Suspek ketiga kes culik gadis di Kuala Besut ditahan – Bernama


Suspek ketiga kes culik gadis di Kuala Besut ditahan

2011/08/20

BESUT: Seorang pemuda 23 tahun yang merupakan suspek ketiga kes culik gadis berumur 15 tahun di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut pada 12 Ogos lalu berjaya ditangkap pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Zakaria, berkata suspek ditangkap ketika sedang tidur di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok, Semerak di Kelantan oleh polis pada kira-kira 10.30 pagi.

Katanya, suspek cuba melawan dengan menggunakan sebilah parang yang diletakkan di bawah bantal tetapi kecekapan anggota polis dapat memberkasnya selepas berlaku pergelutan.

“Suspek direman selama seminggu bermula hari ini,” katanya pada sidang
media di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini, hari ini.

Siasatan mendapati suspek adalah positif dadah dan pernah ditahan kerana
terbabit dengan kes jenayah seksual, katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam, 12 Ogos lalu,
suspek bersama dua individu lain melarikan gadis berkenaan di depan
sebuah kedai runcit di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut dengan sebuah kereta
Perodua Kancil.

Tindakan pantas bapa gadis berkenaan melaporkan kejadian itu kepada pihak
polis menemukan gadis berkenaan yang disembunyikan di sebuah rumah tidak
bernombor di Kampung Gong Manok, Pasir Putih, Kelantan.

Dua lelaki berumur 25 dan 17 tahun berjaya diberkas tetapi suspek ketiga
telah melarikan diri terlebih dahulu sebelum polis sampai.

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata, polis percaya empat suspek
(lakaran imej) dapat membantu polis menyelesaikan lima kes jenayah jalanan
seperti samun dan ragut di sekitar daerah Besut sepanjang bulan Julai dan Ogos
yang membabitkan nilai kehilangan barang berjumlah lebih RM20,000.

Katanya, individu yang dikenali melalui lakaran imej dipercayai berumur di
bawah 30 tahun dan merupakan penduduk tempatan.

Sehubungan dengan itu beliau meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan
segera kepada polis sekiranya kenal atau tahu di mana semua suspek dengan
menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di talian 09-6956200 atau mana-mana balai polis. – BERNAMA

Pelajar maut, ibu parah dirempuh lori – Bernama


Pelajar maut, ibu parah dirempuh lori

2011/08/20

BESUT: Seorang pelajar Tahun Satu maut manakala ibu dan adiknya cedera parah akibat dirempuh lori yang terbabas di kilometer 27 Jalan Jerteh-Keruak, dekat persimpangan FELDA Tenang, Hulu Besut di sini kira-kira 7.15 pagi ini.

Nik Nur Madhiah Sakeri, 7, pelajar Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir

Putih, Kelantan meninggal dunia setelah empat jam dirawat di Hospital Daerah Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Zakaria, berkata ibu dan adik
lelaki pelajar itu, Raja Juriah Raja Saamun, 38, dan Nik Mohd Amar Zulkarnain,
2, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,
Kelantan untuk rawatan.

Katanya, pemandu lori itu dikatakan terlelap menyebabkan lori yang dipandunya
terbabas dan melanggar van yang dinaiki mangsa yang ketika itu berhenti di bahu jalan.

“Disebabkan kemalangan itu, ketiga-tiga beranak yang baru hendak keluar
daripada van dipercayai untuk membeli barangan di kedai berhampiran, tercampak
beberapa meter dari tempat kejadian,” katanya kepada pemberita.

Katanya, dengan bantuan orang ramai, ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke
Hospital Daerah Besut tetapi Nur Madhiah meninggal dunia empat jam kemudian
ketika sedang diberikan rawatan.

Kamaruddin berkata, pemandu lori berkenaan, Affendi Mohammad, 24, yang
berasal dari Kampung Padang Bual, Hulu Besut bagaimanapun tidak mengalami
sebarang kecederaan.

Katanya, punca sebenar kemalangan sedang disiasat. – BERNAMA

Capai impian – Metro


Capai impian

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAMUNTING: penderitaan akibat penyakit barah tulang yang ditanggung seorang remaja perempuan sejak dua tahun lalu seolah-olah ‘sembuh’ seketika apabila dia berpeluang memenuhi impiannya untuk berbual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, di kediamannya di sini pagi semalam.

