RM19.4 juta untuk sekolah mubaligh di Sabah – Dr Puad – Bernama


RM19.4 juta untuk sekolah mubaligh di Sabah – Dr Puad

11/08/2011 4:12pm

KOTA KINABALU 11 Ogos – Sabah akan menerima RM19.4 juta daripada peruntukan khas RM70 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Wang itu adalah untuk 101 sekolah mubaligh di seluruh Sabah, di mana peruntukan bagi setiap sekolah berbeza bergantung permohonan dan keperluan masing-masing, katanya selepas menyampaikan cek bantuan tersebut masing-masingnya sebanyak RM50,000 kepada 12 buah sekolah mubaligh dalam daerah Kota Kinabalu di SM La Salle, sebuah daripada sekolah penerima itu, di sini hari ini.

Sekolah-sekolah ini adalah antara kumpulan pertama yang menerima peruntukan tersebut. Kini terdapat 441 sekolah mubaligh di seluruh negara.

Terdahulu dalam ucapannya, Puad berkata, kebiasaannya sekolah mubaligh yang tergolong dalam kategori sekolah bantuan kerajaan, diberi modal pembangunan dua tahun sekali berdasarkan permohonan yang dibuat, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kepekaan beliau, telah memberi peruntukan khas RM70 juta untuk sekolah-sekolah mubaligh ini.

“Yang paling penting peruntukan ini mesti sampai secepat mungkin ke sekolah-sekolah tersebut untuk memastikan kecemerlangan pendidikan dapat ditingkatkan dari penambahbaikan kemudahan-kemudahan sekolah,” katanya. – Bernama

Ustaz dipercayai liwat pelajar ditahan – Bernama


Ustaz dipercayai liwat pelajar ditahan

2011/08/11

KUALA TERENGGANU: Seorang ustaz sebuah sekolah menengah di sini hari ini ditahan kerana dipercayai meliwat seorang pelajar berusia 13 tahun di sekolah itu.

Ustaz berkenaan yang mengajar subjek Pendidikan Islam ditahan di kediamannya di perumahan guru di Batu Rakit dekat sini kira-kira jam empat pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan, berkata penahanan suspek berikutan laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Polis Batu Rakit petang semalam.

“Guru berusia 42 tahun itu sudah berkahwin dan dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak tiga kali bermula Mac hingga Jun lalu di kuarters perguruan sekolah berkenaan, bersebelahan asrama putera yang dihuni mangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Manoharan berkata, polis masih menyiasat kes berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ada pelajar lelaki lain turut menjadi mangsa guru tersebut.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Rosila Nik, membenarkan guru berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. – BERNAMA

Polis buka kertas siasatan kes remaja dibaling topi keledar – Bernama


Polis buka kertas siasatan kes remaja dibaling topi keledar

2011/08/11

ALOR SETAR: Polis membuka kertas siasatan bagi kes membabitkan seorang remaja lelaki, Muhammad Solihin Che Kassim, 14, yang dikatakan koma selepas dibaling topi keledar anggota polis yang sedang melakukan rondaan di FELCRA Lubuk Sireh, Perlis kira-kira 9.40 malam Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Perlis, Superintendan Mohd Nashir Ya, berkata pihaknya menerima tiga laporan iaitu masing-masing yang dibuat oleh bapa mangsa, Che Kassim Darus, 41, anggota polis yang terbabit dan juga bahagian trafik.

“Kami akan mengambil keterangan dua anggota polis yang bertugas dan saksi yang berada di tempat kejadian. Apabila mangsa sedar sepenuhnya dan sudah boleh beri keterangan, kami akan mengambil keterangannya.

“Kami akan meneliti semua keterangan yang dibuat dan jika ada anggota bertindak di luar bidang kuasa, mereka akan dikenakan tindakan. Itu semua bergantung kepada hasil siasatan,” katanya selepas melawat Muhammad Solohin di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.

Lawatan itu turut disertai oleh pegawai kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dan wakil Persatuan Pegawai Pangkat Rendah Kontinjen Perlis.

Mohd Nashir berkata, berdasarkan laporan anggota polis terbabit, kejadian itu berlaku apabila dua anggota polis berkenaan yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu mendapati mangsa bersama seorang rakannya menunggang motosikal (secara berasingan) tanpa memakai topi keledar.

