Keputusan anggota polis tembak Aminulrasyid 15 Sept. – Utusan


Keputusan anggota polis tembak Aminulrasyid 15 Sept.

SHAH ALAM 23 Ogos – Nasib Koperal Jenain Subi yang didakwa menyebabkan kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah pada April tahun lalu akan ditentukan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 15 September ini.

Hakim Latifah Mohd. Tahar menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pembelaan dan pihak pendakwaan masing-masing selesai berhujah di akhir kes pembelaan hari ini.

Jenain, 49, dari Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara pukul 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April tahun lalu.

Bapa kepada empat anak itu dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sepanjang perbicaraan bermula pada 12 Oktober tahun lalu, pihak pendakwaan memanggil 39 saksi untuk memberi keterangan manakala pihak pembelaan menampilkan tiga saksi termasuk tertuduh.

Terdahulu, peguam Salim Basir berhujah bahawa anggapan Jenain adalah orang yang melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian Aminulrasyid adalah tidak berasas kerana penembak sebenar tidak pernah dikenal pasti.

Menurut beliau, anak peluru yang dikeluarkan daripada kepala mangsa tidak pernah dikenal pasti ditembak dari senjata api yang mana satu kerana terdapat dua penembak dan dua senjata api digunakan pada malam kejadian.

”Identiti penembak yang sebenar diragui disebabkan siasatan di tempat kejadian yang longgar. Di sini timbulnya keraguan sama ada wujud keterangan yang mencukupi untuk mensabitkan tertuduh dan menjatuhkan hukuman penjara yang agak tinggi,” hujahnya.

Salim turut mempersoalkan sekiranya kereta yang dipandu Aminulrasyid cuma melakukan kesalahan trafik, mengapa seorang lagi anggota peronda, Konstabel Tambahan Mohd. Izham Mahayadin melepaskan sehingga 10 das tembakan selain lebih daripada satu kereta peronda mengejar mangsa.

Beliau turut menyangkal dakwaan bahawa tembakan itu sengaja dilepaskan untuk membunuh Aminulrasyid kerana semua tembakan dituju pada bahagian bawah kereta kecuali satu pada cermin belakang sedangkan tertuduh boleh menembak ke badan atau cermin kereta.

”Tertuduh hanya menjalankan tugas sebagai anggota peronda untuk menghentikan kereta serta menjaga amanah beliau sebagai anggota polis. Dia bukan orang awam tetapi anggota polis yang sedang menjalankan tugas. Bukan untuk mematikan orang tetapi hanya untuk mengawal keadaan pada masa itu.

”Polis mesti diberi ruang untuk menjalankan tugas lebih-lebih lagi kejadian berlaku pada awal pagi, ketika semua orang sedang tidur. Kalau berlaku pada siang hari mungkin ada asas,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar pula berhujah, keterangan Jenain bahawa dia tidak melepaskan tembakan secara bertubi-tubi ke arah kereta yang dinaiki Aminulrasyid serta tidak berniat menyebabkan kematian mangsa adalah penafian semata-mata.

Katanya, kedua-dua saksi yang dipanggil oleh pihak pembelaan iaitu bekas Ketua Bahagian Tempat Kejadian Jenayah (CSI) Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Amidon Anan dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan, Bukit Aman, Datuk Razali Basri juga gagal menyokong pembelaan tertuduh.

Sebaliknya hujah beliau, pendakwaan berjaya membuktikan kesemua intipati dalam pertuduhan termasuk perbuatan tertuduh yang telah menyebabkan kematian mangsa selain ia dilakukan dengan niat.

”Tembakan dengan tujuan untuk memberhentikan dengan cepat dan melakukan pemeriksaan dan menahan pemandu atau perompak dalam kereta itu adalah tidak mempunyai justifikasi dan bertujuan menyebabkan kematian mangsa yang memandu kereta BET 5023,” hujahnya.

