknya di dalam beg dan menyerahkan semula kepada datuknya.

Sumber polis berkata, sebelum itu sebaik saja pulang ke rumah dan mendapati wang berkenaan tiada di dalam begnya, remaja terbabit bertindak ganas dengan menumbuk muka adik perempuannya 10 kali kerana menyangka adiknya mengambil wang itu.

 
“Akibatnya, adik perempuan remaja itu yang berusia 11 tahun cedera di muka dan badan, malah dia juga dijadikan tebusan oleh abangnya ketika meminta ibunya memulangkan semula wang RM200 yang dicurinya,” katanya.

Modul ‘ala penjara’ sedarkan pelajar – Harian Metro


Modul ‘ala penjara’ sedarkan pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Modul kem motivasi ‘ala penjara’ yang digunakan bagi menyedarkan pelajar yang berdepan dengan masalah disiplin, pernah diguna pakai kepada pelajar dua sekolah menengah lain di bandar raya ini tanpa masalah.

Yang DiPertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, Datuk Samsol Bari Jamali ketika dihubungi berkata, sebelum ini tiada peserta mengadu. dengan modul berkenaan.
“Sebuah sekolah di Majidee menghantar 60 pelajar lelaki dan perempuan untuk kursus berdasarkan modul sama tetapi tidak timbul sebarang masalah. “Kebanyakan modul itu ialah simulasi sebenar penjara dan seharusnya tidak membabitkan tindakan sebenar seperti menggari, memukul atau menampar,” katanya.

Pelajar memang bermasalah – Harian Metro


Pelajar memang bermasalah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Ada di kalangan 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda di sini, yang mendakwa didera ketika mengikuti kem motivasi pada 29 hingga 31 Julai lalu di Pusat Latihan Penjara Kluang, dikatakan pernah ditangkap khalwat bersama pasangan masing-masing di dalam bilik air sekolah ketika sesi pembelajaran.

Sumber Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu berkata, sebahagian besar juga dikatakan sering terbabit dalam pergaduhan. “Pada masa sama, ada juga ditahan kerana merokok, ponteng kelas dan sekolah namun tidak dikenakan tindakan tegas oleh pengurusan sekolah.
“Ini menyebabkan ada pelajar bermasalah disiplin merasakan diri mereka kebal dan tidak dikenakan tindakan oleh sekolah jika melakukan kesalahan,” katanya di sini, semalam.

 

Pada masa sama, katanya, dia tidak menyalahkan guru kerana ada dalam beberapa kes, ibu bapa menyerang pengurusan sekolah mendakwa anak mereka baik sedangkan hakikat sebaliknya.
Apabila ini berlaku, guru bertugas yang diserang dipercayai serik untuk berusaha membaiki kelemahan pelajar terbabit dan membiarkan mereka melakukan sesuka hati kerana ibu bapa sendiri tidak marah apabila diberitahu anak menghisap rokok atau sering ponteng.
“Sukar menjelaskan perkara ini, tetapi kejahilan ibu bapa menyebabkan anak mereka tidak mematuhi peraturan sekolah, tidak menghormati orang tua dan pada masa sama, guru dilihat membiarkan pelajar melakukan apa saja sesuka hati,” katanya.

 

 

Sementara itu, bekas pelajar sekolah dikenali sebagai Man, 19, berkata, ramai beranggapan sekolah itu elit kerana lokasinya selain kejayaan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Bandar Baru Uda mencipta nama setiap tahun.
“Bagaimanapun, keadaan sekolah itu adalah sebaliknya kerana menempatkan pelajar bermasalah, malah .

 

“Memburukkan keadaan, pengurusan sekolah sukar mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” katanya.
Pada masa sama, Man berkata, kursus motivasi berkenaan dipilih khas bagi golongan pelajar yang degil dan sentiasa melakukan kesalahan di sekolah.

Dera pelajar dipenjara – Harian Metro


Dera pelajar dipenjara

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Sekumpulan 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda di sini, menempuh pengalaman mengerikan apabila ditendang, ditumbuk, malah ada yang mendakwa digari dan dikurung dalam sel tahanan oleh warden bertugas ketika mereka mengikuti kem motivasi ‘ala penjara’ anjuran sekolah di Penjara Kluang pada 29 hingga 31 Julai lalu.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, kumpulan pelajar tingkatan satu, dua dan empat sekolah berkenaan mendakwa dilayan umpama banduan apabila makanan mereka dicatu, diarah berbogel, melakukan ketuk ketampi dan tekan tubi berulang kali serta hukuman lain setiap kali melakukan kesalahan.
Pengalaman ngeri itu dikatakan bermula apabila kumpulan pelajar yang mempunyai masalah disiplin terbabit diminta menghadiri program Sinar Harapan di sebuah kem motivasi di Kluang.

