Drebar van sekolah perkosa murid dijel 15 tahun, 13 sebatan – Harian Metro


Drebar van sekolah perkosa murid dijel 15 tahun, 13 sebatan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Tindakan seorang pemandu van sekolah yang merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, termasuk anak saudaranya membawa padah apabila dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 13 kali sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Rozina Ayob terhadap tertuduh V Tiagarajan, 52, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan dihadapi selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah van di Jalan Othman 1/12 di sini, pada 26 Julai 2010. Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika disabit kesalahan.

 

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kelucahan melampau dan merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan iaitu anak saudaranya di sebuah rumah di Jalan PJS 3/52 pada hari dan masa yang tidak dapat dipastikan, dua tahun lalu. Bagi kesalahan melakukan kelucahan melampau, dia didakwa mengikut Seksyen 377E yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak itu meminta agar hukuman ringan dikenakan ke atasnya dengan alasan menyesal dengan perbuatannya.
“Saya minta hukuman ringan kerana saya menyesal dengan perbuatan saya,” katanya sambil dilihat mengalirkan air mata.

 

 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan memohon agar hakim memberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh mengambil kira faktor mangsa adalah kanak-kanak dan perbuatan itu sebagai perbuatan yang keji.

Remaja hilang nyawa selamat budak lemas – Harian Metro


Remaja hilang nyawa selamat budak lemas

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEREMBAN: Tindakan seorang remaja sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri bagi menyelamatkan orang tidak dikenali yang hampir lemas ketika mandi di sebuah kolam takungan air membawa kepada tragedi memilukan apabila dia ditemui lemas di Seremban 3, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, Eric Johnson, 13, cuba menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki yang masih tidak diketahui identitinya sebaik melihat budak itu tenggelam timbul dengan menarik tangannya, namun gagal. Difahamkan, remaja berkenaan bersama abangnya dipercayai berjalan ke kolam berkenaan untuk bersiar-siar dan tiba-tiba terdengar jeritan budak lelaki meminta tolong. Menurut sumber, sebaik mendengar jeritan itu, Eric terjun ke dalam kolam berkenaan dan menyelamatkan budak lelaki itu. “Namun tidak sempat naik ke permukaan, Eric dipercayai tergelincir lalu terjatuh di dalam takungan air itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Difahamkan, abangnya, Henry Johnson, 14, cuba menyelamatkan mangsa dengan menarik bajunya, namun gagal.
Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira jam 7 malam sebelum tiba di tempat kejadian 18 minit kemudian.

 

Katanya, mayat mangsa ditemui jam 7.25 petang di dasar kolam itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Muka melecur – Harian Metro


Muka melecur

Oleh Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
CEDERA...Al Muhammad Fakrul Aiman   dirawat di HUSM.
CEDERA…Al Muhammad Fakrul Aiman dirawat di HUSM.

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sempat berlari sejauh kira-kira 50 meter sambil menahan kesakitan selepas mukanya melecur manakala kedua-dua tangannya cedera akibat bermain mercun bola di Kampung Jeruk, Besut, Terengganu, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Al Muhammad Fakrul Aiman Al Mohd Faizal bermain mercun bola seorang diri selepas membelinya menggunakan wang lebihan membeli kuih untuk juadah berbuka puasa.
Mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini, sejak jam 8 malam kelmarin.

 

Bapa mangsa, Al Mohd Faizal Mat Razi, 32, berkata, sebelum kejadian anak sulung daripada tiga beradik itu baru selesai membeli kuih yang dipesan ibunya, Yanti Narawi, 30, kira-kira jam 5 petang.
“Selepas membeli kuih dia keluar dari rumah dan tak sangka rupa-rupanya bermain mercun bola di padang bola yang jaraknya kira-kira 50 meter dari rumah kami.
“Ketika itu saya berada di sawah sebelum isteri datang memberitahu anak kami cedera akibat terkena mercun bola. Saya menghantarnya ke Klinik Kesihatan Kampung Jeruk dan seterusnya dikejarkan ke Hospital Jerteh, Terengganu.

 

 

“Anak saya kemudian dirujuk ke HUSM kira-kira jam 8 malam semalam (kelmarin) untuk rawatan lanjut kerana mukanya melecur teruk, selain turut diberi alat bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di wad HUSM, semalam.
Menurut Al Mohd Faizal, sebelum ini dia pernah melarang anaknya bermain mercun kerana ia boleh mengundang padah.

