Kanak-kanak perempuan maut di gilis bas – Bernama


Kanak-kanak perempuan maut di gilis bas

2011/09/02

IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan terbunuh selepas digilis bas apabila dia terjatuh daripada motosikal yang ditunggang ibunya di kilometer 40 Jalan Teluk Intan-Sitiawan dekat Perak Tengah semalam.

Ketua Polis Trafik Negeri Superintenden Wan Abdullah Ishak, berkata mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada jam 3.20 petang semalam, Nor Ezwin Mohd Erwan, 6 berasal dari Kampung Bakar Arang, Kota Setia, Sungai Renggam, Perak Tengah.

“Mangsa yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa membonceng motosikal yang ditunggang ibunya Rodiah Abdullah, 40-an dalam perjalanan dari Sitiawan ke Teluk Intan apabila dirempuh dari belakang oleh sebuah motosikal lain.

Katanya, akibat kejadian itu mangsa tercampak di atas jalan dan gilis oleh sebuah bas yang datang dari arah belakang, manakala ibu mangsa terselamat.

Sementara itu, seorang wanita terbunuh selepas kereta yang dipandu suaminya terbabas dan merempuh penghadang jalan di kilometer 285.6 Lebuhraya Utara-Selatan dekat sini pada jam 3 petang semalam.

Mangsa Rohaya Darus, 41 berasal dari Taman Mulia, Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, manakala suami mangsa terselamat dalam kejadian itu.
Ketika kejadian mangsa bersama suaminya dalam perjalanan dari Utara ke Selatan apabila sebuah tayar kereta yang mereka naiki meletup lalu terbabas dan merempuh penghadang jalan. – BERNAMA

Guru kerja luar semakin serius, kementerian perlu kaji – Utusan


Guru kerja luar semakin serius, kementerian perlu kaji

KUALA LUMPUR 1 Sept. – Kementerian Pelajaran perlu melakukan pemantauan yang menyeluruh berhubung fenomena guru membuat kerja ‘luar’ kerana ia boleh mengganggu dasar pendidikan negara.

Sambil menyifatkan fenomena itu semakin serius kebelakangan ini, Pensyarah Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, Kementerian Pelajaran juga perlu menjalankan kajian mengenai perkara itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

‘‘Oleh kerana tiada data yang dapat membuktikan hal ini berlaku, sukar untuk Kementerian Pelajaran mengambil langkah mengatasinya.

‘‘Pihak persatuan guru juga pasti akan menafikannya tetapi cubalah bertanyakan kepada ibu bapa kerana sebahagian besar daripada rungutan mengenai perkara ini datangnya daripada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Anuar, antara kerja luar yang sinonim dengan guru adalah mengajar di kelas tuisyen berbayar, terlibat dengan perniagaan skim piramid (MLM), menjadi ejen insurans serta pelbagai produk seperti pakaian, aksesori perhiasan dan barangan kecantikan.

Katanya, disebabkan komitmen pemikiran, masa dan tenaga lebih terarah kepada kerja luar, ada guru yang mengabaikan tugasan hakiki iaitu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

‘‘Akibatnya guru-guru ini secara fizikalnya akan menjadi letih dan tiada masa untuk membuat persediaan pengajaran.

‘‘Tidak hairan selepas 13 tahun anak-anak kita di sekolah rendah, namun masih belum berkeupayaan untuk menulis walau hanya sebaris ayat bahasa Inggeris dengan lengkap,” katanya.

Apa yang membimbangkan, kata Anuar, disebabkan sistem pendidikan negara tidak membenarkan ulangan kelas, pelajar yang gagal menguasai pelajaran juga akan tetap mengikuti kenaikan kelas.

Ditanya adakah faktor gaji menjadi penyebab utama, Anuar berkata, skim gaji guru ketika ini sebenarnya masih boleh memenuhi semua keperluan hidup dengan baik dan berkualiti.

‘‘Tetapi ada guru yang masih belum berpuas hati bila membandingkan pendapatannya dengan eksekutif di sektor korporat yang berpendapatan berlipat kali ganda.

‘‘Apa yang lebih diperlukan ialah memastikan setiap guru benar-benar memahami tanggungjawab mereka,” katanya.

2 korban ombak besar – Metro


2 korban ombak besar

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
LOKASI...kawasan tragedi yang meragut nyawa dua saudara di Pantai Pasir Panjang.
LOKASI…kawasan tragedi yang meragut nyawa dua saudara di Pantai Pasir Panjang.

SAYU...jenazah Abdullah Mukmin dibawa keluar  hospital.
SAYU…jenazah Abdullah Mukmin dibawa keluar hospital.

BALIK PULAU: “Abang Chik nak manja dengan ayah boleh tak?” Itulah kata-kata yang terngiang-ngiang di telinga Ahmad Nasir Osman, 42, bapa kepada Abdullah Mukmin, 12, yang lemas ketika berkelah di pantai Kampung Pasir Panjang di sini, semalam.

Mengenang semula detik pada malam menjelang 1 Syawal, Ahmad Nasir berkata, anak keempatnya itu tiba-tiba mengungkapkan kata sedemikian kepadanya. Menurutnya, dia tidak menyangka anak lelaki yang mahu bermanja dengannya itu pergi meninggalkan keluarga selepas lemas ditelan ombak bersama bapa saudaranya, Abdul Razak Osman, 32.
“Arwah juga kelihatan gembira menyambut Aidilfitri bersama sepupu dan keluarga,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau, semalam.

