4 parah diserang pelajar guna besi – Harian Metro


4 parah diserang pelajar guna besi

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Siti Nor Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Empat pelajar sekolah menengah parah selepas diserang lebih 30 pelajar sebuah sekolah menengah lain yang sebahagiannya bersenjatakan besi, cota dan topi keledar, semalam.

Kejadian berlaku ketika waktu pulang sekolah kira-kira jam 1.15 tengah hari di pekarangan sebuah sekolah di Bukit Nanas, di sini.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Operasi dan Risikan Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati antara dua kumpulan pelajar terbabit.

“Empat pelajar yang cedera itu berusia 17 tahun. Seorang cedera di kepala, seorang retak tangan kanan manakala dua lagi cedera di beberapa anggota badan.

 
“Mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

Cemburu akibat teman wanita – Harian Metro


Cemburu akibat teman wanita

Oleh Md Sah Muda
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MERSING: Cemburu akibat merebut teman wanita dikatakan menjadi punca seorang pelajar tingkatan tiga dipukul pelajar senior di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Gemuk dekat Rompin, menyebabkan dia koma kira-kira dua bulan sejak Mei lalu, dan kini berkemungkinan lumpuh.

Mangsa, Mohamad Amirul Abdul Rahim, 15, mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 1 tengah hari pada 22 Mei lalu, dalam bilik tidur asrama sekolah berkenaan.

“Saya agak rapat dengan teman sebaya bernama Farah yang tidak disenangi seorang pelajar senior tingkatan lima dipercayai menyimpan perasaan terhadapnya.

“Pada hari kejadian, tiga pelajar senior tingkatan lima menyerang saya dari belakang. Mereka memukul kiri dan kanan kepala dengan objek keras. Serangan itu turut disaksikan beberapa pelajar lain.

 
“Mereka kemudian mengugut supaya saya tidak menghebohkan perbuatan itu kepada sesiapa termasuk guru. Meskipun kesakitan akibat pukulan itu, saya cuba bertahan hadir ke sekolah dan menduduki ujian keesokan harinya,” katanya.

Pemandu teksi didakwa perkosa anak


Pemandu teksi didakwa perkosa anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu teksi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam terhadap tuduhan mencabul dan merogol anak perempuannya berusia 13 tahun, Mac lalu.

Bapa empat anak itu tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mengikut pertuduhan dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul anak perempuannya dengan meraba mangsa di rumahnya di Cheras pada jam 9 pagi, Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda.
Di lokasi sama dia didakwa mencabul dan merogol anak ketiganya di dalam biliknya jam 3 petang, 28 Julai lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farahah Mohd Suah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dikhuatiri mangsa diganggu bapanya.

3 remaja dilarang keluar rumah – Berita Harian


3 remaja dilarang keluar rumah
Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my
2011/08/17

MUAR: Tiga remaja semalam dikenakan perintah berkurung dalam rumah pada waktu malam dengan bon berkelakuan baik selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku bersalah membakar dua surau di pinggir bandar ini dalam kejadian Januari tahun lalu.

Selain masing-masing didenda RM1,000 atau sebulan penjara bagi setiap pertuduhan disabitkan, mereka dilarang keluar rumah mulai jam 8 malam hingga jam 6 pagi kecuali dengan kebenaran bertulis Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain perlu bersama ibu bapa masing-masing menghadiri bengkel interaktif kendalian JKM.

Berdasarkan pertuduhan, tiga juvana iaitu dua berusia 17 tahun dan seorang lagi berusia 16 tahun didakwa secara bersama melakukan khianat menggunakan api dengan niat memusnahkan Surau Parit Beting di Jalan Salleh, antara jam kira-kira 12.30 hingga 1 pagi pada 21 Januari tahun lalu.

Mereka juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Surau Silatulrahim di Jalan Ismail, antara kira-kira jam 2 hingga jam 3.15 pagi pada tarikh sama.

Bagi dua kesalahan terbabit, mereka didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan denda.

Seorang daripada remaja berusia 17 tahun itu juga didakwa memberi maklumat palsu secara bertulis melalui laporan polis di Pejabat Pertanyaan Ibu Pejabat Polis Daerah Muar pada jam 3.54 pagi hari sama.

Remaja terbabit didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes dikemukakan kepada mahkamah, tiga remaja terbabit ditahan polis kira-kira jam 6.10 petang 22 Januari, selepas mendapati laporan dibuat seorang daripada mereka berhubung kebakaran surau itu mencurigakan sebelum siasatan lanjut mendapati mereka yang mendalangi kejadian itu.

