Suspek ketiga kes culik gadis ditangkap – Utusan


Suspek ketiga kes culik gadis ditangkap

BESUT 20 Ogos – Seorang pemuda berusia 23 tahun yang merupakan suspek ketiga kes culik gadis berumur 15 tahun di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut pada 12 Ogos lalu berjaya ditangkap pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, suspek ditangkap ketika sedang tidur di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok, Semerak di Kelantan oleh polis pada kira-kira 10.30 pagi.

Katanya, suspek cuba melawan dengan menggunakan sebilah parang yang diletakkan di bawah bantal tetapi kecekapan anggota polis dapat memberkasnya selepas berlaku pergelutan.

“Suspek direman selama seminggu bermula hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini hari ini.

Siasatan mendapati suspek adalah positif dadah dan pernah ditahan kerana terbabit dengan kes jenayah seksual, katanya.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.15 malam, 12 Ogos lepas, suspek bersama dua individu lain telah melarikan gadis berkenaan di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Alor Peroi, Kuala Besut dengan sebuah kereta Perodua Kancil.

Tindakan pantas bapa gadis berkenaan melaporkan kejadian itu kepada pihak polis telah menemukan gadis berkenaan yang disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok, Pasir Putih, Kelantan.

Dua lelaki berumur 25 dan 17 tahun berjaya diberkas tetapi suspek ketiga telah melarikan diri terlebih dahulu sebelum polis sampai. – BERNAMA

Dalam perkembangan lain, Kamaruddin berkata polis percaya empat suspek dapat membantu polis menyelesaikan lima kes jenayah jalanan seperti samun dan ragut di sekitar daerah Besut sepanjang bulan Julai dan Ogos yang membabitkan nilai kehilangan barang berjumlah lebih RM20,000.

Katanya, individu yang dikenali melalui lakaran imej dipercayai berumur di bawah 30 tahun dan merupakan penduduk tempatan.

Sehubungan dengan itu beliau meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan segera kepada polis sekiranya kenal atau tahu di mana semua suspek dengan menghubungi IPD Besut di talian 09-6956200 atau mana-mana balai polis. – BERNAMA

Guna telefon bimbit: Remaja maut dipanah petir – Utusan


Guna telefon bimbit: Remaja maut dipanah petir

TANAH MERAH 20 Ogos – Seorang remaja perempuan maut akibat dipanah petir, dipercayai ketika menggunakan telefon bimbit milik ibunya di sebuah bangsal berhampiran rumahnya di Kampung Belimbing dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, mangsa, Siti Munirah Nordin, 13, meninggal dunia di tempat kejadian dengan kesan terbakar di sebelah kanan muka, telinga, kepala dan punggungnya.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang bercakap dengan seseorang menggunakan telefon tersebut ketika cuaca agak redup dan petir sedang berbunyi.

Remaja berkenaan hanya ditemui oleh abangnya, Mohd. Firdaus, 16, sudah meninggal dunia di bangsal kira-kira pukul 9 malam tadi.

Ini berikutan ahli keluarga mencarinya setelah tidak pulang ke rumah untuk berbuka puasa sejak keluar pukul 4.30 petang.

Menceritakan kejadian itu, ibu mangsa, Rosnah Dollah, 49, berkata pada mulanya dia menyangka anaknya berbuka puasa di rumah rakannya yang terletak berhampiran rumah, namun terkejut apabila mendapat tahu anaknya tidak pergi ke situ.

“Sebelum kejadian, dia ada bercakap menggunakan telefon bimbit saya di dalam rumah. Kemudian saya menegurnya menyebabkan dia keluar dari rumah.

“Saya beritahu dia masih bersekolah dan tidak patut berbual lama-lama di telefon. Saya tidak tahu pula dengan siapa dia berbual,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya di Kampung Manal hari ini.

Tambahnya, setelah mencarinya merata-rata dan bertanyakan kawannya, dia kemudian mencari anak keenam daripada tujuh beradik itu di bangsal tersebut.

“Saya teringat untuk mencari di situ kerana pernah ternampak dia dan kawannya duduk di bangsal sambil bercakap menggunakan telefon bimbit sehari sebelum kejadian,” katanya.

