Impian remaja barah kronik berbual dengan PM tercapai – Berita Harian


Impian remaja barah kronik berbual dengan PM tercapai

2011/08/19

TAIPING: Impian seorang remaja yang menghidap barah tulang kronik untuk bercakap dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tercapai selepas dapat berbual kira-kira lima minit pada jam 9.15 pagi tadi.

Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, berkesempatan berbual menggunakan telefon bimbit Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang melawat remaja itu di rumahnya di Taman Mewah Kamunting di sini.

Jabatan agama perlu siasat – Metro


Jabatan agama perlu siasat

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Penyebaran agama lain terhadap murid beragama Islam melalui kelas tuisyen jelas salah dan pihak berkuasa terutama jabatan agama Islam negeri perlu menyiasat perkara itu dengan teliti.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan perkara itu dan meminta ibu bapa yang mengetahui jika terdapat guru atau guru tuisyen yang cuba menyebarkan agama lain kepada anak mereka supaya melaporkannya dengan segera.
Menurutnya, berhubung dakwaan terdapat kegiatan penyebaran agama lain terhadap murid sekolah di Jalan Klang Lama, selepas dilakukan, beliau dimaklumkan kelas tuisyen itu diadakan di luar sekolah dan bukannya anjuran pihak sekolah.

 

“Saya dimaklumkan kes ini bukan berlaku di sekolah tetapi di luar iaitu mungkin ibu bapa yang mengambil guru untuk tuisyen anak mereka, namun apa pun kita akan pantau perkara ini. Apa yang lebih penting, ibu bapa perlu memantau rapat jika aduan itu disampaikan anak dan mereka perlu disiasat supaya dapat tahu perkara sebenar.
“Sepatutnya hal sebegini tidak boleh dilakukan. Kita ada undang-undang dan enakmen tertentu yang ada hubungkait larangan penyebaran agama lain kepada masyarakat Islam sama ada di Wilayah Persekutuan atau negeri lain,” katanya selepas Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras, di sini, semalam.
Katanya, jika perkara sedemikian berlaku, ibu bapa bertanggungjawab untuk memantau keadaan dan jika benar, mereka boleh membuat laporan kepada pihak jabatan agama negeri dan pihak berkenaan perlu terus membuat siasatan yang seharusnya.

Dua sepupu lemas dalam kolam takungan – Metro


Dua sepupu lemas dalam kolam takungan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PUTRAJAYA: Dua sepupu menemui ajal selepas lemas dalam sebuah kolam takungan di tapak projek pembinaan di Pulau Meranti, dekat sini, selepas bermain di kawasan itu, kira-kira jam 4 petang, semalam.

Mangsa, Amir Fariz Mohd Fozli, enam tahun, dan Nor Shafiza Batrisya Ahmad Syukri, empat tahun, bermain di tepi kolam takungan itu ketika bersiar-siar bersama abang Nor Shafiza Batrisya iaitu Mohd Fikri Ahmad Syukri, enam tahun. Difahamkan, mereka bertiga keluar rumah kira-kira jam 3 petang menuju kandang kambing milik keluarga mereka dan ke kolam itu kira-kira 500 meter dari kandang kambing berkenaan. Ibu saudara mangsa, Maznah Mat Noor, 39, berkata Mohd Fikri yang bersama dua mangsa terbabit ke tempat berkenaan pulang berseorangan ke rumah dengan keadaan kaki dan seluar comot dengan tanah. “Mohd Fikri memberitahu ibunya, Faridah Mat Noor, 38, yang adiknya Nor Shafiza Batrisya dan sepupunya lemas di dalam kolam. “Terkejut dengan berita itu, ibunya meminta pertolongan jiran ke tempat berkenaan dan setibanya di kolam takungan itu, mereka menemui kedua-dua mangsa terbabit terapung di permukaan air,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang.

Siasat kelas tuisyen pesong akidah murid – Berita Harian


Siasat kelas tuisyen pesong akidah murid
Oleh Hardi Effendi Yaacob, Wan Faizal Ismayatim dan Faiza Zainudin
bhnews@bharian.com.my
2011/08/19

   MUHYIDDIN   mencuba senjata Sniper Specialty Rifle 7.62mm  pada Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama  PDRM di ibu negara, semalam.

MUHYIDDIN mencuba senjata Sniper Specialty Rifle 7.62mm pada Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama PDRM di ibu negara, semalam.