Susulan tangkapan itu, polis turut menyita sebuah kereta digunakan mereka ketika melakukan jenayah itu dan polis turut merampas botol berisi petrol.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar, di depan Majistret Noorfarhana Mohd Sharif, manakala tiga tertuduh itu diwakili peguam bela Maryam Hasan dan G F Nielsen.

Ketiga-tiga tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun mengikut Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan jumlah bon RM5,000 tanpa cagaran.

‘Tolong pulangkan Ameerah’ – Berita Harian


‘Tolong pulangkan Ameerah’
Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2011/08/17

  AZIZAN   dan  isterinya menunjukkan risalah gambar  Ameerah Asha   yang hilang sejak empat hari lalu ketika pulang dari sekolah di kediamannya, Puchong.

AZIZAN dan isterinya menunjukkan risalah gambar Ameerah Asha yang hilang sejak empat hari lalu ketika pulang dari sekolah di kediamannya, Puchong.

Suami isteri buntu cari anak hilang sejak 12 Ogos lalu

KUALA LUMPUR: “Saya berharap dan merayu mereka yang melarikan Ameerah Asha supaya memulangkannya semula kepada kami… berilah kami peluang menghabiskan Ramadan serta menyambut kedatangan Syawal bersamanya,” kata bapa pelajar Tingkatan Lima itu, Azizan Hassan, semalam.

Azizan berkata, mereka sekeluarga amat sedih dengan kehilangan Ameerah Asha, 17, sejak lima hari lalu, selepas semua kelengkapan anak sulung dua beradik itu untuk menyambut Aidilfitri sudah disediakan dan hanya menunggu untuk disarungkan sebaik fajar Syawal menjelma.

“Semua kelengkapan Aidilfitri untuknya sudah kami sediakan lebih awal, tetapi saya dan isteri kini hanya mampu menatap baju kurung barunya dengan harapan dia akan ditemui segera dan menggayakan pakaian baru itu di pagi Syawal nanti,” katanya.

Ameerah Asha, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1, Puchong yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, Jumaat lalu.

Pelajar itu ke sekolah jam 7 pagi dengan menaiki van sekolah sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah. Ameerah Asha sebelum itu dikatakan ada menghubungi ibunya memberitahu akan pulang lewat pada hari berkenaan kerana mengulang kaji pelajaran di sekolah bersama rakan.

Azizan berkata, sebelum kejadian itu, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau mempunyai sebarang masalah dengan ahli keluarganya yang lain.
“Pelbagai usaha sudah kami lakukan untuk mencari Ameerah Asha, termasuk berjumpa guru serta rakan sekolahnya, selain beberapa ustaz untuk mendapatkan bantuan, tetapi sehingga kini tetap menemui jalan buntu dan tiada sebarang petunjuk baru yang kami terima.

“Sejak berita kehilangannya tersebar, saya menerima banyak panggilan telefon daripada pelbagai pihak yang prihatin dan bersimpati, tetapi tidak menerima sebarang panggilan berhubung maklumat terbaru kehilangannya,” katanya yang sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sehubungan itu, beliau berharap, orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubunginya atau isteri di talian 013-7743477 dan 012-6430432 atau memaklumkannya kepada mana-mana balai polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan kes berkenaan sebagai kes orang hilang.

Cabul remaja bawah umur: Pemuda dijel, sebat, denda – Utusan


Cabul remaja bawah umur: Pemuda dijel, sebat, denda

KUANTAN 16 Ogos – Seorang pemuda dihukum penjara 12 bulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah mencabul seorang gadis bawah umur, Isnin lalu.

Ermi Erzanee Abdul Rashid, 19, dari Taman Balok Jaya di sini turut dikenakan hukuman dua kali sebatan oleh Majistret Rini Triany Muhammad Ali.

Dia mengaku menggunakan kekerasan jenayah ke atas remaja berusia 14 tahun itu dengan tujuan mencabul kehormatan mangsa kira-kira pukul 4.30 pagi di Pantai Pelindung, Beserah di sini.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Sementara itu, Rini Triany menetapkan 12 September ini bagi tarikh menjatuhkan hukuman ke atas seorang remaja berusia 16 tahun yang didakwa merogol mangsa yang sama.

Beliau menangguhkan hukuman ke atas tertuduh yang mengaku merogol mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama, sementara menunggu laporan akhlak tertuduh siap disediakan.