Pendakwaan turut diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani, Adilla Ahmad dan Siti Rohaida Che Ahmad, manakala Jenain turut diwakili peguam-peguam M. Athimulan dan Halim Asghar Mohd. Helmi.

2 beradik maut dilanggar kereta – Utusan


2 beradik maut dilanggar kereta

 

Oleh YATIMIN ABDULLAH
utusankelantan@utusan.com.my

 

KOTA BHARU 23 Ogos – Hasrat seorang ibu menyediakan kelengkapan buat dua anaknya sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi tidak kesampaian apabila kedua-dua anaknya itu maut dalam nahas di Kampung Hujung Tanjung dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, mangsa Raja Zulkarnain Raja Azhan, 9, dan adiknya Raja Nur Iliya, 6, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

Kedua-dua mereka dilanggar oleh sebuah kereta jenis Proton Iswara ketika menunggang basikal pulang ke rumah dari sekolah. Pemandu kereta itu bagaimanapun melarikan diri.

Ibu mangsa, Norain Alia Abdullah (gambar), 35, berkata, sebelum kejadian, anak lelakinya itu memintanya membelikan sepasang baju Melayu berwarna ungu dan dia berjanji untuk membelinya selepas mendapat wang zakat daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

“Setelah mendapat duit zakat hari ini, saya bercadang nak membawanya untuk membeli baju Melayu tersebut, namun hasrat tersebut tidak kesampaian apabila anak saya maut dalam kemalangan,” kata mualaf itu ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II ) dekat sini hari ini.

Tiga terbunuh dalam nahas berasingan di Perak – Bernama


Tiga terbunuh dalam nahas berasingan di Perak

2011/08/24

IPOH: Tiga terbunuh dalam kemalangan berasingan membabitkan seorang pelajar dan dua pemandu lori di Perak semalam dan awal hari ini.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supt Wan Abdullah Ishak, berkata dalam kejadian awal hari ini seorang pelajar terbunuh selepas bertembung dengan sebuah motosikal yang ditunggang pelajar lain di Jalan Besar Felda Gunung Bersaut, Tanjung Malim.

“Mangsa yang terbunuh dalam kejadian 12.15 tengah malam itu ialah Abdul Aziz Abdul Rahmat, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Bersaut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Abdullah berkata, mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia sejam selepas dirawat di Hospital Slim River manakala seorang lagi pelajar Mohamad Dasuki, 16, cedera ringan dan dirawat di hospital sama.

Nahas berlaku ketika mereka masing-masing menunggang motosikal di kawasan tanah rancangan itu tanpa memakai topi keledar dan bertembung antara satu sama lain.

Dalam satu kemalangan di Tapah, seorang pemandu treler terbunuh selepas bertembung dengan sebuah lori tanker di KM62 Ipoh-Kuala Lumpur pada 7 malam tadi.

Mangsa, S Balasundram, 43, dari Kampung Muhibbah, Chenderiang, Tapah, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tanker cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Tapah.
Dalam kejadian di sebuah kilang kuari di Kampung Gunung Pasir, Kampar pada 6.45 petang pula, seorang pemandu lori terbunuh selepas lori yang dipandunya merempuh sebuah jengkaut.

Mangsa, Mohd Azlan Shah Meor Yakob, 26, dari Kampung Changkat Lenggong, Gopeng meninggal dunia di tempat kejadian. – BERNAMA

Penjenamaan semula – Metro


Penjenamaan semula

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melalui Bahagian Pelajarannya kini di dalam proses melakukan penjenamaan semula terhadap sistem pendidikan serta kurikulum di Sekolah Rendah Agama (SRA) Jawi supaya dapat bersaing setaraf dengan institusi pendidikan Islam lain di Malaysia.

