Kes keracunan makanan bazar Ramadan bukan disebabkan kolera – Bernama


Kes keracunan makanan bazar Ramadan bukan disebabkan kolera

10/08/2011 8:44pm

KLANG 10 Ogos – Jabatan Kesihatan Selangor mengesahkan kes keracunan makanan yang dialami dua keluarga yang dipercayai berpunca daripada juadah berbuka puasa di sebuah Bazar Ramadan di kawasan Meru dekat sini, bukan akibat wabak kolera.

Pengarahnya Azman Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengambil sampel najis daripada kesemua mangsa keluarga terbabit untuk dianalisis dan keputusan mendapati ia negatif kolera ataupun taun.

“Mula-mula kita syak taun atau pun kolera dan keputusan sampel analisis mendapati (kes keracunan makanan) bukan disebabkan wabak kolera,” katanya.

Akhbar melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun meninggal dunia Isnin lepas setelah muntah dan cirit-birit dan keluarganya pula dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama, dipercayai setelah menikmati juadah berbuka puasa seperti otak-otak serta air batu campur di sebuah bazar Ramadan di kawasan Meru. – Bernama

Ibu bapa mahu penjelasan berhubung masalah KWAMP – New Sabah Times


Ibu bapa mahu penjelasan berhubung masalah KWAMP

10th August, 2011

  • BAPA kepada seorang pelajar di sebuah sekolah rendah di Kota Marudu telah menghubungi ActionLine baru-baru ini berkaitan isu Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) yang berlaku di tempat anaknya bersekolah.

“Ketika program itu dilaksanakan pada tahun lepas, saya dimaklumkan bahawa setiap pelajar yang ibu bapanya terdaftar di bawah program e-kasih adalah layak untuk menerima RM700setahun dari kumpulan wang amanah ini,” kata pengadu.

“Oleh itu, anak saya merupakan salah seorang daripada penerima bantuan kerana saya sendiri berdaftar di bawah program yang disebutkan tadi dan saya juga amat berterima kasih kepada pihak kerajaan dengan keprihatinan mereka,” jelasnya kepada ActionLine.

“Bagaimana pun, ketika wang bantuan berkenaan diagihkan pada tahun lepas, anak saya serta penerima yang lain hanya mendapatRM250 seorang. Para ibu bapa juga berasa terkejut kerana setiap penerima bantuan yang sama di sekolah lain menerima RM700 dariKWAMP,” tambahnya.

“Perkara itu merupakan isu yang pertama dan kebanyakan ibu bapa hanya berdiam diri kerana tiada siapa yang bertindak untuk membuat aduan atau memanjangkan isu ini. Tetapi, pada tahun ini, ibu bapa penerima bantuan berkenaan sekali lagi rasa terkilan kerana masih belum ada sebarang bantuan yang disampaikan kepada pelajar.”

“Disebabkan itu, kami telah membawa isu ini ke bahagian pentadbiran sekolah dan kami diminta supaya merujuk masalah ini kepada Jabatan Pelajaran memandangkan pihak sekolah bergantung kepada jabatan berkenaan berhubung waktu wang itu akan dapat diagihkan.”

“Kami pun membawa masalah ini kepada jabatan berkenaan sebelum dimaklumkan yang mereka masih menunggu peruntukan dari pihak kerajaan” kata pengadu lagi.

Pengadu seterusnya menyatakan yang dia berasa seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena kerana menurutnya sekolah yang iaitu sekolah yang terletak jauh di pedalaman sudah pun menerima bantuan itu pada awal tahun ini.

“Rakan saya yang merupakan seorang guru sekolah rendah turut mengesahkan perkara ini di mana pelajar di sekolah tempatnya mengajar sudah pun menerima bantuan ini,” jelasnya kepada ActionLine.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa di sini tetapi saya rasa seseorang perlu bertanggungjawab dengan memberikan penjelasan kepada kami iaitu para ibu bapa mengenai permasalahan ini.”

“Penjelasan itu perlu kerana ia akan mengelakkan dari berlakunya salah faham di antara pihak ibu bapa dan bahagian pentadbiran sekolah. Dan kami juga memerlukan campur tangan Jabatan Pelajaran dalam menyelesaikan kekeliruan ini.”

  • Sementara itu, jurucakap di Pejabat Pelajaran Kota Marudu berjanji akan memberikan maklum balas kepada ActionLine setelah masalah itu disiasat.

