‘Kami belum mampu hidup sebumbung’ – Berita Harian


‘Kami belum mampu hidup sebumbung’
Oleh Mohd Fakri Awang Lah
bhnews@bharian.com.my
2011/08/28

  MAHADI   bersama   isteri dan anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kenor,  Kuala Krai.

MAHADI bersama isteri dan anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kenor, Kuala Krai.

Bapa 9 anak dipertemukan Berita Harian masih tiada pendapatan tetap

KUALA KRAI: Sembilan beradik yang dipertemukan dengan ibu bapa mereka oleh Berita Harian setahun lalu, masih belum mampu hidup sebumbung berikutan ayah mereka, Mahadi Che Mansor, 32, belum mempunyai punca pendapatan tetap.

Perkara itu diluahkan Mahadi ketika wartawan Berita Minggu berkunjung ke rumahnya di Kampung Kenor, di sini, baru-baru ini selepas setahun mereka ditemukan pada Ramadan lalu apabila dia menghilangkan diri pada 2009 kerana pelbagai masalah keluarga.

Tiga daripada sembilan beradik terbabit, kembar Airin Puteri dan Adlin Puteri, 5; dan Naqiuddin, 4, walaupun hidup bersama Mahadi dan ibu mereka, Kasmaliza Kassim, 30, namun kesedihan jelas terlihat di wajah berikutan tidak dapat bersama dengan enam lagi adik beradik mereka.

Lima daripada mereka, Amirul Rizal Mahadi, 12, Afiq Asyraf, 11, Natasha Emilia, 10, Arif Hafizi, 8, termasuk anak sulung pasangan terbabit yang tinggal di Seremban, Negeri Sembilan, Nurul Hidayah, 13, pula masih lagi tinggal bersama datuk mereka, Kassim Mat Diah, 56, di Kampung Tengah, di sini.

Anak kesembilan pasangan berkenaan, Nia Khalisa, 3, masih tinggal di Kota Bharu selepas diserahkan kepada saudara terdekat mereka untuk dijaga.

“Saya mendapat rumah baru di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang ternyata membuka lembaran baru dalam kehidupan kerana selepas rumah disiapkan pada Februari lalu, kami tidak lagi menumpang di rumah bapa mentua,” katanya.
Bagaimanapun, kekecewaan terselit di wajah Mahadi memandangkan dia kini masih tidak mempunyai pekerjaan tetap hingga menyebabkan lima anaknya yang masih bersekolah terpaksa menumpang di rumah mentua di Kampung Tengah.

Kisah keluarga ini pernah mendapat perhatian masyarakat apabila kedua-dua ibu bapa terbabit meninggalkan sembilan anak mereka selama setahun daripada 2009 hingga 2010 sebelum dipertemukan kembali selepas kisah berkenaan dipaparkan di Berita Harian.

Berita mengenai nasib sembilan adik beradik ini yang mencari ibu bapa mereka disiarkan dalam Berita Harian dalam usaha mereka mencari ibu bapa yang menghilangkan diri sejak setahun lalu melalui secara menghasilkan kad raya gergasi, meminta ibu bapa mereka pulang.

Susulan berita itu, usaha seterusnya dilakukan dengan mengesan ibu bapa sembilan beradik itu di Kuala Lumpur dan akhirnya berjaya, apabila menemui mereka berada di Kuala Lumpur dan akhirnya, mereka diketemukan bersama ibu bapa mereka dalam satu majlis khas yang diadakan di Balai Berita, Bangsar.

Asyik main gajet lupa hari raya – Berita Harian


Asyik main gajet lupa hari raya
Oleh Alzahrin Alias
zahrin@bharian.com.my
2011/08/28

SEMANGAT Aidilfitri perlu diperkukuhkan di kalangan generasi muda.

SEMANGAT Aidilfitri perlu diperkukuhkan di kalangan generasi muda.

Generasi muda makin pudar semangat Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Generasi muda sekarang dilihat lebih cenderung bermain gajet seperti iPad dan PlayStation daripada melayan tetamu yang berkunjung di rumah sempena Aidilfitri hingga dikhuatiri menjejaskan hubungan persaudaraan serta semangat lebaran.

Ada anak muda sanggup berkurung dalam bilik sambil bertemankan gajet, melayan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau melayari laman sosial daripada bermesra dengan sanak saudara dan kenalan, malah ada yang tidak mengenali saudara sendiri.

