11% pelajar Kelantan ada masalah mental – pakar – Bernama


11% pelajar Kelantan ada masalah mental – pakar

09/08/2011 4:21pm

KOTA BHARU 9 Ogos – Antara 10 dan 11 peratus remaja khususnya pelajar di Kelantan menghadapi masalah mental dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini.

Ketua Jabatan Psikiatri HUSM Prof. Madya Dr. Mohd. Jamil Yaacob berkata, mereka ini, yang termasuk murid sekolah rendah, adalah antara lebih 700 pesakit yang menerima rawatan setiap bulan di klinik psikiatri hospital itu termasuk kes berulang.

“Ini adalah fenomena baru dalam masyarakat kesan tekanan hidup dalam kekeluargaan dan pelajaran di dunia yang semakin mencabar sekarang,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah HUSM Datuk Dr. Zaidun Kamari.

Mohd. Jamil berkata, kebanyakan pelajar yang menghadapi masalah mental itu adalah disebabkan faktor keturunan, masalah keluarga di rumah dan persekitaran sekolah.

Katanya, peningkatan jumlah pelajar yang menerima rawatan itu berikutan kesedaran orang ramai terhadap peranan dan tugas yang dimainkan oleh klinik psikiatri dalam menyelesaikan pelajar yang menghadapi masalah itu.

“Sebelum ini, ramai ibu bapa enggan datang ke klinik psikiatri kerana tidak sanggup menerima tanggapan negatif masyarakat yang menganggap mereka datang ke klinik berkenaan sebagai penghidap penyakit jiwa,” katanya. – Bernama

Hamba ayah gian – Harian Metro


Hamba ayah gian

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak diperlakukan seperti hamba oleh bapa kandung apabila ditugaskan menyuntik dadah ke tubuh orang tuanya itu ketika gian dan jika gagal berbuat demikian, kanak-kanak berkenaan bukan saja dimaki-hamun, malah dipukul lelaki terbabit.

Selain kerap dipukul jika enggan mematuhi arahan, kanak-kanak tujuh tahun itu tidak bersekolah sebaliknya menjaga lelaki berusia 40-an terbabit termasuk memasukkan dadah ke badan untuk melepaskan gian.

Kanak-kanak lelaki itu dikatakan mahir menggunakan jarum dan dikhuatiri mengikut jejak bapanya yang menjadi penagih dadah tegar.

Perkara itu dibongkar pengurus pusat perlindungan golongan kurang bernasib baik, Rumah Sinar Sofia, Ari Rahayu Rahmat, 41, yang menyifatkan kelakuan penagih terbabit amat melampau dan membawa pengaruh buruk kepada anaknya.
Menurut Rahayu, tindakan lelaki terbabit memberi tekanan mental kepada kanak-kanak itu yang juga anak sulung penagih dadah terbabit bersama pasangannya.

Hilang ibu, bapa, adik – Harian Metro


Hilang ibu, bapa, adik

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEDIH...Sukainai (kanan) bersama abang dan kakaknya tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu, ayah dan adik mereka dalam tragedi tanah runtuh.
SEDIH…Sukainai (kanan) bersama abang dan kakaknya tidak dapat menahan kesedihan selepas kehilangan ibu, ayah dan adik mereka dalam tragedi tanah runtuh.

CAMERON HIGHLANDS: Ramadan dan Aidilfitri tahun ini tidak lagi memberi sebarang erti buat seorang remaja apabila tiga ahli keluarganya termasuk ayah, ibu dan adik bongsunya maut dalam kejadian tanah runtuh yang meranapkan kediamannya di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, petang kelmarin.

Sukainai Jaafar, 18, tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya apabila ibunya, Normah Gunung, 51, bapanya, Jaafar Balad, 49, dan adik bongsunya, Mohd Ikbal, 15, ditemui maut dalam sisa runtuhan rumah dan timbunan tanah dalam kejadian menyayat hati itu.
Sukainai yang ditemui di pekarangan Bilik Forensik Hospital Sultanah Hajah Kalsom di sini, semalam berkata, dia sedih dengan kejadian menimpa keluarganya.

Dia juga tidak sempat berbuka puasa dengan keluarganya sepanjang Ramadan tahun ini kerana tiada di kampung disebabkan menyambung pengajian di Institut As-Shifa di Taiping dalam kursus Sains Persekitaran.
“Saya hanya sempat sahur pada Ramadan pertama dengan semua ahli keluarga saya termasuk dengan ketiga-tiga arwah.
“Saya reda dengan apa yang berlaku dan terpaksa tabahkan hati menerima kehilangan mereka,” katanya.

Difahamkan, semua mangsa yang maut menganut Islam sejak tiga tahun lalu dan ini sambutan Ramadan ketiga buat mereka.
“Kejadian itu bukan saja mengorbankan ayah, ibu dan adik saya malah turut mengorbankan kakak ipar saya, Yusnizan Yusof, 22.