“Siasatan perlu dilakukan dengan teliti sebelum sebarang tindakan dapat diambil,” ujarnya.

Lima Kerajaan Negeri Umum Bayar Bonus Penjawat Awam – Bernama


Rabu Ogos 10, 2011
Lima Kerajaan Negeri Umum Bayar Bonus Penjawat Awam

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan merupakan lima kerajaan negeri yang setakat ini mengumumkan keputusan untuk mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

“Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam,” kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Katanya ia melibatkan 20,000 penjawat awam termasuk pekerja badan berkanun.

Ahmad berkata bayaran itu melibatkan peruntukan RM10 juta.

Di KUANTAN, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pembayaran bonus di melibatkan 12,570 penjawat awam di negeri itu.

Adnan menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya pemberian bonus itu satu pembaziran sebaliknya ia bagi menghargai sumbangan dan dedikasi penjawat awam dalam membangunkan negara.

Di KOTA BARU, kerajaan negeri Kelantan akan turut membayar bonus setengah bulan gaji kepada 6,000 penjawat awamnya serta bayaran khas RM500 untuk para persara.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata kerajaan Kelantan akan menanggung kos RM5 juta bagi membiayai pembayaran itu.

Langkah itu diharapkan dapat meringankan beban kakitangan kerajaan negeri bagi membuat persediaan menyambut hari raya Aidilfitri tahun ini, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Negeri hari ini.

Husam berkata mesyuarat itu turut meluluskan cadangan menswastakan projek pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu sejauh 69 kilometer dengan kos RM1.4 bilion.

Di IPOH, kerajaan negeri Perak hari ini juga mengumumkan keputusan mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini..

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lepas.

Beliau berkata bayaran itu melibatkan peruntukan RM6.5 juta.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pemberian bonus setengah bulan kepada 4,800 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri Negeri Sembilan.

“Semua kakitangan termasuk yang berkhidmat dengan agensi milik kerajaan negeri akan menikmati bonus itu. Kita juga akan minta pihak berkuasa tempatan untuk memberikan bonus kepada kakitangan mereka,” katanya.

Katanya pemberian bonus itu menyebabkan kerajaan negeri mengeluarkan belanja sebanyak RM4.8 juta. BERNAMA

Kakitangan Kerajaan Selangor Dapat Bonus – mStar Online


Published: Rabu Ogos 10, 2011 MYT 4:31:00 PM
Kakitangan Kerajaan Selangor Dapat Bonus

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mengikut jejak langkah Kerajaan Pusat apabila mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangannya sempena hari raya Aidilfitri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bonus tersebut diberikan supaya tidak ada diskriminasi terhadap kakitangan kerajaan negeri dan kewangan Selangor mengizinkan pemberian tersebut.

“Sebelum ini kita telah umumkan mahu beri pemberian bonus sebanyak RM500 kepada semua kakitangan kerajaan negeri.

“Tetapi selepas kerajaan pusat umumkan pemberian bonus setengah bulan gaji maka kita ikut kriteria tersebut. Kita tidak mahu ada diskriminasi dan kerajaan negeri mampu dari segi kewangan,” katanya.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, mengumumkan bonus setengah bulan kepada penjawat awam dengan bayaran minimum sebanyak RM500 yang akan dibayar pada pertengahan bulan ini.

Beliau mengumumkan pemberian bayaran khas kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan, dibayar pada tarikh sama.

4 beradik rayu ibu balik – Harian Metro


4 beradik rayu ibu balik

Oleh Anas Hassan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Mak, pulanglah ke rumah, kami rindukan mak, ayah pun rindukan mak,” itu rintihan Abdul Raun, 14, mewakili empat lagi adiknya yang merayu agar ibu mereka, Marinah Hashim, 37, pulang setelah bertindak melarikan diri dari rumah di Subang Jaya, di sini 31 Julai lalu.

Wanita terbabit dipercayai bertindak sedemikian setelah berlaku sedikit pertelingkahan dengan suaminya Raymond Abdul Rahman Abdullah, 42, yang ketika itu baru pulang dari tempat kerja.
Abdul Rahman berkata, dia dan isterinya yang juga seorang suri rumah berselisih faham tentang satu perkara dan seterusnya berlaku pertengkaran kecil antara mereka sejurus dia pulang dari kerja.

