Murid miskin, luar bandar lebih mudah ke SBP
KUALA LUMPUR 26 Ogos – Kementerian Pelajaran menggubal syarat baru kelayakan minimum kemasukan tingkatan satu ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu keputusan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) 3A 2B bagi murid daripada keluarga miskin dan 4A 1B bagi murid luar bandar, mulai tahun depan.
Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, syarat baru itu bertujuan membantu dua kategori murid itu mendapat pembelajaran yang lebih sempurna dan memberi peluang kepada mereka untuk ke SBP.
“Matlamat utama adalah supaya murid-murid ini akan mendapat kelulusan pada peringkat tertinggi dan mampu untuk merubah taraf hidup keluarga mereka ke arah kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara kriteria pemilihan murid ke SBP sebelum ini ialah keputusan 5A dalam UPSR dan aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Muhyiddin berkata, kementerian sedar murid-murid daripada keluarga miskin dan murid dari sekolah luar bandar ramai yang ketinggalan dan kurang mampu untuk mendapatkan bantuan seperti kelas tambahan berbayar selain ada yang tidak dapat menumpukan kepada masa pembelajaran yang sempurna kerana hidup keluarga yang susah. – Bernama