Ibu rayu anak lari dari rumah segera pulang – Utusan


Ibu rayu anak lari dari rumah segera pulang

SABURA Hussin memegang gambar Katijah Harun Mohd. Sultan ketika ditemui di rumahnya, di Pulau Pinang semalam.

 

PULAU PINANG 16 Ogos – Seorang ibu yang bimbangkan keselamatan anak gadisnya merayu Katijah Harun Mohd. Sultan, 16, yang lari dari rumah sejak 25 April lalu segera pulang.

Ibu tersebut, Sabura Hussin, 34, berkata, Katijah lari dari rumah mungkin kerana merajuk selepas tidak dibenarkan keluar mencari kerja sehari sebelum kejadian.

Kata Sabura, dia tidak menyangka anak gadisnya itu bertindak sedemikian kerana ketika permintaannya ditolak, anak keduanya itu hanya mendiamkan diri.

“Dia selalu meminta supaya membenarkannya keluar mencari kerja. Katanya dia sangat bosan duduk di rumah. Meskipun dia terus mendesak, saya tidak membenarkannya kerana dia masih terlalu muda. Lagipun pendapatan yang diperoleh ayahnya sudah cukup untuk menampung kami sekeluarga.

“Pada pagi 25 April kira-kira pukul 7 pagi, saya nampak Katijah keluar dari rumah. Saya ingatkan dia pergi menyidai kain seperti selalu. Namun, setelah beberapa lama dia masih tidak balik ke rumah sehinggalah sekarang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Sabura, selepas menyedari kehilangan Katijah, dia dan suaminya membuat laporan polis di Balai Polis Butterworth di sini dan mengambil cuti untuk mencarinya sehingga ke Kuala Lumpur, Sungai Petani dan Johor Bahru.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada sebarang maklumat diperoleh tentang di mana anaknya itu berada.

“Sudah hampir empat bulan dia keluar dari rumah dan selama itulah saya cuba mencarinya, namun gagal. Sebarang berita pun tak ada. Sedikit masa lagi, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri, saya merayu Katijah pulanglah ke rumah.

“Adik-adiknya yang sedang belajar di Johor dan Kuala Lumpur juga sering bertanya tentang dia, namun saya dan ayah terpaksa berbohong mengatakan dia keluar ke rumah kawannya untuk mengelakkan mereka risau dan tidak dapat memberikan tumpuan pada pelajaran,” rayu Sabura, ibu kepada enam anak berusia antara enam hingga 17 tahun itu.

Menurut Sabura, Katijah mempunyai rambut yang lurus dan panjang, berkulit hitam manis dan kurus.

Sehubungan itu, Sabura merayu kepada orang ramai yang terserempak dengan anaknya supaya menghubunginya di talian 017-4366487 atau balai polis terdekat.

Masih kaji guna dua bahasa ajar Sains dan Matematik – Bernama


Masih kaji guna dua bahasa ajar Sains dan Matematik

16/08/2011 4:08pm

 

PUTRAJAYA 16 Ogos – Kementerian Pelajaran masih mengkaji kemungkinan menggunakan dua bahasa untuk mengajar Sains dan Matematik di sekolah, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian itu perlu dilakukan dalam konteks kerajaan telah memutuskan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) sama ada tawaran atau pilihan boleh dibuat kepada mana-mana sekolah yang berminat tanpa menimbulkan sebarang masalah.

Katanya, kajian itu sedang dilakukan oleh sebuah jawatankuasa kecil yang telah ditubuhkan dan diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

“Ini kerana yang kita utamakan dalam dasar baru kita ialah untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris. Saya tahu ramai ibu bapa yang berminat tentang soal pembelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris.

“Jadi apabila ada saranan begitu, mungkin ada pihak yang menyatakan boleh tak beri kelonggaran,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Kreatif Sains dan Matematik Kebangsaan 2011 di sini, hari ini. – Bernama