Bagi Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, dia tidak dapat menggambarkan rasa seronoknya apabila hajatnya itu berjaya direalisasikan sebaik dapat berbual menerusi telefon selama lima minit dengan idolanya itu.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berdepan saat kritikal dalam hidupnya apabila doktor mengesahkan penyakit barah dialaminya sudah merebak ke semua bahagian tulang termasuk organ dalamannya sehingga dia terpaksa bergantung pada mesin pernafasan dan rawatan rapi sepanjang masa.

 

Malah, anak pasangan Che Tom Osman, 45, dan Samsudin Abdullah, 50, itu terlantar di atas katil sejak tiga minggu lalu selain susut berat badan dan mula hilang selera makan.
Episod sedih Nurul Atikah bermula apabila dia disahkan menghidap barah berkenaan selepas tiba-tiba terjatuh dan pengsan di hadapan rumahnya dua tahun lalu sebelum terpaksa menjalani lebih 10 kali pembedahan dan rawatan kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
Semalam, Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kanak-kanak berjaya merealisasikan impian terakhir remaja berkenaan.

 

 

Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut hadir bagi menyaksikan detik gembira remaja itu meluangkan masa berbual dengan Perdana Menteri.
Butir perbualan antara Nurul Atikah dan Perdana Menteri juga sempat didengari oleh kira-kira 30 tetamu yang hadir di rumah remaja berkenaan sebaik fungsi pembesar suara telefon diaktifkan.

 

Nurul Atikah berkata, dia sudah lama memasang impian untuk berjumpa dengan Perdana Menteri kerana kagum dengan pemimpin utama negara itu.
“Perdana Menteri ada bertanyakan keadaan penyakit saya, malah dia juga meminta saya supaya banyak bersabar. Saya juga sempat bertanyakan khabarnya sebelum mengakhiri perbualan dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri.
“Biarpun tidak dapat berbual lama, saya berasa seronok kerana impian itu berjaya ditunaikan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Mewah di sini, semalam.
Katanya, dia juga mendoakan supaya Perdana Menteri cepat sembuh daripada penyakit lutut yang dihadapi.
Sementara itu, Che Tom berkata, Nurul Atikah mempunyai banyak impian yang antaranya ialah mahu berjumpa dengan Perdana Menteri.
“Sejak dari kecil, dia selalu memberitahu saya mengenai impiannya itu. Pada mulanya, saya bingung juga untuk memenuhi impiannya itu, namun doktor pakar yang merawatnya, Profesor Dr Wan Ariffin Abdullah yang juga Pakar Perunding Pediatrik PPUM mengesyorkan kepada saya menghubungi CWS.
“Nurul Atikah pernah menyatakan impiannya berjabat tangan dengan Perdana Menteri, namun saya yakin apa yang berlaku hari ini cukup menggembirakannya sekali gus membantu mengurangkan derita penyakit ditanggungnya,” katanya.

‘Lama tak pakai baju raya baru’ – Metro


‘Lama tak pakai baju raya baru’

Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: “Ini baju raya pertama saya terima selepas agak lama tidak merasa baju baru pada pagi raya seperti insan lain,” kata remaja kelainan upaya, Nor Amalina Alia Ramli, 13, selepas menerima sumbangan daripada Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih).

Nor Amalina seorang daripada 309 penerima sumbangan yang diraikan pada program Kasih Ramadan anjuran Kasih yang diadakan di Taman Medan, di sini, semalam.
Katanya, kekurangannya membantutkan hasratnya untuk meraikan Aidilfitri dengan gembira seperti orang lain, namun selepas diraikan pada majlis itu dia teruja untuk berhari raya kali ini bersama keluarga.