“Dua abang saya Mohd Riduan, 30, dan Azhar, 26, mungkin akan terus menetap di kampung ini,” katanya.
Jenayah keluarga Jaafar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sedia, di sini, petang semalam.
Sementara itu, Mohd Ali, 27, anak kepada seorang mangsa yang maut, Ali Hassan, 50, berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 pagi semalam.
Katanya, dia difahamkan, ayahnya sedang tidur ketika kejadian.
“Kali terakhir saya bertemu ayah pada Oktober tahun lalu. Saya kini bekerja sebagai buruh estet di Kampung Puh, Bidor dan jarang bertemu ayah,” katanya.
“Ketika menemuinya Oktober lalu, ayah sempat berpesan meminta saya pulang berhari raya nanti.

Jaga ugut guru tegur anak didenda RM2,000 – Harian Metro


Jaga ugut guru tegur anak didenda RM2,000

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Berang selepas mengetahui anak perempuannya ditegur, seorang bapa sanggup mengugut seorang guru dengan kata-kata ‘boleh menggunakan pistol bila-bila masa dan tidak kisah masuk penjara.’

Bagaimanapun, perbuatan Ibrahim Matering, 37, itu menerima padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan mengugut secara jenayah Mohd Norizi Mohamad, 31, yang dibacakan di hadapan Majistret Hafizza Sauni.
Perbuatan itu dilakukan di Bengkel Kemahiran Hidup, Sekolah Kebangsaan Bangsar, Jalan Pantai Baharu, Bangsar di sini, pada jam 9.30 pagi, 14 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, Ibrahim yang bekerja sebagai pengawal keselamatan singgah ke sekolah berkenaan untuk menghantar barang yang ditinggalkan anaknya.
Kebetulan, tertuduh yang turut membawa sepucuk pistol kerana akan terus pergi bertugas selepas itu dimaklumkan bahawa seorang guru menegur anaknya.

Tertuduh kemudian bertindak melakukan ugutan jenayah dengan mendatangkan ketakutan terhadap guru berkenaan.
Terdahulu, Ibrahim yang tidak diwakili peguam merayu supaya hanya dikenakan hukuman ringan atas alasan tidak mempunyai taraf pendidikan tinggi.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh untuk mencegah kesalahan sama.

Nyaris buta terkena mercun bola – Utusan


Nyaris buta terkena mercun bola

Fakhrul Danish Fadzil cedera di muka akibat terkena mercun bola di Taman Teja, Changlun, menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 8 Ogos – Gerak hati seorang ibu yang tidak sedap hati untuk membenarkan anaknya keluar bermain pada petang Sabtu lalu rupa-rupanya menjadi petanda malang akan menimpa.

Selepas beberapa minit sahaja keluar ke taman berhampiran rumah mereka di Taman Teja, Changlun, kanak-kanak itu pulang dengan muka dan mata kemerahan selepas terkena mercun bola.

Mangsa, Fakhrul Danish Fadzil, 8, dikatakan duduk mencangkung sambil melihat sebutir mercun yang tidak meletup namun ia tiba-tiba meletup menyebabkan api percikan mercun itu terkena pada mukanya.

Ibu mangsa, Manisah Mohd., 41, berkata, dia tidak menyangka anaknya itu keluar bermain mercun bersama abang dan rakannya sebelum ditimpa kejadian itu.

“Dalam pukul 7 petang, Fakhrul memberitahu mahu ke taman untuk bermain tetapi saya kata duduk rumah sahaja kerana sudah nak masuk waktu berbuka namun dia mendesak juga.

“Beberapa minit selepas itu, dia pulang dengan muka dan mata kemerahan selain meraung mengatakan matanya pedih,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Manisah yang merupakan seorang guru berkata, dia cuba mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Changlun namun disyorkan supaya ke hospital.

Di Hospital Jitra, katanya, doktor memberitahu supaya Fakhrul dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana dia perlu mendapatkan rawatan doktor pakar mata.

Katanya, Fakhrul Danish, murid darjah dua di Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, Changlun bernasib baik apabila doktor memberitahu kecederaan pada matanya tidak serius selain melecur pada bahagian muka.

“Hasil pemeriksaan doktor termasuk pada kornea mata, saya bersyukur kerana mata anak saya tidak cedera serius cuma kabur sahaja tetapi ia akan sembuh,” kata Manisah lagi.

Dalam pada itu, Pengarah HSB, Datuk Dr. Juita Ghazalie berkata, kanak-kanak itu mungkin mengalami masalah kekurangan penglihatan pada kedua-dua belah mata akibat letupan mercun tersebut.

