Panduan/Tatacara Solat Aidil Fitri lengkap mengikut sunnah Nabi s.a.w.


Panduan/Tatacara Solat Aidil Fitri lengkap mengikut sunnah Nabi s.a.w.

Tatacara Solat Aidil Fitri

Waktu untuk mengerjakan solat Aidil Fitri adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya matahari iaitu waktu dhuha. Disunnahkan untuk melewatkan solat Aidil Fitri agar memberikan kesempatan mereka yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya.

1 – Tidak ada solat sunat sebelum dan sesudah Solat Aidil Fitri.
Dari Ibnu `Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan tidak pula sesudahnya.
(hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)

Hanya sahaja di Malaysia ini solat Aidil Fitri dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk dilaksanakan solat Tahiyat al-Masjid kerana secara umumnya setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyat al-Masjid. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam:

Apabila salah seorang di antara kamu masuk masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Sholah, hadis no: 444)

2 – Tidak ada azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Aidil Fitri. Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat `Ied tanpa azan dan tanpa iqamah.
(Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Daud, Kitab al-Sholah, hadis no: 968)

Namun untuk kemaslahatan umum, dibolehkan membuat pengumuman ringkas untuk memberi tahu para hadirin bahawa solat Aidil Fitri berjamaah akan bermula, agar mereka dapat bangun dan mula menyusun saf, lebih-lebih di tempat solat yang luas dimana kedudukan imam tidak dapat dilihat.

3 – Jumlah rakaat solat Aidil Fitri adalah dua.
Dari Ibnu `Abbas radhiallahu ‘anh dia berkata: Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Aidil Fitri kemudian solat dua rakaat…
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, hadis no: 989)

4 – Terdapat tambahan takbir di dalam solat Aidil Fitri.
Dari `Aisyah (radhiallahu ‘anha), dia berkata: “Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa bertakbir pada solat Aidil Fitri dan aidil Adha, pada rakaat pertama tujuh kali takbir dan pada rakaat kedua lima kali takbir, selain dari dua takbir rukuk.
– Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Sholah, hadis no: 970.

Ada pun tentang jumlah takbir secara keseluruhannya sebelum bacaan al-Fatihah, maka terdapat dua pendapat yang masyhur:

i – Untuk rakaat pertama lapan takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan tujuh takbir kerana solat Aidil Fitri. 1 + 7 = 8. Untuk rakaat kedua enam takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan lima takbir kerana solat Aidil Fitri. 1 + 5 = 6.

ii – Untuk rakaat pertama tujuh takbir, iaitu satu Takbiratul Ihram dan enam takbir solat Aidil Fitri. 1 + 6 = 7. Untuk rakaat kedua lima takbir, iaitu satu takbir kerana memulai rakaat kedua dan empat kali takbir solat Aidil Fitri. 1 + 4 = 5.

Kedua-dua pendapat termasuk dalam kategori perbezaan pendapat yang dibenarkan. Boleh memilih salah satu daripadanya atau yang lebih tepat, mengikuti takbir imam solat Aidil Fitri dalam pendapat yang dipilihnya.

5 – Tentang haruskah diangkat tangan atau tidak ketika takbir tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan: Tidak pernahdiriwayatkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua tangannya ketika takbir pada solat Aidil Fitri (takbir pada rakaat pertama yang berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)…

Hanya sahaja Ibnul Mundzir berkata: “Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunnah yang dianggap muktamad. Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa. Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai.”
(Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Total Koreksi Ritual Salat, ms. 395-396)

Oleh itu di dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampirkepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.

6 – Mengenai bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari berkata: Tidak ada hadis yang sahih yang diriwayatkan dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai doa tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat Aidil Fitri, tetapi telah ditetapkan dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anh bahawasanya dia berkata mengenai solat Aidil Fitri: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah ‘Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atasNya.”
(Syaikh `Ali Hassan bin `Ali al-Halabi al-Atsari, Meneladani Rasulullah Shallallahu ‘alaihi Wasallam Dalam Berhari Raya, ms. 61)

Menurut Imam Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca zikir seperti:

“Subhanallah, walhamdulillah, wa la ilaha illallah, wallahu akbar”.
(Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286)

7 – Tentang surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu ‘alaihi wasallam setelah membaca al-Fatihah, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata: Diriwayatkan secara sahih dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah, dan hanya inilah riwayat yang sahih dari beliau tentang bacaan itu (iaitu pada solat Aidil Fitri).
(Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad, ms. 49)

8 – Apabila seseorang tidak dapat turut serta untuk solat Aidil Fitri bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat secara sendiri. Di dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata:
Jika seseorang terlewatkan (tidak mendapatkan) solat Hari Raya, maka hendaklah dia solat dua rakaat.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-`Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan Solat `Ied, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat)

Ucapan khas Salam Aidilfitri & Salam Kemerdekaan 2011 daripada EyesNews


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera..

