Minda: Figura bapa diperlukan bendung gejala sosial – Harian Metro


Minda: Figura bapa diperlukan bendung gejala sosial

Oleh Dr Mashitah Ibrahim
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAJIAN terbaru membabitkan 2,800 remaja berusia antara 15 hingga 25 tahun yang dijalankan Universiti Tunku Abdul Rahman tahun lalu menganggarkan 21 peratus remaja negara ini mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Kadar ini masih rendah berbanding 33 peratus di Brazil, 50 peratus di Amerika Syarikat dan 60 peratus di United Kingdom.

Namun, ini bukan sesuatu untuk dibanggakan. Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 2004 menganggarkan 2.2 peratus daripada 8.7 juta remaja di Malaysia, atau lebih kurang 190,000, mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Angka sebenar mungkin lebih tinggi daripada itu.

Kajian ini juga mendapati 40 peratus remaja mengadakan hubungan seks sebelum mencapai umur 18 tahun, tujuh peratus sebelum 15 tahun dan 1.4 peratus sebelum 12 tahun.

Lebih mengejutkan ialah penemuan bahawa daripada 40 peratus itu, satu perempat (24 peratus) mengadakan hubungan seks sehingga lima orang, 14 peratus dengan lebih lima orang, dua peratus dengan lebih 10 orang dan tiga peratus dengan lebih 20 orang!

 
Sebanyak 52 peratus daripada responden mengakui akan cuba mendapat bantuan atau perlindungan daripada pihak yang dipercayai jika mengandung manakala 37 peratus daripada yang diwawancara mengatakan mereka mahu memelihara sendiri bayi yang dilahirkan.
Bagaimanapun, tujuh peratus mengatakan mereka mungkin menggugur atau membuang bayi sementara empat peratus lagi akan memberi bayi mereka untuk dijadikan anak angkat.

Kajian ini membabitkan remaja semua kaum dan agama, bukan hanya Melayu-Islam. Hasilnya tetap menyayat hati. Penemuan kajian konsisten dengan statistik rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Daripada 2.48 juta kelahiran yang didaftar antara 2006-2010, kira-kira sembilan peratus atau 235,000 adalah bayi luar nikah. Daripada jumlah bayi luar nikah ini, 34.5 peratus atau 81,000 adalah Islam.

Rekod rasmi menunjukkan kelahiran bayi luar nikah semakin meningkat. Pada 2006, ada 38,300 kes dan pada 2010, ada 53,000 kes – peningkatan 38 peratus. Daripada 53,000 kes pada 2010, 17,000 adalah anak orang Islam.

Kes pembuangan bayi yang dilaporkan di media massa sentiasa meruntun jiwa, khususnya bagi wanita dan ibu. Antara kes terbaru ialah bayi yang putus kepala. Berdasarkan rekod polis, antara 2005 dan 2010, sebanyak 407 bayi dibuang, daripada jumlah itu 50 peratus bayi yang dibuang meninggal dunia. Tetapi tidaklah semua kes membabitkan remaja tempatan. Kira-kira 50 peratus kes pembuangan bayi membabitkan warga asing.

Mengikut Kanun Keseksaan Seksyen 309A, sesiapa yang disabit kesalahan membuang bayi yang didapati mati boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda. Namun, saban tahun, kes sebegini tetap berulang, malah bertambah banyak.

Malah, ada juga kes penjualan bayi. Media membongkar beberapa kegiatan yang didalangi hospital swasta Kuala Lumpur dan di Sarawak baru-baru ini. Bayi dijual antara RM8,000 hingga RM21,000. Ini juga kes pemerdagangan orang yang perlu dibanteras sama sekali.

Undang-undang adalah penting, tetapi kaedah lebih berkesan untuk mengurangkan gejala sosial ialah mewujudkan masyarakat prihatin, bukan sahaja bersimpati, tetapi juga bersikap empathy.

Ibu bapa, jiran tetangga, persatuan penduduk, pengurusan hal ehwal pelajar di sekolah, kolej dan IPT, pihak polis, hospital, rakan sebaya, sekolah, golongan agama, media, sektor swasta dan agensi awam, NGO dan pergerakan di peringkat akar umbi semua mesti mengambil tahu keadaan persekitaran, melapor dan mengambil tindakan membanteras.

Dalam keluarga, peranan ibu bapa paling utama. Anak perlu didikan, tanam sifat malu dan takut serta solat berjemaah di rumah. Bayangkan, ada ibu bapa tidak sedar anak mereka mengandung. Ini menggambarkan tahap keprihatinan rendah dalam keluarga tersebut.

