Dua warga Nigeria dan wanita tempatan dituduh tipu guru RM46,000 – Bernama


Dua warga Nigeria dan wanita tempatan dituduh tipu guru RM46,000

2011/08/25

MELAKA: Dua lelaki warga negara Nigeria dan seorang wanita rakyat tempatan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini kerana dituduh menipu seorang guru RM146,600 dengan menawarkan kertas hitam yang kononnya boleh ditukar menjadi dolar Amerika Syarikat dengan menggunakan sejenis cecair kimia.

Obi Uzoma, 28; Nwabudike Emmanual Chukwuma, 28, dan Azlinda Hussain, 38, didakwa bersama-bersama dua lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu di Public Bank cawangan Masjid Tanah dan CIMB Bank cawangan Masjid Tanah dekat sini pada 29 Jun lalu.

Mereka dituduh menipu Mashitoh Hassan, 36, dengan menawarkan kertas hitam yang boleh ditukar kepada wang dolar Amerika Syarikat dengan cara menggunakan sejenis cecair kimia sehingga Mashitoh percaya dan mendorong beliau memasukkan wang berjumlah RM53,600 ke akaun CIMB Bank dan RM93,000 ke akaun Public Bank milik Azlinda bagi membeli cecair kimia itu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Dua warga negara Nigeria itu memasuki negara ini menggunakan pas pelajar sejak tiga tahun lalu manakala Azlinda dari Bandar Baru Bangi adalah kerani di sebuah kedai tayar.

Hakim Zaharah Hussain menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan membenarkan Azlinda diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin serta melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.
Beliau tidak membenarkan dua warga Nigeria itu diikat jamin selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat, yang bimbang mereka akan melarikan diri dari Malaysia. – BERNAMA

Peruntukan tambahan RM17 juta untuk lantik guru ganti – Bernama


Peruntukan tambahan RM17 juta untuk lantik guru ganti

2011/08/25

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM17,449,280 pada 25 Julai lalu kepada semua bahagian atau Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang terbabit dengan pengambilan dan pelantikan guru ganti.

Menurut Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelajaran, tindakan itu bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah dapat dilaksanakan dengan lancar di samping menjaga kebajikan guru dan kakitangan sekolah di seluruh negara.

Sehubungan itu, guru besar dan pengetua diminta berhubung terus dengan JPN berkaitan perkara ini bagi memastikan pengambilan dan pelantikan guru ganti dibuat mengikut keperluan sekolah masing-masing. – BERNAMA

Kurikulum Pendidikan Islam baru akan diperkenal – Berita Harian


Kurikulum Pendidikan Islam baru akan diperkenal

2011/08/25

MUAR: Kerajaan akan memperkenal Kurikulum Pendidikan Islam baru di sekolah negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengenalan kurikulum baru itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memperkasakan subjek itu.

Jadual Waktu Peperiksaan 2011 – UPSR, PMR, SPM dan STPM


 

Jadual Waktu Peperiksaan UPSR Tahun 2011
Download Jadual Waktu Peperiksaan UPSR Tahun 2011

Jadual Waktu Peperiksaan PMR Tahun 2011
Download Jadual Waktu Peperiksaan PMR Tahun 2011

Jadual Waktu Peperiksaan SPM Tahun 2011
Download Jadual Waktu Peperiksaan SPM Tahun 2011

Jadual Waktu Peperiksaan STPM Tahun 2011
Download Jadual Waktu Peperiksaan STPM Tahun 2011

3 bayi, seorang budak sakit jantung kritikal – Metro


3 bayi, seorang budak sakit jantung kritikal

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Tiga bayi dan seorang kanak-kanak yang menghidap masalah jantung serius memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan mereka secepat mungkin.

Ibu seorang daripada pesakit, Noor Wahidah Samsu, 25, berkata, anaknya, Muhammad Haziq Zakwan Omar, berusia dua bulan bukan saja mengalami masalah jantung berlubang, malah arteri jantungnya terbalik sejak lahir dan perlu dibedah segera bagi mengelakkan komplikasi lebih buruk.
Seorang lagi pesakit, Chin Kai Qing, bayi perempuan berusia lima bulan pula perlu menjalani pembedahan untuk kali kedua bagi memperbaiki saluran darahnya yang sempit dengan pembedahan pertama dijalankan empat bulan lalu.

 

“Kami sudah berhabis untuk anak kedua kami dan kini mengharap bantuan orang ramai,” kata bapanya, Chin Su Lin, 34, ketika ditemui di Hospital Gleneagles di sini, semalam.
Anak angkat pasangan Sim Yoke Choi dan Chong Sewau Meey, Sim Wei Han, 9, pula mengalami masalah jantung sejak berusia tiga tahun dengan tiada saluran paru-paru ke jantung.
Turut berdepan masalah sama ialah Risif Bah Amaraffi berusia sebulan.

