PM: Layanan kerajaan serupa kepada semua sekolah – Bernama


PM: Layanan kerajaan serupa kepada semua sekolah

30/09/2011 10:54am

 

GEORGETOWN 30 Sept. – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan semula bahawa kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan beliau memberi layanan serupa kepada semua aliran sekolah di Malaysia tanpa diskriminasi.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menyokong dan membantu institusi pendidikan awam serta swasta di Malaysia.

“Izinkan saya menegaskan semula bahawa kerajaan saya adalah kerajaan rakyat dan kami memberi layanan yang sama kepada semua aliran sekolah di Malaysia tanpa diskriminasi,” katanya dalam ucapan perasmian majlis ”Anugerah Pencapaian Emas” Kolej Han Chiang di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim. – Bernama

Tiada garis panduan pelajar lemah dilarang duduki peperiksaan – Bernama


Tiada garis panduan pelajar lemah dilarang duduki peperiksaan

30/09/2011 6:46pm

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Kementerian Pelajaran tidak pernah mengeluarkan sebarang garis panduan atau arahan kepada Jabatan Pelajaran Negeri untuk melarang pelajar yang dianggap lemah daripada menduduki peperiksaan bagi mengelak prestasi sekolah terjejas.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, menjadi tanggungjawab semua warga pendidik di setiap sekolah untuk memastikan pelajar dapat mencapai keputusan yang terbaik.

Beliau berkata pihak yang melarang pelajar daripada menduduki peperiksaan tidak akan terlepas daripada tindakan kerana kementerian akan menjalankan siasatan secara terperinci.

“Jangan cari helah, pelajar itu pelajar ini tidak boleh ambil peperiksaan, kerana siasatan kita merangkumi temubual dengan mangsa atau pelajar tersebut dan apabila dijalankan secara rapi, akhirnya akan terbongkar dan kita akan perolehi rumusannya,” katanya. – Bernama

Sekolah kerajaan aliran Inggeris tidak akan diwujudkan: TPM – Bernama


Sekolah kerajaan aliran Inggeris tidak akan diwujudkan: TPM 

2011/09/30

SERDANG: Sekolah kerajaan aliran bahasa Inggeris tidak akan diwujudkan di negara ini kecuali jika berlaku perubahan dalam Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin.

Katanya, sebagai Menteri Pelajaran, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakannya berdasarkan akta dan dasar itu yang antara lain menyebut bahawa menyatakan bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.

“Kalau di sekolah swasta, itu lain ceritalah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika ditanya mengenai permintaan pihak tertentu supaya kerajaan menubuhkan sekolah aliran bahasa Inggeris.

Muhyiddin juga berkata, bahasa yang lebih mudah untuk diajar kepada anak-anak khususnya di peringkat rendah adalah bahasa ibunda.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat lembaga eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) yang dihadirinya di Paris awal minggu ini.

“Sebab itu orang Cina nakkan sekolah bahasa Cina, orang India nak dengan bahasa Tamil, begitu juga di Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai bahasa,” katanya semasa menjawab pertanyaan pada sesi dialog bersama pelajar sempena lawatan kerja ke Universiti Putra Malaysia di sini.

Muhyiddin berkata, usaha itu juga mampu memartabatkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dan pada masa sama penguasaan bahasa Inggeris terus dipertingkatkan.
“Saya bertanggungjawab dalam mengubbal dasar, disebabkan itu ia masih hangat diperbincangkan sehingga kini, tetapi keputusan sudah pun dibuat bukan sebab tidak suka bahasa Inggeris tetapi kita mesti bersikap realistik.

