e-mel anda: Beza didikan zaman dulu – Metro


e-mel anda: Beza didikan zaman dulu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA seorang penjawat awam di sebuah sekolah menengah di Pontian, Johor amat berminat sekali dengan pandangan Syed Abdullah Osman Jamalullail dan ingin mengupas isu ‘Pelajar Sekarang Terlalu Dimanjakan.’

Zaman kini kebanyakan ibu bapa melepaskan tanggungjawab mendidik dan mendisiplin pelajar kepada pendidik.

Alasannya sibuk mencari rezeki, tetapi anak sendiri terkapai-kapai mencari identiti.

Mungkin isu ini tidak menjadi masalah terhadap guru zaman dulu. Ini kerana didikan zaman dulu lebih berkesan berbanding dengan sekarang.

 
Mungkin bukan daripada segi sukatan pelajaran mahupun silibus yang telah ditetapkan, tetapi daripada segi nilai murni, adab sopan, peri laku, moral dan sikap positif yang amat ditekankan ketika itu.

Rotan sebesar ibu jari menjadi igauan pelajar ketika itu.

Dengar saja kayuhan basikal guru, berciciran pelajar lari mencari perlindungan.

Apabila kerja rumah tak siap, disuruhnya berdiri di luar sebagai denda yang ingat sampai bila-bila. Apabila guru tegur dan marah, bagaikan halilintar keadaannya dan tunduk tidak terkata apa apa.

Tapi zaman sekarang, pelajar lebih galak di sekolah. Bagaimana pula di rumah? Adakah wujud ‘split personality’ dalam diri pelajar?

Ibu bapa pelajar mungkin tidak mengetahui tingkah laku anak mereka ketika di sekolah.

NOOR IZAWATI SALIHUN
Pontian, Johor

e-mel anda: Percayalah guru – Metro


e-mel anda: Percayalah guru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MASYARAKAT digemparkan sekali lagi dengan masalah membabitkan pelajar sekolah. Kali ini, seramai 33 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) mendakwa mereka didera secara fizikal termasuk dibotakkan kepala ketika menyertai kem motivasi di Penjara Kluang pada 29 hingga 31 Julai lalu.

Malah, mengikut laporan akhbar, pelajar terbabit mendakwa bukan saja dibotakkan, tetapi juga dipukul di perut, digari, dicengkam di tengkuk dan dipaksa menggunakan pakaian banduan sewaktu menghadiri kursus motivasi itu dan sepanjang tempoh berada di situ, malah mereka dilayan tidak ubah seperti banduan yang melakukan jenayah.

Ini adalah satu dakwaan yang cukup serius dan berat. Dalam hal ini kita percaya pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMKBBU dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru serta Kementerian Pelajaran sendiri sudah memulakan langkah sewajarnya menyiasat segala dakwaan berkenaan.

Isu ini perlu disiasat dan dirungkai dengan segera kerana ia membabitkan keselamatan pelajar dan integriti pihak sekolah.

 
Dalam pada itu, ada beberapa fakta yang didedahkan juga wajar diambil perhatian.

Antaranya ialah pelajar berkenaan sememangnya dikatakan mempunyai pelbagai masalah disiplin.

Mengikut laporan, sebahagian besar daripada pelajar itu dikatakan sering terbabit dalam pergaduhan, ada juga ditahan kerana merokok, ponteng kelas dan sekolah namun tidak dikenakan tindakan tegas oleh pengurusan sekolah.

Ini menyebabkan ada pelajar bermasalah disiplin merasakan diri mereka kebal dan tidak dikenakan tindakan oleh sekolah jika melakukan kesalahan.

Malah, lebih mengecewakan apabila dilaporkan ibu bapa menyerang pihak pengurusan sekolah jika diambil tindakan ke atas mereka kerana mendakwa anak mereka baik sedangkan hakikat sebaliknya.

Dalam hal ini, kita bukanlah hendak mengiyakan atau bersetuju dengan perbuatan penderaan berkenaan jika benar berlaku seperti dakwaan pelajar itu.

Memang kita tidak boleh berkompromi jika insiden itu benar-benar berlaku kerana ia agak melampau.

Namun, persoalannya kenapa ibu bapa yang terbabit terlalu manjakan anak-anak mereka sehingga tidak mahu percayakan pihak sekolah?

Bagaimana pihak guru hendak menjalankan tugas hakiki mereka iaitu mendidik dan membentuk anak-anak jika kita sendiri tidak percaya kepada sekolah dan guru?