Tertuduh yang menetap di Kampung Batu Hitam dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Belajar melalui YouTube untuk hasilkan video – Utusan


Belajar melalui YouTube untuk hasilkan video

JUARA kategori sekolah menengah, Lee Shan Shan (kiri) dan Lee Ching Ching bersama Irdina Hani Muh Rasli dan Muhd. Ikmal Hakimi (kanan) yang menjuarai kategori sekolah rendah selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik peringkat kebangsaan 2011 di Hotel Shangri La, Putrajaya, semalam.

 

PUTRAJAYA 16 Ogos – Baru berusia sembilan dan 11 tahun tetapi Irdina Hani Muhammad Rasli dan abangnya, Muhammad Ikmal Hakimi Muhammad Rasli sudah mampu menghasilkan sebuah video klip berkonsepkan sains dan matematik.

Bukan itu sahaja, video klip yang dihasilkan oleh murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Chung Hua, Sarawak itu juga berjaya meraih tempat pertama dalam pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2001 anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Lebih menarik, adik beradik itu tidak pernah mendapat pendidikan formal untuk menghasilkan video sama ada di sekolah atau melalui kelas video. Sebaliknya hanya belajar melalui video tutorial YouTube sejak setahun yang lalu.

Menurut Muhammad Ikmal, dia dan adiknya menghasilkan video klip tersebut sendiri dan hanya sesekali mendapat tunjuk ajar ibu bapanya serta guru di sekolah.

Katanya, cabaran paling besar adalah kesukaran untuk mendapatkan bahan bacaan dan rujukan sains dan matematik di sekolah serta keadaan komputer yang uzur.

“Untuk menghasilkan video ini kami mengambil masa selama tiga hari disebabkan kesuntukan masa kerana tarikh tutup penyertaan yang sudah hampir tamat.

“Namun, hasil dorongan dan galakan ibu bapa, guru dan rakan sekolah, kami akhirnya berjaya menghasilkan video itu dengan menggunakan perisian Adobe After Effects,” katanya kepada pemberita sambil ditemani bapanya, Muhammad Rasli Mohd. Rais di sini, hari ini.

Selaku juara, adik beradik itu membawa pulang wang tunai RM15,000, trofi dan sijil penyertaan, manakala pihak sekolah pula menerima wang tunai RM10,000.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pertandingan yang diadakan selama dua bulan bermula 5 April dan berakhir pada 15 Jun lalu itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu sekolah rendah dan sekolah menengah.

Syor sekolah diberi pilihan – Utusan


Syor sekolah diberi pilihan

Oleh HASHNAN ABDULLAH dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA 16 Ogos – Kerajaan sedang menimbangkan cadangan untuk membenarkan sekolah memilih sama ada menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana Kementerian Pelajaran tidak mahu kelonggaran itu nanti menjejaskan pelaksanaan dasar Memartabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

”Saya tahu ramai ibu bapa yang berminat tentang soal pembelajaran bahasa Inggeris itu dan sebab itu bila ada saranan tersebut, mungkin ada pihak menyatakan boleh tak kita bagi kelonggaran.

”Jadi, perkara itu masih di peringkat kajian di kementerian dan setakat ini kita belum putuskan lagi kerana pertamanya kita sudah ada dasar MBMMBI itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 anjuran Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihak beliau kini memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkukuhkan program pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah.

Beliau menambah, ia perlu memandangkan masih ramai pelajar sekolah yang masih tidak mampu menguasai bahasa Inggeris.

”Jadi, ini memerlukan kita buat kajian secara lebih mendalam dari pelbagai aspek. Antaranya soal guru, latihan perguruan, bilangan guru yang terlatih, tempoh masa belajar bahasa Inggeris, buku teksnya dan sebagainya.

”Bila kita nak buat keputusan? Kita akan mengkajinya secara menyeluruh dan bukannya kita ambil satu atau dua pandangan sahaja,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kumpulan pertama 50 orang guru bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat (AS) yang dipilih dalam program Fullbright English Teaching Assistants akan tiba di negara ini pada tahun depan.

”Kumpulan pertama itu akan mengajar dan membimbing guru bahasa Inggeris tetapi kumpulan kedua pula, kita akan tempatkan mereka di sekolah terpilih untuk mengajar bahasa Inggeris,” katanya.

Kabin ganti asrama terbakar – Utusan


Kabin ganti asrama terbakar

Mohd. Puad Zarkashi bersama Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Mansor Lat (tengah) melawat asrama pelajar lelaki yang terlibat kebakaran di Kubang Pasu, semalam.

