UPSI bantu bina sekolah di Kemboja – Bernama


UPSI bantu bina sekolah di Kemboja

15/08/2011 3:39pm

 

KOTA BHARU — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, Perak akan membantu dalam pembinaan sekolah kepada penduduk Islam Melayu Champa di Wilayah Kampongcham, Kemboja.

Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor berkata keputusan itu dibuat jawatankuasa pengurusan universiti semasa lawatan rombongannya ke negara itu, yang pernah bergolak dalam kancah peperangan saudara baru-baru ini.

Abi Musa yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji berkata UPSI amat bersimpati dengan penduduk di perkampungan Islam dan Melayu Champa itu, yang rata-rata miskin.

“Hasil lawatan kami mendapati mereka ternyata mengharapkan simpati bantuan daripada masyarakat luar negara termasuk Malaysia. Justeru, UPSI bersetuju menghulurkan bantuan dalam bentuk membina bangunan sekolah rakyat di perkampungan itu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, kos bagi pembinaan itu dianggarkan bernilai RM180,000 di samping bantuan lain termasuk kepakaran dalam bidang pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Tambahnya, sekumpulan tenaga pengajar dari sebuah sekolah di perkampungan negara itu dibawa khas ke Kuala Lumpur untuk membolehkan mereka mempelajari ilmu mendidik pelajar peringkat rendah.

 

“Program itu diadakan dengan kerjasama Proton di Tanjong Malim,” katanya.

Beliau berkata, UPSI akan memantau bagi memastikan program itu menepati matlamat dan kumpulan sasaran demi semangat kemanusiaan sejagat. — Bernama

Permohonan guru gagal sebab bidang kuasa – Bernama


Permohonan guru gagal sebab bidang kuasa

15/08/2011 6:49pm

 

PUTRAJAYA — Cubaan bekas guru muzik memohon Mahkamah Persekutuan di sini untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes jenayahnya, ternyata sia-sia.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria sebulat suara memutuskan mahkamah itu tidak mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan Abdul Wahid Mohd. Haneepa mendapatkan lanjutan masa bagi memfailkan petisyen rayuan.

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan hanya mempunyai kuasa untuk menyemak keputusannya sendiri.

Arifin yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, Tan Sri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Abdul Wahid, 44, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuantan kerana dua tuduhan mencabul pelajar berusia 14 tahun ketika kejadian dan satu tuduhan, memaksa pelajar itu melakukan seks oral di bilik muzik sekolahnya antara hujung Mac 2007 dan April 2007.

Dia kemudian memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu tetapi gagal untuk memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh yang ditetapkan. — Bernama

Bomoh Indonesia Mengaku Salah Rogol Remaja – mStar Online


Published: Isnin Ogos 15, 2011 MYT 10:53:00 PM
Bomoh Indonesia Mengaku Salah Rogol Remaja

Oleh SALWA SHA’ARI

SHAH ALAM: Seorang bomoh warganegara Indonesia pada Isnin, mengaku bersalah atas tuduhan merogol seorang remaja berusia 15 tahun, tahun lalu.

Budi Tukul, 35, mengaku bersalah melakukan perbuatan terkutuk itu pada pukul 1 pagi, sekitar Jun 2010 di sebuah rumah di Bukit Sentosa 3, Hulu Selangor, dekat sini.

Pendakwaan terhadapnya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Slamat Yahya membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh ekoran statusnya sebagai warga asing.

Beliau menetapkan 14 September ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh.

Kerajaan sasar tingkat 50% capaian Eduwebtv – Bernama


Kerajaan sasar tingkat 50% capaian Eduwebtv

15/08/2011 3:07pm

 

KLANG 15 Ogos — Kementerian Pelajaran menyasarkan program EduwebTV mampu mencapai peningkatan 50 peratus capaian (internet) dari rumah menjelang hujung tahun ini menerusi pemberian komputer riba 1Malaysia kepada golongan pelajar di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd. Puad Zakarshi berkata, program EduwebTV yang diperkenalkan kementerian itu pada 1 Mac 2008 untuk melahirkan generasi celik IT mempunyai purata 500,000 capaian sebulan dengan 33 peratus daripada capaian itu adalah dari rumah.

Beliau berkata, golongan pelajar yang menerima komputer riba 1Malaysia itu digalakkan menggunakan kemudahan yang diberikan dengan melayari program EduwebTV yang telah memberi kesan dalam membantu murid untuk meneruskan pelajaran mereka dari rumah masing-masing.

“Sejajar dengan objektif kerajaan memberikan komputer riba 1Malaysia ini, golongan pelajar boleh memanfaatkannya untuk kemudahan pembelajaran dengan mengikuti program EduwebTV yang mempunyai lapan saluran dan 3,185 rancangan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis penyerahan 667 unit komputer riba 1Malaysia kepada 12 buah sekolah di Parlimen Kapar di sini hari ini. — Bernama

Hidu gam: Jumlah kanak-kanak terbabit semakin serius – Bernama


Hidu gam: Jumlah kanak-kanak terbabit semakin serius

15/08/2011 4:28pm

 

KUANTAN 15 Ogos — Jumlah remaja dan kanak-kanak yang terbabit dengan kegiatan menghidu gam semakin serius dan kerajaan perlu memperkenalkan akta khusus untuk membendung gejala buruk itu.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata remaja seawal 12 tahun telah terjebak dalam aktiviti tidak bermoral itu kerana gam mudah diperolehi di kedai dengan harga murah.