Sempena Aidilfitri, saya Idderes Mh,
ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah silap dan terkasar bahasa kepada semua pengunjung di EyesNews ini..

Saya ucapkan juga Selamat Hari Kemerdekaan negara kita kali yang ke 54 tahun dan marilah kita kibarkanlah
Jalur Gemilang tanda kita cintakan negara kita Malaysia ini..

Sama-samalah kita memandu di jalanraya, pandu cermat jiwa selamat.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin…
Selamat Hari Kemerdekaan kali ke 54..”

Idderes Mh,
Editor EyesNews

Pelajar Gua Musang cemerlang terima wang ehsan RM240,000 – Bernama


Pelajar Gua Musang cemerlang terima wang ehsan RM240,000 

2011/08/29

GUA MUSANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi penghargaan kepada seramai 303 pelajar cemerlang dari seluruh Parlimen Gua Musang menerusi sumbangan wang ehsan membabitkan peruntukan RM240,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Mat Yusoff Ab Ghani berkata, sumbangan pertama kali diberikan itu bagi memberi galakan kepada mereka untuk terus berjaya termasuk yang melangkah ke pusat pengajian tinggi.

Beliau berkata, pelajar di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menerima RM100, Penilaian Menengah Rendah (PMR) RM150, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) RM200 dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) RM250.

“Pelajar yang berjaya memasuki pusat pengajian tinggi peringkat diploma pula menerima RM500 menakala peringkat ijazah RM800,” katanya pada perasmian majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar cemerlang dan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) 2011 di Dewan Bukit Chekati, di sini, pagi ini.

Mat Yusoff yang juga Timbalan Ketua UMNO bahagian Gua Musang berkata, kejayaan cemerlang pelajar seluruh parlimen itu yang paling tinggi tahun ini berbanding beberapa tahun lepas.

Katanya, ini membuktikan kesungguhan pelajar luar bandar memberikan tumpuan kepada pelajaran hingga boleh memberi persaingan hebat dengan pelajar kawasan bandar besar. – BERNAMA

‘Saya panggil nenek ibu’ – Metro


‘Saya panggil nenek ibu’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

CHANGLUN: “Sedih bila lihat rakan-rakan sekolah ditemani ibu dan bapa masing-masing,” kata Nur Natasya Razali, 11, yang bergelar anak yatim piatu sejak berusia satu setengah tahun.

Nur Natasya bersama kakaknya, Nurin Nasuha, 14, kini tinggal bersama nenek mereka, Salmah Idris, 58, dan datuk, Abu Hassan Hussin, 61, di Kampung Paya Nongmi, di sini.
Nur Natasya berkata, ibunya Norhaslinda Hashim meninggal dunia akibat menghidap Hepatitis B pada 2000 manakala bapanya, Razali Abu Hassan meninggal dunia dua tahun kemudian akibat penyakit barah hati.

 

“Saya pun ingat-ingat lupa wajah ibu dan bapa kerana mereka pergi ketika saya masih terlalu kecil. Kini hanya datuk dan nenek tempat saya menyambung kasih. Malah, saya juga panggil nenek ‘ibu’ kerana dia yang menjaga saya sejak kecil,” kata murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Datuk Wan Kemara, di sini.

Pulang selepas 4 hari – Metro


Pulang selepas 4 hari

Oleh Anas Hassan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MALU...dua gadis terbabit pada sidang media, semalam.
MALU…dua gadis terbabit pada sidang media, semalam.

KUALA LUMPUR: Dua pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini yang hilang sejak empat hari lalu pulang ke rumah kira-kira jam 4 petang kelmarin selepas dipujuk ibu bapa mereka.

Remaja terbabit yang dikenali sebagai Cheng Cheng dan Ke ke, masing-masing 14, dipercayai melarikan diri selepas tidak pulang ke rumah mereka selepas waktu persekolahan Rabu lalu kerana khuatir dimarahi ibu mereka akibat terlewat pulang.
Kedua mereka dipercayai menyembunyikan diri di rumah teman lelaki di lokasi yang tidak diketahui sebelum pulang ke rumah selepas mendapati kes kehilangan mereka menjadi perhatian.

 

Menurut ibu mereka yang tidak mahu dikenali, dia mula risaukan anaknya yang tidak pulang ke rumah hingga lewat petang dan tidak menghubunginya.
“Saya membuat laporan polis pada hari sama.
“Bagaimanapun, petang Sabtu lalu, mereka berdua muncul di depan rumah dalam keadaan terpinga-pinga sambil menangis memohon maaf kerana tidak pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia, semalam.