 

Bagaimanapun, kumpulan pelajar terbabit yang berkumpul dan bertolak dari sekolah mereka mula berasa ada yang tidak kena selepas diarahkan menaiki bas Jabatan Penjara.
Seorang peserta, Mohd Rafsanjani Mohd Rafi, 16, berkata dia terpaksa mengikut program berkenaan selepas 10 hari tidak hadir ke sekolah antara Februari hingga Julai lalu.
Katanya, dia dan rakan kebingungan apabila bas berkenaan menuju ke Penjara Kluang sedangkan kem motivasi tertera pada surat pelepasan ditandatangani ibu bapa menunjukkan ia terletak di lokasi lain.

 

 

“Sejurus tiba, kami diarah menyerahkan telefon bimbit, barangan berharga, membotakkan kepala dan mengambil pakaian banduan sebelum diarahkan mengikuti program motivasi.
“Saya berasa takut dengan cara program itu dilaksanakan, apa tidaknya kami dipaksa masuk ke dalam sel, jika ada yang tidak kena pasti ada yang ditampar atau menerima hukuman lain,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Skudai Kanan, semalam.

 

Sementara itu, Firdaus Muhammad, 16, berkata pengalaman digari dan dikurung di dalam sel lebih sejam menyebabkan dia serik untuk mengikuti program sama pada masa depan kerana beranggapan hukuman ala penjara yang dikenakan keterlaluan.
“Saya antara kumpulan yang digari kerana melakukan kesalahan disiplin dianggap serius oleh pengurusan sekolah dan ia kononnya dilakukan bagi memberikan pengajaran kepada kami.
“Kami juga terpaksa mengikuti program ini kerana diugut akan dibuang atau digantung sekolah oleh guru. Memang kami terbabit dengan masalah disiplin tetapi cara kami dilayan adalah keterlaluan,” katanya.
Bagi Zuhidah Zainal, 41, ibu kepada Firdaus, pengurusan sekolah sepatutnya berterus terang dengan lokasi sebenar program diadakan bagi memastikan masalah seperti itu tidak timbul.
“Saya pelik apabila melihat bas digunakan untuk membawa anak milik Jabatan Penjara, apabila ditanyakan kepada seorang guru, dia memaklumkan pelajar hanya ke penjara untuk melihat cara hidup banduan.
“Tindakan guru terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana dia menipu ibu bapa, mereka menukar lokasi program tanpa pengetahuan kami sedangkan pada surat persetujuan pelepasan tertera lokasi lain,” katanya.
Menurut Zuhidah, kerana tidak sedap hati, dia menghubungi telefon bimbit Firdaus untuk bertanyakan khabar, tetapi gagal.
“Saya akui anak ada masalah disiplin dan berterima kasih kepada sekolah kerana mahu membantu.
“Bagaimanapun, menghantar anak mengikuti program di penjara, malah dilayan seolah-olah banduan perkara keterlaluan,” katanya.

Botakkan pelajar: Laporan dihantar kepada Kementerian Pelajaran – Utusan


Botakkan pelajar: Laporan dihantar kepada Kementerian Pelajaran

JOHOR BAHRU 2 Ogos – Laporan penuh mengenai dakwaan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) yang mereka didera secara fizikal termasuk dibotakkan kepala ketika mengikuti kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu sudah dihantar kepada Kementerian Pelajaran semalam.

Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani berkata, laporan itu disediakan hasil maklumat pihak yang terlibat iaitu pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru.

“Kita telah serahkan laporan kepada Kementerian Pelajaran untuk tindakan lanjut. Laporan itu perlu diserahkan segera bagi memastikan ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai dakwaan 33 pelajar SMKBBU yang bukan sahaja dibotakkan tetapi juga dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi itu.

Pelajar terlibat juga mendakwa sepanjang tempoh berada di situ, mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.

Sementara itu, Pengetua SMKBBU, Siti Raudah Moh memberitahu, beberapa pegawai Jemaah Nazir Sekolah turut berkunjung ke sekolah itu untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.

“Mereka yang terbabit secara langsung dalam siasatan itu termasuk saya dan dua guru pengiring kumpulan pelajar berkenaan semasa menjalani program itu di Penjara Kluang,” katanya.

Kata beliau, pihaknya turut mengadakan perjumpaan dengan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru, beberapa kakitangan yang berkaitan daripada Jabatan Pelajaran negeri dan wakil Perunding Latihan Koperasi Penjara (Kopen), Kluang yang bertanggungjawab mengendalikan kursus itu.

“Sebelum kursus dan selepas isu ini timbul, saya dimaklumkan oleh perunding tersebut bahawa dakwaan pelajar didera secara fizikal termasuk dipukul, digari dan dipukul di perut adalah tidak betul.

