4 guru ditahan jual nama anak yatim raih simpati – Kosmo


4 guru ditahan jual nama anak yatim raih simpati

 

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my

 

KAKITANGAN JKM (kanan) mengiringi seorang jurujual wanita dan lelaki yang mengaku guru asrama anak yatim untuk disiasat selepas ditahan di Ayer Keroh, Melaka semalam.

 

MELAKA – Empat guru asrama anak-anak yatim sebuah pusat tahfiz ditahan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam apabila didapati menjual barangan menggunakan nama pusat berkenaan bagi meraih simpati orang ramai.

Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM negeri, Saidatul Aini Jafri berkata, tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 25 hingga 29 tahun yang mendakwa guru dari pusat berkenaan yang terletak di Kedah ditahan ketika menjual pelekat ayat-ayat al-Quran, cakera padat, tisu dan madu kepada orang ramai.

“Mereka ditahan dalam operasi bersepadu JKM bersama-sama Jabatan Agama Islam Melaka, polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Operasi dijalankan setelah menerima banyak rungutan daripada orang ramai mengenai banyak kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti sebegini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Saidatul Aini berkata, operasi di 15 lokasi sekitar bandar Melaka dan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh itu berjaya menahan keempat-empat individu terbabit ketika sedang melakukan jualan.

8 sekolah mubaligh di Sandakan terima cek bantuan


8 sekolah mubaligh di Sandakan terima cek bantuan

12/08/2011 12:08pm

 

SANDAKAN 12 Ogos – Lapan sekolah mubaligh di daerah ini masing-masing menerima bantuan RM50,000 dari peruntukan khas kerajaan yang disampaikan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd Puad Zarkashi, di sini hari ini.

Sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary, SMK St Micheal, SMK Convent St Cecelia, Sekolah Kebangsaan (SK) St Gabriel, SK St Mary Convent, SK St Mary Labuk dan SK St Monica.

Puad ketika berucap pada majlis itu berkata, sekolah berkenaan adalah antara 101 sekolah mubaligh di negeri ini yang menerima peruntukan khas daripada kerajaan tersebut.

Katanya, secara keseluruhan 441 sekolah mubaligh di negara ini akan menerima bantuan peruntukan khas kerajaan berjumlah RM70 juta.

“Bantuan itu adalah bukti kerajaan tidak meminggirkan sekolah bantuan kerajaan dan mubaligh yang terdapat di negara ini kerana mereka juga memberi sumbangan besar kepada pendidikan negara.

“Ada di antara sekolah itu mencatatkan rekod cemerlang termasuk sebagai sebuah Sekolah Berprestasi Tinggi dan untuk itu kerajaan terus memberi bantuan kepada mereka termasuk dalam aspek pengurusan dan pentadbiran,” katanya.

Setiausaha Lembaga Pengurusan SMK St. Mary, Francis Tan menyifatkan bantuan khas itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sekolah mubaligh di negara ini.

Katanya, bantuan khas itu sememangnya diperlukan untuk penyelenggaraan dan naik taraf bangunan sekolah tersebut yang masih mengekalkan bangunan lama sejak dibina pada 1950an.

Semalam, Mohd Puad menyampaikan cek bantuan yang sama kepada SK Holy Cross di daerah Beluran dan 12 sekolah mubaligh di Kota Kinabalu. – Bernama

Penjawat awam Sarawak terima bonus setengah bulan – Bernama


Penjawat awam Sarawak terima bonus setengah bulan

12/08/2011 5:16pm

 

KUCHING 12 Ogos — Kira-kira 16,000 penjawat awam kerajaan negeri Sarawak akan menerima bonus setengah bulan gaji dengan minimum RM500, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan hari ini.

Beliau berkata, turut layak menerima bonus tersebut ialah kira-kira 2,000 pelatih siswazah yang bekerja secara kontrak di beberapa agensi kerajaan negeri.

“Seperti mana bonus daripada kerajaan pusat, Sarawak juga akan memberi bonus kepada semua penjawat awam sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya kepada pemberita, di sini.

Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM14.1 juta untuk pemberian bonus tersebut. —Bernama

Polis siasat dakwaan remaja cedera dibaling topi keledar – Utusan


Polis siasat dakwaan remaja cedera dibaling topi keledar

ALOR SETAR 11 Ogos – Polis telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat dakwaan seorang remaja yang kini koma selepas dibaling dengan topi keledar oleh dua anggota polis sewaktu menjalankan rondaan di Kampung Felcra Lubuk Sireh, Chuping di Perlis pada Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Perlis, Supritendan Mohd. Nashir Ya berkata, siasatan tersebut dibuat mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan melalui perbuatan yang membahayakan nyawa manusia.