Budak cedera terkena renjatan elektrik – Utusan


Budak cedera terkena renjatan elektrik

SEREMBAN 28 Ogos – Seorang ibu tergamam setelah melihat anak lelakinya terbaring dengan tubuh berasap selepas terkena renjatan elektrik kabel bervoltan tinggi ketika sedang bermain kereta mainan dengan alat kawalan jauh di Stesen Komuter Sungai Gadut dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8.35 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd. Shafiq Mat Isa, 10, mengalami kecederaan parah di kedua-dua belah tangan, kaki kiri dan sebahagian badan melecur akibat terkena arus elektrik bervoltan tinggi.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika kanak-kanak itu mengikut ibunya bekerja sebagai pekerja pembersihan di stesen berkenaan.

Ibunya, Norashahin Ujang, 52, memberitahu, ketika kejadian dia sedang membersihkan sebuah gerabak, manakala anaknya itu bermain kereta mainan dengan dengan memegang sebuah alat kawalan jauh di luar gerabak berkenaan.

“Tiba-tiba saya terdengar satu bunyi dentuman yang kuat dan apabila menjenguk keluar tingkap gerabak berkenaan saya terkejut apabila melihat anak saya sudah terbaring di atas lantai dengan tubuhnya berasap.

“Saya terus keluar dan memeluk anak saya tetapi dia tidak bergerak malah saya melihat sebahagian baju serta seluarnya mempunyai kesan terbakar seperti disambar api.

“Pada masa yang sama saya juga melihat alat kawalan jauh yang dipegang Mohd. Shafiq sudah terbakar dan berada tidak jauh dari anak saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ja‘afar (HTJ) di sini, hari ini.

Tambahnya, dia tidak sangka alat kawalan kawalan jauh yang dipegang Mohd. Shafiq boleh menyebabkan anaknya itu terkena renjatan elektrik dari kabel yang terletak kira-kira dua meter dari mangsa.

“Saya bersyukur kerana nyawa anak saya masih panjang walaupun arus yang mengalir dalam tubuhnya itu sangat tinggi sehingga menyebabkan simen di mana anak saya berdiri turut berlubang,” katanya sedih.

Sementara itu, Pengurus Kanan Unit Komunikasi Korporat, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Fadzil Ismail memberitahu, pihaknya akan menyiasat perkara itu kerana ini kejadian pertama berlaku membabitkan alat kawalan jauh dari sebuah kereta mainan.

“Buat masa ini kita akan menyiasat perkara itu termasuk membuat kajian berhubung bahaya menggunakan permainan kawalan jauh berhampiran kabel bervoltan tinggi.

“Kita melahirkan rasa simpati dengan apa yang menimpa kanak-kanak itu dan pihak kami akan membuat susulan terhadap kesihatan mangsa,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan tersebut untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Syarat baru murid miskin masuk SBP disambut baik – Utusan


Syarat baru murid miskin masuk SBP disambut baik

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Keputusan kerajaan melonggarkan syarat kemasukan murid miskin dan luar bandar ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi pengambilan 2012 disambut baik oleh pelbagai pihak.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pengenalan syarat baru kemasukan ke SBP bagi murid miskin dan luar bandar itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mengubah taraf hidup murid berkenaan.

“Kelonggaran yang diberikan ini membolehkan pelajar miskin dan juga yang tinggal di luar bandar untuk mendapatkan akses pembelajaran yang lebih selesa dan sempurna

“Justeru, peluang yang dibuka kepada murid-murid ini tidak harus dipersiakan dan haruslah digunakan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, kelonggaran yang sama juga patut diperluas untuk syarat-syarat kemasukan ke universiti yang dilihat sangat penting.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu sangat wajar dan bertepatan dengan inspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan cemerlang.

“Bagaimanapun, pihak kami berharap kerajaan dapat menyediakan kelas tambahan kepada murid-murid ini agar mereka dapat bersaing mencapai pencapaian yang lebih cemerlang seperti kawan-kawan lain.

“Selain itu, bimbingan psikologi juga penting agar mereka berasa selesa untuk tinggal di asrama bersama rakan mereka lain yang mempunyai keputusan lebih cemerlang,” katanya

Sementara itu, tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, peluang yang lebih terbuka kepada murid miskin dan luar bandar untuk memasuki SBP bertepatan dengan tujuan asal pembinaan 10 buah SBP semasa Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2).

“Semasa itu, sekolah-sekolah serba kekurangan menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk menubuhkan sekolah asrama yang lengkap dengan kemudahan khusus kepada pelajar luar bandar.

“Rata-rata murid luar bandar dan miskin ini berkemampuan untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang jika diberi peluang yang sama rata seperti murid di bandar terutamanya dari segi akses untuk mendapatkan maklumat,” katanya

Pendapat itu turut dikongsi oleh tokoh akademik, Tan Sri Khoo Kay Kim yang menyambut baik keputusan kerajaan kembali kepada tujuan asal penubuhan SBP bagi membantu murid yang kurang bernasib baik.

“Ketika itu, sekolah berasrama seperti di Ipoh dan Teluk Intan diwujudkan oleh British bagi membantu pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar untuk mendapatkan peluang pendidikan yang lebih baik dari guru paling berpengalaman,” katanya.