“Ia sekadar simulasi bagi menerangkan keadaan dan perkara yang dialami oleh banduan di dalam penjara. Mesej yang hendak diterjemahkan kepada para pelajar adalah supaya bencikan penjara dan elakkan diri daripada masuk penjara,” katanya.

Siti Raudah berkata, pihaknya membuat keputusan menghantar pelajar berkenaan yang menghadapi masalah disiplin menjalani kursus itu setelah mendapat maklum balas dari Sekolah Menengah Seri Rahmat dan Sekolah Menengah Tun Syed Nasir, Majidee Baru yang turut menghantar pelajarnya menjalani kursus sama.

“Saya mendapat maklum balas daripada pihak pengurusan kedua-dua sekolah terbabit bahawa impak kursus itu cukup baik apabila para pelajar menunjukkan perubahan akhlak yang bagus berbanding sebelum menjalani kursus tersebut,” katanya.

KPM menang pingat emas – Bernama


KPM menang pingat emas

PUTRAJAYA 2 Ogos – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) meraih pingat emas dalam kategori “Penyumber Luaran Perkongsian Terbaik” pada satu persidangan antarabangsa dan anugerah Asia Pasifik 2011 di Gold Coast, Australia pada 22 Julai lalu.

Kemenangan itu melayakkan KPM untuk bertanding pada pusingan akhir dunia pada 1 hingga 4 November di Palms Resort, Las Vegas.

KPM bakal bersaing dengan Sektor Penyumber Luaran terbaik dari benua Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Timur Tengah serta rantau Afrika.

Menurut kenyataan KPM hari ini, kemenangan itu adalah hasil perkongsian Penyumber Luaran Bijak antara KPM dengan VADS Business Process Sdn. Bhd., anak syarikat Telekom Malaysia.

Kenyataan itu juga menyebut, ini membuktikan bahawa prestasi dan mutu perkhidmatan dapat dipertingkat dengan cemerlang menerusi perkongsian bijak yang dibangunkan mengikut perancangan serta pelaksanaan mantap. – BERNAMA

Katanya, perkongsian itu juga mampu menangani segala kelewatan dan kesukaran mendapatkan maklumat berkaitan KPM dengan berkesan, termasuk rungutan serta keluhan orang ramai. – BERNAMA

Lagi 3,793 guru sandaran dilantik semula – Utusan


Lagi 3,793 guru sandaran dilantik semula

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Seramai 3,793 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) daripada baki 7,258 orang yang belum dilantik telah dilantik semula ke jawatan itu berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan pelantikan itu dibuat menerusi perjumpaan khas antara kementeriannya dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Kementerian Kewangan pada 30 Jun lalu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Rosli Mohamed pada 1 Julai lalu.

“Seramai 972 orang daripada kumpulan yang dilantik ini akan mengikuti latihan perguruan selama 18 bulan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mulai Disember ini.

“Seramai 2,821 yang lain akan mengikuti latihan perguruan di institut pendidikan guru (IPG) untuk sesi pengambilan Januari 2012,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Pada bulan Mac lalu, kerajaan telah mengumumkan seramai 13,184 GSTT tahun 2010 akan dilantik semula bagi tahun 2011 dan berikutan itu pada Mei lalu seramai 5,926 orang telah dilantik sebagai GSTT semula dan tinggal baki seramai 7,258.

Menurut Muhyiddin, guru yang memiliki ijazah dan berkursus di IPG, mereka dijadual mengikuti latihan selama 18 bulan dan bagi yang tidak mempunyai ijazah akan mengikuti latihan untuk tempoh 66 bulan iaitu di bawah program ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Beliau menjelaskan, bagi baki GSTT berjumlah 3,465 orang itu, kedudukan mereka akan ditentukan kelak selepas disahkan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.

“Daripada jumlah ini mungkin ada di antara mereka yang masih berpeluang untuk dilantik semula atau dipilih mengikuti latihan perguruan selepas selesai semakan semula ke atas maklumat mereka.

“Bagi yang dikenal pasti tidak layak untuk dilantik semula, semakan ke atas rekod mereka dan pengesahan akan dibuat sebelum akhir Ogos ini,” kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri seterusnya berkata, penempatan bagi mereka yang dilantik semula itu tidak akan terhad kepada lokasi, sekolah atau pilihan asal.

Katanya, penempatan akan dibuat bagi memenuhi dan menyokong pelaksanaan dasar khususnya dasar baru kementerian seperti Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).

“Kerajaan amat prihatin dengan segala keluh-kesah dan permasalahan GSTT, baik yang sering dibangkitkan di dada-dada akhbar dan media elektronik mahupun di setiap pertemuan bersama-sama guru-guru tersebut,” kata Muhyiddin.