“Ini kerana terdapat pelajar terutamanya di luar bandar yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris menyebabkan mereka sukar untuk menjawab soalan peperiksaan kerana lebih mahir dengan bahasa ibunda,” katanya. – BERNAMA

Pembunuh budak ke tali gantung – Utusan


Pembunuh budak ke tali gantung

 

Oleh SITI NOORALINA AHMAD
pengarang@utusan.com.my

 

KARIGALAN (kiri) menyatakan sesuatu kepada Rajamorgan selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas pembunuh anaknya itu di Shah Alam, semalam. – Mohd. Shaharani Saibi

 

SHAH ALAM 29 Sept. – Keadaan di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini kecoh seketika apabila bapa kepada kanak-kanak yang meninggal dunia dua tahun lalu ‘menyerang’ pembunuh anaknya sejurus tertuduh dijatuhi hukuman mati hari ini.

A. Karigalan, 43, menghampiri dan memarahi M. Rajamorgan, 33, dalam bahasa Tamil ketika tertuduh itu diiringi keluar oleh anggota polis selepas hukuman dijatuhkan.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah menjatuhkan hukuman gantung hingga mati ke atas Rajamorgan selepas mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh disabit kesalahan membunuh K. Haresvarra di taman permainan kanak-kanak, Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara di sini antara pukul 9.40 malam dan 10.10 malam, 3 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira-kira pukul 12 tengah malam, 4 Mac tahun lalu akibat cedera parah di seluruh badan.

Antara kecederaan yang dialami mangsa seperti patah enam tulang rusuk, cedera parah di bahagian kepala, luka di kemaluan akibat diramas dengan kuat serta pecah hati.

Keterangan oleh pakar patologi menyatakan, kanak-kanak itu meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian hati kerana tumbukan yang kuat di belakang badannya yang turut menyebabkannya hilang banyak darah.

Sepanjang perbicaraan seramai 10 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberikan keterangan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela Aida Mansor.

Karigalan ketika ditemu bual oleh pemberita berkata, dia dan isterinya sangat tertekan apabila dituduh membunuh anak mereka sendiri berikutan campur tangan oleh ahli politik yang menyebarkan dakwaan tersebut serta membuat laporan polis supaya siasatan dijalankan terhadap dia dan isterinya.

“Kami bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, walaupun saya dan isteri gembira tetapi anak kami tidak mungkin akan kembali dan oleh sebab itu saya sangat marah terhadapnya (tertuduh),” katanya.

Tindakan terhadap guru besar – Utusan


Tindakan terhadap guru besar

 

Oleh LUQMAN HAZIQ dan AZIZI MAJID
utusanjohor@utusan.com.my

 

PONTIAN 29 Sept. – Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan terhadap guru besar dan pengetua sekolah sekiranya terbukti mereka terlibat melarang murid daripada menduduki peperiksaan yang diadakan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru besar atau pengetua yang didapati bersalah dalam hal seumpama itu hanya akan memberi kesan negatif kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka.

“Tindakan menghalang murid daripada menduduki peperiksaan adalah salah kerana ia melanggar hak murid tersebut.

“Justeru, seandainya kita dapati guru besar atau pengetua menghalang murid daripada mengambil peperiksaan semata-mata untuk memastikan prestasi sekolah mereka tidak menurun, kita akan mengambil tindakan,” katanya mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang menyiarkan lima murid Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Sira di Baling, Kedah tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

Beliau yang ditemui selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Rakyat di pekarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi dekat sini, hari ini memaklumkan belum menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Muhyiddin berkata, beliau akan mengarahkan Jemaah Nazir Sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah untuk menyiasat perkara itu dan murid-murid berkenaan akan dibenarkan menduduki semula peperiksaan tersebut.

Lima murid berkenaan iaitu Mohd. Zulidham Yusof, Mohd. Fazli Md. Isa, Mohd. Hakim Hasan, Zulhilmi Abd. Mizan dan Mohd. Zulfikar Mohd. Fauzi dilaporkan telah diminta oleh guru mereka supaya tidak menghadiri peperiksaan itu.

Sebelum ini, akhbar turut melaporkan tiga murid SK Bandar Bintangor, Sarawak tidak dibenarkan menduduki UPSR atas alasan akan menjatuhkan prestasi sekolah berkenaan.

Sekolah Agama Rakyat diajak sertai ‘keluarga’ SABK – Utusan


Sekolah Agama Rakyat diajak sertai ‘keluarga’ SABK

JOHOR BAHRU 29 Sept. – Kementerian Pelajaran menjemput semua Sekolah Agama Rakyat (SAR), khususnya di negeri ini agar menjadi ‘ahli keluarga’ Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di bawah kementerian itu untuk meningkatkan lagi tahap pembelajaran dan prasarana sekolah.

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu akan dapat memenuhi permintaan tinggi ibu bapa untuk memasukkan anak mereka ke sekolah aliran agama dan membolehkan lebih ramai pelajar berpeluang mengikuti proses pembelajaran menggunakan dwikurikulum, kebangsaan dan Dini/Azhari.

Katanya, Kerajaan Pusat akan menyediakan peruntukan bersesuaian jika SAR menjadi SABK, contohnya skim gaji guru yang sama dengan tenaga pengajar di sekolah kebangsaan.

Di samping itu, katanya, pelbagai bantuan seperti guru terlatih, kemudahan pembelajaran, buku teks, biasiswa dan pembangunan infrastruktur turut akan diberi.

“Jika sekolah-sekolah agama di negeri ini dapat dilengkapkan dengan kemudahan terkini, ia boleh menjadi daya tarikan kepada pelajar bukan sahaja di negeri ini malah dari negeri lain,” katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Hijrah SABK Madrasah Al-Alattas Arabiah Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Nazir Keenam SABK Madrasah Al-Alattas Arabiah Johor, Syed Ali Mohamed Alattas.

Menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri, Madrasah Al-Alattas adalah antara SAR di Johor yang terawal menandatangani Perjanjian Persefahaman dengan kementerian untuk berdaftar di bawah SABK.

“Penyertaan madrasah ini amat dialu-alukan demi memartabatkan sekolah agama agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan sekolah aliran perdana lain,” katanya.

Beliau pada masa sama turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM270,000 bagi membantu penambahbaikan prasarana SABK Madrasah Al-Alattas Arabiah Johor bersempena 100 tahun penubuhannya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kini tinggal 27 SAR di negeri ini yang dalam peringkat akhir penelitian sebelum mendaftar sebagai SABK dan sedang menunggu kelulusan.

“Pendaftaran SABK akan memberi banyak faedah, kemudahan dan bantuan kepada guru, murid serta pembangunan infrastruktur berbanding keadaan sekarang,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Johor mempunyai 19 sekolah menengah agama (SMA) dengan 577 guru dan 5,563 pelajar selain lapan sekolah rendah agama (SRA) dengan 208 guru dan 3,227 murid.

TPM arah siasatan murid dihalang duduki UPSR – Bernama


TPM arah siasatan murid dihalang duduki UPSR

2011/09/29

PONTIAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Jemaah Nazir melakukan siasatan terhadap dakwaan lima murid Sekolah Kebangsaan Telok Sira, Baling, Kedah, tidak dibenarkan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) oleh guru mereka.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran berkata, beliau berasa amat dukacita jika dakwaan itu terbukti benar dan akan mengambil tindakan terhadap guru besar atau pengetua sekolah berkenaan.

“Jikalau (dakwaan) benar, saya amat dukacita,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra rakyat di perkarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Bunyi di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau akan menggunakan kuasanya di bawah akta sebagai Menteri Pelajaran bagi memberi peluang kepada murid berkenaan untuk mengambil peperiksaan UPSR pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Katanya, dalam keghairahan pengetua dan guru besar mengejar pencapaian sekolah, mereka tidak boleh berkompromi dengan hak pelajar untuk mengambil peperiksaan.

Timbalan Perdana Menteri mengulas laporan akhbar hari ini bahawa lima murid sekolah berkenaan diarah oleh guru mereka supaya tidak mengambil peperiksaan UPSR.

