Guru prasekolah, pengasuh perlukan kelayakan lebih tinggi – Bernama


Guru prasekolah, pengasuh perlukan kelayakan lebih tinggi

18/08/2011 3:43pm

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos — Pendidik awal pendidikan kanak-kanak dan pengasuh di negara ini perlu mempunyai kelayakan yang lebih tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran sedang dalam proses mengubal mekanisme dan syarat bagi membolehkan para pendidik dan pengasuh mencapai kelayakan yang lebih tinggi dalam masa terdekat.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, ini perlu kerana walaupun kerajaan telah menjalankan pelbagai latihan untuk mempertingkatkan prestasi kemahiran para pengajar dan pengasuh, ia masih tidak mencukupi untuk menghasilkan pendidik awal kanak-kanak bertaraf dunia.

“Semakin berilmu seseorang pendidik, semakin tinggi kemahiran mereka, dan semakin berkesanlah fungsi mereka sebagai pendidik dalam tahun-tahun formatif dan kritikal untuk perkembangan kanak-kanak,” katanya ketika melancarkan Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Malaysia di sini hari ini.

 

Mengambil contoh Rusia, Muhyiddin berkata negara itu telah lama memberi pengiktirafan kepada pendidikan awal kanak-kanak dan tenaga pengajarnya memiliki Ijazah Doktor Falsafah atau sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana. — Bernama

3 beranak maut dalam nahas selepas membeli baju raya – Bernama


3 beranak maut dalam nahas selepas membeli baju raya

18/08/2011 4:21pm

 

KEMAMAN 18 Ogos – Sepasang suami isteri dan anak tunggal mereka terbunuh dalam satu kemalangan malam tadi di Km 127 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan Resort Awana Kijal di sini selepas membeli baju raya di Kuantan.

Mereka yang terbunuh dikenali Nik Herna Mokhtar, 28; suaminya Mohd Aswari Ariffin, 36; dan anak tunggal mereka, Muhammad Airell Zulfairy, 4 tahun.

Adik Nik Herna, Nik Nor Syafiqah, 10, dan pemandu sebuah lagi kereta, Ahmad Tajuddin Mohd Ariffin, 30-an, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Abdullah Sani Salat berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dipandu oleh Mohd Aswari terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu oleh Ahmad Tajuddin.

“Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuantan ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasik.

“Kereta mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik sebelum berpusing dan bertembung dengan sebuah kereta lain,” katanya. – Bernama

Ibu bapa perlu lapor jika guru cuba sebar agama lain: TPM – Bernama


Ibu bapa perlu lapor jika guru cuba sebar agama lain: TPM

2011/08/18

KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu melaporkan kepada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing jika terdapat guru atau guru tuisyen yang cuba menyebarkan agama lain kepada anak-anak yang beragama Islam, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Jabatan Agama Islam di negeri-negeri mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba menyebarkan agama lain kepada umat Islam di negara ini.

“Bagaimanapun, ibu bapa perlu memastikan kesahihan perkara tersebut sebelum melaporkan kepada Jabatan Agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan & Ramah Mesra Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang mendakwa seorang guru tuisyen di Jalan Kuchai Lama di sini, mengajar murid-muridnya yang kebanyakan mereka beragama Islam menyanyikan lagu memuji kebesaran Nabi Isa.

Dilaporkan murid-murid beragama Islam yang belajar di kelas tuisyen yang diberikan secara percuma oleh sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu diajar menyanyikan lagu “Yes, I know Jesus loves me” dan “Hari ini Ku Rasa Bahagia” yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib.

Selain itu, murid-murid itu juga dikatakan mampu bercerita kisah-kisah Nabi Isa termasuk kisah Nabi Isa disalib dan difahamkan, murid terbabit diterapkan ajaran agama Kristian secara halus ketika belajar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau dimaklumkan pusat tuisyen itu bukan diadakan di dalam kawasan sekolah di situ tetapi di luar sekolah.
“Ibu bapa pelajar yang terbabit perlu menyiasat bagi memastikan keadaan sebenar dan Kementerian Pelajaran akan pantau perkara itu,” katanya.

“Hal begini tak boleh dilakukan kerana kita ada undang-undang tertentu (dan) enakmen tertentu,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu peletakan jawatan 146 staf akademik Universiti Malaya sejak 2009 kerana didakwa tidak berpuas hati dengan kepimpinan Naib Canselornya, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon, Muhyiddin berkata, adalah tanggungjawab Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mendapatkan laporan yang sebenar.

“Perlu melihat apakah isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh mereka dengan Naib Canselor, dan lihat apakah hal-hal lain yang menyebabkan mereka mengambil langkah-langkah demikian. Kita tidak boleh membuat andaian di peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting adalah memastikan pentadbiran universiti itu berjalan dengan baik, dan hubungan antara kakitangan dan pimpinan tertinggi berjalan dengan akrab.

