Tenang berada di Sekolah Harapan – Utusan


Tenang berada di Sekolah Harapan

 

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
pengarang@utusan.com.my

 

JASIN 15 Ogos – Seorang penghuni Sekolah Harapan di sini mengakui dirinya kini cukup tenang dan mula merasai naluri seorang ibu walaupun baru sebulan melangkah masuk ke sekolah khusus untuk remaja hamil itu.

Pelajar tersebut, Ayu, 19, berkata, pada peringkat awal, jiwanya memberontak apabila mengetahui keluarga mahu menghantarnya ke sini kerana sudah biasa hidup bersosial, merokok dan minum arak bersama rakan-rakan sebaya.

“Namun, selepas sebulan berada di sini, saya berasa begitu tenang sekali dan naluri keibuan mula terasa walaupun mengandung anak luar nikah pada usia yang muda,” katanya.

Ayu ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan hari raya anjuran Anggota Badan Amal Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) di Sekolah Harapan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Pengerusi Bistari , Datuk Asmah Abdul Rahman.

Ayu merupakan antara 30 penghuni sekolah khusus untuk remaja hamil luar nikah, Sekolah Harapan yang terletak di Jalan Pegawai, di sini.

Berasal dari Johor Bahru, anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui, Ramadan kali ini paling bermakna buatnya kerana dapat meraikan bersama rakan-rakan senasib di sekolah tersebut.

“Alhamdulillah, kehidupan saya di sini lebih teratur. Keadaan saya sekarang jauh berbeza dengan sebulan yang lalu, daripada seorang yang sosial, kaki botol dan kuat merokok, perlahan-lahan saya bebas daripada semua itu.

“Tidak sabar rasanya untuk pulang berhari raya di samping keluarga tercinta,” katanya yang kini mengandung empat bulan.

Menurut Ayu, sebelum ini dia tidak pernah menghormati kemuliaan bulan Ramadan dan menganggapnya sama sahaja seperti bulan lain.

Tambahnya, semua perkara yang diwajibkan ke atasnya sebagai umat Islam diabaikan, jauh sekali untuk melakukan perkara-perkara sunat.

“Saya rasa bertuah kerana di Sekolah Harapan, saya semakin dekat dengan ajaran Islam, dapat berpuasa, menunaikan solat sunat tarawih dan membaca al-Quran,” katanya.

Sambil mengalirkan air mata, Ayu berkata, selepas keluar dari sekolah itu kelak, dia berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan lalu dan memberi didikan agama secukupnya kepada anaknya supaya tidak menjadi sepertinya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s