Kementerian Pelajaran pantau kegiatan kumpulan sebar agama lain di luar sekolah 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang memantau dakwaan wujud kegiatan menyebarkan agama lain oleh kumpulan tertentu yang berselindung di sebalik kelas tuisyen percuma dengan menyasarkan murid sekolah rendah beragama Islam, terutama di kalangan keluarga miskin dan setinggan di ibu negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mengambil berat dakwaan itu dan siasatan terperinci perlu dilakukan kerana kegiatan berkenaan melanggar Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam.

Jika anak mengadu, ibu bapa perlu segera melaporkannya kepada Jabatan Agama Islam negeri dan harus disiasat. – Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

“Saya dimaklumkan kejadian berlaku di luar sekolah apabila anak ini mengikuti kelas tuisyen. Hal sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana negara kita ada undang-undang… ada enakmen tertentu melarang penyebaran agama lain kepada umat Islam. Disebabkan kejadian berlaku di luar sekolah, ibu bapa kenalah pantau anak mereka.

“Jika anak mengadu (mengenai kegiatan itu), ibu bapa perlu segera melaporkannya kepada Jabatan Agama Islam negeri dan ia haruslah disiasat,” katanya selepas menghadiri Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai cubaan terbaru memesongkan akidah umat Islam dikesan dipercayai didalangi kumpulan tertentu dengan menyasarkan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun, terutama dari kalangan keluarga miskin di beberapa penempatan setinggan di Lembah Klang.

Difahamkan, kegiatan terbabit bertapak sejak enam tahun lalu berselindung di sebalik kelas tuisyen yang diadakan di bekas kuarters pekerja ladang di Hock Ann Estate, Jalan Klang Lama untuk menyebarkan pengaruh Kristian melalui tayangan video dan segmen menyanyikan lagu keagamaan.
Sementara itu, tinjauan Berita Harian mendapati premis terbabit berkunci, dengan bahagian luarnya terdapat poster keagamaan yang tidak menunjukkan langsung imejnya sebagai kelas tuisyen.

Sementara itu pada majlis pelancaran Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (ECCE) di sini, semalam. Muhyiddin berkata, kerajaan sedang menggubal mekanisme serta syarat membolehkan guru dan pengasuh prasekolah di negara ini untuk memiliki kelayakan yang lebih tinggi.

Beliau berkata, semakin berilmu dan berkemahiran tinggi seseorang pendidik, semakin berkesan fungsi mereka sebagai pendidik dalam tahun formatif dan kritikal untuk perkembangan kanak-kanak.

Katanya, di kalangan negara yang sekian lama memberi pengiktirafan kepada pendidikan awal kanak-kanak seperti Russia, pendidik memiliki kelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) atau sekurang-kurangnya ijazah sarjana.

“Ini seharusnya menjadi aspirasi dan penanda aras. Sehubungan itu, saya difahamkan Kementerian Pelajaran dalam proses menggubal mekanisme dan syarat bagi membolehkan pendidik serta pengasuh mencapai kelayakan lebih tinggi dalam masa terdekat,” katanya.

2 kanak-kanak lemas dalam kolam takungan – Berita Harian


2 kanak-kanak lemas dalam kolam takungan
Oleh Haika Khazi
mfaizul@bharian.com.my
2011/08/19

Mangsa terjatuh ketika bermain berhampiran kediaman

PUTRAJAYA: Tindakan tiga bersaudara berusia empat hingga enam tahun yang keluar bermain bersama tanpa pengawasan orang dewasa berhampiran sebuah kolam takungan air berhampiran kediaman mereka diakhiri dengan tragedi apabila dua daripada kanak-kanak itu ditemui lemas Pulau Meranti, dekat sini, kira-kira jam 4 petang, semalam.

Sebelum kejadian itu, Amir Fariz Mohd Fozli, 6, dan sepupunya, Nor Shafiza Batrisya Ahmad Syukri, 4, dikatakan bermain di tepi kolam bersama abang Nor Shafiza, Mohd Fikri, 6, kira-kira jam 3 petang.

Ibu Nor Shafiza Batrisya yang terkejut dengan berita itu, kemudian memaklumkan kejadian menimpa anak perempuannya itu kepada suaminya Ahmad Syukri Ismail, 41, sebelum meminta bantuan jiran untuk mencari kedua-dua mangsa. – Maznah Mat Noor, Ibu saudara mangsa

Ibu saudara mangsa, Maznah Mat Noor, 39, berkata selepas sejam keluar bermain Mohd Fikri pulang ke rumah seorang diri dalam keadaan seluar dan kakinya kotor memberitahu ibunya, Faridah Mat Noor, 38, adiknya dan Amir Fariz terjatuh ke dalam kolam.