 

 

Muhammad Haziq dan Kai Qing, masing-masing memerlukan RM45,000 dan RM18,000 untuk menampung kos pembedahan jantung mereka yang dijadualkan hari ini.
Manakala Risif memerlukan RM20,000 dengan pembedahannya dijadualkan Sabtu ini manakala Wei Han memerlukan RM67,000 dan dijadualkan menjalani pembedahan September depan.

 

Orang ramai yang ingin menderma boleh menyumbang melalui cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dengan menulis nama pesakit di belakang cek dan dialamatkan ke Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan, The New Straits Times Press (M) Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.

‘Ika mahu pergi jauh’ – Metro


‘Ika mahu pergi jauh’

Oleh Hadzlihady Hassan dan Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SIASAT...anggota bomba dan polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.
SIASAT…anggota bomba dan polis menjalankan siasatan di tempat kejadian, semalam.

PILU...Munirah tidak dapat menahan kesedihan.
PILU…Munirah tidak dapat menahan kesedihan.

GEORGETOWN: Dia sudah didukung abangnya keluar dari rumah yang terbakar, namun tanpa diketahui apa sebabnya Zulaika Batriesya Mohamad Zafian berpatah masuk semula ke dalam rumah tanpa disedari anggota keluarga ketika keadaan kelam-kabut.

Akibatnya, kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu rentung dalam kebakaran memusnahkan rumahnya dan lima kediaman lain di Kampung Sungai Nibong Kechil, Bayan Baru, di sini, kira-kira jam 5.30 pagi semalam.
Ibunya, Munirah Abdullah, 36, berkata Zulaika Batriesya atau lebih mesra dengan panggilan Ika sudah diselamatkan abangnya, Mohd Zulfikar, 15, yang mendukung adiknya yang tidur di ruang tamu dan membawanya keluar ke rumah jiran.

 

Bagaimanapun, katanya, mangsa yang menghidap sawan berpatah semula ke dalam rumahnya yang ketika itu dijilat api tanpa disedari ahli keluarga.
“Keadaan ketika itu kelam-kabut dan kami sekeluarga berkumpul di rumah jiran, tetapi terkejut apabila mendapati Ika tiada sebelum saya dan ahli keluarga lain mencarinya di sekitar kawasan rumah.
“Luluh hati apabila mendapat tahu mayat anak saya ditemui berhampiran rumah jiran yang hangus dalam kebakaran ini,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan bilik mayat Hospital Balik Pulau (HBP).

 

 

Menurutnya, walaupun sedih lebih-lebih lagi mengenangkan Aidilfitri bakal tiba, namun reda dengan pemergian anak ketiga daripada enam adik-beradik itu kerana percaya Allah lebih menyayanginya.
“Sepatutnya kami sekeluarga membeli pakaian raya esok (hari ini), namun takdir mengubah segala-galanya apabila Ika pergi terlebih dulu.

 

“Ika anak yang baik dan malam tadi kira-kira jam 12 tengah malam, saya bersama suami membawanya ke restoran berhampiran selepas dia memberitahu mahu makan roti canai makanan kegemarannya.
“Lebih menyedihkan, dia seolah-olah tidak sabar menyambut Aidilfitri dan bertanyakan kepada saya sama ada dia boleh menyambutnya esok selepas mendengar bunyi mercun malam tadi,” katanya.
Munirah berkata, mangsa yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Baru sudah dua minggu tidak hadir ke sekolah kerana mengalami masalah kesihatan selain berubah sikap apabila lebih manja dengannya dan suami.
“Ika juga mengajak saya solat berjemaah malam tadi, namun saya memberitahunya saya uzur dan dia solat bersendirian walaupun kiblatnya tidak betul dan agak kelam-kabut.
“Selain itu, dia menyatakan mahu pergi jauh, namun kami tidak faham maksudnya…rupa-rupanya dia mahu meninggalkan kami selama-lamanya hari ini (semalam),” katanya.
Mohd Zulfikar yang juga anak sulung berkata, dia mulanya tercium bau asap sebelum mendengar bunyi letupan cermin.
“Ketika itu, saya berada di bilik tingkat atas dan menyedari rumah terbakar sebelum turun sambil menjerit memberitahu ahli keluarga lain.
“Saya mendukung Ika yang tidur di kusyen ruang tamu manakala ayah dan emak menyelamatkan adik-beradik lain,” katanya.
Sementara itu, suasana di HBP semalam diselubungi rasa pilu sejurus ibu bapa mangsa tiba untuk membuat pengecaman.
Bapa mangsa, Mohd Zafian Zainol, 33, tidak dapat menahan kesedihan kerana arwah manja dengannya.
Beberapa ahli keluarga lain menziarahi mangsa dan jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Betong, Balik Pulau, kira-kira jam 3 petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rohizad Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan jam 6 pagi dan memadamkan api sepenuhnya jam 7.30 pagi.
“Operasi disertai lapan anggota dari Balai Bomba Bayan Baru dan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak serta dua jentera bomba sukarela dan setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Lain salah lain dibalas – Metro


Lain salah lain dibalas

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GOMBAK: Seorang lelaki yang berang selepas dibelasah sekumpulan lelaki minggu lalu bertindak balas dengan membelasah seorang pelajar menggunakan topi keledar menyebabkan pelajar itu retak tangan kiri walaupun dia tidak terbabit serangan sebelum itu.

