Sekolah tidak berniat tutup kes liwat – Utusan


Sekolah tidak berniat tutup kes liwat

BALING 7 Ogos – Masyarakat dan media tidak seharusnya menghukum atau mengaibkan murid sekolah maahad tahfiz yang disyaki terlibat dalam kes dera serta liwat di Kuala Pegang, dekat sini, baru-baru ini.

Pengetua Sekolah Menengah Agama Islamiah Nadi Tahfiz Al-Quran, Al Sanadi, Mohd. Bukhari, 47, berkata, ini kerana kes tersebut masih di peringkat siasatan dan belum lagi dibawa ke peringkat mahkamah.

“Adalah tidak adil bagi pihak tertentu menuduh atau mengaibkan murid-murid yang terlibat dalam kes ini.

“Kita minta masyarakat tidak membuat tohmahan yang bukan-bukan kerana mereka masih lagi di bawah umur,” katanya kepada pemberita di sekolah terbabit di Kampung Mengkuang Masjid, Kuala Pegang, dekat sini hari ini.

Beliau tampil menjelaskan kejadian seorang murid tahfiz berusia sembilan tahun yang dikatakan terlantar di hospital selepas mendakwa diliwat, dipaksa melakukan seks oral dan didera oleh rakan mereka di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa mangsa mengikuti sesi orientasi dan suai kenal selama 40 hari bermula Jun lalu.

Berikutan kejadian itu, polis menahan tiga murid sekolah itu berusia 12 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan selepas didakwa terlibat melakukan aktiviti luar tabii.

Menurut Al Sanadi, pihaknya tidak berniat menutup kes tersebut dan telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis bagi melengkapkan siasatan.

Tambah beliau, sekolah persendirian miliknya itu tidak menyedari wujudnya kes terbabit memandangkan semasa penghujung sesi orientasi, semua waris mengaku berpuas hati dengan perjalanan program.

“Program suai kenal ini diadakan selama 40 hari, bermula 20 Jun. Ia sebagai persediaan bagi murid-murid terbabit sebelum memasuki pengajaran tahfiz.

“Kursus ini juga atas permintaan waris murid itu sendiri. Malah, kita tidak menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku kerana lebih daripada 10 murid terlibat dalam program itu ada pertalian saudara,” katanya.

Sementara itu, salah seorang ibu murid yang ditahan polis melahirkan kesal kerana masyarakat dan media seolah-olah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap anaknya meskipun ia belum diputuskan mahkamah.

“Saya kesal laporan beberapa akhbar seolah-olah anak kami sudah bersalah. Masyarakat juga memandang sinis dan menyebabkan maruah keluarga kami tercalar,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s