Saluran darah terputus akibat mercun – Utusan


Saluran darah terputus akibat mercun

Oleh RAHANA MOHD. DAHARI
utusankelantan@utusan.com.my
Pergelangan Nik Shazreen yang cedera akibat terkena mercun bola.

KOTA BHARU 8 Ogos – Seorang pelajar yang bakal menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini putus salah satu saluran darah di tangan kirinya selepas mercun bola yang dipasang remaja itu meletup sebelum sempat dibaling.

Dalam kejadian pukul 10 malam tadi, Nik Shazreen Nik Zaulaimi, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kok Lanas di sini mengalami kecederaan itu selepas terkena serpihan mercun.

Bapanya, Nik Zulaimi Mat Salleh, 45, ketika kejadian dia sedang minum di rumah selepas pulang menunaikan solat tarawih.

“Pada masa itu, anak saya sedang bermain mercun bersama beberapa rakannya di padang permainan kira-kira 50 meter dari rumah kami di Taman Anggerik, Kok Lanas.

“Tiba-tiba, anak saya pulang ke rumah dengan tangan kirinya berlumuran darah dan memberitahu tangannya terkena serpihan mercun bola yang dipasang.

“Katanya, mercun itu meletup terlalu cepat kerana sumbunya pendek sehingga tidak sempat dibaling jauh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Melihat keadaan kecederaan yang dialami, Nik Zulaimi segera menghantar anaknya ke Klinik Pulai Chondong sebelum dirujuk ke Hospital Machang.

Bagaimanapun, kecederaan anak kedua daripada lima adik beradik itu serius menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk mendapat rawatan lanjut.

“Saya pernah melarangnya bermain mercun sebelum ini tetapi tidak diendahkan, selepas apa yang berlaku, saya pasti dia sudah serik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, mangsa dirujuk ke hospital kira-kira pukul 12.42 malam tadi sebelum menjalani pembedahan kira-kira pukul 9.30 pagi ini.

Terima kasih PM – CUEPACS – Utusan


Terima kasih PM – CUEPACS

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengumuman pemberian bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangan awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menerima baik pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 pada pertengahan bulan ini.

Bonus raya kakitangan awam – Utusan


Bonus raya kakitangan awam

Najib Tun Razak mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara di pejabatnya di Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut hadir Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri Kabinet serta para pegawai kanan kerajaan. – BERNAMA

* Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada 1.27 juta penjawat awam Persekutuan bulan ini.

* Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada 590,000 pesara kerajaan.

* Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.

Kereta rempuh pagar tadika – Berita Harian


Kereta rempuh pagar tadika
Oleh Nor Azizah Mokhtar

2011/08/09

PAGAR Tadika Smart Stars roboh akibat dirempuh kereta Perodua Myvi di Jalan Sungai Tua berhadapan SMK Taman Selayang, Gombak, semalam.

PAGAR Tadika Smart Stars roboh akibat dirempuh kereta Perodua Myvi di Jalan Sungai Tua berhadapan SMK Taman Selayang, Gombak, semalam.

Kenderaan dipandu remaja hilang kawalan

GOMBAK: Kira-kira 30 murid tadika di Taman Selayang di sini, trauma selepas sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang remaja hilang kawalan dan merempuh tembok pagar taman asuhan kanak-kanak itu beberapa minit sebelum sesi pembelajaran bermula, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, kenderaan terbabit turut merempuh dua pelajar perempuan Tingkatan Tiga dan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang yang berjalan kaki berhampiran tadika itu. Kedua-duanya cedera ringan.

Pemilik tadika Smart Stars, VR Ranee, 56, berkata mujur tadika belum sempat mengadakan perhimpunan seperti kebiasaannya kerana masih ada ibu bapa sedang menghantar anak mereka ketika kemalangan itu berlaku. “Ketika kejadian, saya dan pembantu sedang membawa masuk beberapa kanak-kanak yang dihantar ibu bapa mereka apabila saya terdengar bunyi dentuman kuat serta suara perempuan menjerit di hadapan tadika.
“Saya amat terkejut apabila mendapati sebuah kereta melanggar pagar tadika dan saya melihat seorang perempuan berpakaian sekolah menengah sedang menangis kerana kesakitan, manakala rakannya dalam keadaan terkejut,” katanya.

Ranee menganggarkan jumlah kerugian RM20,000 dan tembok pagar itu baru saja disiapkan menggantikan pagar lama selepas berlaku kejadian pecah masuk di tadika itu sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata ada kemungkinan Perodua Myvi dipandu remaja berusia 22 tahun itu dipandu laju menyebabkannya hilang kawalan dan melanggar dua pelajar sekolah menengah melalui lorong di hadapan tadika.
“Kedua-dua pelajar berusia 15 dan 17 tahun serta pemandu itu cedera ringan dan dihantar ke Hospital Selayang sebagai pesakit luar,” katanya.