Denda RM5,000, penjara jika guna kanak-kanak kutip dana – Berita Harian


Denda RM5,000, penjara jika guna kanak-kanak kutip dana

2011/08/04

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan polis bagi menangani isu kanak-kanak yang dieksploitasi untuk mengutip dana di tempat awam menerusi Akta Kanak-Kanak 2001, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, Seksyen 32 akta tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali kepada mereka yang mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendapatkan dana.

Katanya, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang diselamatkan itu pula boleh dikenakan bon oleh mahkamah menurut Seksyen 30 akta yang sama bagi memastikan mereka tidak mengabaikan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak terbabit.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memaklumkan kepada polis jika terdapat kes sedemikian dan tindakan akan diambil ke atas pihak yang mengeksploitasi kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Wakil Khas Amerika Syarikat untuk Masyarakat Islam, Farah Anwar Pandith, di kementeriannya di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, satu perbincangan antara agensi sudah diadakan pada Selasa lalu yang bersetuju mengadakan operasi bersepadu untuk pihak JKM menyelamatkan kanak-kanak terbabit manakala polis pula menahan, menyiasat dan mendakwa pihak yang mengeksplotasi kanak-kanak.

Guru tertoreh kepala pelajar ketika bergelut – Bernama


Guru tertoreh kepala pelajar ketika bergelut

2011/08/04

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Marang cedera di kepala selepas tertoreh pisau yang dipegang seorang guru dalam kejadian tengah hari semalam.

Akibat kejadian pada jam 12 tengah hari itu, Mohd Hafirza Mujahid menerima lima jahitan di sebelah kiri kepalanya, manakala guru berusia 55 tahun tersebut ditahan polis kira-kira 12 jam kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila pelajar itu melanggar arahan guru lelaki terbabit yang tidak membenarkannya keluar kelas ketika dia sedang mengajar.

“Berang dengan perbuatan pelajar itu guru terbabit menjejaki Mohd Hafirza sambil tangannya memegang sebilah pisau kecil,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

“Guru itu akhirnya menjumpai pelajar berkenaan di sebuah kelas lain dan ketika cuba menarik tangan pelajar tersebut untuk kembali ke kelas, berlaku sedikit pergelutan menyebabkan pisau yang dipegang guru itu secara tidak sengaja telah tertoreh kepala pelajar terbabit,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sementara itu, ibu mangsa Zawiyah Ibrahim, 49, yang ditemui pemberita berkata, beliau kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh guru terbabit.
“Kalau boleh, saya tidak mahu lagi ustaz terbabit mengajar di sekolah berkenaan kerana risau peristwa yang terjadi kepada anak saya akan berulang kepada pelajar lain,” katanya. – BERNAMA

‘Berpisah depan sekolah’ – Harian Metro


‘Berpisah depan sekolah’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SETIU: “Saya tidak menyangka perpisahan di depan sekolah selepas suami menurunkan saya kira-kira jam 7 pagi tadi (semalam) adalah pertemuan terakhir kami,” kata Azlina Mohd Razali, 30, yang kehilangan suami selepas lelaki berkenaan maut dalam kemalangan di Kilometer 54, Jalan Kuala Terengganu-Jertih di Kampung Sungai Tong, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, Ahmad Yusrizal Yusof, 35, maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di tempat kejadian.
Azlina yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tong tidak dapat menahan perasaan sedih selepas mendapat berita kematian suaminya yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Langkap, dekat sini.

 

Ahmad dalam perjalanan dari sekolahnya untuk menjemput Azlina pulang bersama-sama ke rumah mereka di Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, dia terbabit dalam kemalangan selepas kereta Perodua Viva dipandunya bertembung sebuah lori yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.
Kemalangan itu berlaku kira-kira satu kilometer dari tempat isterinya bertugas.

 

 

Azlina yang baru seminggu kembali bertugas selepas bersalin anak ketiga dikatakan berulang-alik bersama suaminya setiap hari ke sekolah masing-masing.
Kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dua jam dan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Permaisuri terpaksa menggunakan gergaji elektrik memotong kereta terbabit bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

 

Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kepala lori terbabit masuk ke dalam parit terletak di tepi jalan raya itu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Api emosi – Harian Metro


Api emosi

Oleh Siti Nadirah Hafidzin
nadirah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Sesi pertemuan antara ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) dengan pengurusan sekolah berkaitan dakwaan anak mereka digari serta dilayan ala banduan, semalam, tegang.