Biasanya ibu lebih rapat dengan anak perempuan, mereka saling berkongsi ‘rahsia’ tetapi kajian menunjukkan anak perempuan juga sangat perlukan kasih sayang dan perhatian bapa.

Kajian Kolej Perguruan Islam di Bangi membabitkan 413 pelajar tingkatan empat di 20 sekolah menunjukkan remaja berasakan bapa mereka kurang berinteraksi dan berkomunikasi dengan mereka.

Kurangnya pengaruh ‘father figure’ di kalangan remaja dikenal pasti sebagai antara punca masalah sosial. Inilah juga pengalaman di Pertubuhan Kebajikan Baitul Fiqh yang saya naungi.

Daripada lebih 700 kes remaja mengandung yang diurus sejak ditubuhkan pada 2005, majoriti mengakui ketandusan kasih sayang dan keprihatinan bapa.

Kerana itulah kualiti keibubapaan dan institusi keluarga perlu ditingkatkan. Justeru, bapa mesti memperbaiki kualiti kepemimpinan sebagai ketua keluarga.

Penulis Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Kongsi gembira menjelang raya – Harian Metro


Kongsi gembira menjelang raya

Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Kegembiraan jelas terpancar di wajah 47 anak yatim dari sekitar daerah Hulu Langat dikumpulkan di Wisma Jakel, Jalan Masjid India di sini, semalam untuk membeli barang keperluan Hari Raya Aidilfitri seperti baju kurung, baju melayu, samping, kasut, songkok dan tudung.

Peluang itu dikecapi mereka melalui sumbangan yang disalurkan syarikat tekstil terkemuka, Jakel Trading menerusi jalinan kerjasama dengan Program Titipan Kasih Harian Metro sempena Ramadan ini.
Pengarah Urusan Jakel Trading, Mohamad Faroz Mohamed Jakel berkata, pemberian itu tanda keprihatinan pihaknya di samping berkongsi kegembiraan bersama golongan memerlukan.

 

“Pada hari ini (semalam), kami berniat ikhlas memberi peluang kepada semua anak yatim untuk memilih sendiri pakaian hari raya agar mereka puas dan dapat memakai pakaian baru daripada kain berkualiti.
“Kira-kira RM10,000 dibelanjakan bagi sumbangan ini dan diharap ia memberi keceriaan kepada mereka menjelang hari lebaran nanti,” katanya selepas turut serta memilihkan pakaian untuk anak yatim berkenaan.
Hadir sama, Pengarah Projek Harian Metro, Abdul Kadir Hamza. Seorang anak yatim, Hasanain Zuhairi Zepri, 7, berkata, dia gembira kerana mendapat peluang memilih baju raya sendiri.

 

 

“Sebelum ini ibu yang pilih dan belikan baju. Tahun ini tambah seronok sebab dapat beli baju dengan kawan lain,” katanya yang memberitahu ibunya hanya bekerja sebagai penjual kuih untuk menyara keluarga.
Sementara itu, ibu tunggal, Zuraini Mohd Bashah, 39, pula menyatakan kesyukurannya terhadap sumbangan yang diberikan kepada tiga anaknya.

 

Katanya, peluang itu meringankan bebannya untuk membeli kelengkapan hari raya yang lain.
“Perasaan saya bercampur baur, gembira dan terharu kerana ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan khas untuk anak saya,” kata guru tadika itu.

529 pelajar terima sumbangan Aidilfitri – Utusan


529 pelajar terima sumbangan Aidilfitri

NOORAINEE Abdul Rahman beramah mesra dengan pelajar khas dari Sekolah Sri Bintang, Nurul Aini Izati Azmi semasa menyampaikan sumbangan Aidilfitri Yayasan Pendidikan Cheras di Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos – Seramai 529 pelajar dari 36 sekolah angkat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) menerima sumbangan Aidilfitri yang disampaikan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman hari ini.

Penerima sumbangan terdiri daripada anak yatim, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak istimewa dan golongan kurang berkemampuan.

Sumbangan yang diberikan adalah wang tunai RM100, beras, kain dan baucar membeli-belah di Jusco.

Pengerusi YPC yang juga Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, sumbangan itu bertujuan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persediaan menyambut kedatangan Syawal.

“Sumbangan ini adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh pihak berkemampuan supaya golongan kurang bernasib baik mendapat perhatian sewajarnya.