“Kedua-dua motosikal yang ditunggangi oleh mangsa dan rakannya dalam keadaan laju dan apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan terlanggar topi keledar yang dipegang oleh seorang anggota polis yang berada di situ menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas,” katanya.
Beliau berkata, selepas kejadian, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu masih dalam keadaan sedar dan boleh bercakap.

Kes itu, katanya, mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Semalam, akhbar melaporkan seorang remaja lelaki berada dalam keadaan koma di ICU HSB selepas dikatakan dibaling topi keleder oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan di FELDA Lubuk Sireh, Chuping, Perlis kerana tidak memakai topi keledar. – BERNAMA

Projek sekolah dalam hospital dapat sambutan memberangsangkan – Bernama


Projek sekolah dalam hospital dapat sambutan memberangsangkan

2011/08/11

SERDANG: Projek Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Serdang mendapat sambutan memberangsangkan meskipun baru tiga minggu beroperasi dengan kehadiran 89 pesakit untuk mengikuti sesi pembelajaran.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, berkata ini hasil daripada kerjasama dan sokongan erat daripada Yayasan Nurul Yaqeen, pihak Hospital Serdang, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat SDH di Hospital Serdang di sini hari ini, beliau berkata, terdapat banyak permintaan daripada hospital lain supaya menyediakan SDH di tempat mereka antaranya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Universiti Sains Malaysia.

“Mereka memang minta sangat adakan sekolah di sana kerana persediaan semua sudah ada. Cuma perlukan guru sahaja. Itu saya tak dapat (beri keputusan). Ini bidang kuasa Kementerian Pelajaran,” katanya.

Katanya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan memberikan masa selama enam bulan untuk melihat kejayaan projek ini, sebelum diperluaskan ke hospital-hospital lain.

Projek SDH adalah ilham Norainee yang juga penaung projek Hati Nurani untuk membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur kepada pelajar dan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital.

Ia adalah program pendidikan yang menggunakan pendekatan yang agak berbeza daripada sekolah biasa iaitu berasaskan “fun learning” yang menekankan pembelajaran secara santai dan menyeronokkan.
Setakat ini, hanya tiga hospital dipilih melaksanakan projek berkenaan iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Dalam pada itu, Norainee yang melawat sekolah itu selama kira-kira dua jam, turut beramah mesra dan memberikan duit raya kepada beberapa pesakit sambil menasihatkan mereka memanfaatkan peluang yang ada untuk mengulang kaji
pelajaran meskipun berada di hospital.

“Ada kanak-kanak yang akan menduduki peperiksaan penting seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Guru-guru di sini sentiasa sedia membantu para pelajar mengulangkaji.

“Peluang seperti ini (belajar semasa di hospital) tidak semua dapat. Daripada mereka tidak buat apa-apa, lebih baik belajar. Kalau sudah letih boleh bermain di taman,” katanya.

Sementara itu, Penyelia SDH Hospital Serdang Azizah Abdul Aziz pada sesi taklimat sebelum itu berkata, SDH mempunyai empat guru termasuk beliau, yang akan mengajar subjek utama seperti Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris serta seorang pembantu pengurusan murid.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran selama empat jam setiap hari memang fleksibel dan menyeronokkan termasuk menggunakan komputer riba dan perisian interaktif. Pembelajaran di sini sama ada secara berkumpulan di kelas atau secara individu di wad,” katanya.

Terdapat dua ruang pembelajaran di tingkat yang sama disediakan untuk murid sekolah rendah dan menengah dengan kemudahan komputer, ruang santai untuk pelajar serta ruang menunggu untuk ibu bapa.

Hari ini, Chempaka International School yang diwakili Pengetua Aimi Masdiana Mukhtar serta pelajarnya turut menyumbangkan 500 naskhah buku pelbagai jenis termasuk buku cerita dan novel untuk kegunaan para pelajar di sini. – BERNAMA

Empat tahun terlantar – Harian Metro


Empat tahun terlantar

Oleh Abu Bakar Al Sidek
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI MANIK: “Sudah tiga Aidilfitri berlalu, namun anak kami terus terlantar di atas katil,” kata Noriza Sabar, 37, ibu kepada Syamsul Hazriq Baharudin, 16, yang lumpuh selepas dipanah petir empat tahun lalu.