 

Bagaimanapun, katanya, anaknya secara senyap-senyap membeli mercun bola menggunakan wang baki membeli kuih untuk juadah berbuka.
“Dia bermain mercun seorang diri, sebelum berlari pulang ke rumah dalam keadaan kesakitan selepas melecur di muka dan cedera di tangan kanan dan kiri akibat terkena mercun bola,” katanya.
Difahamkan, kejadian menimpa Al Muhammad Fakrul Aiman itu kes kecederaan akibat bermain mercun pertama dilaporkan di Terengganu sejak bermula Ramadan 1 Ogos lalu.
Di Kelantan, sehingga kini, lima kes cedera akibat bermain mercun direkodkan dalam tempoh tidak sampai seminggu bermula 4 Ogos lalu.
Antaranya, seorang remaja, Nasrudin Mohd Nazli, 19, hilang tiga jari tangan kirinya dan cedera di muka selepas mercun bola yang dinyalakan ketika membonceng motosikal meletup di tangan sebelum sempat dilempar dalam kejadian di Kampung Dewan Beta, dekat sini.

Buli bukan demam – Harian Metro


Buli bukan demam

Oleh Mohd Sah Muda
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PRIHATIN...kakitangan Baitulmal Pejabat Agama Mersing menyerahkan sumbangan kepada bapa Amirul.
PRIHATIN…kakitangan Baitulmal Pejabat Agama Mersing menyerahkan sumbangan kepada bapa Amirul.

MERSING: Selepas sedar daripada koma selama dua bulan, baru ibu bapa seorang pelajar tingkatkan tiga sebuah sekolah menengah di Rompin, Pahang mengetahui anak mereka tidak sedarkan diri kerana urat saraf di lehernya terputus dipercayai akibat dipukul menggunakan objek keras oleh pelajar senior dan mangsa kini kemungkinan lumpuh.

Mohamad Amirul Abdul Rahim yang koma di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru sedar semula pada 8 Ogos lalu dan apabila ditanya ibu bapanya mengenai kejadian dia terjatuh dalam dewan ketika menduduki peperiksaan pada 23 Mei lalu, dia mendakwa dibuli enam pelajar senior yang memukulnya dengan objek keras sama ada kayu atau batu.
Ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari pada 23 Mei lalu, Mohamad Amirul menduduki peperiksaan percubaan kertas Bahasa Melayu untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila tiba-tiba terjatuh di dalam dewan dan tidak sedarkan diri.

 

Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Gemuk, Rompin, menghantarnya ke Klinik Tanjung Gemuk sebelum doktor mengesahkan dia demam panas.
Bapa mangsa, Abdul Rahim Aris, 57, berkata sebelum itu, warden sekolah menghubunginya memaklumkan anak ketiga daripada enam beradik itu terjatuh mungkin kerana demam teruk.
“Saya tidak puas hati dengan penjelasan warden serta doktor, tetapi ketika itu Amirul koma lalu kami menghantarnya ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke HSI.

 

 

“Di HSI, Amirul dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lebih mengejutkan kami sekeluarga, pakar HSI mendapati urat saraf Amirul putus dan perlu menjalani pembedahan di lehernya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Wawasan di sini, semalam.
Ibu mangsa, Normah Jayapetri@Aziz, 42, berkata, dia dapat bercakap dengan anaknya itu selepas Amirul sedar daripada koma pada 8 Ogos lalu.

 

“Saya bertanyakan Amirul apa yang berlaku dan dia memberitahu dipukul seniornya dengan objek keras sama ada kayu atau batu.
“Kami kesal dengan kejadian yang menimpa Amirul dan lebih membimbangkan ialah masa depannya kerana berdasarkan penjelasan doktor, dia mungkin lumpuh kerana urat saraf berkenaan putus,” katanya.
Pada masa sama, Normah serta suami kesal dengan sikap kakitangan perubatan klinik yang mengatakan Amirul demam panas sedangkan pemeriksaan di HSI mendapati terdapat kesan dipukul di bahagian kanan dan kiri kepalanya.
Menurut Normah, suaminya membuat laporan di Balai Polis Majidee, Johor Bahru pada 9 Ogos lalu. Pada masa sama, menurut Normah, suaminya yang merujuk perkara terbabit kepada pengurusan sekolah Amirul dan dimaklumkan mereka menyiasat kes berkenaan.
“Kami harap Amirul mendapat pembelaan sewajarnya daripada pengurusan sekolah serta polis dan pelajar yang melakukan perkara terbabit perlu dikenakan hukuman setimpal,” katanya.
Sementara itu, sumber polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.
“Kami masih menyiasat kes berkenaan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitannya,” katanya enggan mengulas lanjut.

Tenang berada di Sekolah Harapan – Utusan


Tenang berada di Sekolah Harapan

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my

 

JASIN 15 Ogos – Seorang penghuni Sekolah Harapan di sini mengakui dirinya kini cukup tenang dan mula merasai naluri seorang ibu walaupun baru sebulan melangkah masuk ke sekolah khusus untuk remaja hamil itu.

Pelajar tersebut, Ayu, 19, berkata, pada peringkat awal, jiwanya memberontak apabila mengetahui keluarga mahu menghantarnya ke sini kerana sudah biasa hidup bersosial, merokok dan minum arak bersama rakan-rakan sebaya.

“Namun, selepas sebulan berada di sini, saya berasa begitu tenang sekali dan naluri keibuan mula terasa walaupun mengandung anak luar nikah pada usia yang muda,” katanya.

Ayu ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan hari raya anjuran Anggota Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) di Sekolah Harapan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Pengerusi Bistari , Datuk Asmah Abdul Rahman.

Ayu merupakan antara 30 penghuni sekolah khusus untuk remaja hamil luar nikah, Sekolah Harapan yang terletak di Jalan Pegawai, di sini.

Berasal dari Johor Bahru, anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui, Ramadan kali ini paling bermakna buatnya kerana dapat meraikan bersama rakan-rakan senasib di sekolah tersebut.

“Alhamdulillah, kehidupan saya di sini lebih teratur. Keadaan saya sekarang jauh berbeza dengan sebulan yang lalu, daripada seorang yang sosial, kaki botol dan kuat merokok, perlahan-lahan saya bebas daripada semua itu.

“Tidak sabar rasanya untuk pulang berhari raya di samping keluarga tercinta,” katanya yang kini mengandung empat bulan.

Menurut Ayu, sebelum ini dia tidak pernah menghormati kemuliaan bulan Ramadan dan menganggapnya sama sahaja seperti bulan lain.

Tambahnya, semua perkara yang diwajibkan ke atasnya sebagai umat Islam diabaikan, jauh sekali untuk melakukan perkara-perkara sunat.

“Saya rasa bertuah kerana di Sekolah Harapan, saya semakin dekat dengan ajaran Islam, dapat berpuasa, menunaikan solat sunat tarawih dan membaca al-Quran,” katanya.

Sambil mengalirkan air mata, Ayu berkata, selepas keluar dari sekolah itu kelak, dia berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan lalu dan memberi didikan agama secukupnya kepada anaknya supaya tidak menjadi sepertinya.

Remaja 17 tahun hilang selepas balik dari sekolah – Utusan


Remaja 17 tahun hilang selepas balik dari sekolah

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke rumahnya selepas pulang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1, Puchong tiga hari lalu.

Bapa mangsa, Azizan Hassan berkata, anaknya, Ameerah Asha yang merupakan anak sulung daripada dua beradik pergi ke sekolah kira-kira jam 7 pagi dengan menaiki van sekolah sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah pada petang itu.

Menurutnya, Ameerah Asha sebelum itu ada menghubungi ibunya memberitahu akan pulang lewat pada hari berkenaan kerana ingin mengulang kaji pelajaran di sekolah bersama rakan.

Katanya, anaknya itu tidak menunjukkan sebarang perbuatan pelik pada kali terakhir bersama keluarga dan selalunya akan tiba di rumah tepat pada waktu yang ditetapkan.

“Saya telah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan Ameerah Asha termasuk berjumpa dengan guru kelas dan rakan yang bersamanya pada petang itu.

“Bagaimanapun, sehingga kini kami tidak menerima apa-apa maklumat mengenai anak saya dan bimbang perkara buruk berlaku terhadapnya,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan mangsa dan pihaknya menjalankan siasatan kes itu sebagai kes orang hilang.

Zainal berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menemui anak mangsa agar menghubunginya atau isteri di talian 013-7743477 dan 012-6430432 atau mana-mana balai polis.

Rogol 2 kanak-kanak, lelaki dipenjara 15 tahun – Utusan


Rogol 2 kanak-kanak, lelaki dipenjara 15 tahun

PETALING JAYA 15 Ogos – Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang pemandu van sekolah yang mengaku bersalah merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, hari ini dibalas dengan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 13 kali.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 52 tahun, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan di dalam sebuah van di Jalan Othman 1/12 pada 26 Julai 2010.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kelucahan melampau dan merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan yang merupakan anak saudaranya yang dibelanya di sebuah rumah di satu kawasan perumahan di sini.

Tarikh dan masa kejadian itu tidak dapat dipastikan namun ia didakwa berlaku pada tahun 2009.

Bagi kesalahan melakukan kelucahan melampau, dia didakwa mengikut Seksyen 377E yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Rozina menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan lima kali, bagi pertuduhan pertama dan ketiga manakala pertuduhan kedua, dia dihukum penjara tiga tahun dan sebatan tiga kali.

Bagaimanapun ketiga-tiga hukuman penjara tersebut diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tangkap.

Tertuduh ketika diberi peluang membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman, dilihat menitiskan air mata selain meluahkan perasaan kesal atas kejadian itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan memohon agar hakim menjatuhkan setimpal dengan mengambil kira faktor bahawa mangsa adalah kanak-kanak dan mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai kesalahan yang sangat keji.