Dera pelajar dipenjara – Harian Metro


Dera pelajar dipenjara

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Sekumpulan 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda di sini, menempuh pengalaman mengerikan apabila ditendang, ditumbuk, malah ada yang mendakwa digari dan dikurung dalam sel tahanan oleh warden bertugas ketika mereka mengikuti kem motivasi ‘ala penjara’ anjuran sekolah di Penjara Kluang pada 29 hingga 31 Julai lalu.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, kumpulan pelajar tingkatan satu, dua dan empat sekolah berkenaan mendakwa dilayan umpama banduan apabila makanan mereka dicatu, diarah berbogel, melakukan ketuk ketampi dan tekan tubi berulang kali serta hukuman lain setiap kali melakukan kesalahan.
Pengalaman ngeri itu dikatakan bermula apabila kumpulan pelajar yang mempunyai masalah disiplin terbabit diminta menghadiri program Sinar Harapan di sebuah kem motivasi di Kluang.

 

Bagaimanapun, kumpulan pelajar terbabit yang berkumpul dan bertolak dari sekolah mereka mula berasa ada yang tidak kena selepas diarahkan menaiki bas Jabatan Penjara.
Seorang peserta, Mohd Rafsanjani Mohd Rafi, 16, berkata dia terpaksa mengikut program berkenaan selepas 10 hari tidak hadir ke sekolah antara Februari hingga Julai lalu.
Katanya, dia dan rakan kebingungan apabila bas berkenaan menuju ke Penjara Kluang sedangkan kem motivasi tertera pada surat pelepasan ditandatangani ibu bapa menunjukkan ia terletak di lokasi lain.

 

 

“Sejurus tiba, kami diarah menyerahkan telefon bimbit, barangan berharga, membotakkan kepala dan mengambil pakaian banduan sebelum diarahkan mengikuti program motivasi.
“Saya berasa takut dengan cara program itu dilaksanakan, apa tidaknya kami dipaksa masuk ke dalam sel, jika ada yang tidak kena pasti ada yang ditampar atau menerima hukuman lain,” katanya ketika ditemui di Dewan Serbaguna Skudai Kanan, semalam.

 

Sementara itu, Firdaus Muhammad, 16, berkata pengalaman digari dan dikurung di dalam sel lebih sejam menyebabkan dia serik untuk mengikuti program sama pada masa depan kerana beranggapan hukuman ala penjara yang dikenakan keterlaluan.
“Saya antara kumpulan yang digari kerana melakukan kesalahan disiplin dianggap serius oleh pengurusan sekolah dan ia kononnya dilakukan bagi memberikan pengajaran kepada kami.
“Kami juga terpaksa mengikuti program ini kerana diugut akan dibuang atau digantung sekolah oleh guru. Memang kami terbabit dengan masalah disiplin tetapi cara kami dilayan adalah keterlaluan,” katanya.
Bagi Zuhidah Zainal, 41, ibu kepada Firdaus, pengurusan sekolah sepatutnya berterus terang dengan lokasi sebenar program diadakan bagi memastikan masalah seperti itu tidak timbul.
“Saya pelik apabila melihat bas digunakan untuk membawa anak milik Jabatan Penjara, apabila ditanyakan kepada seorang guru, dia memaklumkan pelajar hanya ke penjara untuk melihat cara hidup banduan.
“Tindakan guru terbabit tidak sepatutnya berlaku kerana dia menipu ibu bapa, mereka menukar lokasi program tanpa pengetahuan kami sedangkan pada surat persetujuan pelepasan tertera lokasi lain,” katanya.
Menurut Zuhidah, kerana tidak sedap hati, dia menghubungi telefon bimbit Firdaus untuk bertanyakan khabar, tetapi gagal.
“Saya akui anak ada masalah disiplin dan berterima kasih kepada sekolah kerana mahu membantu.
“Bagaimanapun, menghantar anak mengikuti program di penjara, malah dilayan seolah-olah banduan perkara keterlaluan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s