 

“Saya memarahi isteri saya dengan nada yang agak kuat dan mungkin sebab itu isteri saya itu merajuk lalu mengambil keputusan untuk melarikan diri,” katanya ketika ditemui di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini semalam.
Sementara itu, turut ditemui dalam sidang media sama ialah N Jayanthi, 24, anak kepada P Mageswari, 54, yang hilang dari rumah sejak Jun lalu.
Jayanthi berkata, ibunya yang menghidap penyakit Alzheimer, dipercayai hilang setelah tidak pulang ke rumah hingga lewat malam 8 Jun lalu selepas dikatakan keluar ke kedai.

 

 

“Saya sudah membuat dua laporan polis berkaitan kehilangan ibu saya dan juga terdapat enam laporan akhbar setakat ini, namun masih lagi tiada sebarang berita mengenainya.
“Saya merayu kepada masyarakat yang terserempak atau kenal dengan ibu saya untuk segera menghubungi pihak berkuasa kerana bimbangkan keselamatan dan kesihatannya,” katanya Hadir sama dalam sidang media semalam ialah Won Kia Wah, 46, ibu kepada Chew Chan Ting, 18, yang hilang setelah tidak pulang ke rumah selepas waktu persekolahan sejak 1 Ogos lalu.

 

Mangsa yang juga anak kelapan daripada sembilan beradik dikatakan tidak pulang ke rumah hingga malam sebelum kakaknya melaporkan kehilangannya di Balai Polis Jinjang, Sentul.
Manakala seorang lagi pengadu, Liew Kien Hin, 35, yang kehilangan isterinya, Bong Lan Ing, 28, berkata, isterinya lari meninggalkan rumah dipercayai termakan pujuk rayu seorang lelaki tidak dikenali untuk lari dari rumah.

Meratap anak koma – Harian Metro


Meratap anak koma

Oleh Shamsul Munir Safini dan Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: “Saya memang tak puas hati. Jika dia terbabas, pasti tubuhnya ada kesan calar dan luka, tetapi apa yang berlaku terdapat benjol besar di belakang kepala dan amat ketara dia dibaling sesuatu,” kata Che Kassim Darus, 47, bapa kepada Mohd Solihin, 14, yang koma selepas didakwa terkena topi keledar dibaling dua anggota polis peronda di Jalan Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, dekat Perlis, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 9.40 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dikatakan keluar bersama dua rakannya yang menunggang berasingan dan melalui jalan kampung itu untuk ke kedai berhampiran.
Bagaimanapun, mangsa tidak bernasib baik apabila tiba-tiba motosikal ditungganginya terbabas dan dua rakannya mendakwa ternampak seorang anggota polis membaling objek dipercayai topi keledar dan terkena mangsa.

 

Akibat kejadian itu, Mohd Solihin mengalami kecederaan serius di bahagian belakang kepala apabila ia membengkak serta berlumuran darah dan mangsa berada dalam keadaan separuh sedar.
Mohd Solihin kemudian dibawa ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar untuk mendapatkan rawatan tetapi dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, tidak lama kemudian selepas doktor mendapati keadaan mangsa parah dan masih tidak sedarkan diri.
Che Kassim berkata, ketika kejadian dia sedang menunaikan solat Tarawih di surau berhampiran rumahnya di Felcra Lubuk Sireh sebelum didatangi dua rakan anaknya memberitahu Mohd Solihin terjatuh dari motosikal selepas dibaling objek oleh dua anggota polis yang bertugas di kawasan itu.

 

 

Beliau berkata, dia kemudian bergegas ke tempat kejadian tidak jauh dari rumahnya dan mendapati anaknya dalam keadaan separuh sedar manakala kepalanya mengalami bengkak sebesar piring dan berlumuran darah.
“Rakan anak saya memberitahumereka menunggang dua motosikal dalam perjalanan ke kedai berhampiran dengan anak saya menunggang seorang diri. Sebaik tiba di lokasi, secara tiba-tiba Mohd Solihin yang ketika itu menunggang di hadapan terjatuh dan rakannya ternampak seorang daripada anggota polis yang ada di situ membaling sesuatu dipercayai topi keledar.