Pengarahnya, Datuk Che Mat Che Ali berkata, penekanan diberikan dalam ilmu al-Quran yang akan dijadikan mata pelajaran teras dengan memberi penumpuan aspek hafazan dan penghayatan sebagai usaha melahirkan pelajar yang bukan saja celik al-Quran tetapi dapat memahami serta mengamalkan isi kandungannya.
“Kita harus menanamkan minat mendalam terhadap ilmu al-Quran ini bermula dari usia muda supaya ia dapat diamalkan serta dijadikan budaya dalam kehidupan seharian bagi mengelakkan anak-anak ini hanyut mengikut arus yang menyesatkan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Perdana SRA dan Kafa Jawi 2011, di Masjid Negara, semalam.

 

Menurutnya, memandangkan Jawi bukan saja mempunyai 85 rangkaian SRA di seluruh negara, malahan Sekolah Menengah Agama Integrasi seperti Sekolah Menegah Agama (SMA) dan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (Smista), maka beliau berharap pelajar SRA mengisi ruang pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi berkenaan selepas mengikuti pembelajaran mengikut penjenamaan semula nanti.
Pada majlis itu, kira-kira 5,000 pelajar SRA serta kelas al-Quran dan fardhu ‘ain (Kafa) sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, berusia 10 hingga 11 tahun, dihimpunkan bagi memberi peluang kepada mereka menunjukkan kebolehan dalam memperdengarkan bacaan ayat suci itu selain memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjaya khatam al-Quran di peringkat sekolah rendah.

Peranan pusat tuisyen perlu diperluas – Metro


Peranan pusat tuisyen perlu diperluas

Oleh Dr Aminudin Mansor
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PERTUMBUHAN pusat tuisyen di kawasan perumahan dan kawasan berdekatan dengan sekolah ‘bagaikan cendawan di musim hujan.’ Perkembangan ini disebabkan permintaan di kalangan ibu bapa yang mahukan anaknya berjaya dengan cemerlang dalam setiap peperiksaan.

Tuntutan untuk mendapat lebih banyak A+ dalam mata pelajaran melalui peperiksaan utama juga menyebabkan murid dan pelajar berlumba-lumba ke pusat tuisyen apabila selesai sesi persekolahan sama ada waktu pagi atau petang.
Lantaran itu, ibu bapa menghantar anak ke pusat tuisyen untuk mendapatkan kecemerlangan disebabkan pelajaran yang cemerlang akan menjanjikan masa depan yang baik. Biasanya anak yang menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

 

Memang tidak dinafikan pusat tuisyen banyak memberikan input kepada pencapaian pelajar dalam peperiksaan. Melalui proses bimbingan, latihan secara intensif dan berterusan akan menjadikan pelajar biasa dan dapat menjawab soalan dalam peperiksaan yang sebenar dengan mudah dan pantas.
Fenomena terbaru iaitu ada kelas tuisyen yang menyebarkan agama lain kepada murid beragama Islam melalui kelas tuisyen jelas satu kesalahan dan pihak berkuasa, terutama jabatan agama Islam negeri perlu menyiasat perkara ini dengan teliti.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan meminta ibu bapa yang mengetahui jika terdapat guru atau guru tuisyen yang cuba menyebarkan agama lain kepada anak mereka supaya melaporkan dengan segera.

 

 

Mengenai dakwaan terdapat kegiatan penyebaran agama lain terhadap murid sekolah di Jalan Klang Lama yang diadakan di luar sekolah dan bukannya anjuran pihak sekolah dan kegiatan ini tidak seharusnya berlaku, terutama kepada pelajar.
Beliau dimaklumkan kes ini bukan berlaku di sekolah, tetapi di luar atau mungkin ibu bapa yang mengambil guru untuk tuisyen anak mereka, namun apa pun pihaknya akan memantau perkara ini. Apa yang lebih penting ibu bapa perlu memantau jika aduan ini disampaikan anak dan mereka perlu menyiasat supaya perkara sebenar dapat diketahui.