Majlis berkenaan turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semerang, Datuk Samsol Bari Jamali, Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani dan Pengarah Penjara Kluang, Senior Asisten Komisioner, Roslan Mohamed.
Pertemuan itu dilakukan selepas 33 pelajar SMKBBU mendakwa didera ketika menyertai kem motivasi di Penjara Kluang bermula petang Jumaat hingga Ahad lalu.

 

Pertemuan bermula jam 9.30 pagi dan berakhir tiga jam kemudian, segelintir ibu bapa pelajar terbabit nyata gagal mengawal emosi masing-masing apabila memaki-hamun selain bertindak agresif menghentak meja tanda tidak puas hati.
Ia dijalankan bagi mencapai jalan penyelesaian terbaik itu pada mulanya gagal dikawal kerana 13 keluarga yang hadir tidak mahu memberi peluang kepada pengurusan sekolah memberi penjelasan berkaitan isu terbabit.
Keadaan beransur tenang selepas Mohd Nor dan Roslan memberi jaminan melakukan siasatan terperinci dalam tempoh terdekat sebelum mengambil tindakan kepada individu atau pihak berkaitan sekiranya mereka didapati bersalah.

 

 

Mohd Nor yang ditemui selepas pertemuan itu berkata, pihaknya tidak bercadang menghentikan program ‘Price Of Freedom’ berkenaan, namun bersedia melakukan proses memperbaiki pengisian dan modul sekiranya terdapat kekurangan.
“Kami juga sedia mendengar dan menerima sebarang teguran daripada mana-mana pihak berkaitan permasalahan yang timbul bagi bersama-sama mencapai keputusan adil kepada semua.

 

“Jabatan Pelajaran mengamalkan sikap terbuka dan kita sedia memberi ruang mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian.
“Jika terbukti dakwaan itu benar, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan atau guru terbabit,” katanya.
Sementara itu, Roslan berkata, sejak awal tahun ini, enam sekolah di seluruh negeri ini termasuk SMKBBU menghantar pelajar mengikuti program motivasi terbabit.
“Bagaimanapun, kami tidak menerima sebarang aduan berkaitan salah laku atau keganasan yang didakwa dilakukan kakitangan saya melainkan kes ini,” katanya.

Polis, JKM perlu bertindak – Harian Metro


Polis, JKM perlu bertindak

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Dia kategori kanak-kanak luar kawalan dan memang wajar ditempatkan di pusat pemulihan akhlak kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” kata Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak, Dr Farah Nini Dusuki.

Beliau mengulas tindakan agresif seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang menyerang ibunya menggunakan kayu dan bertindak memukul adik perempuannya secara bertubi-tubi selepas gagal mendapatkan semula wang RM200 milik datuk yang dicuri.
Katanya, berdasarkan perundangan negara, ibu yang mempunyai anak tidak terkawal boleh membuat laporan polis membenarkan kanak-kanak berkenaan ditahan sebelum mendapat perintah mahkamah bagi ditempatkan ke Sekolah Tunas Bakti.

 

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya (UM), turut menjelaskan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, polis wajib memberitahu pelindung iaitu JKM mengenai kes berkenaan bagi menjalankan prosedur pemulihan dan jagaan ke atas pelaku.
“Kami ada prosedurnya, tidak sekadar buat laporan, kes anggap selesai, tetapi pihak polis perlu memberitahu pelindung yang merujuk kepada JKM wujud kes ini dan JKM pula akan membuat permohonan di mahkamah…menilai kes itu dan kategorikannya sebagai kanak-kanak luar kawalan.
“Di bawah kategori ini, kanak-kanak yang terbabit boleh ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti iaitu institusi pemulihan akhlak yang ditubuhkan di bawah Seksyen 65 (1) Akta Kanak-Kanak 2001, objektifnya mendidik kanak-kanak ini bagi membina sikap lebih positif dan pemulihan.

 

 

“Mahkamah juga boleh memerintahkan kanak-kanak ini untuk berada di sekolah berkenaan maksimum sehingga tiga tahun atau sehingga usia mencapai 18 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kecil-kecil sudah zalim – Harian Metro


Kecil-kecil sudah zalim

Oleh Mohamad Hussin dan Omar Osman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
CEDERA...bapa berkenaan menunjukkan kecederaan pada telinga anaknya.
CEDERA…bapa berkenaan menunjukkan kecederaan pada telinga anaknya.

SUNGAI PETANI: “Tak sangka mereka tergamak berbuat demikian kerana perbuatan itu begitu zalim, sanggup meliwat, memukul dan mendera anak saya tanpa ihsan.”

Begitu kata seorang bapa yang kesal dengan tindakan tiga pelajar senior sebuah sekolah agama di Baling yang dikatakan mendera dan meliwat tiga murid berusia sembilan tahun dan sepasang kembar berusia lapan tahun sejak 20 Jun lalu.