Biarkanlah para guru dan pihak sekolah menjalankan kerja mereka sebaik yang mungkin.

Bukankah ibu bapa yang malu jika anak mereka digantung atau dibuang dari sekolah ataupun ditahan pihak polis?

Untuk itu, ibu bapa perlu bersikap lebih terbuka dan percayakan para guru dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Janganlah terlalu manjakan anak-anak kita demi kebaikan masa depan mereka sendiri.

Ingat, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Serdang, Selangor

Maksiat waktu sahur – Metro


Maksiat waktu sahur

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Dua remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan selepas membawa teman wanita berkongsi sebuah bilik di sebuah hotel dekat Kuah, Langkawi, untuk mengadakan hubungan seks, awal pagi kelmarin.

Malah, mereka bukan saja melakukan kegiatan tidak bermoral itu ketika umat Islam bersiap-siap untuk bersahur, tetapi turut ‘berani’ dengan menyewa hotel yang hanya terletak bersebelahan Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal).
Pegawai Penyiasat Padal, Muhammad Hidayat Halim, berkata dalam serbuan itu, sepasukan anggotanya yang diketuai Saiful Aswad Kasa membuat pemeriksaan di hotel itu dan mendapati sebuah bilik dalam keadaan mencurigakan.

 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bilik itu dikunci, manakala lampunya tertutup menyebabkan anggotanya mengetuk pintu dan memberi salam berulang kali.
“Pemeriksaan kemudian menemui pasangannya hanya berseluar pendek. Kedua-dua remaja itu mengaku baru selesai melakukan hubungan seks,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Muhammad Hidayat berkata, turut berada di situ sepasang kekasih yang berpakaian lengkap dipercayai baru bangun tidur.

 

 

Katanya, pihaknya turut mendapati remaja itu membuat ‘tembok’ menggunakan kerusi dan tuala di katil bilik itu supaya masing-masing tidak dapat melihat ketika melakukan hubungan seks dipercayai kerana malu.
“Berdasarkan soal siasat, dua remaja perempuan berusia 16 tahun dan sudah tidak bersekolah itu bekerja di sebuah kafe dan baru berkenalan pelajar lelaki itu.

 

“Mereka berasal dari Langkawi dan mengaku menyewa di hotel berkenaan semata-mata untuk melakukan hubungan seks berikutan keadaan katil dan tilam berselerak dalam bilik itu,” katanya.

Reman pelajar disambung – Metro


Reman pelajar disambung

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG JAYA: Pelajar tingkatan lima yang ditahan bersama teman lelakinya pada 17 Ogos lalu, kerana disyaki merancang penculikannya bagi menuntut wang tebusan RM50,000 daripada ibu bapanya, disambung reman selama tiga hari lagi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata, tahanan reman pelajar itu disambung bagi menyelesaikan siasatan.
Katanya, gadis terbabit meminta wang daripada ibu bapanya selepas didesak teman lelakinya.

 

“Kami menyiasat sama ada gadis terbabit bersalah di atas ugutan wang kepada ibu bapanya,” katanya di sini, semalam.
Harian Metro 18 Ogos lalu, melaporkan remaja, Ameerah Asha Aizan, 17, hilang selama enam hari merancang penculikan sendiri bersama teman lelakinya dan berpakat menuntut wang tebusan RM50,000 daripada ibu bapanya.
Pasangan itu ditahan 17 Ogos lalu dalam sebuah kereta di Saujana Puchong selepas polis mendapat maklumat ibu bapa gadis terbabit yang mendapat ugutan seorang lelaki dipercayai teman lelaki anaknya yang meminta wang tebusan RM50,000. Mereka direman empat hari.

Tingkat pengetahuan siasatan forensik kes dera kanak-kanak – Bernama


Tingkat pengetahuan siasatan forensik kes dera kanak-kanak

22/08/2011 4:04pm

 

PUTRAJAYA 22 Ogos — Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, pihak pendakwa perlu diberi pendedahan meluas mengenai siasatan forensik kes penderaan kanak-kanak serta teknologi terkini dalam bidang itu.

Beliau berkata, pada asasnya pihak pendakwaan adalah pelindung kepada kanak-kanak terbabit memandangkan segala bukti akan dibentang oleh mereka di mahkamah.

“Sains forensik merupakan bidang yang signifikan terutama membabitkan siasatan kes jenayah dan juga perbicaraan kes seumpama untuk menentukan punca kematian.