“Ibu Nor Shafiza Batrisya yang terkejut dengan berita itu, kemudian memaklumkan kejadian menimpa anak perempuannya itu kepada suaminya Ahmad Syukri Ismail, 41, sebelum meminta bantuan jiran untuk mencari kedua-dua mangsa.

“Bagaimanapun, sejurus tiba di tempat kejadian adik ipar saya terkejut apabila melihat keadaan Amir Fariz dan Nor Shafiza Batrisya sudah terapung di permukaan air dipercayai akibat lemas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hospital Serdang di sini, malam tadi.

Maznah berkata, mereka kemudian membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan bantuan kecemasan, sebelum doktor bertugas di situ mengesahkan Amir Fariz dan Nor Shafiza Batrisya sudah meninggal.
Sementara itu, Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat, sebelum diserahkan kepada ahli keluarga terdekat untuk urusan pengebumian.

Dua beradik disimbah asid tidak sabar pulang beraya – Utusan


Dua beradik disimbah asid tidak sabar pulang beraya

ABDULLAH Abu Bakar (kanan) bertanya khabar dan berbual mengenai kesihatan Syaffiy Aiman Mat Safar Zaidi (empat dari kiri) dan Syafiq Haikal Mat Safar Zaidi (dua dari kiri) di Unit Kebakaran Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, semalam.

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Dua beradik yang disimbah cuka getah dalam satu kejadian di Felda Jengka 9 dekat Maran pada 19 Julai lalu tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut kedatangan Aidilfitri.

Meskipun masih menanggung derita akibat kecederaan teruk di muka, Syafiq Haikal Mat Safa Zaidi, 13, tetap bersemangat untuk mengenakan baju Melayu berwarna hijau pada hari raya ini.

Katanya, memandangkan dia dan adiknya Syaffiy Aiman, 10, yang kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana cedera dalam kejadian itu tidak sempat membuat sebarang persiapan, dia berharap lukanya cepat sembuh bagi membolehkan mereka pulang.

“Saya tak sabar-sabar untuk pulang ke rumah. Saya nak jumpa kawan-kawan dan beli baju raya,” katanya ketika ditemui di HKL di sini, hari ini.

Sebelum itu, Timbalan Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Datuk Abdullah Abu Bakar menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada mereka.

Abdullah juga berkata, pihaknya akan membiayai kos rawatan kedua-dua mangsa sehingga mereka kembali pulih sepenuhnya.

Sementara itu, ibu mangsa, Rohashimah Julaili Mansor, 33, memberitahu, kedua-dua anaknya akan menjalani satu lagi pembedahan, Selasa ini.

“Sama ada mereka dapat dibenarkan pulang atau sebaliknya, ia bergantung kepada pembedahan itu,” katanya.

Sebelum ini katanya, Syafiq Haikal seolah-olah mengamuk setiap kali teringat kejadian yang menimpanya manakala adiknya pula kelihatan masih trauma dan berubah menjadi pendiam.

“Lebih sedih lagi apabila mereka mula menyoal saya sama ada rakan-rakan mereka di sekolah akan menerima mereka atau sebaliknya kerana muka mereka tidak seperti dulu,” katanya.

Dalam kejadian 19 Julai lalu, dua beradik itu mengalami kecederaan parah apabila disimbah cuka getah oleh seorang pekerja ladang ketika dalam perjalanan ke rumah kawan mereka di Felda Ketumbar Jengka 9. Lelaki itu bagaimanapun telah dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun.

Kejadian itu menyebabkan dua beradik itu cedera parah di muka, mata dan badan.

Ajar Kristian: Jawi hantar pegawai siasat dakwaan murid – Utusan


Ajar Kristian: Jawi hantar pegawai siasat dakwaan murid

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini menghantar sepasukan pegawainya ke sebuah sekolah di Jalan Kuchai Lama di sini hari ini, untuk menyiasat dakwaan seorang murid yang cuba dipengaruhi ajaran Kristian di tempat tuisyennya.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali (gambar) berkata, pegawai tersebut hadir pada awal pagi bagi mengambil keterangan daripada murid tersebut.

“Saya akan melihat laporan daripada penyiasatan pegawai dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak.

“Insya-Allah, esok atau lusa kami akan keluarkan laporan tersebut. Diharap semua pihak bersabar dan tidak bertindak luar batasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, sepasukan pegawai dari Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur dipercayai mengunjungi sebuah sekolah di Jalan Kuchai Lama di sini, untuk mengambil keterangan murid tersebut.

Pasukan dari Bahagian Sektor Pendidikan Islam itu difahamkan hadir pada pukul 8.30 pagi sebelum dilihat keluar dari sekolah tersebut kira-kira empat jam selepas itu.