Difahamkan, kejadian berlaku sejak sebulan lalu selepas murid berkenaan mendaftar masuk sekolah agama itu, malah seorang daripada mereka dikatakan diliwat beberapa kali dalam masa lebih sebulan.

Bapa yang enggan dikenali itu mendakwa, kejadian berlaku sejak dia mendaftar anaknya berusia sembilan tahun ke sekolah berkenaan dan murid terbabit mengikuti minggu orientasi 40 hari tanpa dibenarkan pulang ke rumah atau berjumpa waris.

 
“Saya terkejut apabila melihat muka anak lebam, selain bengkak kaki dan tangan. Telinga anak saya juga kehitaman manakala darah keluar melalui hidungnya. Saya terus membawanya ke hospital.

Perbincangan kes pelajar dibotak kecoh – Berita Harian


Perbincangan kes pelajar dibotak kecoh
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2011/08/04

SEORANG penjaga pelajar bertikam lidah dengan  pengetua sekolah  pada pertemuan bersama ibu bapa  di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

SEORANG penjaga pelajar bertikam lidah dengan pengetua sekolah pada pertemuan bersama ibu bapa di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

Ibu bapa peserta program motivasi di penjara emosi

JOHOR BAHRU: Kegagalan ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, mengawal emosi hingga sanggup melemparkan pelbagai kata-kata kesat, menyebabkan perbincangan bersama Jabatan Pelajaran Johor dan Penjara Kluang berhubung dakwaan anak mereka didera ketika Price of Freedom, semalam berakhir tanpa penyelesaian.

Malah, pertemuan selama tiga jam bermula 9.30 pagi di sekolah itu juga hanya dihadiri 13 keluarga daripada 33 pelajar yang mendakwa menjadi mangsa dera petugas program motivasi di Penjara Kluang selama tiga hari dua malam mulai Jumaat hingga Ahad lalu.

Pertemuan yang sepatutnya mencari penyelesaian, bertukar kecoh apabila ada penjaga melemparkan kata-kata kesat serta tohmahan tidak berasas terhadap pentadbiran sekolah.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, serta kakitangannya yang hadir juga tidak terlepas daripada dilemparkan dengan kata-kata kesat apabila dilabelkan sebagai bebal dan bodoh oleh waris pelajar.

Suasana tegang itu tetap dihadapi Mohd Nor serta Pengarah Penjara Kluang, Senior Asisten Komisioner Roslan Mohamed yang memberi jaminan akan menyiasat dakwaan itu.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali.
Ketika ditemui selepas pertemuan terbabit, Mohd Nor berkata, program Price Of Freedom akan diteruskan dan pihaknya sedia membuat penambahbaikan terhadap pengisiannya.

“Jabatan pelajaran bersikap terbuka dan kita sedia memberi ruang mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Jika terbukti dakwaan pelajar benar, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan atau guru terbabit,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, lima sekolah sudah menghantar pelajar mengikuti program motivasi itu, namun pihaknya tidak menerima aduan berhubung salah laku atau keganasan yang didakwa dilakukan kakitangannya.

Beliau berkata, pelajar hanya mengikuti program simulasi merasai kehidupan di penjara yang dijalankan di kawasan selamat.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan sekumpulan 33 pelajar sekolah terbabit mengharungi pengalaman mengerikan apabila mendakwa didera petugas program selepas menyertai kem motivasi ala banduan selamat tiga hari dua malam di penjara Kluang mulai petang Jumaat hingga Ahad lalu.

Mereka mendakwa bukan saja digunting rambut pendek ala banduan, malam ditempeleng, ditumbuk dan diperlakukan seperti penghuni penjara, apabila ada di antara pelajar turut digari hingga mereka trauma.

Jangan panjangkan isu penderaan – Utusan


Jangan panjangkan isu penderaan

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Ibu bapa kepada 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) di Johor Bahru disaran agar tidak memanjangkan isu penderaan yang didakwa berlaku membabitkan anak-anak mereka dengan pihak Jabatan Penjara.

Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara Malaysia, Datuk Seri V. S. Suwaminathan berharap, kedua-dua pihak perlu berbincang secara berhemah bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

Menurutnya, dalam hal ini, ibu bapa pelajar dan Jabatan Penjara boleh duduk berbincang dan bertukar-tukar pandangan untuk menyelesaikan pertikaian.

“Kalau kedua-dua pihak tetap berkeras dengan pendirian masing-masing, perkara itu tidak akan selesai malah akan berpanjangan dan akhirnya boleh mencemarkan imej jabatan penjara sebagai agensi kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan dakwaan 33 pelajar SMKBBU dibotakkan serta dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi itu.