“Ini adalah sasaran untuk mencapai kecemerlangan di peringkat universiti,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop, Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar. – BERNAMA

Bonus penjawat awam tertakluk kepada potongan cukai bulanan – Bernama


Bonus penjawat awam tertakluk kepada potongan cukai bulanan

2011/08/18

KUALA LUMPUR: Bonus setengah bulan gaji yang diterima penjawat awam pada 15 Ogos lepas tertakluk kepada potongan cukai bulanan (PCB) oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Noorhelmi Mohd Nor, berkata langkah itu bagi mengurangkan beban mereka untuk membayar jumlah sebenar cukai pendapatan 2011 apabila ia dikira kelak.

PCB dikenakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967 kepada bayaran saraan tambahan antaranya bayaran kerja lebih masa, bonus atau insentif, tunggakan gaji atau apa-apa tunggakan lain kepada pekerja dan ganjaran.

“Saraan tambahan bererti apa-apa bayaran yang dibuat kepada pekerja sama ada secara sekali gus atau berkala atau tertunggak atau bayaran tidak tetap atau apa-apa bayaran yang merupakan tambahan kepada saraan biasa bulan semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Justeru katanya, bayaran bonus perlu dibuat potongan cukai kerana ia adalah sebahagian daripada perolehan atau pendapatan yang diterima pekerja daripada suatu pekerjaan.

“Kaedah pengiraan amaun cukai yang perlu dipotong untuk bulan berkenaan ialah mengikut Formula Saraan Tambahan dan terdapat beberapa langkah yang perlu diikuti dalam pengiraan cukai untuk bonus ini,” katanya.

Katanya, pembayar cukai boleh mengira PCB dengan menggunakan kalkulator PCB secara online di laman web LHDN http://www.hasil.gov.my. – BERNAMA

Warden terkejut pelajar bersalin dalam tandas – Metro


Warden terkejut pelajar bersalin dalam tandas

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAJANG: Seorang warden asrama perempuan terkejut sejurus mendapati seorang pelajar perempuan tingkatan lima melahirkan bayi perempuan di dalam tandas asrama sebuah sekolah menengah di sini, semalam.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, guru wanita berkenaan dipanggil seorang pelajar lain yang memaklumkan rakannya berada di dalam tandas kerana baru melahirkan seorang bayi.
Katanya, guru berkenaan bergegas ke tandas itu dan mendapati mangsa yang berusia 17 tahun berada di dalam tandas yang dikunci dari dalam sambil mengerang kesakitan.

 

“Selepas dipujuk, mangsa keluar bersama bayi perempuan cukup sifat,” katanya.
Guru berkenaan membawa mangsa dan bayi perempuan itu ke Wad Kecemasan, Hospital Kajang, untuk rawatan lanjut.
Sumber berkata, sebaik emosi mangsa stabil, guru berkenaan meminta mangsa menceritakan kejadian yang menimpanya hingga menyebabkan dia mengandung.

 

 

“Mangsa mendakwa dirogol dua lelaki tidak dikenali di Taman Kajang Utama pada November tahun lalu,” katanya.
Guru berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan jika sabit kesalahan suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Patah jari berkhalwat – Metro


Patah jari berkhalwat

Oleh Arifin Salleh
am@hemetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR GAJAH: Seorang pelajar sebuah sekolah menengah di sini, patah jari apabila dibelasah dengan batang penyapu oleh bapanya kerana disyaki bersekedudukan dengan teman wanitanya di sebuah rumah di Masjid Tanah, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam, remaja lelaki berusia 17 tahun terbabit patah jari kiri selepas dibelasah bapanya yang hilang sabar dengan perbuatannya itu.

Remaja itu dan teman wanitanya yang juga penduduk taman berdekatan serta satu lagi pasangan ditangkap pegawai syarak bersama penduduk taman selepas menceroboh masuk ke rumah jiran ketika penghuninya keluar.

Tindakan kumpulan remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dihidu penduduk yang seterusnya memaklumkan kepada pegawai syarak lalu menyerbu rumah itu.

 
Bagaimanapun, ketika diserbu, dua remaja perempuan sempat keluar rumah dan bersembunyi di dalam kereta, manakala dua lelaki itu berada di dalam rumah.

Botol petrol meletup – Metro


Botol petrol meletup

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Gara-gara bermain berhampiran tempat pembakaran sampah, seorang murid tahun enam melecur teruk di muka apabila api menyambar botol berisi petrol yang digunakan untuk membakar timbunan sampah itu sebelum membakar mukanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa, Mohd Azis Zakaria, 12, sedang bermain di hadapan rumahnya di Kampung Delek di sini, bersama-sama tiga rakannya.

Kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila api daripada timbunan sampah menyambar sebotol minyak petrol yang terletak berhampiran tempat mereka bermain.

Mohd Azis yang ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam, menyatakan sambaran api menyebabkan botol minyak petrol itu meletup hingga terpercik ke mukanya sebelum terbakar manakala rakan lain melarikan diri.

 
“Dalam keadaan panik dan kesakitan ketika api membakar muka, saya melarikan diri ke dalam rumah untuk meminta bantuan kerana gagal memadamkannya.

Mercun digenggam meletup – Metro


Mercun digenggam meletup

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SAKIT...Norayati melihat tangan Mohd Shafik yang cedera.
SAKIT…Norayati melihat tangan Mohd Shafik yang cedera.

KUALA TERENGGANU: “Shafik minta izin untuk keluar bersembahyang Tarawih di surau Al Taqwa berdekatan, tetapi tidak lama kemudian saya mendapat panggilan telefon daripada seorang rakannya mengatakan jari anak saya itu cedera akibat terkena mercun,” kata Norayati Ismail, 34, ibu Mohd Shafik Zuhairi Zainuddin, 13, mangsa kedua kemalangan mercun di negeri ini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.10 malam itu, Mohd Shafik cedera jari telunjuk dan melecur teruk di tapak tangan kanan selepas mercun bola dipasang meletup ketika dalam genggamannya.
Norayati berkata, dia tidak tahu dari mana Shafik yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir, di sini, mendapat mercun berkenaan, tetapi difahamkan anaknya itu bermain mercun bersama sekumpulan rakan sebaya di perkarangan surau berkenaan ketika jemaah mengerjakan Tarawih.

 

“Selepas membenarkan dia keluar, saya menyiapkan tempahan jahitan baju pelanggan, tetapi tidak lama kemudian saya terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang rakan Shafik mengatakan anak saya cedera akibat terkena mercun,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Pelajar lahir anak dalam tandas – Utusan


Pelajar lahir anak dalam tandas

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kajang dekat sini, tidak menyangka bunyi tangisan yang didengarnya awal pagi ini, datang daripada bayi yang baru dilahirkan oleh seorang pelajar di asrama sekolah tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab, bunyi yang didengar pukul 5 pagi itu, mengejutkan pengawal yang bertugas tersebut lalu dia pergi memeriksa di asrama terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bunyi itu datang dari sebuah tandas di asrama tersebut yang berkunci.

“Terdapat seorang pelajar tingkatan lima di dalamnya namun remaja itu enggan membuka pintu sehingga memaksa pengawal terbabit menghubungi guru.

“Guru itu akhirnya berjaya memujuk pelajar berusia 17 tahun itu yang melahirkan seorang bayi perempuan. Pelajar itu kemudian dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Kajang untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ab. Rashid memberitahu, pelajar perempuan itu mendakwa dia dirogol dua lelaki tidak dikenali di Taman Kajang Utama, di sini pada November lalu.

“Tetapi tiada laporan yang dibuat terhadap kes rogol itu,” jelasnya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Remaja disiasat rancang kehilangan – Utusan


Remaja disiasat rancang kehilangan

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Polis hari ini mengesahkan bahawa kes kehilangan seorang remaja perempuan, Ameerah Asha Azizan, 17, dari rumahnya di Bukit Puchong, Selangor sejak 12 Ogos lalu tidak mempunyai kaitan dengan kes culik.

Sebaliknya, polis percaya remaja itu mengikut teman lelakinya yang berusia 19 tahun serta berkemungkinan berpakat untuk merancang kononnya dia diculik.

Remaja perempuan itu bersama teman lelakinya yang tidak bekerja dikatakan berpakat meminta RM50,000 sebagai wang tebusan kononnya untuk membebaskan dirinya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, bagaimanapun tindakan pasangan itu akhirnya terbongkar apabila mereka terlebih dahulu ditemui polis yang sedang menyiasat kes kehilangannya, pada pukul 9 pagi ini.

“Mereka telah menghubungi ibu bapa remaja perempuan itu untuk meminta sejumlah RM50,000 sebagai wang tebusan membebaskan Ameerah.

“Namun kita terlebih dulu menemui kedua-dua mereka dalam sebuah kereta di Saujana Puchong dan telah menahan pasangan itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Ameerah Asha, anak sulung daripada dua beradik dilaporkan hilang selepas pulang dari sekolahnya sejak 12 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Zainal Rashid berkata, polis pada mulanya menganggap remaja itu diculik namun akhirnya mendapat petunjuk bahawa dia dipercayai lari mengikut teman lelakinya berdasarkan siasatan yang dijalankan.

Malah, katanya, remaja itu juga pernah melarikan diri dari rumah sebelum ini.