Jelas Che Mat, pihaknya akan sentiasa memastikan isu seumpama itu diselesaikan segera kerana ia melibatkan akidah dan sensitiviti rakyat.

“Diharap orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang akan menjejaskan integriti sesama anggota masyarakat. Kita perlu siasat dahulu baru bertindak,” ujarnya.

6,000 guru prasekolah dilatih 2012 – Utusan


6,000 guru prasekolah dilatih 2012

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Seramai 6,000 guru prasekolah akan dilatih pada tahun depan bagi merealisasikan hasrat kerajaan menjadikan taman asuhan kanak-kanak dan prasekolah di negara ini bertaraf dunia.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut adalah tambahan kepada 14,000 guru prasekolah sedia ada, yang telah diberi latihan sejak setahun lalu melibatkan kos RM39.5 juta.

Menurutnya, daripada sejumlah 14,000 guru prasekolah tersebut, seramai 6,580 dilatih pada 2010 yang melibatkan kos RM19 juta manakala baki 7,420 guru dilatih pada tahun ini dengan kos RM20.5 juta.

“Kemudahan fizikal yang canggih semata-mata tidak memberi jaminan ke arah merealisasikan impian kita untuk menjadikan taman asuhan kanak-kanak dan prasekolah mencapai tahap kelas pertama dan bertaraf dunia.

“Kita sebaliknya memerlukan pengasuh dan guru prasekolah yang berkaliber. Tenaga pengajar ini mesti berpengetahuan, berkemahiran, mempunyai sifat pengasih serta memiliki minda terbuka,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia (ECCE) di Auditorium Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Datin Fatimah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Azmi Ariffin.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan satu skim khas bagi membantu kanak-kanak daripada keluarga miskin mengikuti kelas taska dan prasekolah swasta.

Bagaimanapun katanya, ketika ini bantuan khas RM150 sebulan untuk setiap kanak-kanak memang sudah diberi kepada setiap keluarga miskin yang menghantar anak mereka ke kelas taska dan prasekolah swasta.

“Kita berharap skim khas yang sedang dikaji ini bukan sahaja mampu memberi manfaat kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin tetapi turut meringankan beban keluarga yang berpendapatan sederhana rendah,” katanya.

Ibu terkejut tuisyen sebar Kristian – Utusan


Ibu terkejut tuisyen sebar Kristian

 

Oleh MD. AZRIN ROSLY
dan UMAVATHI RAMAYAH
pengarang@utusan.com.my

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Ibu kepada dua kanak-kanak Melayu yang dikatakan belajar di sebuah pusat tuisyen yang cuba menyebarkan ajaran Kristian secara halus kepada mereka, terkejut dengan pendedahan akhbar ini berhubung perkara tersebut.

Rosiati Mohd. Repha, 40, berkata, dia tidak menyangka pusat tuisyen yang disangka mengajar subjek akademik itu melakukan perbuatan menyalahi hukum agama.

Menurutnya, kedua-dua anaknya yang berusia 12 dan tujuh tahun begitu bersemangat dan menunjukkan minat yang tinggi setiap kali pergi ke pusat tuisyen tersebut.

“Kerap juga mereka membawa pulang hadiah-hadiah, mereka cakap cikgu tuisyen bagi sebab menang dalam pertandingan menyanyi,” katanya.

Rosiati berkata, dia juga baru menyedari buku tuisyen anak-anaknya tidak pernah bertambah, sebaliknya hanya menggunakan satu buku latihan sahaja sejak memasuki pusat tuisyen itu.

Buku itu pula, katanya, hanya tertulis ABC dan lukisan serta langsung tiada kaitan dengan sukatan pelajaran tahun enam.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, ekoran kesempitan wang, anak-anaknya dihantar ke pusat tuisyen tersebut kerana mereka tidak dikenakan sebarang yuran.

“Selepas pusat tuisyen itu dikatakan menyebarkan dakwah Kristian, saya telah melarang mereka ke tuisyen tersebut dan menerangkan perkara sebenar,” jelasnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sebuah rumah yang dikatakan dijadikan sebagai pusat tuisyen tersebut mendapati ia telah beroperasi lebih dari tujuh tahun dan sering dikunjungi pelajar pelbagai kaum termasuk pelajar Melayu.

Pusat tuisyen itu juga tertutup dan dikatakan hanya beroperasi pada setiap Ahad.

Utusan Malaysia juga mendapati beberapa poster yang memaparkan istilah-istilah menyanjung Kristian diletak di hadapan pusat tuisyen itu.

