Kem motivasi bagus, tapi modul kena tukar
JOHOR BAHRU 3 Ogos – Selepas pendedahan dibuat oleh 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) berhubung deraan secara fizikal ketika mengikuti kursus motivasi dilaporkan semalam, sebuah sekolah lagi tampil mendedahkan perkara sama hari ini.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Permas Jaya 2 (SMKPJ2), Yip Siew Ling memberitahu, seramai 54 pelajar lelaki dan 44 pelajar perempuan sekolah itu yang mengikuti kem tersebut di tempat sama dari 26 hingga 28 Februari tahun lalu turut merasai pengalaman serupa.
Menurutnya, selepas kem tersebut tamat, kira-kira 10 laporan diterima daripada ibu bapa pelajar terbabit mengenai layanan kurang baik yang diterima anak mereka ketika menyertai kem tersebut yang didakwa turut ditampar, disepak, dilemparkan dengan kata-kata kesat tetapi tidak dibotakkan kepala.
Bagaimanapun, beliau tetap menyokong supaya kem seumpama itu diteruskan memandangkan sekolah berkenaan memang berdepan dengan masalah disiplin pelajar seperti ponteng sekolah dan kelas, tidak buat kerja rumah dan bercakap kasar dengan guru.
“Hasil kursus yang diadakan itu, pihak SMKPJ2 mendapati masalah disiplin di sekolah berkenaan berkurangan, malah majoriti ibu bapa juga bersetuju dengan objektif kem itu dianjurkan iaitu untuk membantu pelajar terlibat menjadi lebih baik,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Siew Ling berpendapat modul yang diguna pakai pihak terlibat perlu diubah mengikut kesesuaian pelajar.
“Bagi kami, sepatutnya latihan yang dikenakan ke atas banduan tidak wajar dijalankan kerana ia agak kasar,” katanya.