Pelajar terlibat juga mendakwa sepanjang tempoh berada di situ, mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.

Kem motivasi bagus, tapi modul kena tukar – Utusan


Kem motivasi bagus, tapi modul kena tukar

JOHOR BAHRU 3 Ogos – Selepas pendedahan dibuat oleh 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) berhubung deraan secara fizikal ketika mengikuti kursus motivasi dilaporkan semalam, sebuah sekolah lagi tampil mendedahkan perkara sama hari ini.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya 2 (SMKPJ2), Yip Siew Ling memberitahu, seramai 54 pelajar lelaki dan 44 pelajar perempuan sekolah itu yang mengikuti kem tersebut di tempat sama dari 26 hingga 28 Februari tahun lalu turut merasai pengalaman serupa.

Menurutnya, selepas kem tersebut tamat, kira-kira 10 laporan diterima daripada ibu bapa pelajar terbabit mengenai layanan kurang baik yang diterima anak mereka ketika menyertai kem tersebut yang didakwa turut ditampar, disepak, dilemparkan dengan kata-kata kesat tetapi tidak dibotakkan kepala.

Bagaimanapun, beliau tetap menyokong supaya kem seumpama itu diteruskan memandangkan sekolah berkenaan memang berdepan dengan masalah disiplin pelajar seperti ponteng sekolah dan kelas, tidak buat kerja rumah dan bercakap kasar dengan guru.

“Hasil kursus yang diadakan itu, pihak SMKPJ2 mendapati masalah disiplin di sekolah berkenaan berkurangan, malah majoriti ibu bapa juga bersetuju dengan objektif kem itu dianjurkan iaitu untuk membantu pelajar terlibat menjadi lebih baik,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Siew Ling berpendapat modul yang diguna pakai pihak terlibat perlu diubah mengikut kesesuaian pelajar.

“Bagi kami, sepatutnya latihan yang dikenakan ke atas banduan tidak wajar dijalankan kerana ia agak kasar,” katanya.

Bukan hukum tetapi ‘rasai’ hukuman – Utusan


Bukan hukum tetapi ‘rasai’ hukuman

 

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

 

SEBAHAGIAN daripada pelajar bersalaman dengan pegawai penjara dan pegawai pelajaran selepas sesi bertemu dengan pelajar dan ibu bapa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU), Johor Bahru, semalam.

 

JOHOR BAHRU 3 Ogos – Seramai 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) yang mendakwa didera secara fizikal semasa mengikuti kursus motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang minggu lalu bukan dihukum, sebaliknya hanya diberi peluang ‘merasai’ hukuman itu.

Pengarah Penjara Kluang, Senior Asisten Komisioner Roslan Mohamed berkata, pengalaman ‘dihukum’ itu diharap dapat melahirkan kesedaran kepada mereka supaya menghindari perbuatan jenayah dan tidak ditahan di penjara sebagai banduan.

“Hanya enam daripada 33 pelajar sekolah ini yang diberi peluang merasai hukuman tersebut, bukannya dipaksa atau didera dan hukuman itu juga bukan dilakukan secara terus-menerus. Kita juga bukan lakukan dalam penjara tetapi di pusat latihan.

“Kursus ini dinamakan ‘Program Menghargai Kebebasan’ supaya pelajar sedar dan bertekad untuk tidak menjadi banduan,” katanya pada sidang akhbar di SMKBBU hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pelajar sekolah itu yang bukan sahaja dibotakkan tetapi juga dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk, ditendang dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi itu.

Pelajar yang terlibat itu juga mendakwa sepanjang tempoh kursus berkenaan, mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.

Roslan berkata, selepas merasai hukuman dan sebelum tamat kursus itu, pihak penjara ada melakukan tinjauan pendapat mengenai pengisian program itu.

“Hasil kajian kursus tersebut, daripada maklum balas mereka melalui tulisan, semuanya berpuas hati, insaf dan tidak mahu menjadi banduan,” katanya.

Beliau memberitahu, kursus itu dimulakan sejak Mac lalu melibatkan enam buah sekolah tetapi hanya pelajar SMKBBU yang melahirkan rasa tidak puas hati.

Pihaknya sedia mengubah modul sedia ada untuk menambah baik kursus itu termasuk menerima sebarang cadangan daripada pelbagai pihak serta ibu bapa.

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Aminudin Adam; Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani dan Pengetua SMKBBU, Siti Raudah Moh mengadakan pertemuan dengan 13 ibu bapa pelajar berkenaan.