Salah seorang jirannya, Rosiah Ibrahim, 52, ketika ditemui mendakwa tempat tuisyen tersebut mengajar para pelajar menyanyi lagu-lagu Kristian dan dipertontonkan video mengenai Jesus Christ (Nabi Isa) dan kuiz bagi menguji kefahaman mereka.

Beliau yang merupakan bekas Pengerusi Rukun Tetangga di kawasan itu memberitahu, pelajar yang memperoleh markah tertinggi di dalam kuiz akan diberikan hadiah menarik seperti dibawa berjalan-jalan, menonton wayang selain turut menerima hadiah semasa hari jadi mereka.

“Murid-murid yang diajar di sana dalam lingkungan umur enam hingga 14 tahun dari tiga buah sekolah berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Setia, SK La Salle, SK St. Teressa dan Sekolah Menengah Kebangsaan Vivekananda.

“Mereka yang datang mengajar di tempat tuisyen itu kelihatan dari golongan profesional yang datang dengan kenderaan mewah. Mereka mengajar pada setiap hari Ahad iaitu dari pukul 2 hingga 5 petang,” katanya yang menetap di kawasan tersebut lebih daripada 18 tahun.

Sementara itu, seorang lagi jiran berhampiran tempat tuisyen itu, Hosni Mubarak, 45, pula berkata, dia sering mendengar nyanyian lagu-lagu berkaitan Kristian semasa sesi pengajaran tuisyen tersebut.

“Setiap petang Ahad nyanyian lagu-lagu Kristian sering kedengaran di pusat tuisyen tersebut,” dakwanya.

Namun mereka tidak terlintas untuk mendedahkan perkara itu kerana berpendapat ia hanya sekadar lagu dan tiada sebarang kegiatan yang menyalahi agama.

Lapor Jabatan Agama Islam guru sebar agama lain – TPM – Bernama


Lapor Jabatan Agama Islam guru sebar agama lain – TPM

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Ibu bapa perlu melaporkan kepada Jabatan Agama Islam negeri masing-masing jika terdapat guru atau guru tuisyen yang cuba menyebarkan agama lain kepada anak-anak yang beragama Islam, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Jabatan Agama Islam di negeri-negeri mempunyai kuasa undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba menyebarkan agama lain kepada umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, ibu bapa perlu memastikan kesahihan perkara tersebut sebelum melaporkan kepada Jabatan Agama Islam , katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan & Ramah Mesra Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang mendakwa seorang guru tuisyen di Jalan Kuchai Lama di sini, mengajar murid-muridnya yang kebanyakan mereka beragama Islam menyanyikan lagu memuji kebesaran Nabi Isa.

Dilaporkan murid-murid beragama Islam yang belajar di kelas tuisyen yang diberikan secara percuma oleh sekumpulan pemuda-pemudi bukan berbangsa Melayu di kawasan itu telah diajar menyanyikan lagu Yes, I know Jesus loves me dan Hari ini Ku Rasa Bahagia yang memuji Nabi Isa sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib.

Selain itu, murid-murid itu juga dikatakan mampu bercerita kisah-kisah Nabi Isa termasuk kisah Nabi Isa disalib dan difahamkan, para murid tersebut diterapkan ajaran agama Kristian secara halus ketika belajar.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau dimaklumkan pusat tuisyen itu bukan diadakan di dalam kawasan sekolah di situ tetapi di luar sekolah.

Ibu bapa pelajar yang terlibat perlu menyiasat bagi memastikan keadaan sebenar dan Kementerian Pelajaran akan pantau perkara tersebut, katanya.

“Hal begini tak boleh dilakukan, kerana kita ada undang-undang tertentu (dan) enakmen tertentu,” katanya.

Sementara itu, mengenai isu peletakan jawatan 146 staf akademik Universiti Malaya sejak 2009 kerana didakwa tidak berpuas hati dengan kepimpinan Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon, Muhyiddin berkata adalah tanggungjawab Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk mendapatkan laporan yang sebenar.

“Perlu melihat apakah isu-isu atau masalah yang dihadapi oleh mereka dengan Naib Canselor, dan lihat apakah hal-hal lain yang menyebabkan mereka mengambil langkah-langkah demikian.

“Kita tidak boleh membuat andaian di peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting adalah memastikan pentadbiran universiti itu berjalan dengan baik, dan hubungan antara kakitangan dan pimpinan tertinggi berjalan dengan akrab.

Ini merupakan sasaran untuk mencapai kecemerlangan di peringkat universiti, katanya. Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop, Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Mahmood Adam dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar. — BERNAMA