Jangan kerana kedatangan teknologi, kita menutup sebelah mata. Akhirnya akan terhakis budaya yang menjadi lambang sesuatu bangsa. – Mohamad Maliki Mohamad Rafiee, Presiden Majlis Belia Malaysia

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamad Maliki Mohamad Rafiee, berkata biarpun ramai menganggap perlakuan anak muda itu sebagai sesuatu yang lumrah dan mengikut peredaran zaman, namun ia boleh menjejaskan budaya Melayu.

“Semua itu berkait rapat dengan keupayaan institusi kekeluargaan, bagaimana mereka mempertahan dan mengekalkan budaya yang sudah lama kita pertahankan ini.

“Jangan kerana kedatangan teknologi, kita menutup sebelah mata. Akhirnya akan terhakis budaya ini dan perlu diingat budaya yang ada adalah lambang sesuatu bangsa,” katanya kepada Berita Minggu di sini, semalam.

Maliki turut mengulas sikap golongan muda yang tidak mesra dengan saudara mara, malah segelintir daripada mereka tidak mengenali saudara sendiri.
Beliau berkata, keadaan itu secara tidak langsung akan menyebabkan ikatan persaudaraan yang terjalin menjadi longgar lalu timbul pelbagai masalah seperti isu pembahagian harta pusaka dan pengurangan aset orang Melayu.

Maliki berkata, golongan muda kini juga lebih selesa hidup dalam lingkungan keluarga yang kecil dan apabila memasuki lingkungan keluarga besar, mereka berasa tidak selesa lalu menyisihkan diri.

Pemergian Nurin masih terasa – Berita Harian


Pemergian Nurin masih terasa 
Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my
2011/08/28

JAZIMIN bersama keluarga menziarahi pusara Nurin Jazlin yang dibunuh kejam  empat tahun lalu.

JAZIMIN bersama keluarga menziarahi pusara Nurin Jazlin yang dibunuh kejam empat tahun lalu.

4 tahun berlalu Jazimin setia menanti siasatan kes kematian Kak Ngah

KUALA LUMPUR: Sudah empat tahun berlalu, nama Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang pernah menggemparkan negara apabila dia hilang dan dilaporkan diculik berdekatan kawasan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, kini semakin dilupakan.

Maklumat terakhir yang diterima ahli keluarganya ialah apabila terbaca melalui akhbar mengenai tawaran sebuah syarikat yang menawarkan teknologi yang dapat menjelaskan imej kabur rakaman CCTV berkaitan kes Nurin.

Lapan tahun kami bersama arwah dan banyak kenangan sepanjang membesarkannya, sudah tentu kehilangannya teramat dirasai. – Jazimin Abdul Jalil, Bapa Nurin Jazlin

Apa pun, bagi ibu bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 37, dan Norazian Bistaman, 39, yang dilihat semakin tabah menerima hakikat ketiadaan anak kedua mereka itu, kehidupan mesti diteruskan.

“Memang setiap masa kami teringatkan Kak Ngah (panggilan untuk Nurin). Namun, tidak bolehlah hendak dilayan sangat rasa sedih, kalau tidak apa kerja pun kita tak boleh nak lakukan. Kehidupan harus diteruskan seperti biasa,” kata Jazimin ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini.

Kehidupan keluarga Jazimin dan Norazian juga sekarang sedikit ceria selepas kelahiran anak bongsunya, Jazley Nazril yang kini berusia lapan bulan.

Kehadiran Jazley menyerikan lagi kehidupan keluarga yang sebelum ini mempunyai empat cahaya mata perempuan termasuk Nurin Jazlin. Anak sulung pasangan ini, Nurin Jazshira kini 13 tahun, Nurin Jazrina, 10 dan Nurin Jazlisa, 5.
Kata Jazimin, walaupun hasrat dia dan isteri untuk menimang anak lelaki akhirnya dimakbulkan, tidak bermakna Jazley dapat menggantikan arwah Nurin.

“Lapan tahun kami bersama arwah dan banyak kenangan sepanjang membesarkannya, sudah tentu kehilangannya teramat dirasai. Kalau Kak Ngah masih ada, dia mesti gembira kerana mendapat adik lelaki dan dialah yang paling sibuk menjaga adiknya ini.

“Walaupun masih kecil, arwah boleh diharap untuk menjaga adiknya. Dulu, dialah yang selalu mendukung dan menukar lampin Nurin Jazlisa yang baru berusia setahun (pada 2007),” ujar Norazian yang kelihatan sebak.

