Belikan ibu baju raya guna duit sumbangan – Berita Harian


Belikan ibu baju raya guna duit sumbangan
Oleh Suzalina Halid
suzalina@bharian.com.my
2011/08/11

AmBank sedia RM100,000 ceriakan anak yatim

KUALA LUMPUR: “Sudah lima tahun ibu tidak beli baju raya, jadi dengan sumbangan duit raya AmBank ini, saya berhajat untuk membelikan ibu baju raya,” demikian luahan seorang penghuni Rumah Amal Baitul Kasih, Rawang, Selangor, Mohd Zulhilmi Anuar, 17, yang menerima bantuan Hari Raya daripada Kelab AmBank Group (KAG), Kumpulan AmBank, di sini semalam.

Zulhilmi begitu sayu mengenangkan nasib ibunya, Saadiah Abbas, 44, yang bersusah-payah berniaga kuih-muih di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa bagi menyara kehidupan dia tiga beradik sehingga tidak mampu menyediakan persiapan bagi menyambut hari lebaran.

Kehidupan kami makin terdesak selepas ayah meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu akibat kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan saya dan adik-beradik terpaksa menjadi penghuni Rumah Amal Baitul Kasih – Mohd Zulhilmi Anuar, Penghuni Rumah Amal Baitul Kasih

Justeru, Zulhilmi yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, terpanggil untuk melakukan sedikit pengorbanan dengan membelikan ibunya baju raya tahun ini dengan menggunakan sumbangan Kumpulan AmBank itu.

“Pendapatan ibu kira-kira RM500 sebulan dengan menjual kuih memang tidak mampu untuk membeli baju atau kuih raya setiap kali menyambut hari lebaran. Kebiasaannya, bapa saudara akan membelikan baju raya untuk ibu,” katanya.

Malah, katanya, kehidupan mereka makin terdesak selepas ayahnya meninggal dunia kira-kira lapan tahun lalu akibat kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia adik-beradik terpaksa menjadi penghuni Rumah Amal Baitul Kasih.

Selain Zulhilmi, KAG turut menyampaikan bantuan kepada 111 kanak-kanak lain, iaitu 35 orang dari Rumah Amal Baitul Kasih, 51 penghuni Keluarga Besar Norlina Alawi Bhd dan 25 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Kasih Harapan, Petaling Jaya.
Bantuan berbentuk sumbangan RM150 untuk membeli keperluan baju raya di Mydin Wholesale Emporium, Sinar Kota serta RM50 duit raya diberikan kepada setiap seorang, selain pemberian RM200 untuk ibu tunggal dari Rumah Amal Baitul Kasih.

Naib Presiden KAG, Anuar Omar, berkata Kumpulan AmBank memperuntukkan kira-kira RM100,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan itu, termasuk pemberian sumbangan RM5,000 kepada tiga rumah kebajikan terbabit.

Katanya, bantuan itu adalah tradisi Kumpulan AmBank dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat yang bukan saja untuk sambutan hari raya malah bagi perayaan lain juga.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s