“Kami menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai gejala tersebut yang semakin membimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin Abdul Ghani bagi membincangkan program pencegahan jenayah di sini, hari ini. — Bernama

Dicabar cium ‘Abang Joe’ – Harian Metro


Dicabar cium ‘Abang Joe’

Oleh Mohd Fakri Awang Lah
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BERANI...Siti Rodziah ‘bermain’ dengan ular tedung digelar ‘Abang Joe’.
BERANI…Siti Rodziah ‘bermain’ dengan ular tedung digelar ‘Abang Joe’.

KUALA KRAI: Seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di sini, boleh disifatkan lain daripada yang lain apabila ‘bersahabat’ dengan ular tedung selar sepanjang 6.7 meter berusia 28 tahun digelar ‘Abang Joe’.

Siti Rodziah Mohd Khair, 17, Kampung Kenor, di sini berkata, dia menjadikan ular tedung selar dipelihara penangkap ular, Mohd Hamdan Mahadi, 25, sebagai teman sejak tiga bulan lalu selepas menonton satu persembahan ular oleh Mohd Hamdan di Kuala Krai.
Katanya, ketika menonton persembahan itu, bapa tirinya, Abd Rahim Jaafar, 36, mencabarnya mencium ular berkenaan.

 

“Saya memang sukakan aktiviti lasak dan saya terus menyahut cabaran yang diberikan.
“Pada mulanya perasaan takut menguasai diri kerana tidak pernah berdepan dengan reptilia berbisa, tetapi dengan tunjuk ajar daripada Hamdan, saya berjaya mencium ular berkenaan,” katanya.
Menurut Siti Rodziah, selepas persembahan itu Mohd Hamdan bertanya kepadanya sama ada mahu belajar bermain ular dan dia memberikan persetujuan selepas mendapat kebenaran daripada bapa tirinya.

 

 

“Pada malam itu juga, saya ditemani ayah dan Mohd Hamdan memulakan latihan pertama di padang Sekolah Menengah Vokasional Kuala Krai.
“Sejak daripada itu, saya tidak ada masalah untuk memegang, malah mencium ular tedung selar dan saya mula mengikuti setiap persembahan yang dibuat Mohd Hamdan. Saya juga sering mengikut Mohd Hamdan menangkap ular jika menerima laporan daripada penduduk walaupun terpaksa bangun daripada tidur pada jam 3 pagi,” katanya.

 

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, antara pengalaman tidak dapat dilupakan ialah terpaksa ditahan di wad selama tiga hari selepas dipatuk ular kapak.
Katanya, kejadian berlaku apabila dia cuba menangkap reptilia berkenaan selepas ada penduduk melaporkan reptilia itu masuk ke dalam rumahnya.
“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi saya apabila reptilia itu mematuk tangan saya, tetapi saya segera minum air masak bagi menawarkan bisa ular sebelum dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. Menurut Siti Rodziah, dia merancang untuk membuat pertunjukan solo tidur bersama ular berbisa di Johor pada Oktober nanti selepas ada individu yang sanggup menanggung kos perbelanjaan untuk pertunjukan itu.
“Memandangkan kini saya aktif membuat persembahan bersama Hamdan sehingga ke luar Kelantan, ada individu yang bersetuju untuk menanggung kos bagi membolehkan saya membuat persembahan solo dengan tidur bersama ular berbisa.
“Jika tiada halangan, pertunjukan itu akan diadakan di Johor pada Oktober nanti dan saya akan mencuba mencipta rekod baru dalam Malaysia Book of Records,” katanya.

Tumbuk, cekik isteri depan anak – Harian Metro


Tumbuk, cekik isteri depan anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SERDANG: Seorang isteri ditampar, ditumbuk dan dicekik di hadapan anak-anaknya hanya kerana meminta tolong suaminya membawakan payung untuknya masuk ke rumah ketika hujan lebat, di rumah mereka, di Bandar Putra Permai, di sini, kelmarin.

Sumber polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 34 tahun baru pulang dari kelas menjahit ketika hujan lebat dan menelefon dari dalam kereta meminta suaminya membawakan payung.
“Suaminya tidak menjawab panggilan telefon, sebaliknya hanya mengintai dari tingkap rumah sebelum menyuruh anak mereka berusia 10 tahun keluar memberikan payung kepada mangsa.

 

“Sebaik masuk ke rumah, mangsa mempersoalkan tindakan suaminya tidak mengendahkan permintaannya dan tindakannya itu menimbulkan kemarahan suspek yang tiba-tiba menamparnya beberapa kali,” katanya.
Sumber berkata, mangsa cuba mempertahankan diri dengan membalas balik pukulan suspek, namun, menyedari perlakuannya diperhatikan anak-anak mereka, suspek menarik mangsa masuk ke dalam bilik mereka.
Menurutnya, suspek menolak mangsa ke atas sofa dan menumbuknya bertubi-tubi sebelum mencekik mangsa dan perbuatannya itu hanya dihentikan selepas anak mereka berusia empat tahun menangis dan memeluk kaki lelaki terbabit.

 

 

“Suspek menolak anaknya itu sehingga jatuh ke lantai sebelum meninggalkan rumah berkenaan,” katanya.
Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Serdang, semalam dan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa.