Rogol 2 kanak-kanak, lelaki dipenjara 15 tahun – Utusan


Rogol 2 kanak-kanak, lelaki dipenjara 15 tahun

PETALING JAYA 15 Ogos – Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang pemandu van sekolah yang mengaku bersalah merogol dan melakukan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun, hari ini dibalas dengan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 13 kali.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozina Ayob menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang berusia 52 tahun, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dihadapinya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan di dalam sebuah van di Jalan Othman 1/12 pada 26 Julai 2010.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa melakukan kelucahan melampau dan merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan yang merupakan anak saudaranya yang dibelanya di sebuah rumah di satu kawasan perumahan di sini.

Tarikh dan masa kejadian itu tidak dapat dipastikan namun ia didakwa berlaku pada tahun 2009.

Bagi kesalahan melakukan kelucahan melampau, dia didakwa mengikut Seksyen 377E yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan.

Rozina menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan lima kali, bagi pertuduhan pertama dan ketiga manakala pertuduhan kedua, dia dihukum penjara tiga tahun dan sebatan tiga kali.

Bagaimanapun ketiga-tiga hukuman penjara tersebut diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tangkap.

Tertuduh ketika diberi peluang membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman, dilihat menitiskan air mata selain meluahkan perasaan kesal atas kejadian itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shah Rizal Abdul Manan memohon agar hakim menjatuhkan setimpal dengan mengambil kira faktor bahawa mangsa adalah kanak-kanak dan mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai kesalahan yang sangat keji.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s