Pencarum KWSP kini boleh melabur dalam AS 1Malaysia – Bernama


Pencarum KWSP kini boleh melabur dalam AS 1Malaysia

08/08/2011 3:46pm

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Mulai 25 Julai, para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan masing-masing di dalam Akaun 1 setiap tiga bulan bagi dilaburkan di dalam dana Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia).

AS 1Malaysia, iaitu dana satu saham amanah keseluruhannya milik rakyat Malaysia yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ANSB), kini disenaraikan sebagai Skim Pelaburan Ahli KWSP.

Dalam satu kenyataan hari ini, Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, jumlah pengeluaran itu bergantung kepada pengekalan simpanan paras minimum oleh para pemegang akaun yang ditetapkan bagi kumpulan umur masing-masing oleh KWSP.

Katanya, tiada had maksimum dikenakan bagi bilangan unit yang boleh dilanggani oleh para pelabur.

AS 1Malaysia mempunyai saiz dana 10 bilion unit, dengan 50 peratus diperuntukkan bagi bumiputera; 30 peratus bagi Cina; 15 peratus bagi India; dan 5.0 peratus bagi rakyat Malaysia yang lain.

Peruntukan yang direzabkan bagi masyarakat Cina telah dilanggani sepenuhnya. – Bernama

Kejadian tanah runtuh berlaku begitu pantas – Ibu mangsa


Kejadian tanah runtuh berlaku begitu pantas – Ibu mangsa

08/08/2011 5:21pm

CAMERON HIGHLANDS 8 Ogos – Ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di sini semalam berkata, kejadian itu berlaku sangat pantas selepas hujan lebat tanpa henti selama satu jam.

Munjut a/p Kelet, 69, ibu kepada Jaafar Balad, 48, berkata, semasa kejadian beliau terdengar bunyi dentuman kuat seperti letupan bom di bahagian tepi rumahnya ketika tinggal berseorangan di dalam rumah itu.

“Saya bergegas keluar dan ternampak rumah Jaafar sudah tenggelam ditimbus tanah,” katanya kepada pemberita semasa menunggu giliran proses pengecaman mayat di pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Hajah Kalsom di Tanah Rata di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika tragedi itu, Jaafar bersama isterinya Norma Gunung, 51, dan anak mereka Mohd Ikbal Jaafar, 15, sedang menyiapkan juadah untuk berbuka puasa, manakala saudaranya yang lain berada di dalam rumah menunggu waktu berbuka.

Anak lelaki Jaafar iaitu Zulkarnain, 18, ketika ditemui pemberita di hospital itu berkata, beliau mendapat berita tentang kejadian berkenaan pada 5 petang semalam.

“Saya mendapat panggilan telefon daripada saudara di kampung mengatakan rumah ditimbus tanah runtuh,” katanya, yang merupakan penuntut tahun satu jurusan Diploma Sains Kesihatan di Institut As-Shifa, Taiping. – Bernama

Tiga beranak mangsa tragedi dikebumi dalam satu liang lahad – Utusan


Tiga beranak mangsa tragedi dikebumi dalam satu liang lahad

08/08/2011 5:22pm
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

CAMERON HIGHLANDS 8 Ogos – Jenazah tiga beranak yang maut dalam tragedi tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli di Sungai Ruil, Tanah Rata malam tadi selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam di sini hari ini.

Allahyarham Jaafar Balad, 48; isterinya, Normah Gunung, 51; dan anak mereka, Mohd. Iqbal, 15, antara tujuh mangsa maut yang tertimbus dalam tragedi itu. – Utusan

Budak 8 tahun mangsa pertama mercun di Kedah – Bernama


Budak 8 tahun mangsa pertama mercun di Kedah

2011/08/08

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun cedera di muka selepas terkena mercun bola semasa bermain bersama abangnya dan beberapa jiran mereka di Taman Teja, Changlun petang kelmarin.

Mangsa Fakhrul Danish Fadzil, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun, dikatakan duduk melihat mercun yang tidak meletup sebelum ia meletup dan terkena mukanya.

Ibu mangsa, Manisah Mohd, 41, berkata ketika kejadian dia sedang menyiapkan juadah berbuka di rumah.

“Sebelum kejadian, dia memberitahu saya mahu pergi taman permainan…Kira-kira 7 malam iaitu 10 minit selepas dia keluar, dia balik bersama abangnya dengan keadaan muka merah dan abangnya memberitahu Fakhrul terkena mercun,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Beliau berkata, oleh kerana tiada darah dan Fakhrul Danish tidak menangis, dia tidak segera membawa anaknya itu ke klinik, sebaliknya selepas berbuka puasa.

“Saya bawa Fakhrul Danish ke klinik berhampiran, tetapi doktor meminta supaya pergi ke hospital dan apabila sampai di Hospital Jitra, doktor di situ meminta agar Fakhrul menerima rawatan di HSB bagi memudahkan pemantauan pakar mata,” katanya.

Manisah yang juga seorang guru berkata, selepas menerima rawatan di HSB, doktor memberitahu mata anaknya mengalami kekaburan.
“Saya bersyukur kerana anak saya dapat melihat walaupun kabur. Doktor kata anak saya hanya mengalami kecederaan luaran sahaja. Mukanya yang kemerahan pada awalnya dah nampak melepuh dan saya harap dia akan cepat sembuh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie, berkata Fakhrul Danish mengalami kecederaan pada kedua-dua belah mata akibat daripada letupan mercun tersebut.

“Dia juga mengalami kekurangan penglihatan akibat kejadian itu,” katanya. – BERNAMA

Bonus setengah bulan untuk penjawat awam, RM500 untuk pesara – Bernama


Bonus setengah bulan untuk penjawat awam, RM500 untuk pesara

2011/08/08

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.

“Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajian penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga satu penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam,” katanya.

Najib berkata, pemberian bonus dan bayaran khas itu akan membabitkan 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion. – BERNAMA

e-mel anda: Kuasa guru disiplin pelajar – Berita Harian


e-mel anda: Kuasa guru disiplin pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BEZA ‘budak sekolah’ dulu dengan ‘budak sekolah’ sekarang begitu ketara di mana pelajar zaman dulu, apabila dirotan hingga lebam di tapak tangan atau di punggung kerana tidak membuat kerja sekolah yang guru berikan adalah perkara biasa.

Mereka tidak akan mengadu kepada sesiapa pun lebih-lebih lagi kepada ibu bapa kerana jika mereka tahu, akan bertambah lebam kena rotan.

Pelajar sekarang terlalu manja. Jika dijentik sedikit atau dicubit oleh guru yang ada bekas lebam saja, mulalah ibu bapa datang ke sekolah mengadu kepada guru besar.

Tidak cukup dengan itu, mereka akan buat laporan polis dan memanggil pemberita untuk kejadian disiarkan kepada seluruh rakyat Malaysia.
Jika inilah sikap kebanyakan ibu bapa yang kerjanya suka mengadu hingga ke peringkat Kementerian Pelajaran hanya kerana denda cubit atau ketuk ketampi, bererti kuasa guru untuk mendidik dan mendisiplinkan pelajarnya menjadi terhad.
Tindakan ibu bapa murid manja ini akan mematahkan semangat guru untuk mengajar adat dan adab ketika belajar dan berikutan itu, ada antara guru kini membiarkan saja murid nakal dan tidak berdisiplin itu.

Maka lahirlah murid tidak lagi menghormati guru kerana kini di belakang pelajar ada ibu bapa yang sanggup ‘menyerang’ sesiapa saja yang cuba ‘mencubit’ anak mereka.

Ibu bapa perlu lebih rasional kerana tiada guru yang merotan hingga patah tangan atau patah riuk tulang muridnya kerana segala yang dilakukan itu hanya sebagai pengajaran yang menunjukkan keprihatinan guru yang sayangkan muridnya supaya jadi manusia berguna.

SYED ABDULLAH OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban

Ibu bapa bantah tindakan kerajaan PKR roboh Asrama Yayasan Selangor – Utusan


Ibu bapa bantah tindakan kerajaan PKR roboh Asrama Yayasan Selangor

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Tindakan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan di sini mendapat tentangan daripada ibu bapa yang anak mereka tinggal di asrama terlibat.

Tinjauan Utusan Malaysia di asrama tersebut mendapati, rata-rata ibu bapa kecewa dan tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan negeri serta Yayasan Selangor yang mereka sifatkan sebagai bertindak secara terburu-buru.

Seorang suri rumah, Syaflina Anas, 42, berkata, kerajaan negeri serta pihak yayasan tidak sepatutnya bertindak terburu-buru kerana ia hanya menyusahkan ibu bapa para pelajar yang menetap di asrama itu sahaja.

“Kami tidak pernah mengetahui mengenai perkara tersebut sebelum ini dan terkejut apabila dimaklumkan ia akan dirobohkan pada 31 Disember ini.

“Mereka baru mentadbir selama tiga tahun, tetapi keadaan telah menjadi kucar-kacir seperti ini. Asrama ini sepatutnya dikekalkan,” katanya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan nasib 436 pelajar di Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur yang bakal terjejas ekoran keputusan kerajaan negeri serta Yayasan Selangor mahu merobohkan asrama tersebut.

Lebih membimbangkan, pelajar asrama berkenaan tidak diberikan jaminan penempatan lain sekiranya asrama itu dirobohkan dan difahamkan juga tiada perancangan alternatif atau asrama baru yang akan dibina untuk menempatkan kumpulan pelajar tersebut.

Seorang penyelia, Ismail Munari, 47, berkata, pelajaran anaknya yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga akan terjejas sekiranya asrama tersebut dirobohkan.

“Sekiranya asrama ini dirobohkan, saya perlu menukar anak ke sekolah lain kerana saya menetap di Puchong, jarak rumah dan sekolah terlalu jauh,” jelasnya.

Pendapat Ismail itu turut disokong oleh seorang pengurus sumber manusia di sebuah syarikat swasta, Hanum Ayob, 41 yang risau dengan prestasi pelajaran anaknya ekoran keputusan merobohkan asrama itu.

“Dia sudah biasa mengulang kaji pelajaran dengan rakan-rakan di asrama. Jika asrama ini dirobohkan, dia pasti janggal kerana tidak dapat mengulang kaji bersama rakan-rakannya dan saya bimbang keputusan peperiksaannya akan terjejas,” ujarnya.

Sanggup sepak ibu bapa nak dapat duit – Berita Harian


Sanggup sepak ibu bapa nak dapat duit
Oleh Yahya Awang

2011/08/08

PELATIH Sekolah Tunas Bakti  yang berjaya mengakhiri tempoh hukuman berikrar menjadi individu baik dan berguna.

PELATIH Sekolah Tunas Bakti yang berjaya mengakhiri tempoh hukuman berikrar menjadi individu baik dan berguna.

Pelatih Sekolah Tunas Bakti kini insaf, menyesal perbuatan lampau akibat ketagihan dadah

TAIPING: “Pernah saya sepak dan pukul kedua-dua ibu bapa saya hingga jatuh apabila mereka tidak berikan wang yang saya minta. Kini saya menyesal atas perbuatan itu dan insaf termasuk tidak mahu lagi menagih dadah,” kata seorang pelatih Sekolah Tunas Bakti (STB), di sini, yang hanya mahu dikenali sebagai Ham, 17.

Remaja berasal dari Pendang, Kedah itu yang baru beberapa bulan dimasukkan ke STB atas kesalahan penyalahgunaan dadah berkata, beliau sedih mengenangkan perbuatannya termasuk menengking dan memarahi ibu bapanya yang kini berusia 50-an apabila tidak memberi wang diminta untuk membeli heroin kerana orang tuanya hanya penoreh getah.

“Apabila saya naik berang saya menolak dan memukul mereka. Maki hamun pula sudah tidak terkira,” katanya ketika ditemui di STB.

Menceritakan pembabitannya dalam ketagihan dadah, anak bongsu dari enam beradik itu berkata ia berpunca pergaulan dengan rakan.

Katanya, pada mulanya beliau hanya menghabiskan RM10 hingga RM15 sehari hasil wang torehan getah orang tuanya untuk membeli dadah tetapi lama-kelamaan dia terjebak pula dalam ketagihan heroin yang memerlukan RM100 hingga RM200 sehari.

“Untuk mendapatkan wang itu, saya menipu ibu bapa dengan meminta RM300 dengan alasan mahu membeli seluar berjenama mahal tetapi apabila memperoleh wang itu, saya hanya membeli seluar yang murah dan wang selebihnya digunakan untuk membeli dadah.

“Saya berjaya mendapatkan wang itu beberapa kali hingga akhirnya kedua orang tua saya tidak lagi dapat memenuhi permintaan itu menyebabkan saya marah dan memukul mereka,” katanya.
Katanya, perbuatannya berakhir apabila polis memberkasnya ketika khayal dengan dadah sebelum didapati bersalah oleh mahkamah.

“Disebabkan saya masih di bawah umur, saya dimasukkan ke sekolah ini selama tiga tahun dan sehingga kini sudah berada di sini selama lapan bulan. Saya juga sudah dapat mengatasi masalah ketagihan.Sekarang saya benar-benar insaf,” katanya.

Waktu belajar terhad punca kurang kuasai B.I


Waktu belajar terhad punca kurang kuasai B.I

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendapat waktu pembelajaran yang terhad dalam bilik darjah menyebabkan pelajar masih tidak mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, untuk mengatasi masalah itu Kementerian Pelajaran boleh menambah waktu pembelajaran bagi subjek Bahasa Inggeris bagi membolehkan penggunaan bahasa itu ditingkatkan.

