Syarat baru murid miskin masuk SBP disambut baik – Utusan


Syarat baru murid miskin masuk SBP disambut baik

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Keputusan kerajaan melonggarkan syarat kemasukan murid miskin dan luar bandar ke tingkatan satu Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi pengambilan 2012 disambut baik oleh pelbagai pihak.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pengenalan syarat baru kemasukan ke SBP bagi murid miskin dan luar bandar itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mengubah taraf hidup murid berkenaan.

“Kelonggaran yang diberikan ini membolehkan pelajar miskin dan juga yang tinggal di luar bandar untuk mendapatkan akses pembelajaran yang lebih selesa dan sempurna

“Justeru, peluang yang dibuka kepada murid-murid ini tidak harus dipersiakan dan haruslah digunakan sebaik mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, kelonggaran yang sama juga patut diperluas untuk syarat-syarat kemasukan ke universiti yang dilihat sangat penting.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, keputusan yang diambil kerajaan itu sangat wajar dan bertepatan dengan inspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan cemerlang.

“Bagaimanapun, pihak kami berharap kerajaan dapat menyediakan kelas tambahan kepada murid-murid ini agar mereka dapat bersaing mencapai pencapaian yang lebih cemerlang seperti kawan-kawan lain.

“Selain itu, bimbingan psikologi juga penting agar mereka berasa selesa untuk tinggal di asrama bersama rakan mereka lain yang mempunyai keputusan lebih cemerlang,” katanya

Sementara itu, tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad berkata, peluang yang lebih terbuka kepada murid miskin dan luar bandar untuk memasuki SBP bertepatan dengan tujuan asal pembinaan 10 buah SBP semasa Rancangan Malaysia Kedua (RMK-2).

“Semasa itu, sekolah-sekolah serba kekurangan menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk menubuhkan sekolah asrama yang lengkap dengan kemudahan khusus kepada pelajar luar bandar.

“Rata-rata murid luar bandar dan miskin ini berkemampuan untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang jika diberi peluang yang sama rata seperti murid di bandar terutamanya dari segi akses untuk mendapatkan maklumat,” katanya

Pendapat itu turut dikongsi oleh tokoh akademik, Tan Sri Khoo Kay Kim yang menyambut baik keputusan kerajaan kembali kepada tujuan asal penubuhan SBP bagi membantu murid yang kurang bernasib baik.

“Ketika itu, sekolah berasrama seperti di Ipoh dan Teluk Intan diwujudkan oleh British bagi membantu pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar untuk mendapatkan peluang pendidikan yang lebih baik dari guru paling berpengalaman,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s