Rosnah merupakan seorang ibu tunggal setelah kematian suami lima tahun lalu akibat sakit kencing manis. Dia kini menyara tujuh orang anak dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM25 sehari.

Lapan maut lima nahas ngeri – Utusan


Lapan maut lima nahas ngeri

 

Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED
utusankelantan@utusan.com.my

 

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Kilometer 88.3 Jalan Kota Bharu- Gerik, dekat Ayer Lanas yang meragut dua nyawa semalam. – MINGGUAN/SAMSUL BAHARI MOHAMED

 

JELI 20 Ogos – Hasrat tiga sahabat berkonvoi menaiki kenderaan berasingan untuk memancing di Tasik Banding, Perak tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut selepas kenderaan mereka bertembung dengan sebuah lori di sini hari ini.

Kemalangan di Kilometer 88.3, Jalan Kota Bharu-Gerik, berhampiran Gemang, Ayer Lanas itu berlaku pukul 8.10 pagi.

Dalam nahas tersebut, kereta Perodua Kancil dipandu Zazemi Mat Jusoh, 27, dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori membawa muatan tilam.

Kereta mangsa itu kemudian diseret sejauh 35 meter sebelum rakannya, Aniq Arshad Mohd. Roseli, 18, yang menunggang motosikal muncul dan merempuh kedua-dua kenderaan tersebut.

Zazemi yang berasal dari Bukit Gading, Tanah Merah dan Aniq Arshad, dari Kuala Krai maut akibat cedera parah di seluruh badan manakala pemandu lori tersebut, Abu Hassan Husin, 34, dan kelindannya, Karna Bahadut, 42, hanya cedera ringan.

Rakan kedua-dua sahabat itu, Mohd. Zaid Mohd. Zamri, 17, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mereka bertiga merancang untuk memancing di Tasik Banding dengan membawa kenderaan masing-masing yang mana dia sendiri turut menggunakan motosikalnya.

“Kereta dipandu Zazemi berada paling depan diikuti motosikal Aniq sebelum saya mengekori di belakang, menyebabkan mereka berdua sama-sama terlibat dalam nahas itu.

“Kami memilih untuk membawa motosikal disebabkan lokasi tempat memancing itu hanya boleh dimasuki menggunakan motosikal kerana jalannya sempit,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Tahun Satu maut manakala ibu dan adiknya cedera parah akibat dirempuh lori yang terbabas di kilometer 27 Jalan Jerteh-Keruak, dekat persimpangan Felda Tenang, Hulu Besut di sini kira-kira 7.15 pagi ini.

Nik Nur Madhiah Sakeri, 7, pelajar Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, Pasir Putih, Kelantan meninggal dunia setelah empat jam dirawat di Hospital Daerah Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, ibu dan adik lelaki pelajar itu, Raja Juriah Raja Saamun, 38, dan Nik Mohd Amar Zulkarnain, 2, dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan.

Penembusan jalur lebar Selangor kini 71.3 peratus – Utusan


Penembusan jalur lebar Selangor kini 71.3 peratus

21/08/2011 2:42am

 

 

MOHD. SHAH CHE AHMAD

 

HULU SELANGOR 20 Ogos – Agihan komputer riba 1Malaysia di Selangor yang memasuki fasa kedua pada Mei lalu berjaya membantu mencapai kadar penembusan jalur lebar 71.3 peratus di negeri itu sehingga bulan ini.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Bahagian Wilayah Tengah, Hairudin Mohd. Zin berkata, kadar itu lebih cepat berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 75 peratus pada 2015.

“Sebanyak 11,198 unit komputer riba 1Malaysia diperuntukkan kepada Selangor bagi fasa kedua berbanding 4,500 pada fasa pertama dalam usaha meningkatkan penembusan jalur lebar.

“Agihan kini ditumpukan kepada pelajar yang kurang berkemampuan khususnya dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan yang tiada langganan jalur lebar,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan komputer itu di Kelab Golf Bukit Beruntung di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Baru, Wang Koon Mun.

Seramai 1,588 pelajar dari 16 sekolah menengah di kawasan Parlimen Hulu Selangor menerima komputer riba 1Malaysia pada majlis berkenaan.

Sementara itu Kamalanathan berkata, proses pemilihan penerima komputer riba itu dilakukan melalui sistem yang teratur dengan proses tapisan yang rapi. – Utusan