 

Selanjutnya, beliau juga menyatakan hal seperti ini tidak boleh dilakukan.
Kita ada undang-undang dan enakmen tertentu yang berkaitan larangan penyebaran agama lain kepada masyarakat Islam sama ada di Wilayah Persekutuan atau negeri lain.
Ibu bapa harus bertanggungjawab memantau keadaan dan jika mereka memiliki bukti buatlah laporan kepada pihak jabatan agama negeri dan pihak berkenaan perlu segera membuat siasatan sewajarnya.
Bagi pusat tuisyen yang berdaftar dengan pihak kementerian, perkara seumpama ini harus dijaga dan diteliti apabila mengambil guru yang mengajar di kelas tuisyen. Bukan semua pengajar lepasan universiti yang tiada kelayakan dalam bidang pendidikan boleh mengajar di pusat tuisyen dengan baik.
Mereka kadang-kadang bukan guru sekolah tetapi diambil mengajar di pusat tuisyen dan tidak memahami serta mengetahui kandungan sukatan pelajaran dan format peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.
Hanya guru sekolah yang berpengalaman dan memahami sukatan pelajaran mampu mengajar di pusat tuisyen dengan efektif dan berkesan kepada pelajar. Begitu juga di peringkat sekolah menengah, bukan semua guru boleh mengajar semua mata pelajaran.
Sebagai contoh, guru yang mahir dalam Bahasa Melayu tidak mampu mengajar sains dan matematik, begitulah sebaliknya. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) di pusat tuisyen juga tidak sama dengan P&P di dalam kelas di sekolah. Biasanya di sekolah P&P diajar bagi kefahaman sesuatu topik manakala di pusat tuisyen peneguhan melalui latihan yang intensif dapat membantu para pelajar.
Di kelas tuisyen penggunaan buku kerja atau buku latihan yang berorientasikan peperiksaan sebenar lebih berkesan berbanding pengajaran biasa. Latihan yang banyak dan berulang kali dapat memberi kesan kepada kecemerlangan peperiksaan yang sebenarnya.
Kelas di pusat tuisyen juga perlu menjadi pembantu kejayaan sekolah. Selain itu, pendidikan yang dilakukan adalah menumpukan kepada proses atau aktiviti mengembangkan fizikal, intelek, sosial dan emosi seseorang individu serta menambah kemahiran, kebolehan, pengetahuan dan pengalaman mereka supaya dapat memberi kegembiraan, manfaat dan kemajuan dalam kehidupannya. Ia membantu dan mendorong pelajar bertindak secara sihat bagi manfaat diri serta masyarakat, bangsa dan negaranya.
Konsep pendidikan di Malaysia sangat jelas untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Pusat tuisyen juga harus mengawal disiplin pelajar daripada terlibat dalam pelbagai kegiatan tidak sihat seperti merokok dan penagihan dadah. Lebih baik sesuatu pusat tuisyen tidak terdapat kafe siber di kawasan berdekatan yang boleh menyebabkan murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah tertarik ke sana.
Sebagai panduan kepada ibu bapa, mereka boleh meninjau keadaan pusat tuisyen tersebut. Guru yang mengajarnya mestilah guru sekolah berpengalaman dan mengetahui sukatan pelajaran setiap mata pelajaran. Bilangan pelajar dalam kelas tuisyen juga mesti antara sepuluh hingga dua belas pelajar.
Ciri-ciri pengajarannya hendaklah lebih kepada latihan berbentuk intensif dan membimbing pelajar lemah akademik. Pendidikan di pusat tuisyen membantu pendidikan di sekolah, terutama untuk mencapai kecemerlangan pelajaran dalam peperiksaan utama.
Matlamat Pendidikan Negara juga harus ada dalam kelas tuisyen iaitu melahirkan rakyat yang memiliki dan menghayati ciri-ciri berikut iaitu percaya dan patuh kepada Tuhan, berilmu, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara. Di samping itu, membina sahsiah seimbang dan bersepadu serta memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.
Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu

21 kanak-kanak, remaja diselamat – Utusan


21 kanak-kanak, remaja diselamat

 

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

 

Khatijah Abdullah (dua dari kanan) melihat sebahagian kanak-kanak yang tidur secara berhimpit-himpit di Taman Johor Jaya, Johor Bahru, semalam.