”Bantuan ini juga bukan hanya kepada umat Islam yang akan menyambut Aidilfitri tetapi juga kepada kaum lain,” katanya ketika berucap pada majlis itu di sini.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pejabat Pelajaran Daerah Pudu- Bangsar, Jamaluddin Abdullah dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Mahadi Abdul Shukor.

Perak hapus tunggakan cukai sekolah bantuan modal – Bernama


Perak hapus tunggakan cukai sekolah bantuan modal

2011/08/13

IPOH: Kerajaan Perak menghapuskan tunggakan bayaran premium tanah berjumlah RM10 juta oleh 278 sekolah bantuan modal di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata sekolah terbabit adalah sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah mubaligh.

“Dianggarkan setiap sekolah berkenaan terpaksa menanggung beban hutang sehingga mencecah RM100,000 disebabkan bayaran premium tanah itu.

“Dengan penghapusan jumlah tunggakan itu, dapat membantu meringankan beban kewangan pengurusan sekolah, sekali gus memberi keselesaan kepada pelajar untuk belajar dengan lebih baik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, serentak dengan penghapusan tunggakan itu kerajaan negeri akan memperluaskan pemberian bayaran premium tanah RM1 setahun kepada semua sekolah berkenaan.

Sebelum ini, katanya, beberapa syarat dikenakan seperti hanya tapak sekolah saja diberi keistimewaan pembayaran premium tanah RM1 manakala tanah berstatus pertanian dan sebagainya tidak layak menerima pengecualian itu.

Dr Mah berkata, sebelum ini juga kebanyakan sekolah bantuan modal yang dibina di atas tanah persendirian tidak menikmati pembayaran premium RM1 itu. – BERNAMA

Sabah umum bonus untuk 19,191 penjawat awam – Bernama


Sabah umum bonus untuk 19,191 penjawat awam

2011/08/13

KOTA KINABALU: Seramai 19,191 kakitangan awam perkhidmatan awam Sabah akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri Sabah berkata, kos untuk pembayaran Imbuhan Tahunan dan Bayaran Khas Prestasi ini kepada penjawat awam adalah sebanyak RM16,166,364.40.

“Ia bagi menghargai sumbangan dan dedikasi anggota perkhidmatan awam dalam menjayakan program dan agenda pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat.

“Ini juga sebagai langkah untuk meringankan beban mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemberian bonus ini selaras dengan langkah yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan dan akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri. – BERNAMA

Tindakan pantas bapa selamatkan anak gadis diculik – Bernama


Tindakan pantas bapa selamatkan anak gadis diculik

2011/08/13

BESUT: Tindakan pantas seorang bapa melaporkan kepada polis kejadian anak gadisnya dilarikan oleh tiga pemuda yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil berjaya menyelamatkan anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Zakaria, berkata dalam kejadian 9.15 malam tadi, bapa berumur 36 tahun dan bekerja sebagai buruh itu terdengar jeritan anak gadisnya yang ketika itu sedang membeli barang di sebuah kedai runcit berhampiran rumah mereka di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut.

“Apabila keluar dari rumah, dia ternampak seorang lelaki yang tidak dikenali sedang menarik anak gadis berumur 15 tahun itu ke dalam sebuah Perodua Kancil berwarna perak yang juga dinaiki dua lelaki lain.

“Tergamam dengan kejadian itu, si bapa tidak sempat mengejar kereta itu kerana ia berlaku terlalu pantas dan segera membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut sejurus kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bertindak atas laporan, satu operasi dilancarkan dengan bantuan orang ramai dan akhirnya polis berjaya menahan dua lelaki kira-kira 2.30 pagi ini hasil serbuan ke atas sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Manok, Pasir Putih di Kelantan iaitu kira-kira 20 kilometer daripada tempat mangsa diculik.

Kamaruddin berkata, gadis yang menjadi mangsa culik itu ditemui di rumah berkenaan dalam keadaan ketakutan.

“Berdasarkan pemeriksaan doktor yang dibuat di Hospital Daerah Besut pagi ini mendapati gadis berkenaan tidak diapa-apakan oleh suspek,” katanya.
Polis kini menahan reman kedua-dua lelaki yang berumur 25 dan 17 yang berasal dari Kuala Besut itu untuk membantu sisatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Polis juga sedang menjejaki seorang lagi suspek dalam kejadian itu yang dipercayai melarikan diri semasa serbuan dilakukan. – BERNAMA