SANTUBONG: Aktiviti santai 22 pelajar cemerlang bersama dua guru dari sebuah sekolah menengah swasta antarabangsa di tapak perkhemahan Kem Permai, di sini, semalam bertukar kecoh apabila mereka diserang sekumpulan lebah yang mengakibatkan dua daripada mereka cedera teruk.
Kejadian jam 10.30 pagi itu berlaku ketika pelajar mempelajari cara memasak ayam pansoh (sejenis masakan dalam buluh masyarakat Dayak) di kawasan sejam setengah berjalan kaki dari tapak perkhemahan mereka.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila sarang lebah yang terletak berdekatan diganggu asap daripada api yang digunakan untuk memasak.
Menurut seorang pelajar yang tidak mahu dikenali, serangan berlaku secara mengejut menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri sehingga dua rakannya cedera teruk.
“Ketika itu kami membuat unggun api untuk memanggang ayam pansoh sebelum tiba-tiba merasai kesakitan akibat disengat di seluruh badan dan pada masa sama saya terdengar rakan lain menjerit kesakitan.
“Kami lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri daripada serangan lebah itu sehingga beberapa rakan saya cedera akibat terjatuh,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, mereka berlindung di belakang sebatang pokok besar dan terpaksa menahan kesakitan lebih dua jam sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.
“Dua rakan saya disengat dengan teruk tetapi bernasib kerana keadaan mereka masih stabil dan kami takut untuk kembali ke kem kerana bimbang diserang serangga itu,” katanya.
Difahamkan, seorang jurulatih yang bersama kumpulan berkenaan meminta bantuan kakitangan kem sebelum memaklumkan kejadian kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Hospital Umum Sarawak.
Sementara itu, jurucakap JPAM berkata, mangsa tidak mengganggu sarang lebah terbabit dan percaya serangan berpunca daripada asap unggun api yang digunakan untuk memasak.
“Dua pelajar cedera teruk manakala yang lain, termasuk guru mereka, cedera ringan. Semua mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, JPAM ketika melakukan operasi menyelamat terpaksa menggunakan pemadam api untuk menghalau lebah itu dan kejadian terbabit yang pertama di Kem Permai.