 

JITRA 16 Ogos – Kementerian Pelajaran akan membina kabin gentian komposit untuk dijadikan tempat tinggal sementara bagi menggantikan asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang hangus dalam kebakaran kelmarin.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kabin itu diperlukan kerana pembinaan asrama baru bagi menggantikan asrama yang hangus tersebut dijangka memakan masa yang lama.

“Kabin ini selesa untuk diduduki, tidak panas serta boleh memuatkan 100 pelajar dan kos pembinaan kabin tersebut dianggarkan RM1.2 juta.

“Saya akan membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet esok dan kita akan menggunakan peruntukan kecemasan untuk membina kabin tersebut secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang kelmarin, kira-kira 71 pelajar sekolah itu tinggal sehelai sepinggang apabila empat daripada enam bilik asrama SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman hangus dalam satu kebakaran.

Setakat ini, kementerian belum menerima jumlah sebenar kerugian akibat kebakaran itu.

Menurut Mohd. Puad, kini pelajar terbabit ditempatkan sementara di bilik gimnasium sekolah dan pihaknya mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (JPN) untuk menaik taraf bilik air di situ.

“Peruntukan RM50,000 akan diberikan untuk kerja menaik taraf bilik air yang dijangka siap dalam tempoh dua hari.

“Buku teks, pakaian sekolah dan pakaian harian pelajar juga disediakan pihak JPN dengan dibantu oleh pihak lain,” katanya.

Tambahnya, bangunan asrama yang terbakar itu akan ditutup buat sementara waktu untuk keselamatan penghuni sekolah tersebut.

Gengster sekolah mengamuk, empat pelajar cedera – Utusan


Gengster sekolah mengamuk, empat pelajar cedera

NOOR Adlena Abu Hassan menunjukkan luka dan calar pada bahagian badan Mohd. Syahiran Syaza Mohd. Abdullah selepas diserang sekumpulan pelajar, semalam.

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Sekumpulan 20 pelajar dari dua sekolah menengah di ibu negara bertindak seperti gengster dengan menyerang dan mencederakan beberapa pelajar sebuah sekolah di Jalan Bukit Nanas di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.15 petang itu, beberapa pelajar mengalami kecederaan termasuk empat daripadanya dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Suspek dipercayai gabungan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melawati dan SMK Padang Tembak, Jalan Semarak di sini, membawa senjata berupa kunci pemegang motosikal, cota dan batang besi untuk menyerang pelajar di Sekolah Menengah St. John.

Salah seorang mangsa, Mohd. Syahiran Syaza Mohd. Abdullah, 17, berkata, dia bersama rakan baru keluar dari sekolah untuk pulang ke rumah apabila terserempak dengan sekumpulan 20 pelajar berkenaan.

“Saya dan rakan terdengar orang bercerita ada sekumpulan pelajar dari sekolah lain sedang berkumpul di hadapan sekolah untuk bergaduh.

“Saya meletak kereta di luar kawasan sekolah terpaksa melalui kumpulan itu untuk mengambil kereta dan pada masa sama mengambil kesempatan untuk mengetahui apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di HKL di sini, hari ini.

Menurut pelajar tingkatan lima itu, sebaik sahaja tiba di luar sekolah, dia terdengar kumpulan pelajar itu mengadu motosikal salah seorang rakan mereka disimbah cat oleh pelajar dari sekolahnya.

Selepas itu, katanya, kumpulan pelajar itu terus menyerang dan membelasah secara rambang pelajar dari sekolahnya.

Tambahnya, dia yang diserang menggunakan pemegang kunci motosikal dan besi panjang, tidak dapat melawan ketika dipukul di kepala dan badannya sehingga mengalami luka serta lebam.

“Kami bernasib baik apabila ada anggota polis trafik melalui tempat kejadian, menyebabkan pelajar itu bertempiaran melarikan diri. Salah seorang berjaya ditangkap oleh pelajar sekolah kami dan diserahkan kepada polis,” katanya sambil memberitahu mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan sebelum dihantar ke HKL.

Sementara itu, bapa kepada Mohd. Syahiran Syaza, Datuk Mohd. Abdullah Mohd. Mohaidin berkata, dia dan isterinya, Datin Noor Adlena Abu Hassan bergegas ke HKL sebaik sahaja dimaklumkan oleh pihak sekolah mengenai insiden menimpa anak mereka.

Mohd. Abdullah yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Sekolah Menengah St. John terkejut kerana gejala gengster masih berlaku.

“Kejadian seperti ini amat membimbangkan kerana jika tidak dibendung, ia boleh menimbulkan masalah sosial yang serius,” ujarnya.