Projek sekolah dalam hospital dapat sambutan memberangsangkan – Bernama


Projek sekolah dalam hospital dapat sambutan memberangsangkan

2011/08/11

SERDANG: Projek Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Serdang mendapat sambutan memberangsangkan meskipun baru tiga minggu beroperasi dengan kehadiran 89 pesakit untuk mengikuti sesi pembelajaran.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman, berkata ini hasil daripada kerjasama dan sokongan erat daripada Yayasan Nurul Yaqeen, pihak Hospital Serdang, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat SDH di Hospital Serdang di sini hari ini, beliau berkata, terdapat banyak permintaan daripada hospital lain supaya menyediakan SDH di tempat mereka antaranya Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia dan Hospital Universiti Sains Malaysia.

“Mereka memang minta sangat adakan sekolah di sana kerana persediaan semua sudah ada. Cuma perlukan guru sahaja. Itu saya tak dapat (beri keputusan). Ini bidang kuasa Kementerian Pelajaran,” katanya.

Katanya, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan memberikan masa selama enam bulan untuk melihat kejayaan projek ini, sebelum diperluaskan ke hospital-hospital lain.

Projek SDH adalah ilham Norainee yang juga penaung projek Hati Nurani untuk membantu menyediakan pendidikan secara formal dan berstruktur kepada pelajar dan kanak-kanak yang menerima rawatan di hospital.

Ia adalah program pendidikan yang menggunakan pendekatan yang agak berbeza daripada sekolah biasa iaitu berasaskan “fun learning” yang menekankan pembelajaran secara santai dan menyeronokkan.
Setakat ini, hanya tiga hospital dipilih melaksanakan projek berkenaan iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

Dalam pada itu, Norainee yang melawat sekolah itu selama kira-kira dua jam, turut beramah mesra dan memberikan duit raya kepada beberapa pesakit sambil menasihatkan mereka memanfaatkan peluang yang ada untuk mengulang kaji
pelajaran meskipun berada di hospital.

“Ada kanak-kanak yang akan menduduki peperiksaan penting seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Guru-guru di sini sentiasa sedia membantu para pelajar mengulangkaji.

“Peluang seperti ini (belajar semasa di hospital) tidak semua dapat. Daripada mereka tidak buat apa-apa, lebih baik belajar. Kalau sudah letih boleh bermain di taman,” katanya.

Sementara itu, Penyelia SDH Hospital Serdang Azizah Abdul Aziz pada sesi taklimat sebelum itu berkata, SDH mempunyai empat guru termasuk beliau, yang akan mengajar subjek utama seperti Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris serta seorang pembantu pengurusan murid.

“Kaedah pengajaran dan pembelajaran selama empat jam setiap hari memang fleksibel dan menyeronokkan termasuk menggunakan komputer riba dan perisian interaktif. Pembelajaran di sini sama ada secara berkumpulan di kelas atau secara individu di wad,” katanya.

Terdapat dua ruang pembelajaran di tingkat yang sama disediakan untuk murid sekolah rendah dan menengah dengan kemudahan komputer, ruang santai untuk pelajar serta ruang menunggu untuk ibu bapa.

Hari ini, Chempaka International School yang diwakili Pengetua Aimi Masdiana Mukhtar serta pelajarnya turut menyumbangkan 500 naskhah buku pelbagai jenis termasuk buku cerita dan novel untuk kegunaan para pelajar di sini. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s