33 peserta kem motivasi tak didera
Oleh Sazarina Shahrim
2011/08/06
Sentuhan badan hanya simulasi pemeriksaan
PUTRAJAYA: Hasil siasatan dalaman Jabatan Penjara mendapati tiada penderaan fizikal dilakukan terhadap 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru UDA, Johor Bahru, ketika menjalani kem motivasi di Pusat Latihan Penjara Kluang, Johor, minggu lalu.
Sebaliknya, Ketua Pengarah Penjara, Datuk Zulkifli Omar, berkata hasil siasatan mendapati ‘sentuhan badan’ (body contact) yang berlaku ketika kursus berlangsung adalah ketika simulasi pemeriksaan yang mana fasilitator terbabit ketika melaksanakan simulasi itu, menepuk bahagian belakang pelajar sambil memberikan nasihat supaya pelajar tidak terbabit perbuatan jenayah.
Katanya lagi, tindakan menggunting rambut bagi tujuan kemasan serta pemantapan disiplin dan beberapa pelajar yang terbabit mengikuti simulasi, digari dalam masa singkat bertujuan memberi kesedaran.
“Walaupun ia untuk kebaikan dan keperluan semasa menjalankan simulasi kursus, unsur ‘body contact’, gunting rambut dan simulasi bergari perlu dikaji semula.
“Kekerasan terhadap penghuni tidak dibenarkan dan sekiranya mana-mana anggota bertindak sedemikian terhadap penghuni mahupun peserta kursus, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.
Siasatan dilakukan Lembaga Siasatan Jabatan Penjara yang ditubuhkan Rabu lalu dengan mengambil keterangan 10 pegawai penjara terbabit program itu.
Sebelum ini, pelajar berkenaan mendakwa mengharungi pengalaman mengerikan apabila didera petugas Program Pencegahan Jenayah ‘Nilai Kebebasan’. Mereka mendakwa bukan saja rambut digunting pendek ala banduan, malah turut ditempeleng, ditumbuk dan diperlakukan seperti penghuni penjara, apabila ada di antara pelajar digari hingga mereka trauma.
Zulkifli berkata, hasil siasatan itu juga mendapati makanan disediakan dari kantin kakitangan dan bukan makanan banduan seperti didakwa.
“Makanan itu diletakkan ke dalam dulang khas program latihan dan bukannya dulang banduan. Begitu juga pakaian disediakan bukan pakaian banduan tetapi sebaliknya pakaian khas program terbabit,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Pengurusan Tertinggi Jabatan Penjara mengarahkan kursus dianjurkan Kopen Training Consultant dihentikan bagi membolehkan kajian semula dibuat terhadap semua aspek termasuk kesesuaian modul dengan mengambil kira latarbelakang peserta, maklum balas, perundangan, prosedur operasi serta bentuk perjanjian dan persetujuan.