 

“Saya difahamkan, anggota polis terbabit tersilap sasaran dan mereka dipercayai cuba membaling ke arah remaja lain tetapi anak saya yang terkena sasarannya, malah ada beberapa saksi yang berada di tempat kejadian turut memberitahu mereka nampak apa yang berlaku.
“Jalan kampung biasanya kurang kenderaan dan saya pelik apabila polis memberitahu anak saya terbabas menyebabkan kemalangan dan bukannya dibaling objek seperti dimaklumkan rakannya,” katanya ketika ditemui di perkarangan HSB, di sini, semalam.
Mohd Solihin yang juga anak kedua daripada sembilan beradik itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB dan masih dalam keadaan koma. Che Kassim berkata, berikutan kejadian itu dia membuat dua laporan di Balai Polis Kaki Bukit dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar. Dalam pada itu, dia menafikan anaknya terbabit dalam lumba haram atau lari dari sekatan polis berikutan lokasi kejadian adalah jalan kampung, tetapi mengakui anaknya memang tidak memakai topi keledar.
“Kalau anak saya salah, tahan dia atau saman, saya boleh bayar saman itu tapi jangan membabitkan sebarang insiden yang boleh mengancam nyawanya hinggakan sampai sekarang dia masih tidak sedarkan diri.
“Doktor memaklumkan yang anak saya akan menjalani pembedahan membuang air dalam kepalanya disebabkan kecederaan yang dialami selain bahagian otaknya turut mengalami kecederaan,” katanya.
Mangsa dikatakan sudah berhenti sekolah sejak tahun enam disebabkan kemiskinan menyebabkan dia banyak menghabiskan masa membantu bapanya mengambil upah melakukan kerja di sawah serta menghantar dan mengambil adik-adiknya dari sekolah setiap hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Deros, ketika dihubungi, berkata mangsa dipercayai menunggang dengan laju sebelum terbabas dan terjatuh.
Menurutnya, ketika kejadian dua anggotanya dari Balai Polis Kaki Bukit sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Felcra Lubuk Sireh selepas mendapat aduan mengenai aktiviti bermain mercun di situ.
Che Man berkata, dua anggota berkenaan sedang memeriksa seorang remaja di dalam kawasan masjid di situ sebelum melihat dua motosikal ditunggang dengan laju.
“Salah seorang anggota berkenaan memberi isyarat menyuruh mereka menghentikan motosikal masing-masing, namun mereka menunggang dengan laju bagi melepasi anggota polis tadi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Che Man, rakan mangsa yang menaiki sebuah lagi motosikal di belakang mangsa tidak memberhentikan motosikalnya dan melarikan diri.
“Polis membantu mengangkat mangsa sambil dibantu orang ramai yang berada di dalam masjid yang tidak jauh daripada tempat kemalangan,” katanya.
Che Man juga mengesahkan laporan yang dibuat bapa mangsa dan akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pujuk bawa lari – Harian Metro


Pujuk bawa lari

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Seorang gadis berusia 17 tahun dipercayai ‘diculik’ seorang lelaki misteri yang dikenalinya melalui laman sosial facebook, beberapa minggu lalu.

Seri Najwa Ferda Hasan, dipercayai dipujuk lelaki berkenaan supaya melarikan diri selepas suspek turut menghubungi telefon bimbit mangsa sebanyak 134 kali.
Ibu mangsa, Seri Wangi Mokhtar, 42, berkata, anaknya yang menuntut di tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar hilang sebaik keluar ke sekolah kira-kira jam 6.45 pagi, Khamis minggu lalu, dengan berpakaian sukan, selain membawa komputer riba.

 

“Beberapa saksi mendakwa melihat Najwa menaiki skuter merah ditunggang seorang lelaki di hentian bas berhadapan Sekolah Kebangsaan Tualang Sekah, Kampar.
“Mereka memberitahu ada seorang lelaki menaiki skuter itu mengambil anak saya di hentian bas berkenaan dan membawanya menghala ke jalan utama Ipoh-Kampar,” katanya.
Seri berkata, kehilangan anaknya itu amat misteri berikutan mereka sekeluarga tidak berselisih faham dengannya.

 

 

Menurutnya, dia mula menyedari kehilangan Najwa selepas mendapati anaknya itu tidak pulang ke rumah sehingga waktu berbuka puasa malah usaha menghubungi telefon bimbit anaknya itu gagal.
“Saya cuba menelefonnya beberapa kali namun tiada jawapan. Malah, saya juga berusaha menjejakinya menerusi facebook, namun statusnya tidak aktif. Saya amat risaukan keselamatannya kerana Najwa tidak pernah bersikap begini,” katanya.

