Jabatan Penjara arah kursus motivasi dihentikan – Utusan


Jabatan Penjara arah kursus motivasi dihentikan

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Jabatan Penjara mengarahkan semua kursus anjuran Kopen Training Consultant yang mengendalikan program motivasi pencegahan jenayah di Pusat Latihan Penjara Kluang, Johor, dihentikan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkifli Omar berkata, pihak pengurusan tertinggi jabatan itu juga tidak membenarkan mana-mana pihak lain menggunakan sebahagian atau sepenuhnya modul yang melibatkan pihak penjara untuk melaksanakan kursus, bengkel, seminar atau sebarang program anjuran mereka.

Katanya, ia bagi membolehkan kajian semula dibuat terhadap semua aspek termasuk kesesuaian modul dengan latar belakang peserta, maklum balas, perundangan, prosedur, operasi serta bentuk perjanjian dan persetujuan yang akan terlibat.

”Pihak jabatan turut merasakan simulasi kursus membabitkan unsur-unsur sentuhan badan, gunting rambut dan bergari perlu dikaji semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan dakwaan 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda di Johor Bahru dibotakkan, dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan semasa menghadiri kursus motivasi di Penjara Kluang, minggu lalu.

Menurut Zulkifli, hasil siasatan Lembaga Siasatan Jabatan Penjara yang ditubuhkan dua hari lalu mendapati aduan terdapat penderaan fizikal seperti disepak, ditumbuk, ditempeleng dan dicekik adalah tidak benar.

Pihak jabatan, jelas beliau, tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana kakitangan sekiranya hasil siasatan polis mendapati mereka menggunakan kekerasan atau mengambil tindakan di luar batasan Peraturan Penjara serta perundangan terlibat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s