“Setakat ini kita menerima tiga laporan mengenai kes ini iaitu satu daripada bapa remaja tersebut, satu laporan daripada dua anggota polis yang dikatakan membaling topi keledar kepada remaja ini dan satu lagi laporan diterima daripada polis bahagian trafik.

“Kami sedang mengumpul keterangan semua saksi kes ini sebelum membuat rumusan mengenai kes tersebut,” katanya ketika ditemui selepas melawat Muhammad Solihin Che Kassim, 14, di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.

Bapa Muhammad Solihin, Che Kassim Darus, 41, mendakwa anaknya itu cedera parah di kepala akibat terkena topi keledar yang dibaling oleh anggota polis sewaktu menjalankan rondaan kira-kira pukul 9.40 malam, Sabtu lalu.

Remaja itu yang tidak bersekolah itu terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HSB di sini setelah dipindahkan dari Hospital Tuanku Fauziah, Kangar kira-kira 2 pagi semalam.

Menurut Mohd. Nashir, dia difahamkan kejadian itu berlaku apabila dua anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu mendapati remaja ini bersama seorang rakannya menunggang motosikal (secara berasingan) tanpa memakai topi keledar.

“Kedua-dua motosikal yang ditunggangi oleh remaja tersebut dan rakannya dalam keadaan laju dan apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dikatakan terlanggar topi keledar yang dipegang oleh seorang anggota polis yang berada di situ menyebabkan dia hilang kawalan dan terbabas,” katanya.

Tegasnya, pihak polis akan berlaku adil dan telus dalam penyiasatan kes tersebut serta tidak akan menyembunyikan apa-apa daripada orang awam.

“Anggota polis yang didakwa terlibat dalam kejadian itu masih bertugas dan polis akan mengambil tindakan tegas sekiranya terbukti kesalahan itu berpunca daripada pihak kami.

“Sehubungan itu, saya minta supaya perkara ini tidak disensasikan, biar kita siasat seadil mungkin,” katanya.

Waris Muhammad Imran dicari – Utusan


Waris Muhammad Imran dicari

Muhammad Imran Jaharudin

 

PUTRAJAYA 11 Ogos – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cawangan Putrajaya meminta waris kepada seorang kanak-kanak berketurunan Melayu, Muhammad Imran Jaharudin, 11, tampil menghubungi jabatan tersebut.

Pegawai JKM cawangan Putrajaya, Hamsa Moksin berkata, Muhammad Imran ditemui berseorangan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 23 Julai lepas tanpa sebarang tujuan dan penjaga.

“Menurut Muhammad Imran, dia datang ke Putrajaya bersama ibunya, Timah Sara untuk berjumpa dengan abang kandungnya di masjid berkenaan.

“Selepas pertemuan itu, ibunya menunaikan solat sementara abangnya meninggalkan mereka, kemudian dia gagal untuk bertemu dengan ibunya semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Hamsa berkata, menurut kanak-kanak malang itu, dia berasal dari Kampung Alek Bukit, Kuala Krai, Kelantan.

“Buat masa ini, dia ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Kuala Kangsar, Perak,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris Muhammad Imran menghubungi Mohd. Fazli Abdul Rahman atau Hamsa sendiri di talian 03-88901672.

Gadis hilang di Kampar, jumpa di Batu Pahat – Utusan


Gadis hilang di Kampar, jumpa di Batu Pahat

Seri Najwa Ferda Hasan

 

KAMPAR 11 Ogos – Seri Najwa Ferda Hasan (gambar), pelajar tingkatan lima yang dilaporkan hilang selepas keluar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar di sini pada Khamis lalu, ditemui di Batu Pahat, Johor yang terletak kira-kira 440 kilometer dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Abdul Aziz Salleh berkata, gadis tersebut dijumpai di tepi jalan di Jalan Johor-Air Hitam pada pukul 9 malam tadi.

“Sejak laporan kehilangan mangsa dibuat pada 4 Ogos lalu, polis menjalankan siasatan dan hasil maklumat yang kita dapat telah membawa satu pasukan ke Johor.

