Empat bilik asrama SMK Tunku Anum Jitra terbakar – Berita Harian


Empat bilik asrama SMK Tunku Anum Jitra terbakar

2011/08/14

JITRA: Empat buah bilik asrama dan dua setor Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, di sini musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah blok asrama lelaki petang tadi.

Ketua Jabatan Penyelamat dan Bomba Jitra, Hasbullah Mohd Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan lima jentera termasuk satu lori tangki untuk memadamkan kebakaran.

Beliau berkata, dalam kejadian itu api marak dengan cepat dan sebaik sampai mereka mengambil masa selama 18 minit untuk mengawal api daripada merebak ke bahagian lain.

Katanya, bomba turut menerima bantuan daripada lapan jentera pasukan bomba sukarela sekitar daerah berhampiran dengan kekuatan keseluruhan 87 anggota bertungkus lumus membantu memadam kebakaran.

“Tidak ada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian ini dan kita difahamkan semua 69 pelajar terbabit sudah dikumpul di satu bahagian lain untuk tindakan lanjut.

“Mengikut maklumat yang diperoleh asrama ini menempatkan seramai 71 pelajar namun ketika kejadian hanya 69 pelajar terbabit kerana dua lagi keluar.

“Punca kejadian masih disiasat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Buruh culik gadis kerana tolak cinta – Harian Metro


Buruh culik gadis kerana tolak cinta

Oleh MOHD NASIF BADRUDDIN dan MOHAMMAD ISHAK
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: Hanya kerana kecewa cintanya ditolak pelajar tingkatan tiga, seorang buruh berusia 22 tahun dengan bantuan dua rakannya, termasuk pelajar tingkatan lima, bertindak nekad menculik gadis itu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.15 malam, mangsa berusia 15 tahun yang belajar di sekolah menengah di Besut pergi berseorangan ke kedai runcit dekat rumahnya di Jalan Alor Peroi, Kuala Besut, untuk membeli barang.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketika dalam berjalan pulang ke rumah, mangsa tiba-tiba didatangi sebuah kereta Perodua Kancil berwarna perak dinaiki suspek bersama dua rakannya sebelum suspek menarik mangsa masuk ke kenderaan.

 

Menurutnya, bapa mangsa berusia 36 tahun yang berada di depan rumah ternampak kejadian itu dan mendengar jeritan anaknya, lalu cuba mengejar kenderaan tetapi gagal.
“Bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut, jam 9.45 malam, dan hasil maklumat penduduk kampung, polis berjaya menjejaki kenderaan suspek.
“Polis kemudian ke rumah keluarga suspek berusia 17 tahun di Kampung Bharu Pengkalan Nangka, Kuala Besut dan menahan pelajar tingkatan lima itu bersama suspek berusia 25 tahun yang juga sepupunya. Bagaimanapun, suspek utama dari Kampung Gong Manok, Pasir Puteh, Kelantan, masih diburu polis,” kata Kamaruddin, semalam.

 

 

Polis kemudian menemui mangsa yang disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok kira-kira jam 2.30 pagi dalam keadaan selamat dan menghantarnya ke Hospital Besut.
“Siasatan kita mendapati, mangsa mengenali suspek utama, namun tidak mengenali dua suspek yang ditahan. Mangsa memberitahu, suspek beberapa kali menyuarakan hasrat menjadikannya teman istimewa, tetapi tidak dilayan kerana masih bersekolah,” katanya.

 

Katanya, polis turut merampas kereta Perodua Kancil digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dua suspek berkenaan ditahan reman empat hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.

Terkejut anak hamil – Harian Metro


Terkejut anak hamil

Oleh JUNAIDI LADJANA
djuns@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KENINGAU: Seorang ibu yang curiga melihat anak gadisnya berusia 14 tahun gemar memakan benda masam selain perubahan saiz tubuhnya hampir pitam apabila dimaklumkan anaknya disahkan mengandung dua bulan selepas pemeriksaan di klinik kesihatan, di sini, kelmarin.

Lebih mengejutkan, gadis terbabit mendakwa kandungannya adalah hasil benih bapa tiri, yang juga suami ibunya.
Difahamkan, remaja terbabit menjadi mangsa rogol lelaki terbabit setiap kali ibu dan kakaknya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

 

Difahamkan, ibu mangsa mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku berikutan perubahan tubuh mangsa, terutama perutnya yang semakin membesar, selain gemar memakan asam.
Curiga dengan perubahan itu, ibu mangsa membawa anaknya menjalani pemeriksaan di klinik dan doktor mengesahkan gadis terbabit berbadan dua.
Terkejut dengan perkara itu, ibu mangsa mendesak anaknya menceritakan apa berlaku sebelum mangsa mengaku dirogol bapa tirinya sebanyak dua kali pada Jun dan Julai lalu.

 

 

Mangsa juga mendakwa diugut supaya merahsiakan kejadian itu daripada ahli keluarga lain.
Ibu mangsa yang berang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

 

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Kampung Kepayan Lama, Jalan Apin-Apin, sekitar Jun lalu.
“Mangsa dipaksa bapa tirinya melakukan hubungan seks ketika isteri dan kakak mangsa tiada di rumah.
“Mangsa juga diugut akan dicederakan jika menceritakan perkara itu kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Zahari berkata, berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, polis menjalankan gerakan memburu dan suspek berjaya ditahan di rumahnya.
“Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.
Zahari berkata, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Doa termakbul – Harian Metro


Doa termakbul

Oleh ARIFIN SALLEH
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Akhirnya doa dan impian saya untuk berbuka puasa serta menyambut Syawal bersama ibu serta keluarga di sini termakbul selepas 10 tahun,” luah Sanisah Abu Bakar, 37, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Darat, Kuala Linggi, dekat sini, malam kelmarin.

