Kes pelajar didera: Perlu tingkatkan kualiti jurulatih
JOHOR BAHRU 3 Ogos – Jabatan Penjara hari ini diminta meningkatkan kualiti jurulatih yang mengendalikan kursus motivasi kepada pelajar sekolah bagi mengelakkan dakwaan berlakunya penderaan menerusi kursus yang dijalankan.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya Dua, Yip Siew Ling berkata, jurulatih yang mengendalikan kursus itu seharusnya memahami falsafah pendidikan negara dan tidak bersikap kasar terhadap pelajar.
“Kursus motivasi yang diketengahkan pihak sekolah ini memang bagus tetapi pihak penjara perlu melihat kelemahan yang ada pada sebahagian jurulatih supaya matlamat penganjuran kursus berkenaan dapat dicapai.
“Kursus juga tidak perlu terlalu lasak,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar yang diaturkan Ketua Pemuda MCA Johor Bahru, Kua Song Tuck di sini, hari ini.
Siew Ling berkata, beliau dimaklumkan terdapat 98 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya Dua, di sini, mendakwa turut didera sama seperti pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) ketika mengikuti kursus motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang pada 26 hingga 28 Februari tahun lepas.
Beliau berkata, kesemua 54 pelajar lelaki dan 44 perempuan itu dan ibu bapa mereka menerusi satu borang soal selidik mengenai hasil kursus berkenaan mendakwa dikasari, dipukul malah dihina dengan kata-kata kesat oleh jurulatih yang terlibat. – Bernama