Bukan hukum tetapi ‘rasai’ hukuman – Utusan


Bukan hukum tetapi ‘rasai’ hukuman

 

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

 

SEBAHAGIAN daripada pelajar bersalaman dengan pegawai penjara dan pegawai pelajaran selepas sesi bertemu dengan pelajar dan ibu bapa di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU), Johor Bahru, semalam.

 

JOHOR BAHRU 3 Ogos – Seramai 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) yang mendakwa didera secara fizikal semasa mengikuti kursus motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang minggu lalu bukan dihukum, sebaliknya hanya diberi peluang ‘merasai’ hukuman itu.

Pengarah Penjara Kluang, Senior Asisten Komisioner Roslan Mohamed berkata, pengalaman ‘dihukum’ itu diharap dapat melahirkan kesedaran kepada mereka supaya menghindari perbuatan jenayah dan tidak ditahan di penjara sebagai banduan.

“Hanya enam daripada 33 pelajar sekolah ini yang diberi peluang merasai hukuman tersebut, bukannya dipaksa atau didera dan hukuman itu juga bukan dilakukan secara terus-menerus. Kita juga bukan lakukan dalam penjara tetapi di pusat latihan.

“Kursus ini dinamakan ‘Program Menghargai Kebebasan’ supaya pelajar sedar dan bertekad untuk tidak menjadi banduan,” katanya pada sidang akhbar di SMKBBU hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pelajar sekolah itu yang bukan sahaja dibotakkan tetapi juga dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk, ditendang dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi itu.

Pelajar yang terlibat itu juga mendakwa sepanjang tempoh kursus berkenaan, mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.

Roslan berkata, selepas merasai hukuman dan sebelum tamat kursus itu, pihak penjara ada melakukan tinjauan pendapat mengenai pengisian program itu.

“Hasil kajian kursus tersebut, daripada maklum balas mereka melalui tulisan, semuanya berpuas hati, insaf dan tidak mahu menjadi banduan,” katanya.

Beliau memberitahu, kursus itu dimulakan sejak Mac lalu melibatkan enam buah sekolah tetapi hanya pelajar SMKBBU yang melahirkan rasa tidak puas hati.

Pihaknya sedia mengubah modul sedia ada untuk menambah baik kursus itu termasuk menerima sebarang cadangan daripada pelbagai pihak serta ibu bapa.

Terdahulu, beliau bersama Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Aminudin Adam; Pengarah Pelajaran negeri, Mohd. Nor A. Ghani dan Pengetua SMKBBU, Siti Raudah Moh mengadakan pertemuan dengan 13 ibu bapa pelajar berkenaan.

Leave a comment