“Siasatan forensik mengenai penderaan kanak-kanak memerlukan kerjasama pelbagai golongan profesional termasuk penguatkuasa undang-undang, pendakwaan, pasukan forensik dan pakar pediatrik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Kongres Antarabangsa Perundangan Perubatan 2011: Dera dan Abai Kanak-Kanak, di sini hari ini.

Abdul Gani berkata pasukan pendakwaan juga perlu mempelajari teknik menangani kanak-kanak dalam mahkamah bagi memastikan hak golongan itu terjamin.

Katanya kebanyakan pihak pendakwaan di negara ini beranggapan kes penderaan kanak-kanak ditangani sama seperti kes lain.

“Ini tanggapan yang salah dan saya harap kita dapat atasi isu ini,” katanya. — Bernama

Pelajar bakal duduki UPSR putus jari akibat mercun – Bernama


Pelajar bakal duduki UPSR putus jari akibat mercun

2011/08/22

KOTA BAHARU: Seorang pelajar yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan menerima padah akibat mercun apabila jari telunjuk sebelah kanannya putus dalam kejadian tengah hari ini.

Pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sri Ketereh, Noor Saiful Muhammad, mengalami kemalangan itu di rumahnya di Kampung Laka, Ketereh di sini pada pukul 1 tengah hari selepas pulang dari sekolah.

“Mercun bola yang saya gunakan itu meletup sebelum sempat saya lemparkan ke luar,” katanya kepada pemberita di Wad Kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Noor Saiful berkata, ketika itu dia bermain mercun dengan menggunakan api yang dipasang melalui dapur memasak dan mahu melempar bahan itu di luar dapur.

“Bila meletup tiba-tiba tangan saya jadi kebas dan darah keluar dengan banyak lalu saya pun jerit meminta tolong,” katanya.

Ketika kejadian, ibunya Siti Mariam Ibrahim, 52, sedang menggosok pakaian tanpa menyedari Noor Saiful secara diam-diam ke bahagian dapur untuk bermain mercun.

Akibat letupan itu juga ibu jari tangan dan jari tengah mangsa turut cedera.
Abang mangsa, Akif Shariffuddin, 17, berkata, ketika kejadian hanya adik dan ibunya sahaja yang berada di rumah manakala bapa mereka Muhammad Ya, 53, bekerja.

Katanya, Noor Saiful dihantar ibu dan jiran ke Klinik Ketereh sebelum dihantar ke hospital itu untuk rawatan lanjut.

“Sebelum ini tak pernah pula saya lihat adik bermain mercun tapi hari ini terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, ini adalah kejadian ketujuh yang direkodkan oleh hospital itu akibat mercun.

“Keadaan adik Noor Saiful kini stabil,” katanya. – BERNAMA

Dua remaja maut motosikal bertembung – Bernama


Dua remaja maut motosikal bertembung

2011/08/22

KUALA TERENGGANU: Dua remaja maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam kemalangan di Kampung Kedai Buluh, Jalan Kampung Surau Haji Yaacob, Titian Baru, Marang malam tadi.

Mohd Amirul Azlan Shafie, 21 maut di tempat kejadian, manakala Adam Safuan Jaafar, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Sultan Mansor, Kedai Buloh, disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahaya, berkata nahas kira-kira 7.00 malam itu berlaku apabila Mohd Amirul Azlan dipercayai hilang kawalan motosikal yang ditunggangnya sebelum merempuh motosikal Adam Safuan dari arah bertentangan.

Katanya, akibat pertembungan itu kedua-dua mangsa yang masing-masing berasal dari Kampung Surau Panjang dan Kampung Surau Haji Daud, cedera parah di kepala dan anggota badan.

“Kita percaya kedua-dua mangsa menunggang motorsikal dalam keadaan laju dan akibat rempuhan yang kuat itu menyebabkan kedua-duanya mengalami kecederaan parah,” katanya kepada pemberita di sini.

Mayat kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. – BERNAMA

Tempoh reman remaja dakwa diculik disambung – Utusan


Tempoh reman remaja dakwa diculik disambung

PETALING JAYA 21 Ogos – Remaja perempuan yang dikatakan berpakat dengan teman lelakinya kononnya dia diculik untuk meminta wang tebusan baru-baru ini, disambung reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

Perintah tahanan reman ke atas remaja itu yang berusia 17 tahun dan teman lelakinya, berusia 19 tahun sepatutnya tamat hari ini.

Kedua-dua mereka dibawa keluar dari lokap Balai Polis USJ8, Subang Jaya sebelum tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya kira-kira pukul 10.25 pagi ini.

