Bapa subahat – Harian Metro


Bapa subahat

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JITRA: Tindakan duda membawa teman wanitanya pulang ke rumah hampir setiap malam akhirnya membawa padah apabila dia dan pasangannya dicekup berkhalwat di rumah di Kampung Darat, Changlun, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 28 tahun yang mempunyai dua anak itu dikatakan menjadikan rumah bapanya sebagai tempat memuaskan nafsu bersama pasangannya berusia 18 tahun berasal dari Kampung Alor Janggus, Napoh, di sini.
Ketika kejadian, bapanya berusia 70 tahun yang tidur dalam bilik berasingan di rumah itu terkejut apabila pintu rumah mereka diketuk sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kubang Pasu (PADKP) jam 1.15 pagi.

 

Difahamkan, kegiatan maksiat lelaki itu pernah ditegur penduduk kampung kerana tidak mahu bersubahat tetapi disebabkan takut dengan ugutan si anak, si bapa mendiamkan diri dan membenarkan anaknya bergelumang dengan dosa terutama pada Ramadan ini.
Mereka memberi alasan terpaksa tinggal bersama di rumah itu kerana hubungan cinta tidak direstui keluarga perempuan walaupun mereka berhasrat berkahwin.
Sumber berkata, berdasarkan aduan, pihaknya memeriksa rumah terbabit dan ternampak kelibat lelaki itu cuba melarikan diri melalui pintu belakang, tetapi gagal apabila dikepung anggota penguat kuasa.

 

 

Katanya, lelaki yang berkemeja-T dan memakai boxer itu gagal meloloskan diri apabila dia terperangkap lalu terpaksa menyerah diri.
“Hasil pemeriksaan menemui wanita memakai kain pelikat dan berkemeja-T keluar dari bilik dipercayai bilik pasangannya itu.

 

“Selepas disoal siasat, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai ikatan suami isteri,” katanya.
Selain pasangan itu, bapa lelaki terbabit turut ditahan untuk diambil keterangan kerana bersubahat dan membenarkan anaknya melakukan maksiat.
Katanya, mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untukt laporan tangkapan.

Sering termenung – Harian Metro


Sering termenung

Oleh Nazri Abu Bakar
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: Sering termenung sejak tiga hari lalu menjadi petanda awal kematian pemain bola sepak Melaka, Mohd Ikram Abd Latif selepas terbabit kemalangan bersama rakannya di Kampung Bertam Ulu di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, Mohd Ikram, 14, mengalami kecederaan teruk di kepala dan paru-paru apabila motosikal dibonceng melanggar tiang elektrik.
Mangsa yang juga pemain bola sepak Melaka bawah 14 tahun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.50 pagi semalam ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

 

Rakannya, Urwah Malik, 14, yang menunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah di leher dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ibu Allahyarham, Zabina Bidin, 46, berkata, arwah tidak banyak bersembang sebaliknya termenung dan enggan bercakap seperti selalu seolah-olah tahu ajal akan menjemputnya.
Menurutnya, arwah anak bongsu daripada tiga beradik itu amat rapat dengannya malah sering bergurau dan selalu membuatkan dia ceria dengan keletahnya.

 

 

Katanya, anaknya itu sempat bertarawih di masjid berhampiran sebelum ke rumah rakan menonton aksi rakaman perlawanan bola sepak di televisyen saluran Astro membabitkan pasukannya iaitu Asa Jejak Mega di Stadium Shah Alam pada kejohanan Liga Cardiff City 1Malaysia.
“Difahamkan sebaik keluar dari rumah rakannya, mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik. Arwah dan rakannya dikejarkan ke hospital tetapi menghembuskan nafas terakhir tidak lama selepas itu. “Hati saya amat hiba dan sedih dengan kejadian ini terutama mengenang kembali pelbagai keletahnya sepanjang saya membesarkannya. Namun, saya tetap reda dengan pemergiannya tidak akan kembali lagi,” katanya.

 

Lebih sayu buat Zabina berikutan suaminya yang juga bekas pemandu meninggal dunia dua tahun lalu, manakala datuk arwah juga meninggal dunia setahun lalu.
Sementara itu, bapa saudara arwah, Azam Bidin, 42, berkata, anak buahnya pernah menyatakan kepada rakan karibnya mengenai badannya tidak selesa tiga hari lalu.
Menurutnya, dia juga memberitahu nenek mengenai sebelah badannya seperti tidak terasa apa-apa sehari sebelum meninggal dunia.
“Sikapnya yang mudah mesra membolehkan rakan dan penduduk kampung suka bergaul dan bersembang dengannya,” katanya.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bertam Ulu selepas solat Zuhur semalam.
Turut hadir majlis pengebumian itu pengurus pasukannya, Kamarul Azli Jaafar, jurulatih Johari Mat Aris dan Azian Rahman serta penduduk kampung.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Melaka Tengah, Asisten Superintendan V Gunasegaran mengesahkan kejadian.

‘Insaflah pak cik’ – Harian Metro


‘Insaflah pak cik’

Oleh Asmizan Mohd Samiran
mizan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun yang mengalami masalah kesihatan, termasuk darah tinggi, bernasib baik tidak menghabiskan bulan Ramadan ini di penjara apabila dibenarkan diikat jamin selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, 27 Julai lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal L Saleh, membenarkan tertuduh, Mat Amin Hussin yang mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan, diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira faktor usia tertuduh.
Dalam prosiding semalam, Zainal berkata, tertuduh dan ahli keluarga serta rakannya tidak dibenarkan menghampiri atau mengganggu mangsa.

 

“Dalam kebanyakan kes rogol, saya jarang membenarkan orang yang kena tuduh dikenakan jaminan, namun mengambil kira kepada fakta usia, saya membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula 15 September depan.
“(Bagaimanapun), jika ada sebarang gangguan terhadap mangsa yang tinggal sekampung dengan tertuduh, jaminan itu akan dibatalkan serta-merta dan tertuduh akan ditempatkan di penjara sehingga kes ini selesai,” katanya.
Zainal berkata, sepatutnya dalam usia lanjut, tertuduh perlu sentiasa menginsafi diri dengan banyak melakukan kerja amal, bukan masih terbabit kesalahan seperti itu.

 

 

“Sepatutnya pada peringkat usia pak cik, harus sentiasa berada di surau atau di masjid, tidak sesuai berada dalam kandang orang salah seperti hari ini (semalam),” katanya.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pada kira-kira jam 2 petang 22 Julai lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Beris Gajah Mati, Tawang, Bachok, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Tiga sekeluarga maut nahas ketika pulang beli juadah buka puasa – Bernama


Tiga sekeluarga maut nahas ketika pulang beli juadah buka puasa

2011/08/12

KEPALA BATAS: Tiga sekeluarga maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah pacuan empat roda di Permatang Binjai di sini ketika dalam perjalanan pulang dari membeli juadah berbuka puasa, petang semalam.

Dalam nahas pada jam 6.45 petang itu, dua beradik Nurmadiah Hashim,38, dan Nurhashima Hashim, 44, serta menantu Nurhashima, Shamsul Kamal Razali, 38, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Seberang Perai Utara, Asisten Superintenden Suhaimi Md Nor, berkata isteri Shamsul Kamal, Siti Suraya Mansor, 23, dan saudara mereka Mohd Firdaus Azlan, 10, cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini.

“Mereka pergi ke bazar Ramadan Maklom dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bakar Kapur, Penaga,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Suhaimi berkata, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan yang dipandu Siti Suraya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika di simpang empat Jalan Permatang Binjai.

“Kenderaan pacuan empat roda dari arah Butterworth itu dipandu laju dan melanggar bahagian kiri kenderaan dinaiki lima sekeluarga terbabit sehingga menyebabkannya terseret ke bahu jalan, manakala kereta pacuan empat roda itu pula terbalik,” katanya.

Suhaimi berkata, empat orang yang menaiki kereta pacuan empat roda itu hanya cedera ringan.
Katanya, polis mengambil keterangan daripada pemandu kenderaan pacuan empat roda itu.

Beliau meminta saksi kemalangan itu supaya tampil memberikan maklumat. – BERNAMA