“Kita berjaya menemui mangsa di tepi gerai jualan kerepek di Jalan Johor-Air Hitam bersama dengan seorang lelaki Melayu berasal dari Ipoh yang dipercayai teman lelakinya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Abdul Aziz, sejurus selepas itu, pihaknya telah membuat laporan menangkap dua remaja berkenaan dan membawa mereka Balai Polis Kampar bagi membantu siasatan.

Ibu harap anak pulih – Utusan


Ibu harap anak pulih

 

Oleh OOI CHOON JOO
pengarang@utusan.com.my

 

Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan bersama Che Ku Zaimah Che Ku Awang selepas menghadiri rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos – Siapa yang tidak sedih melihat keadaan mangsa simbah asid, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 9, mengharungi kehidupan dalam keadaan wajahnya yang penuh dengan parut akibat terkena asid angkara perbuatan bapanya sendiri.

Ibu mangsa, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, berkata, dia sangat sedih setiap kali memandang wajah anaknya itu dan hanya berharap ia dapat dipulihkan segera.

“Saya harap sangat wajah Nurul Dahyatul Fazlina dapat dipulihkan secepat mungkin dan boleh kembali menjalani kehidupan seperti orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri rancangan Selamat Pagi Malaysia di Wisma Angkasapuri di sini, hari ini.

Nurul cedera teruk di wajah dan bahagian kepala serta badan akibat terkena simbahan asid ketika cuba meleraikan pertengkaran ibu dan bapanya di rumah mereka di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu pada 15 Ogos 2010.

Che Ku Zaimah berkata, wajah anaknya itu boleh dipulihkan sekiranya dia menjalani pembedahan plastik yang melibatkan kos kira-kira RM300,000.

Dalam pada itu, Pengurus Larian Sahara, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk membantu Nurul Dahyatul Fazlina menerusi tabung yang ditubuhkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).

“Kita telah melancarkan tabung yang dikenali sebagai Tabung Pulih Wajah Nurul Dahyatul Fazlinda-YPU dua minggu lalu,” katanya.

Selain itu, Sheikh Ahmad Dusuki berkata, kerajaan perlu memandang berat dan mengambil tindakan segera berhubung isu penjualan asid atau cuka getah secara terbuka kepada orang awam.

“Ketika ini sesiapa sahaja boleh membeli cuka itu dari kedai logam tanpa dikawal dan terma cuka getah juga perlu diubah kerana rata-rata masyarakat menganggapnya tidak berbahaya dan sama seperti cuka makanan,” tegasnya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan kepada tabung tersebut menerusi nombor akaun Bank Islam (Malaysia) Bhd. 13053010003071.

Guru agama ditahan liwat pelajar – Utusan


Guru agama ditahan liwat pelajar

KUALA TERENGGANU 11 Ogos – Polis menahan seorang guru agama di sebuah sekolah menengah di Batu Rakit di sini, awal pagi ini bagi membantu siasatan kes meliwat seorang pelajar lelaki.

Guru berusia 42 tahun itu didakwa meliwat mangsa yang baru berumur 13 tahun antara bulan Mac hingga Jun tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, pelajar tersebut bagaimanapun hanya membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Batu Rakit semalam.

Menurutnya, dalam laporan itu, mangsa mendakwa telah diliwat sebanyak tiga kali oleh suspek di sebuah kuarters guru.

“Selepas laporan itu diterima, polis menahan guru agama itu kira-kira pukul 4 pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Manoharan berkata, guru agama itu sudah berkahwin namun isterinya yang juga seorang guru kini tinggal dan mengajar di Kelantan.

Syarat tak sesuai bantu anak miskin – Utusan


Syarat tak sesuai bantu anak miskin

 

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup. com.my

 

RUMAH Inapan Kasih Sayang milik PUZ, MAINPP yang terletak di Lot 4188, Mukim 8, Pongsu Seribu Kepala Batas, Pulau Pinang.

 

PULAU PINANG 11 Ogos – Matlamat penubuhannya sangat murni iaitu mahu menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada kanak-kanak miskin bagi membimbing mereka menjadi insan berjaya.

Namun, syarat kemasukan calon pelajar untuk mengikuti pengajian di Kompleks Inapan Kasih Sayang milik Pusat Urus Zakat (PUZ) itu dilihat tidak selari dengan matlamat tersebut.

Berikutan itu, Persatuan Kebajikan Anak-anak Miskin Islam Pulau Pinang (Pekami) yang pada awalnya berhasrat menguruskan kompleks berkenaan menarik diri kerana kecewa dengan syarat ditetapkan.