“NUTP menyokong cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya dikaji semula pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Saya melihat kurangnya penguasaan yang baik bukan berpunca daripada guru-guru.

“Ia mungkin disebabkan tempoh waktu pembelajaran yang terhad di bilik darjah menyebabkan kurangnya penggunaan bahasa itu oleh pelajar. Kementerian Pelajaran boleh menambah waktu pembelajarannya, namun tidaklah sehingga membebankan guru bahasa tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran semalam mahu pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah dikaji semula bagi memastikan pelajar benar-benar dapat menguasainya sebagai bahasa kedua dan arahan telah dibuat kepada Ketua Pengarah Pelajar agar melaksanakan kajian itu.

Tambah Hashim, sepanjang 13 tahun seseorang pelajar mengikuti sistem pendidikan negara, dalam sehari mereka belajar Bahasa Inggeris hanya 30 hingga 40 minit dan pada sesetengah hari selama sejam hingga sejam 20 minit sahaja.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar guru-guru Bahasa Inggeris ditambah dengan mengambil semula mereka yang sudah bersara bagi mengajar di sekolah berhampiran.

“Mereka itu mempunyai banyak pengalaman dan boleh membantu mendidik pelajar kita di samping menjimatkan wang kerajaan,” ujarnya.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan turut menyambut baik usaha untuk mengkaji semula pembelajaran subjek itu.

“Audit wajar dibuat untuk melihat secara terperinci kelemahan-kelemahan yang ada dalam pembelajaran Bahasa Inggeris dari semua segi.

“Penyeliaan guru-guru pakar juga perlu dilakukan terhadap tenaga pengajar bahasa itu untuk memastikan cara penyampaian dan pembelajaran yang berkesan kepada pelajar,” jelasnya.

Mohamad Ali berkata, tempoh waktu pembelajaran perlu dilihat sama ada mencukupi atau tidak di samping mewujudkan satu hari berbahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah termasuk oleh guru-guru.

Sekolah tidak berniat tutup kes liwat – Utusan


Sekolah tidak berniat tutup kes liwat

BALING 7 Ogos – Masyarakat dan media tidak seharusnya menghukum atau mengaibkan murid sekolah maahad tahfiz yang disyaki terlibat dalam kes dera serta liwat di Kuala Pegang, dekat sini, baru-baru ini.

Pengetua Sekolah Menengah Agama Islamiah Nadi Tahfiz Al-Quran, Al Sanadi, Mohd. Bukhari, 47, berkata, ini kerana kes tersebut masih di peringkat siasatan dan belum lagi dibawa ke peringkat mahkamah.

“Adalah tidak adil bagi pihak tertentu menuduh atau mengaibkan murid-murid yang terlibat dalam kes ini.

“Kita minta masyarakat tidak membuat tohmahan yang bukan-bukan kerana mereka masih lagi di bawah umur,” katanya kepada pemberita di sekolah terbabit di Kampung Mengkuang Masjid, Kuala Pegang, dekat sini hari ini.

Beliau tampil menjelaskan kejadian seorang murid tahfiz berusia sembilan tahun yang dikatakan terlantar di hospital selepas mendakwa diliwat, dipaksa melakukan seks oral dan didera oleh rakan mereka di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa mangsa mengikuti sesi orientasi dan suai kenal selama 40 hari bermula Jun lalu.

Berikutan kejadian itu, polis menahan tiga murid sekolah itu berusia 12 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan selepas didakwa terlibat melakukan aktiviti luar tabii.

Menurut Al Sanadi, pihaknya tidak berniat menutup kes tersebut dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi melengkapkan siasatan.

Tambah beliau, sekolah persendirian miliknya itu tidak menyedari wujudnya kes terbabit memandangkan semasa penghujung sesi orientasi, semua waris mengaku berpuas hati dengan perjalanan program.

“Program suai kenal ini diadakan selama 40 hari, bermula 20 Jun. Ia sebagai persediaan bagi murid-murid terbabit sebelum memasuki pengajaran tahfiz.

“Kursus ini juga atas permintaan waris murid itu sendiri. Malah, kita tidak menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku kerana lebih daripada 10 murid terlibat dalam program itu ada pertalian saudara,” katanya.

Sementara itu, salah seorang ibu murid yang ditahan polis melahirkan kesal kerana masyarakat dan media seolah-olah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap anaknya meskipun ia belum diputuskan mahkamah.

“Saya kesal laporan beberapa akhbar seolah-olah anak kami sudah bersalah. Masyarakat juga memandang sinis dan menyebabkan maruah keluarga kami tercalar,” katanya.