 

“Gembira apabila insan seperti saya diberi perhatian pelbagai pihak. Dengan sokongan daripada semua saya yakin lebih ramai lagi seperti kami dapat meraikan Aidilfitri tanpa rasa tersisih,” katanya.
Pada majlis itu, 120 orang kurang upaya menerima pakaian dan duit raya dan sembilan lain menerima kerusi roda, manakala 30 berbangsa Cina dan India menerima duit berserta hamper raya.
Seramai 150 daripadanya pula golongan asnaf yang menerima zakat daripada Bank Rakyat serta barangan keperluan bernilai RM100 daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

 

 

Sumbangan disampaikan isteri Perdana Menteri yang juga Yang di Pertua Kasih, Datin Seri Rosmah Mansor.
Hadir sama, Naib Yang di Pertua Kasih, Prof Datin Seri Dr Aishah Salleh; Pemangku Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Raja Hanipuddin Raja Nong Chik serta ahli jawatankuasa Kasih.

Masuk jerat sendiri – Metro


Masuk jerat sendiri

Oleh Muhamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

AMPANG: Seorang pelajar sebuah sekolah sanggup membuat laporan polis palsu kononnya menjadi mangsa belasahan 10 lelaki ketika ingin pulang ke rumah di Pandan Mewah, di sini selepas tamat sesi persekolahan, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 12. 30 tengah hari itu, pelajar berusia 17 tahun itu mendakwa dibelasah kumpulan lelaki terbabit hingga pengsan sebelum dibawa bapanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.
Malah, dia membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, kononnya kumpulan terbabit mengganggunya sebelum terus membelasahnya hingga pengsan.

 

Bagaimanapun, tembelang remaja itu pecah apabila polis yang menjalankan siasatan mendapati terdapat keraguan dalam laporannya dan hasil siasatan mendapati punca sebenar dia bergaduh dengan rakannya sendiri.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, polis yang menerima laporan remaja terbabit kemudian menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berpunca akibat pergaduhan dengan rakannya sendiri dan bukan seperti didakwa pelajar terbabit.

 

 

“Polis mengambil serius perkara ini kerana laporan palsu yang dibuat boleh menjejaskan siasatan kami.
“Remaja terbabit berkemungkinan akan dituduh minggu depan kerana kenyataan diberikan dalam laporannya tidak benar,” katanya.

 

Beliau berkata, dalam laporan itu, pelajar itu memberitahu didatangi 10 lelaki ketika menunggu bas untuk pulang ke rumah sebelum dibelasah,” katanya.
Dalam pergaduhan itu, pelajar terbabit cedera di mata, muka dan telinga akibat dipukul rakannya kerana masing-masing dikatakan mengejek sesama mereka.
Beberapa minit kemudian dia jatuh pengsan sebelum dihantar rakan lain ke rumahnya dan hanya sedar daripada pengsan kira-kira jam 10.30 malam selepas bapanya pulang.
Bagaimanapun, bapa mangsa yang terkejut melihat anaknya cedera terus membawanya ke hospital untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis.

Menumpang di surau – Metro


Menumpang di surau

Oleh Nur Lela Zulkipli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Ketika umat Islam sibuk menyediakan persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, lima beranak di Padang Jawa terpaksa menumpang teduh di surau apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran bulan lalu.

Kehidupan mereka umpama pelarian apabila surau kecil yang tidak digunakan lagi menjadi dapur dan tempat tidur mereka.
Mohd Rezhal Abbas, 40, berkata dia dan keluarganya hampir pasti akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi di surau berkenaan memandangkan rumah barunya masih di peringkat awal pembinaan dan dia tidak memiliki wang mencukupi untuk menyiapkannya.

 

“Selepas kejadian itu, saya sekeluarga sebenarnya tidak tahu mahu ke mana. Bagaimanapun atas keprihatinan, penduduk membenarkan kami tinggal sementara di surau ini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Mohd Rezhal menetap di surau itu bersama isterinya, Siti Suhaila Samingan, 35, serta anak mereka, Nur Nazatul Gaquyah, 14; Mohd Idham Hafiz, 13, dan Nor Farah Farhana, 9, sejak tragedi kebakaran itu yang berlaku empat hari sebelum Ramadan.
Menceritakan semula kejadian malang itu, Mohd Rezhal berkata, kebakaran kira-kira jam 6 petang pada 28 Julai lalu itu hampir memusnahkan semua harta-benda di rumah yang baru dibelinya tahun lalu.