Dalam kejadian di Selayang kira-kira jam 1 tengah hari semalam, mangsa berusia 17 tahun yang tamat sesi persekolahan berjalan menuju pondok menunggu bas untuk pulang ke rumah.
Menurut sumber, selang beberapa minit kemudian datang seorang lelaki tidak dikenali berusia 20-an berbual-bual dengan mangsa.

 

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa berbual sekejap sebelum lelaki itu ingin tahu tempat tinggal mangsa.
“Pelajar terbabit memberitahu dia tinggal di Taman Intan Baiduri dan sebaik mendengar jawapan mangsa, lelaki itu naik angin dan memukul badan mangsa dengan topi keledar,” katanya.
Sumber berkata, mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek yang tiba-tiba bertukar ganas cuba mempertahan diri, namun gagal apabila lelaki itu bagaikan dirasuk membelasahnya bertubi-tubi.

 

 

“Selepas beberapa minit, lelaki itu berhenti dan memberitahu dia memukul mangsa kerana tidak berpuas hati sebelum ini dia menerima nasib sama apabila dipukul penduduk di kawasan tempat tinggal mangsa.
“Dia meninggalkan mangsa yang kesakitan dan beredar dari situ.

 

“Sebaik ditinggalkan, mangsa pergi ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum diberitahu tangan kirinya retak ketika menepis serangan suspek,” katanya.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut dijalankan.

Budak rentung selepas bersahur – Utusan


Budak rentung selepas bersahur

ROSNI Ismail menunjukkan tempat Zulaika Batriesya yang ditemui rentung dalam satu kebakaran perumahan setinggan di Kampung Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas Pulau Pinang, semalam.

 

PULAU PINANG 24 Ogos – Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak sampai seminggu lagi mungkin tidak bererti lagi buat keluarga Mohamad Zafian Zainol, 35.

Ia kerana anak yang disayanginya, Zulaika Batriesya, 9, meninggal dunia dalam kebakaran yang memusnahkan lima buah rumah di perkampungan setinggan di Sungai Nibong Kecil di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, mangsa ditemui rentung di dalam longkang di tepi rumah jirannya.

Mangsa yang menghidap penyakit sawan sebelum itu diselamatkan kedua ibu bapanya namun dia dipercayai cuba memasuki semula rumah ketika api sedang marak.

Lima lagi adik-beradik mangsa termasuk datuknya berjaya diselamatkan oleh Mohamad Zafian dan isteri.

Mangsa merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Rumah kayu dua tingkat didiami mangsa dihuni oleh 11 orang daripada dua buah keluarga yang bersaudara.

Keluarga mangsa tinggal di bahagian bawah manakala sebelah atas neneknya.

Menurut nenek saudara mangsa, Rosni Ismail, 57, yang juga tinggal di bahagian atas rumah, mereka sekeluarga baru selesai bersahur sebelum kejadian.

Katanya, sebaik menyedari berlaku kebakaran, dia cuba mengejutkan keluarga Mohamad Zafian yang tidur di ruang tamu dan pada masa berusaha menyelamatkan keenam-enam anaknya.

“Kebakaran berlaku selepas kami selesai bersahur, manakala keluarga mangsa pula difahamkan tidur semula sebelum menunggu masuk azan Subuh.

“Saya berjaya membuka pintu rumah Mohamad Zafian dan ketika itu juga saya cuba mengeluarkan semua penghuni sambil api sedang marak tetapi tidak sedar bila Zulaika masuk semula ke dalam rumahnya,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Nenek mangsa, Rosnah Ibrahim, 55, pula berkata, kali terakhir dia berjumpa Zulaika adalah tiga hari lalu.

“Saya baru keluarkan duit dari bank untuk membeli baju raya untuk Zulaika bersama lima cucu yang lain tetapi impian saya kini berkecai,” ujarnya yang cedera di lutut semasa menyelamatkan cucu-cucunya.

Kebakaran itu turut memusnahkan kesemua harta benda miliknya termasuk wang dan barang kemas untuk dipakai di pagi Syawal.

Mayat Zulaika dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat sebelum dituntut bapanya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Betong selepas Asar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Rohizad Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6 pagi dan tiba di tempat kejadian beberapa minit kemudian.

Katanya, seramai 27 anggota dari Balai Bayan Baru dan Jalan Perak serta bomba sukarela berjaya memadam kebakaran sepenuhnya kira-kira 50 minit kemudian.

Siasatan masih dijalankan untuk mencari punca kebakaran termasuk kos kerugian.