Selepas selesai mendapatkan perintah tahanan reman, kedua-dua remaja itu dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah sambil diiringi dua anggota polis pada pukul 11.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, kedua-dua remaja tersebut disambung reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan iaitu mengugut untuk mendapatkan wang.

Tembelang remaja itu yang dilaporkan hilang terbongkar selepas ditahan polis bersama teman lelakinya ketika menaiki sebuah kereta di Saujana Puchong pukul 9 pagi Rabu lalu.

Polis percaya remaja itu mengikut teman lelakinya serta berkemungkinan berpakat untuk merancang kononnya dia diculik.

Remaja perempuan itu bersama teman lelakinya yang tidak bekerja dikatakan berpakat meminta RM50,000 sebagai wang tebusan kononnya untuk membebaskan dirinya.

Pemuda bantu tuisyen pelajar – Utusan


Pemuda bantu tuisyen pelajar

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seputeh akan menyediakan tenaga pengajar bagi membolehkan bekas pelajar di pusat tuisyen yang dikatakan menyebar dakwah Kristian secara halus di Jalan Klang Lama meneruskan pembelajaran.

Ketuanya, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, pihaknya sedang mengenal pasti guru yang bersesuaian untuk mengendalikan kelas tuisyen tersebut kepada pelajar berkenaan.

“Pergerakan Pemuda UMNO melalui Biro Agama dan Kebajikan juga akan berjumpa dengan ibu bapa dan pelajar berkenaan bagi memberikan sebarang bantuan yang boleh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan susulan Pemuda UMNO Seputeh bagi membantu bekas pelajar di pusat tuisyen tersebut yang didapati tidak lagi beroperasi setelah diarahkan tutup oleh kerajaan.

Pusat tuisyen tidak lagi beroperasi – Utusan


Pusat tuisyen tidak lagi beroperasi

 

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

 

SEORANG kanak-kanak bermain-main di hadapan pusat tuisyen yang diarah tutup kerana menyebar dakwah Kristian di Jalan Klang Lama, semalam.

 

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Pusat tuisyen yang dikatakan menyebar dakwah Kristian secara halus di Jalan Klang Lama berhampiran sebuah pasar raya besar dekat sini didapati tidak lagi beroperasi setelah diarah tutup oleh Kementerian Pelajaran.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini ke pusat tuisyen yang dikatakan hanya dibuka pada hari Ahad pukul 2 petang itu mendapati ia berkunci.

Kawasan sekitarnya juga lengang tanpa kehadiran tenaga pengajar dan pelajar pelbagai kaum termasuk pelajar Islam yang dikatakan sering mengunjungi pusat tuisyen tersebut.

Penduduk yang ditemui, Rosiah Ibrahim, 52, berkata, pusat tuisyen itu tidak lagi beroperasi sejak didedahkan oleh akhbar ia menyebar dakwah Kristian secara halus kepada pelajar di sekitar kawasan tersebut.

“Memang ramai yang mengunjungi pusat tuisyen ini kerana ia mengajar secara percuma, tetapi ia tidak lagi dibuka setelah dilaporkan menyebarkan dakwah Kristian,” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini mendedahkan mengenai tindakan tenaga pengajar di pusat tuisyen tersebut yang didakwa menyebar dakwah Kristian secara halus kepada pelajar mereka yang beragama Islam.

Ekoran daripada itu, Kementerian Pelajaran mengarahkan pusat tuisyen tersebut ditutup serta-merta kerana ia beroperasi secara haram ekoran tidak mempunyai permit yang sah.

Sementara itu, beberapa wakil Pemuda UMNO Bahagian Seputeh bersama pengerusi masjid dan surau di Jalan Klang Lama turut hadir ke pusat tuisyen itu hari ini untuk berjumpa dengan tenaga pengajarnya.

Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga Pengerusi Surau Taman Halimatun, Jalan Klang Lama, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff berkata, perbuatan sedemikian ternyata salah dari segi Perlembagaan.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan perlu mengambil tindakan segera supaya tidak timbul keraguan dalam kalangan orang Islam berhubung isu tersebut.

Beliau berkata, tenaga pengajar di pusat tuisyen tersebut sepatutnya hadir untuk memberi penjelasan bukan hilang begitu sahaja setelah tindakan mereka didedahkan oleh akhbar.

“Kalau mereka (tenaga pengajar) bertanggungjawab, hadir di pusat tuisyen ini untuk kita selesaikan perkara ini, jangan hilang begitu saja kerana ia tidak dapat menyelesaikan keraguan ini,” katanya.