 

 

Akibat kebakaran itu, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang. Peralatan sekolah termasuk buku serta baju sekolah tiga anak Mohd Rezhal turut hangus.
Sehingga proses membaiki rumahnya selesai apabila sudah cukup wang, Mohd Rezhal menyatakan dia lima beranak tidur dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang keselamatan tinggal di dalam surau yang senang dimasuki sesiapa yang berniat jahat.

 

Sementara itu, Siti Suhaila yang mengambil upah menjahit, berkata dia bersyukur kejadian malang itu tidak membabitkan kemalangan jiwa walaupun ketika ini mereka terpaksa bergelandangan.
“Pada hari kejadian, saya hanya mampu berdoa keluarga selamat apabila melihat rumah saya sudah dipenuhi asap ketika saya sampai rumah,” katanya.
Menurutnya, pada hari kejadian dia sibuk membantu berniaga ikan kering di pasar malam berdekatan.
Beliau berkata, dia dan suami kini gigih mengumpul wang bagi memulihkan keadaan tanpa terlalu mengharapkan simpati orang ramai, namun jika ada pihak yang mahu membantu boleh menghubunginya di talian 017-2669762.

Remaja cabul jiran jalani pemulihan akhlak – Metro


Remaja cabul jiran jalani pemulihan akhlak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Seorang remaja 16 tahun diperintah menjalani pemulihan di sekolah pemulihan akhlak oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati bersalah mencabul anak jirannya, seorang kanak-kanak berumur lapan tahun, tahun lalu.

Majistret Afifah Yusof memerintahkan remaja lelaki tidak bersekolah itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Melaka sehingga umur 21 tahun.
Terdahulu, pesalah muda itu didapati bersalah menggunakan kekerasan dengan cara mencium kepala dan dahi serta membuka pakaian kanak-kanak terbabit, yang juga jirannya.

 

Dia melakukan kesalahan itu di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Ubudiah, Jalan Perajurit, Telok Gong, Pandamaran di sini, antara jam 6.49 petang dan 7.10 malam, 25 Oktober tahun lalu.
Pendakwaan terhadapnya dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon, Nizi Shahril Ithnin dan Puteri Iskandariah Md Tahir mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

 

 

Peguam mewakili tertuduh, Nur Shakimah Harun meminta mahkamah memberikan remaja itu peluang kedua supaya dapat menjaga kedua ibu bapa dan berubah menjadi individu yang berkelakuan baik. Bagaimanapun, panel penasihat juvana, Masdar Mohd Husni dan Saliyah Ahmad menyarankan tertuduh dihantar ke Henry Gurney untuk pemulihan.
“Dia melakukan kesalahan jenayah terhadap seorang kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Ia kesalahan serius yang boleh membawa kepada kematian jika mangsa lambat ditemui.

 

“Walaupun (tertuduh) tiada rekod lampau, saya syorkan dia dihantar ke sekolah pemulihan,” katanya. Wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tuah Sajali yang menyerahkan laporan akhlak turut menyarankan remaja itu menjalani pemulihan di institusi.

Guna wang zakat wujudkan pusat tuisyen bertaraf kelas satu – Utusan


Guna wang zakat wujudkan pusat tuisyen bertaraf kelas satu

PULAU PINANG 19 Ogos – Kerajaan diminta menggunakan wang zakat untuk mewujudkan pusat tuisyen bertaraf kelas satu di setiap daerah untuk anak-anak beragama Islam daripada keluarga kurang berkemampuan.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, ini untuk mengelakkan anak-anak tersebut pergi ke pusat tuisyen yang ditubuhkan pihak tertentu terutama mereka yang memusuhi Islam.

Jelas beliau, perkara tersebut boleh dilakukan melalui penubuhan Tabung Baitulmal Negara yang merupakan satu dana hasil lebihan wang daripada kutipan zakat di setiap negeri selepas dibayar kepada asnaf.

“Bukan sahaja mewujudkan pusat tuisyen sendiri, malah kerajaan juga patut mengambil alih pusat asuhan dan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) yang diragui kewujudannya serta menyeleweng dari landasan yang sepatutnya.

