Dua beradik maut 2 kereta bertembung
BATU PAHAT 14 Ogos – Dua beradik terbunuh manakala seorang lagi parah apabila kereta yang mereka naiki hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dekat Parit Guntong, Semerah, semalam.
Mangsa, Afifi Nazri, 16, yang memandu kereta Perodua Kancil itu dan adiknya, Maisarah Nazri, 9, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Ketika kejadian pukul 8.25 pagi, Afifi, pelajar Sekolah Menengah Vokasional Batu Pahat dalam perjalanan dari arah Semerah-Batu Pahat untuk menghantar Maisarah ke pusat tuisyen dekat Parit Bisu.
Seorang penumpang wanita yang merupakan isteri kepada pemandu MPV berkenaan patah tulang belakang manakala lelaki itu dan dua anak mereka terselamat.