Kejadian ketika mangsa bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku, di sini, kira-kira jam 5 petang, 29 Januari 2008 itu menyebabkan anak ketiga daripada enam beradik dikejarkan ke hospital.
Kemalangan ketika mangsa berusia 12 tahun itu menyebabkan mangsa terlantar di atas katil kerana sukar bergerak dan tidak boleh bercakap.

“Sejak Syamsul ditimpa musibah itu sambutan Aidilfitri kami sekeluarga disambut ala kadar saja.
“Kami tidak boleh berkongsi kegembiraan menyambut lebaran kerana tidak sampai hati melihat dia terus terlantar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lot 1214, Parit 3A, Sungai Manik, di sini, semalam.
Noriza yang ditemani suaminya, Baharuddin Baharan, 48, berkata, anaknya perlu disuapkan bubur dan hanya minum susu tepung untuk membolehkannya terus bernafas.

Katanya, walaupun doktor pakar termasuk dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan anaknya mengalami lemah saraf otak dan tiada harapan sembuh, namun dia dan suami masih mengharapkan anak mereka pulih.
“Sebagai ibu, saya berdoa setiap kali selepas solat lima waktu memohon kepada Tuhan supaya anak kami sekurang-kurangnya boleh bergerak dan makan sendiri,” katanya.

Sementara itu, Baharuddin yang mengusahakan bengkel cuci kereta di hadapan rumah dengan pendapatan RM700 sebulan berkata, anaknya dulu seorang pelajar cergas, periang dan dilantik sebagai ketua pasukan bola sepak sekolah.
“Cita-citanya memimpin skuad bola sepak sekolahnya ke peringkat negeri berkecai apabila musibah itu berlaku.
“Kami suami isteri sudah puas menangis, namun reda menerima ujian Ilahi,” katanya.
Baharuddin berkata, anaknya menerima bantuan perlindungan Takaful bernilai RM15,000 sumbangan Jabatan Pelajaran Perak selain menerima bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM600 sebulan dari Baitulmal untuk menguruskan anak mereka termasuk membeli lampin pakai buang.
Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi Baharuddin menerusi talian 013-5761280.

‘Kami dah puas menangis’ – Harian Metro


‘Kami dah puas menangis’

Oleh Abu Bakar Al Sidek
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI MANIK: “Sudah tiga Aidilfitri berlalu, namun anak kami terus terlantar di atas katil,” kata Noriza Sabar, 37, ibu kepada Syamsul Hazriq Baharudin, 16, yang lumpuh selepas dipanah petir empat tahun lalu.

Kejadian ketika mangsa bermain bola sepak di Sekolah Kebangsaan Sungai Tungku, di sini, kira-kira jam 5 petang, 29 Januari 2008 itu menyebabkan anak ketiga daripada enam beradik dikejarkan ke hospital.
Kemalangan ketika mangsa berusia 12 tahun itu menyebabkan mangsa terlantar di atas katil kerana sukar bergerak dan tidak boleh bercakap.

 

“Sejak Syamsul ditimpa musibah itu sambutan Aidilfitri kami sekeluarga disambut ala kadar saja.
“Kami tidak boleh berkongsi kegembiraan menyambut lebaran kerana tidak sampai hati melihat dia terus terlantar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lot 1214, Parit 3A, Sungai Manik, di sini, semalam.
Noriza yang ditemani suaminya, Baharuddin Baharan, 48, berkata, anaknya perlu disuapkan bubur dan hanya minum susu tepung untuk membolehkannya terus bernafas.

 

 

Katanya, walaupun doktor pakar termasuk dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan anaknya mengalami lemah saraf otak dan tiada harapan sembuh, namun dia dan suami masih mengharapkan anak mereka pulih.
“Sebagai ibu, saya berdoa setiap kali selepas solat lima waktu memohon kepada Tuhan supaya anak kami sekurang-kurangnya boleh bergerak dan makan sendiri,” katanya.

 

Sementara itu, Baharuddin yang mengusahakan bengkel cuci kereta di hadapan rumah dengan pendapatan RM700 sebulan berkata, anaknya dulu seorang pelajar cergas, periang dan dilantik sebagai ketua pasukan bola sepak sekolah.
“Cita-citanya memimpin skuad bola sepak sekolahnya ke peringkat negeri berkecai apabila musibah itu berlaku.
“Kami suami isteri sudah puas menangis, namun reda menerima ujian Ilahi,” katanya.
Baharuddin berkata, anaknya menerima bantuan perlindungan Takaful bernilai RM15,000 sumbangan Jabatan Pelajaran Perak selain menerima bantuan RM300 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM600 sebulan dari Baitulmal untuk menguruskan anak mereka termasuk membeli lampin pakai buang.
Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga itu boleh menghubungi Baharuddin menerusi talian 013-5761280.

Lelaki dibelasah, kekasih diperkosa – Harian Metro


Lelaki dibelasah, kekasih diperkosa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

REMBAU: Seorang remaja lelaki bukan saja cedera dibelasah sekumpulan lelaki, malah teman wanitanya menjadi mangsa rogol dalam kejadian berhampiran sebuah ladang di Chembong di sini, Sabtu lalu.

Selain itu, dompet mangsa berusia 17 tahun itu bersama sejumlah wang turut dikebas kumpulan terbabit.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom berkata, remaja terbabit dan kekasihnya berusia 17 tahun dikatakan menaiki motosikal dari Kota menuju ke Chembong.

 

“Difahamkan, timbul perselisihan faham antara mereka menyebabkan lelaki itu memberhentikan motosikal berhampiran sebuah ladang untuk berbincang, sebelum tiba-tiba kumpulan lelaki itu muncul,” katanya.

Keracunan berlaku dalam tempoh 8 jam – Harian Metro


Keracunan berlaku dalam tempoh 8 jam

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Kebiasaannya, keracunan makanan berlaku dalam tempoh lapan jam selepas memakan makanan yang tercemar dan kadang-kadang hanya dalam tempoh dua hingga tiga jam saja jika keadaan seseorang mangsa itu sudah terlalu kritikal.

“Tanda-tandanya termasuk rasa mual, muntah, cirit-birit, pening kepala serta gangguan perut,” kata Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Razak Lajis.
Razak berkata, masyarakat sering kali didedahkan dan mendengar mengenai bahaya keracunan makanan malah kematian berpunca daripada kes ini turut dilaporkan di media massa.

 

Katanya, masalah ini boleh berlaku di mana-mana, pada bila-bila masa saja dan bukannya hanya terjadi atau menjadi isu hangat setiap kali tibanya Ramadan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang murid, Nurdini Mohamad Ali, 11, yang meninggal dunia Isnin lalu selepas menikmati juadah berbuka puasa dibelikan bapanya di sebuah bazar Ramadan berdekatan rumahnya di Taman Seri Mewah dekat Meru, Klang.
“Antara punca keracunan makanan ialah kemunculan bakteria dalam makanan, akibat proses penyediaan makanan yang kotor, makanan tidak dimasak dengan sempurna dan makanan yang terdedah kepada persekitaran,” katanya.

 

 

“Dalam kes kanak-kanak itu, Jabatan Kesihatan perlu membuat siasatan terperinci seperti mengambil sampel dan melakukan ujian ke atas semua bahan makanan didakwa menjadi punca kematiannya,” katanya.
Menurutnya, orang ramai sukar mengenal pasti sama ada makanan itu sudah tercemar atau tidak tapi seharusnya bijak memilih tempat makan dengan melihat keadaan persekitaran setempat.

 

Sekiranya ia terdedah kerana peniaga tidak menutup makanan itu, potensi jangkitan kuman atau makanan itu dihinggapi bakteria amat besar.
“Memang diakui, di zaman kini akibat kekangan masa, orang ramai lebih mudah memilih untuk membeli makanan di luar saja tetapi sebaiknya saya nasihatkan agar mereka memasak sendiri di rumah,” katanya.

Pihak sekolah usaha tuntutan takaful – Harian Metro


Pihak sekolah usaha tuntutan takaful

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MERU: “Pihak sekolah sedang mengusahakan supaya keluarga murid yang meninggal dunia Isnin lalu dipercayai akibat keracunan dapat insurans takaful, sekurang-kurangnya diharap dapat mengurangkan beban keluarga itu.

“Seluruh warga sekolah amat bersimpati dengan kejadian ini. Kami juga sudah mengadakan bacaan tahlil mendoakan arwah dicucuri rahmat,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai, Azman Mingan berhubung kematian murid tahun lima sekolah itu, Nurdini Mohamad Ali.
Harian Metro semalam melaporkan Nurdini maut Isnin lalu manakala keluarganya dimasukkan wad Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang selepas berbuka puasa juadah dibeli di bazar Ramadan bersebelahan sekolahnya sehari sebelum itu.

 

Mengulas mengenai kedudukan bazar yang terletak berhampiran sekolah itu, Azman berkata, itu di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ia di luar kuasa pihaknya.
Ditanya sama ada pihaknya menerima laporan murid lain yang tidak hadir ke sekolah kerana sakit perut akibat keracunan makanan, katanya, setakat ini beliau dimaklumkan tiada murid lain mengalami keadaan itu selain adik-beradik arwah Nurdini.

Belikan ibu baju raya guna duit sumbangan – Berita Harian


Belikan ibu baju raya guna duit sumbangan
Oleh Suzalina Halid
suzalina@bharian.com.my
2011/08/11

AmBank sedia RM100,000 ceriakan anak yatim

KUALA LUMPUR: “Sudah lima tahun ibu tidak beli baju raya, jadi dengan sumbangan duit raya AmBank ini, saya berhajat untuk membelikan ibu baju raya,” demikian luahan seorang penghuni Rumah Amal Baitul Kasih, Rawang, Selangor, Mohd Zulhilmi Anuar, 17, yang menerima bantuan Hari Raya daripada Kelab AmBank Group (KAG), Kumpulan AmBank, di sini semalam.

Zulhilmi begitu sayu mengenangkan nasib ibunya, Saadiah Abbas, 44, yang bersusah-payah berniaga kuih-muih di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa bagi menyara kehidupan dia tiga beradik sehingga tidak mampu menyediakan persiapan bagi menyambut hari lebaran.

Kehidupan kami makin terdesak selepas ayah meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu akibat kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan saya dan adik-beradik terpaksa menjadi penghuni Rumah Amal Baitul Kasih – Mohd Zulhilmi Anuar, Penghuni Rumah Amal Baitul Kasih

Justeru, Zulhilmi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, terpanggil untuk melakukan sedikit pengorbanan dengan membelikan ibunya baju raya tahun ini dengan menggunakan sumbangan Kumpulan AmBank itu.

“Pendapatan ibu kira-kira RM500 sebulan dengan menjual kuih memang tidak mampu untuk membeli baju atau kuih raya setiap kali menyambut hari lebaran. Kebiasaannya, bapa saudara akan membelikan baju raya untuk ibu,” katanya.

Malah, katanya, kehidupan mereka makin terdesak selepas ayahnya meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu akibat kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia adik-beradik terpaksa menjadi penghuni Rumah Amal Baitul Kasih.

Selain Zulhilmi, KAG turut menyampaikan bantuan kepada 111 kanak-kanak lain, iaitu 35 orang dari Rumah Amal Baitul Kasih, 51 penghuni Keluarga Besar Norlina Alawi Bhd dan 25 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kasih Harapan, Petaling Jaya.
Bantuan berbentuk sumbangan RM150 untuk membeli keperluan baju raya di Mydin Wholesale Emporium, Sinar Kota serta RM50 duit raya diberikan kepada setiap seorang, selain pemberian RM200 untuk ibu tunggal dari Rumah Amal Baitul Kasih.

Naib Presiden KAG, Anuar Omar, berkata Kumpulan AmBank memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan itu, termasuk pemberian sumbangan RM5,000 kepada tiga rumah kebajikan terbabit.

Katanya, bantuan itu adalah tradisi Kumpulan AmBank dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat yang bukan saja untuk sambutan hari raya malah bagi perayaan lain juga.