Ia menyusul kejadian yang sama di Bintangor, Sarawak baru-baru ini apabila enam murid di sebuah sekolah rendah dikurung oleh guru mereka bagi mengelakkan mereka daripada mengambil peperiksaan UPSR.
Bagaimanapun, Muhyiddin mengarahkan keenam-enam murid berkenaan mengambil peperiksaan terbabit pada tarikh terdekat ini. – BERNAMA

Pendidikan vokasional, teknikal bukan lagi kelas kedua – Bernama


Pendidikan vokasional, teknikal bukan lagi kelas kedua

29/09/2011 4:19pm

 

PUTRAJAYA 29 Sept. – Pendidikan vokasional dan teknikal tidak lagi boleh dianggap sebagai pendidikan kelas kedua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, ibu bapa dan pelajar perlu mengubahkan persepsi negatif terhadap pendidikan vokasional dan teknikal yang menjanjikan pekerjaan dan gaji lumayan di merata dunia ketika ini.

“Kerajaan sedang berusaha menjadikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebagai pilihan utama pelajar terbaik negara seperti yang diamalkan oleh negara-negara maju.

“Ia bukan lagi pendidikan kelas kedua, ia sudah menjadi aliran pendidikan utama terutamanya di negara-negara maju. Kerajaan mahukan lebih ramai pelajar mengikuti pendidikan teknikal dan vokasional,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) fasa kedua di sini hari ini. – Bernama

Vitamin 1Malaysia untuk setengah juta murid Oktober ini – Bernama


Vitamin 1Malaysia untuk setengah juta murid Oktober ini

29/09/2011 6:16pm

 

KOTA BHARU 29 Sept. – Kerajaan akan melaksanakan Program Vitamin 1Malaysia bermula Oktober ini dalam usaha meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi murid sekolah rendah golongan miskin di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, program yang akan memanfaatkan 516,520 murid di seluruh negara itu akan dibiayai menerusi peruntukan sebanyak RM19.6 juta yang diluluskan dalam bajet tahun ini.

“Melalui program itu, Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menyediakan multi vitamin berbentuk tablet dan berperisa nenas untuk murid terbabit.

“Bagaimanapun, hanya sekolah yang terlibat dengan rancangan makanan tambahan (RMT) terutama di kawasan luar bandar sahaja akan terbabit dengan program ini,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan untuk tempoh dua tahun sehingga 30 September 2013, dan setiap murid akan diberi multi vitamin tiga kali seminggu di bawah pemantauan guru. – Bernama

Murid prasekolah lemas – Kosmo


Murid prasekolah lemas

 

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my

 

RAMLI AHMAD menunjukkan tempat anak saudaranya, Muhammad Saiful mati lemas di Sungai Langgar, Kampung Limbong, Alor Setar ketika ditemui semalam.

 

ALOR SETAR – Hajat seorang murid prasekolah untuk menghadiahkan ikan pekasam kepada dua gurunya tidak kesampaian apabila dia ditemui lemas di Sungai Langgar di Kampung Limbong di sini Isnin lalu.

Mayat mangsa, Muhammad Saiful Sudin, 6, ditemui penduduk kampung pada pukul 9.05 malam iaitu selepas dua jam dia diketahui terjatuh ke dalam sungai sedalam lima meter itu.

Ibu mangsa, Zaitun Man, 50, memberitahu, sebelum kejadian, dia dan anak bongsunya itu pergi memancing ikan di satu saliran air di kawasan sawah tidak jauh dari rumahnya.

“Selepas sejam memancing dan mendapat empat ekor ikan sepat, kami berdua pulang ke rumah dengan menaiki motosikal pada pukul 7 petang.

“Bagaimanapun, tiba di simpang menghala ke rumah, Saiful ternampak lima rakannya bermain di atas titi sungai lalu dia terus turun dari motosikal,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, dia melarang Saiful bermain di sungai tetapi dia terus berlalu pergi dan memberitahu hendak pergi ke rumah saudaranya.

“Tidak lama kemudian seorang rakannya datang ke rumah beritahu Saiful terjatuh ke dalam sungai,” tambahnya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.