 

Seri Wangi yang kini menetap di Rancangan Perumahan Tersusun Tualang Sekah, Malim Nawar berkata, naluri keibuannya kuat merasakan ada seseorang melarikan Najwa.
“Saya tidak fikir anak saya melarikan diri kerana kelakuannya pada hari kejadian seperti mahu ke sekolah. Malah kad pengenalannya masih berada dalam simpanan saya. “Dia sentiasa memaklumkan kepada saya jika ingin ke mana-mana. Berdasarkan siasatan, ada seorang lelaki menghubungi telefon bimbitnya sebanyak 134 kali sebelum Najwa didapati lesap,” katanya.
Seri Wangi berkata, laporan polis berhubung kehilangan anaknya sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar pada jam 10.45 Khamis lalu.
Beliau merayu mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Najwa segera menghubunginya di talian 017-59999137 atau menghantarnya ke balai polis berdekatan.

Anak terbaring mulut berbuih – Harian Metro


Anak terbaring mulut berbuih

Oleh Nur Lela Zulkipli dan Ahmad Isyafiq Mad Desa
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...Noriati (kiri) dan Sialus melihat baju arwah cucu mereka.
PILU…Noriati (kiri) dan Sialus melihat baju arwah cucu mereka.

MERU: “Ketika ke bilik air kira-kira jam 6.10 pagi saya dengar bunyi dengusan nafas yang kuat dan terkejut melihat Dini terlentang dengan mata terbeliak serta mulut berbuih.

“Saya membawanya ke hospital, tapi sebaik tiba, doktor beritahu anak saya sudah meninggal dunia,” kata Mohamad Ali Khir, menceritakan detik kematian anak perempuannya berusia 11 tahun selepas berbuka puasa dengan juadah dibeli di bazar Ramadan.

Mohamad Ali, 37, berkata dia membeli air batu campur (ABC) dan otak-otak untuk juadah berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran rumahnya di Taman Seri Mewah Fasa 2, di sini, pada petang Ahad lalu.

Menurutnya, anak perempuan tunggalnya, Nurdini, murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, di sini, meminta untuk berbuka puasa dengan ABC dan otak-otak sejak hari pertama berpuasa.

 
“Hanya pada hujung minggu lalu (Ahad) saya sempat membeli juadah itu. Arwah amat berselera menghirup ABC ketika berbuka puasa. Saya dan anak-anak serta pembantu rumah juga menikmati juadah itu.

Jari tersepit tombol pintu – Harian Metro


Jari tersepit tombol pintu

Oleh Riaty Abada
hmkk@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan lebih sejam apabila jari telunjuknya tersepit di tombol pintu ketika cuba membuka pintu biliknya untuk bersahur bersama keluarga di Taman Rimba, Jalan Batu 7, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.41 pagi, mangsa Danial Hanif, 7, dipercayai bangun bersahur bersama ahli keluarganya.
Bagaimanapun, ketika cuba membuka pintu bilik, tiba-tiba jari telunjuknya termasuk ke dalam tombol pintu yang dipercayai sudah rosak.

 

Ahli keluarga mangsa yang terkejut dengan kejadian itu cuba membantu namun gagal membuka tombol besi itu.
Mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent dengan jarinya yang masih tersangkut di tombol besi itu.
Pihak hospital juga gagal mengeluarkan jari kanak-kanak itu dan terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan.

 

 

Selepas lebih sejam, akhirnya jari mangsa yang tersepit pada tombol besi berkenaan berjaya dikeluarkan dengan menggunakan pemotong hidraulik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemi Shin Ujin berkata, bomba menerima maklumat daripada hospital mengenai kejadian itu.

 

“jbpm sANDAKAN MENERIMA PANGGILAN JAM 1.41 PAGI DAN Sepasukan anggota bergegas ke hospital dan mendapati tangan mangsa masih tersepit pada tombol besi pintu berkenaan.
“Pihak bomba terpaksa mengambil masa sejam untuk mengeluarkan jari mangsa dengan berhati-hati kerana bimbang akan mendatangkan kecederaan lebih teruk lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, pemotong hidraulik terpaksa digunakan untuk memotong besi tombol berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan jari mangsa pada jam 2.49 pagi.
“Jari kanan mangsa cuma mengalami bengkak dan tiada kecederaan serius dilaporkan oleh hospital,” katanya.