“Dengan wang kutipan zakat yang dianggarkan RM500 juta setahun, saya rasa jumlah itu amat mencukupi untuk menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada golongan tersebut.

“Tidak guna kalau kita bagi bantuan makanan dan perumahan sedangkan jiwa mereka telah dipesongkan daripada akidah dan mentauhidkan Allah. Inikah modal insan yang ingin kita hasilkan untuk masa depan negara?” soal Mohd. Yussof ketika dihubungi di sini hari ini.

Yang Dipertua Persatuan Kariah-kariah Masjid Pulau Pinang itu berkata demikian apabila diminta mengulas isu murid dari sebuah sekolah di Jalan Kuchai Lama diterapkan dengan ajaran Kristian oleh pihak tertentu menerusi kelas tuisyen percuma.

Mohd. Yussof berkata, keluarga yang kurang berkemampuan terpaksa mencari alternatif lain termasuk membenarkan anak-anak mereka belajar di pusat tuisyen milik pihak tertentu untuk belajar dan menuntut ilmu.

“Mereka tidak mampu belajar di pusat tuisyen berbayar. Jadi alternatif yang ada hanyalah pusat tuisyen lain terutama yang memberi perkhidmatan secara percuma, tidak kiralah siapa yang mengelolakannya.

Pantau semua pusat tuisyen – Utusan


Pantau semua pusat tuisyen

KUALA TERENGGANU 19 Ogos – Semua pusat tuisyen perlu berdaftar dengan Kementerian Pelajaran supaya pihak yang berkaitan khususnya Jabatan Pelajaran dapat membuat pemantauan dari segi keselamatan dan kegiatan yang dilakukan.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, sekiranya ada pusat tuisyen tidak berdaftar, tindakan sewajarnya perlu dikenakan ke atas pemilik premis terbabit.

“Jika tiada langkah proaktif untuk memantau, akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini seperti penyebaran agama Kristian seperti mana yang berlaku sekarang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu murid dari sebuah sekolah di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur yang dilaporkan cuba dipengaruhi dengan ajaran Kristian oleh pihak tertentu menerusi pemberian kelas tuisyen percuma.

Syed Anuar berkata, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga perlu memainkan peranan memantau kewujudan pusat-pusat tuisyen khususnya yang dikendalikan bukan Islam.

Ibu bapa perlu awasi pergerakan anak-anak – Mashitah – Utusan


Ibu bapa perlu awasi pergerakan anak-anak – Mashitah

ALOR SETAR 19 Ogos – Ibu bapa dinasihatkan agar memantau pergerakan anak-anak walaupun ketika keluar belajar bagi mengelak menjadi sasaran golongan yang mahu memesongkan akidah mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, sikap lepas tangan ibu bapa hanya memberi peluang kepada pihak terbabit menjayakan agenda mereka secara halus.

“Kita tidak boleh lepas tangan. Mereka mesti dipantau, tanya tentang pelajaran dan apa yang mereka perolehi di kelas hari ini. Ini cara terbaik untuk mengetahui kegiatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membawa 60 anak-anak yatim dari Baling membeli-belah pakaian raya di pasar raya Mydin dekat sini hari ini sempena Program Nur Hidayah anjuran Wanita UMNO Baling dan Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Baling.

Mashitah mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini tentang seorang ibu yang terkejut apabila mengetahui sebuah pusat tuisyen dihadiri dua anaknya cuba menyebar ajaran Kristian kepada mereka.

Beliau menambah, kerajaan memandang serius cubaan memurtadkan kanak-kanak Islam menggunakan kelas tuisyen.

“Sekiranya maklumat diperolehi, tindakan akan diambil. Kita tidak akan biarkan perkara ini berterusan. Perlu ada tindakan tegas terhadap pihak yang melaksanakan agenda itu,” katanya.

Beliau pada masa yang sama menyarankan ibu bapa agar menggunakan pendekatan yang lebih halus dalam menerapkan ajaran Islam kepada anak-anak.

“Sampaikan dengan cara lebih lembut dan halus. Mereka lebih tertarik untuk menerima sesuatu yang positif dan menyeronokkan daripada diberitahu tentang azab untuk menakut-nakutkan mereka,” katanya.