Yang Dipertua Pekami, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, sepatutnya kelayakan akademik seseorang calon untuk menyertai pengajian di kompleks itu tidak perlu dititikberatkan jika matlamat penubuhannya mahu membantu golongan miskin.

“Bila saya tengok syarat tersebut, saya gelak sebab ini bukan nak masuk sekolah berasrama penuh. Saya juga rasa dukacita. Ia dibina daripada duit zakat, nak bantu kanak-kanak miskin supaya dapat bimbing mereka jadi orang baik-baik,” katanya di pejabatnya di sini semalam.

Antara syarat-syarat kemasukan ke kompleks berkenaan adalah calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya 2A dalam mana-mana mata pelajaran pada peperiksaan pertengahan tahun.

Calon juga perlu mendapat sekurang-kurangnya 60 peratus markah keseluruhan peperiksaan.

Kompleks Inapan Kasih Sayang yang terletak di Pongsu Seribu, Kepala Batas siap awal tahun ini bagi menempatkan anak-anak fakir miskin dari sekitar Pulau Pinang iaitu dari tahun empat dan lima.

Difahamkan, kompleks yang terletak di kawasan seluas kira-kira dua hektar itu boleh menampung sekurang-kurangnya 400 penghuni.

Menurut Mohd. Yussof, kanak-kanak dari keluarga miskin perlu dibantu supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik apabila dewasa nanti walaupun kelayakan akademik mereka tidak tinggi.

Jelasnya, bimbingan yang sempurna dapat menghindari golongan berkenaan daripada terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang boleh merosakkan kehidupan mereka.

“Siapa yang paling ramai merempit, melepak, mencuri, hisap dadah dan sumbang mahram kalau bukan orang Melayu? Jika pengendalian rumah kebajikan sebegini tidak betul, bagaimana kita nak tolong anak-anak miskin supaya jadi rakyat yang baik,” ujarnya.

Ikut lelaki 400km – Harian Metro


Ikut lelaki 400km

Oleh Kasdi Ali
kasdi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAMPAR: Misteri kehilangan gadis berusia 17 tahun sejak seminggu lalu akhirnya terjawab selepas mangsa ditemui dalam keadaan ‘bingung’ di satu lokasi kira-kira 400 kilometer (km) dari rumahnya, kelmarin.

Seri Najwa Ferda Hasan yang didakwa diculik seorang lelaki menaiki skuter merah ketika dalam perjalanan ke sekolah pada 4 Ogos lalu, ditemui bersama seorang lelaki berusia 19 tahun kira-kira jam 9 malam kelmarin di Air Hitam, Batu Pahat, Johor.
Lebih pelik, mangsa difahamkan ditemui ketika sedang membeli makanan ringan bersama dengan ‘penculiknya’ di kawasan pekan berkenaan.

 

Mangsa kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, untuk dipertemukan kembali dengan ahli keluarganya kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
Ibu mangsa, Seri Wangi Mokhtar, 42, bersyukur ke hadrat Ilahi berikutan anaknya itu ditemui semula dalam keadaan selamat.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis dan media dalam usaha mencari anak saya sehingga berjaya ditemui. Saya anggap kejadian ini satu dugaan daripada Tuhan pada bulan Ramadan.

 

 

“Saya reda menghadapinya kerana dugaan ini tidak akan diberikan kepada insan yang lemah. Ia mengajar kami sekeluarga supaya lebih tabah dan mempunyai hikmah di sebaliknya,” katanya.
Difahamkan Najwa dipujuk lelaki berkenaan untuk melarikan diri dari rumah sebelum dibawa ke Johor atas sebab-sebab tertentu.

 

Ditanya sama ada dia ingin mengambil tindakan terhadap teman lelaki anaknya, Seri Wangi menyerahkan siasatan dan tindakan selanjutnya kepada pihak polis.
“Saya enggan memberi sebarang komen mengenai perkara itu dan minta diberikan masa kepada kami untuk berbincang. “Perkara paling penting Najwa ditemui selamat. Insya-Allah kami akan mengadakan kenduri doa selamat dan berharap ia adalah dugaan pertama dan terakhirnya seumpamanya dihadapi keluarga kami,” kata Seri Wangi yang juga ibu tunggal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan mendapati kes kehilangan mangsa bukan disebabkan diculik.
“Mangsa ditemui di Air Hitam, Batu Pahat, Johor malam semalam (kelmarin) dalam keadaan selamat dan siasatan mendapati, mangsa bukan diculik tapi mengikut rakan lelakinya. Seorang suspek lelaki kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.