 

JOHOR BAHRU 23 Ogos – Seramai 21 kanak-kanak dan remaja berusia antara dua hingga 17 tahun dipercayai mangsa aktiviti pemerdagangan manusia diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Johor Jaya di sini, hari ini.

Dalam serbuan kira-kira pukul 3.30 petang, semua mangsa termasuk dua penjaga bawah umur masing-masing berusia 16 dan 17 tahun sedang nyenyak tidur secara berhimpit-himpit di premis di Jalan Teratai yang dijadikan pusat jagaan sejak enam bulan lalu.

Pengarah JKM negeri, Khatijah Abdullah berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat pihak polis bahawa terdapat unsur pengabaian kanak-kanak di tempat itu berikutan tertangkapnya penjaga premis berkenaan yang disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia sebelum ini.

“Hasil pemeriksaan di premis itu mendapati, pusat jagaan tersebut tidak berdaftar dengan JKM. Malah, keadaan dalam rumah berkenaan juga tidak selesa dan tidak sesuai dijadikan pusat jagaan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di sini.

Utusan Malaysia difahamkan, mangsa terbabit juga ada kemungkinan digunakan sebagai sindiket mengemis di sekitar negeri ini yang beroperasi sejak beberapa bulan lalu.

Khatijah berkata, siasatan awal mendapati, penjaga pusat itu bukan hanya mempunyai satu pusat penjagaan sahaja, malah mempunyai beberapa premis seumpama itu termasuk tempat penjagaan orang tua di tempat lain dan tidak berdaftar dengan JKM.

Beliau berkata, hasil serbuan di premis itu, pihaknya turut menemui sejumlah sijil kelahiran kanak-kanak dan remaja yang berketurunan India tetapi belum dapat dipastikan status warganegara mereka.

Menurutnya, sijil kelahiran mangsa juga diragui kerana didaftarkan pada tarikh yang sama dan perkara itu akan dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara bagi memastikan sama ada ia palsu atau sebaliknya.

“Kita membawa balik semua mangsa untuk ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak di Jalan Petrie sementara siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1994,” katanya sambil memberitahu operasi susulan sedang giat dijalankan.

‘Saya dah serik main mercun’ – Utusan


‘Saya dah serik main mercun’

 

Oleh A. MALEK ASLIE
utusanperak@utusan.com.my

 

MOHD. Faizal Mat Sani menunjukkan jari tangan kanannya yang terpaksa dibalut akibat letupan mercun bola buatan sendiri di Kampung Wawasan Indah Bukit Merah, Bagan Serai, Perak semalam.

 

BAGAN SERAI 23 Ogos – “Saya tidak mahu main mercun lagi. Saya dah serik,” kata Mohd. Faizal Mat Sani, mangsa mercun bola buatan sendiri.

Kanak-kanak berusia 7 tahun itu cedera di jari tangan kanan apabila mercun bola meletup ketika bermain bersama abangnya, Mohd. Faris, 13, di rumah mereka di Kampung Wawasan Indah Bukit Merah dekat sini kelmarin.

Murid Tahun 1 di Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu itu tidak menyangka mercun tersebut akan meletup dengan begitu cepat.

“Saya ingat sempat untuk membaling mercun itu namun ia tiba-tiba meletup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak ceria kerana terpaksa berhari raya dengan tangan berbalut.

Sementara itu, bapanya, Mohd. Sani Ishak, 40, berkata, ketika kejadian dia sedang bertugas di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran.

Katanya, dia bergegas pulang ke rumah sebaik dimaklumkan kejadian itu dan membawa anaknya mendapat rawatan di klinik berhampiran.

“Syukur kecederaan tidak berapa serius tetapi akibat kecederaan itu dia sukar untuk makan, menulis dan sebagainya,” katanya.