Sanisah dan tiga anaknya iaitu Nurshahada, 15, Nurizwan, 11, Nurakma Najwa Widodo, 10, berjaya dibawa pulang ke tanah air kelmarin dengan bantuan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) diketuai Naib Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin.
Dia sebelum ini terkandas di kampung suaminya di Gangga, Lombok, Indonesia sejak 2002 apabila gagal membiayai perjalanan pulang ke negara ini.

 

Sanisah bersama suaminya, Widodo Chinasin, 39, dan tiga anak mereka dikatakan pergi ke Lombok untuk melawat ibu mentuanya yang sakit sebelum mereka terkandas.
Menurut Sanisah, dia sekeluarga terputus hubungan dengan keluarganya Melaka sepanjang empat tahun pertama tinggal di Kampung Pelenge, Gangga, Lombok kerana tiada nombor telefon selain gagal mengingati alamat keluarga, menyebabkan dia terkandas.
“Ketika di sana (Lombok) kami tinggal bersama keluarga mentua dan saya bekerja di klinik desa sebagai Pembantu Kesihatan dengan gaji 600 ribu Rupiah setahun, manakala suami menjadi mekanik kereta dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.

 

 

Menceritakan semula kisahnya sepanjang 10 tahun di Lombok, Sanisah berkata, terlalu banyak kenangan yang sukar dilupakan, terutama apabila menjelang Ramadan dan Syawal, di mana kerinduan terhadap keluarga sungguh memuncak.
“Lombok tidak seperti di sini. Kami mengikat perut di sana untuk menyimpan duit dan berangan hendak pulang Melaka saban tahun, namun semua hanya mimpi.

 

“Namun akhirnya hari ini (kelmarin) saya dapat mendakap ibu dengan sepuas-puasnya, selain berbuka puasa bersama adik beradik lain,” katanya.
Menurutnya, selepas mendapat berita gembira daripada Kerajaan Negeri Melaka melalui DMDI yang akan membantu menguruskan kepulangannya, setiap malam bayangan wajah ibunya, Salmah Mahmud, 71, yang uzur sering berlegar di ruang matanya.
“Tidak dapat digambarkan bagaimana gembiranya saya ketika itu kerana kami sekeluarga diberitakan akan kembali ke tanah air untuk sama-sama menyambut Ramadan dan Syawal bersama keluarga di sini,” katanya.
Sanisah yang fasih berbahasa Indonesia dan melahirkan dua lagi anak, iaitu Nur Aliff Zulkarnain, 9, dan Nurain Asyikin, 6, ketika di sana mendakwa serta keluarganya mendapat layanan baik daripada penduduk Lombok yang mengetahui mereka terkandas selepas terbaca akhbar (Harian Metro) dikirim seorang penduduk yang bekerja di Kuala Lumpur sebulan sekali.

Guru maut – Harian Metro


Guru maut

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Seorang guru maut selepas terbabit dalam kejadian langgar lari di Jalan Pendidikan, Taman Universiti di sini, malam kelmarin, ketika dalam perjalanan ke kedai berhampiran dengan menunggang motosikal yang baru sebulan dibelinya.

Dalam kejadian jam 8.25 malam, Khuzainah Omar, 52, dikatakan keluar dari rumahnya di Jalan Pertanian, Taman Universiti, sebelum motosikal jenis Suzuki ditunggangnya dipercayai bergesel dengan sebuah kereta jenis Honda Accord berwarna biru. Mangsa kemudian terjatuh manakala pemandu kereta terbabit melarikan diri.
Suaminya, Mohammad Amir Marjonid, 52, berkata ketika itu dia bersolat tarawih di masjid berhampiran sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh anak sulung, Khairul Bariyah, 24.

 

“Saya berasakan ada yang tidak kena apabila menerima panggilan daripada Bariyah. Bagaimanapun, panggilan itu tidak dapat dijawab kerana saya bersolat,” katanya.

Remaja tak sempat berbuka – Harian Metro


Remaja tak sempat berbuka

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PASIR PUTEH: Keriangan tiga sahabat menunggang motosikal secara beriringan sementara menunggu waktu berbuka bertukar tragedi apabila seorang terbunuh selepas motosikal ditunggang bergesel sesama sendiri di Kampung Bukit, Gaal, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian 7 jam malam di Kilometer 6, Jalan Gaal-Kampung Bukit, Mohamad Amirulhafiz Abdullah, 17, dari Kampung Derdap, dekat sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah tengkuk.
Difahamkan, sebelum kejadian, Mohamad Amirulhafiz bersama dua rakannya menunggang motosikal dalam keadaan laju.

 

Apabila tiba di Kampung Bukit, mangsa dikatakan terkejut melihat sebuah motosikal datang dari arah bertentangan, menyebabkan dia cuba mengelak.
Bagaimanapun, tindakan mangsa menyebabkan motosikal ditungganginya bergesel dengan dua motosikal rakan di sebelahnya lalu ketiga-tiganya terjatuh di jalan raya.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, akibat pergeseran itu, mangsa yang tidak memakai topi keledar meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

 

 

Katanya, dua lagi rakannya berusia 17 dan 20 tahun masing-masing patah kaki dan tangan dan dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk rawatan lanjut.
“Siasatan awal polis mendapati, kematian mangsa dipercayai akibat patah tengkuk selepas menunggang motosikal terlalu laju sebelum terjatuh, selain tidak memakai topi keledar.

 

“Malah, siasatan mendapati, mangsa tiada lesen memandu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.