Norazian memberitahu, sepanjang empat tahun pemergian Nurin, tidak pernah sekali pun dia bermimpikan anaknya itu.

“Kadang-kadang, sebelum tidur, saya minta supaya dapat bertemu Kak Ngah dalam mimpi kerana terlalu rindukan dia tapi tak dapat mimpi macam itu. Cuma sepupu yang rapat dengan Kak Ngah pernah bermimpi arwah datang kepadanya, tidak berkata apa-apa dan hanya mencium pipinya dan berlalu pergi bersama seorang lelaki berjubah putih.

“Walaupun tak dapat berjumpa Kak Ngah dalam mimpi sekalipun, saya percaya anak saya kini tenang di sana,” tambah Norazian.

Bagi mengubat rindu, beberapa helai baju kepunyaan Nurin akan dibelek ibunya, lebih-lebih lagi gaun biru dan merah yang menjadi kegemaran Nurin.

Kata Norazian, itu antara baju yang dapat diselamatkan kerana banyak baju dan gambar Nurin diambil orang yang hendak membantu mencari secara tradisional ketika kehilangannya dulu tapi belum dipulangkan kepada keluarganya.

Sementara itu, Jazimin sekeluarga turut berterima kasih kepada semua pihak yang selama ini menunjukkan keprihatinan dan memberi sokongan moral kepada keluarganya hingga ke hari ini.

“Baru-baru ini, anak sulung kami terpaksa menjalani pembedahan dan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) namun isteri saya tidak dapat menemaninya di wad kerana menjaga Jazley di rumah.

“Kakitangan hospital yang ada di antaranya mengikuti kisah Kak Ngah dan mengenali kami menerusi laporan media, banyak membantu menjaga Nurin Jazshira.
“Kami ucapkan banyak terima kasih,” ujar Jazimin sambil menyatakan mereka sekeluarga masih setia menanti perkembangan positif siasatan kes anaknya dan ingin penjenayah kejam itu dikenakan hukuman setimpal.

“Setakat ini saya tidak menerima maklumat mengenai siasatan dan kali terakhir cuma membaca menerusi akhbar mengenai tawaran sebuah syarikat yang menawarkan teknologi yang dapat menjelaskan imej kabur rakaman CCTV berkaitan kes Nurin,” katanya.

Penderitaan adik Mohd. Firdaus dapat perhatian – Utusan


Penderitaan adik Mohd. Firdaus dapat perhatian

ABDUL Azeez Abdul Rahim membawa Mohd. Firdaus Azmi untuk mendapatkan rawatan di Hospital Baling, Kedah, semalam.

 

BALING 27 Ogos – Penderitaan adik Mohd. Firdaus Azmi, 11, yang mengalami penyakit saraf benar-benar menyentuh perasaan Ketua UMNO Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang melawatnya sehinggakan pemimpin berkenaan terus membawa kanak-kanak itu ke Hospital Baling (HB) untuk pemeriksaan lanjut.

Abdul Azeez yang sebelum itu melawat Mohd. Firdaus di rumahnya di Kampung Sungai Batu dekat sini mendapati anggota kaki dan tangan kanak-kanak itu terketar-ketar menyebabkan beliau bimbang sesuatu berlaku terhadapnya.

Beliau terus menghubungi doktor yang sering merawat kanak-kanak itu di Hospital Sungai Petani dan doktor berkenaan menasihatkan agar Mohd. Firdaus dibawa ke HB dahulu bagi mendapatkan rawatan awal sebelum doktor berkenaan membuat pemeriksaan susulan.

Abdul Azeez yang kini sedang sibuk membuat persiapan terakhir sebelum ke Somalia kemudiannya terus membawa kanak-kanak itu dengan kenderaan peribadinya ke HB.

“Saya kasihan melihat keadaan Mohd. Firdaus yang terketar-ketar dan bimbang sesuatu berlaku terhadapnya,” katanya.

Mohd. Firdaus yang merupakan anak tunggal pasangan Azmi Ibrahim, 52, dan Mashitah Abdul Aziz, 48, terpaksa hanya minum susu sejak dilahirkan menggunakan saluran tiub tanpa dapat menjamah makanan lain.

Menurut Mashitah, anaknya setiap hari terpaksa menggunakan tiub getah untuk minum susu yang berharga RM132 (1.5 kg) satu tin dan hanya mampu bertahan selama empat hari sahaja.