Perbincangan kes pelajar dibotak kecoh – Berita Harian


Perbincangan kes pelajar dibotak kecoh
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2011/08/04

SEORANG penjaga pelajar bertikam lidah dengan  pengetua sekolah  pada pertemuan bersama ibu bapa  di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

SEORANG penjaga pelajar bertikam lidah dengan pengetua sekolah pada pertemuan bersama ibu bapa di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

Ibu bapa peserta program motivasi di penjara emosi

JOHOR BAHRU: Kegagalan ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, mengawal emosi hingga sanggup melemparkan pelbagai kata-kata kesat, menyebabkan perbincangan bersama Jabatan Pelajaran Johor dan Penjara Kluang berhubung dakwaan anak mereka didera ketika Price of Freedom, semalam berakhir tanpa penyelesaian.

Malah, pertemuan selama tiga jam bermula 9.30 pagi di sekolah itu juga hanya dihadiri 13 keluarga daripada 33 pelajar yang mendakwa menjadi mangsa dera petugas program motivasi di Penjara Kluang selama tiga hari dua malam mulai Jumaat hingga Ahad lalu.

Pertemuan yang sepatutnya mencari penyelesaian, bertukar kecoh apabila ada penjaga melemparkan kata-kata kesat serta tohmahan tidak berasas terhadap pentadbiran sekolah.

Pengarah Pelajaran Johor, Mohd Nor A Ghani, serta kakitangannya yang hadir juga tidak terlepas daripada dilemparkan dengan kata-kata kesat apabila dilabelkan sebagai bebal dan bodoh oleh waris pelajar.

Suasana tegang itu tetap dihadapi Mohd Nor serta Pengarah Penjara Kluang, Senior Asisten Komisioner Roslan Mohamed yang memberi jaminan akan menyiasat dakwaan itu.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsol Bari Jamali.
Ketika ditemui selepas pertemuan terbabit, Mohd Nor berkata, program Price Of Freedom akan diteruskan dan pihaknya sedia membuat penambahbaikan terhadap pengisiannya.

“Jabatan pelajaran bersikap terbuka dan kita sedia memberi ruang mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Jika terbukti dakwaan pelajar benar, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan atau guru terbabit,” katanya.

Sementara itu, Roslan berkata, lima sekolah sudah menghantar pelajar mengikuti program motivasi itu, namun pihaknya tidak menerima aduan berhubung salah laku atau keganasan yang didakwa dilakukan kakitangannya.

Beliau berkata, pelajar hanya mengikuti program simulasi merasai kehidupan di penjara yang dijalankan di kawasan selamat.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan sekumpulan 33 pelajar sekolah terbabit mengharungi pengalaman mengerikan apabila mendakwa didera petugas program selepas menyertai kem motivasi ala banduan selamat tiga hari dua malam di penjara Kluang mulai petang Jumaat hingga Ahad lalu.

Mereka mendakwa bukan saja digunting rambut pendek ala banduan, malam ditempeleng, ditumbuk dan diperlakukan seperti penghuni penjara, apabila ada di antara pelajar turut digari hingga mereka trauma.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s