 

Kejadian berlaku jam 11 pagi ketika Abdullah Mukmin dan Abdul Razak sedang duduk bersama Ahmad Nasir dan abangnya, Abdul Latif Osman, 43, di atas batu sebelum ombak besar menghanyutkan mereka ke laut.
Abdul Latif dan Ahmad Nasir berjaya menyelamatkan diri tetapi turun semula ke laut mencari mangsa, namun terlambat apabila mereka ditemui tidak bernyawa.
Menceritakan kejadian itu, Abdul Latif berkata, ombak besar tiba-tiba menghempas batu tempat mereka berehat selepas mandi. “Hanya saya dan Ahmad Nasir berjaya kembali ke pantai, manakala Abdul Razak dan anak saudara saya tiada,” katanya.

 

 

Menurutnya, dia kembali semula ke laut sebelum menemui Abdul Razak yang sudah lemas dan menariknya ke pantai sebelum orang ramai mula tiba untuk memberikan bantuan.
Katanya, dia dan Ahmad Nasir turun semula ke laut mencari Abdullah Mukmin sebelum menemuinya 100 meter dari pantai.

 

Dugaan guru buta – Metro


Dugaan guru buta

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: “Masa mula menjadi guru dulu, memang banyak dugaan sehinggakan saya tidak sedar ada pelajar yang mengambil kesempatan keluar dari kelas dan akhirnya tinggal beberapa orang saja dalam kelas,” cerita seorang guru Kafa yang cacat penglihatan berkongsi pengalamannya sebagai orang kelainan upaya (OKU).

Mohd Zaki Mohd Yusoff (gambar), 30, yang dilahirkan dengan kekurangan itu kini sudah boleh menyesuaikan diri dalam kerjayanya dan mahir mengatasi segala masalah serta dugaan yang dialami sepanjang menjadi guru Pendidikan Fardu ‘Ain di sebuah sekolah di Keramat, di sini.
“Kini, saya berterima kasih kepada pihak sekolah termasuk anak murid yang lebih menghormati saya sebagai seorang guru walaupun keadaan saya tidak normal seperti mereka,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Derma Hari Raya 1432H/2011M, di sini.

 

Mohd Zaki turut melahirkan rasa syukur kerana terpilih menjadi salah seorang daripada 200 penerima sumbangan terdiri daripada fakir miskin, ibu tunggal serta OKU yang disalurkan melalui Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (Jam’iyah).
Pada majlis itu, Jam’iyah menyerahkan sumbangan RM100 kepada setiap penerima yang diperoleh daripada dermawan badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat, badan berkanun dan juga orang perseorangan.
Yang Dipertua Jam’iyah, Zakariah Isa berkata, acara tahunan yang diadakan persatuan itu sejak 10 tahun lalu berjaya menyumbang RM70,000 kepada 470 insan yang memerlukan termasuk anak yatim dan mualaf.

 

 

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Jam’iyah, Prof Dr Abdul Aziz Mohd Zin dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Jam’iyah, Ahmad Muhammad Abdul Ghafar.
Bagi pasangan kembar OKU, Nurul Nadia Abd Ghani dan Nurul Nalya Abd Ghani, 23, sumbangan yang diterima membantu menampung perbelanjaan lebih-lebih lagi kini mereka sedang mengikuti kursus Pembantu Tadbir Sistem Maklumat di Persatuan Orang-Orang Buta Brickfields

Aidilfitri sepi tanpa si bongsu – Metro


Aidilfitri sepi tanpa si bongsu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SEPANG: “Tiada lagi gelak tawa di rumah pada Aidilftri kali ini. Saya tak bersemangat untuk menyambutnya,” kata Intan Anisah Alang, 40, ibu kepada seorang mangsa korban tanah runtuh di Hulu Langat, Mohd Riezman Abd Latif, 9.

Dia berkata, kehidupannya sekeluarga berubah sejak pemergian anak bongsu daripada enam beradik itu kerana hilangnya ‘penawar hati’ bagi seisi rumah berkenaan. Menurutnya, walaupun trauma insiden itu sudah lenyap dalam dirinya, tragedi berkenaan tetap memberikan kesan terhadap perubahan diri dan anaknya yang lain.
“Sejak arwah pergi, saya tak selera nak makan dan dan tak semangat melakukan aktiviti harian. Seorang anak saya, Mohd Awie, 11, yang bersama arwah ketika hari kejadian turut mengalami perubahan sikap.

 

“Dia tak banyak cakap dan cepat marah jika keinginannya tak dipenuhi,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di rumahnya di Kampung Jenderam Hilir, di sini.
Intan Anisah berkata, pemergian Mohd Riezman juga memberi kesan terhadap dua lagi anaknya iaitu Mohd Adi Putra, 17, dan Nurul Shariena, 16.
Menurutnya, Mohd Adi Putra yang sepatutnya mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini membuat keputusan tidak mahu meneruskan persekolahan. “Nurul Shariena pun tak mahu ke sekolah, tetapi tahun depan dia nak sambung semula persekolahan dan menduduki SPM,” katanya.

2 lemas dipukul ombak – Berita Harian


2 lemas dipukul ombak
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi dan Rudy Syareme Sheriffudin

2011/09/02

Usaha pak cik selamat anak saudara berakhir tragedi

BALIK PULAU: Kegembiraan tiga keluarga meraikan cuti Aidilfitri berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas dipukul ombak kuat ketika berehat di atas batu di Pantai Pasir Panjang, Pulau Betong dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, Abdul Razak Osman, 32, dan anak saudaranya, Abdullah Mukmin Ahmad Nasir, 12, dikatakan terjatuh ke laut ketika duduk di atas batu bersama dua lagi ahli keluarga mereka.

Bapa Abdullah Mukmin, Ahmad Nasser Osman, 42, berkata ketika kejadian beliau bersama anaknya, Abdul Razak dan abang Abdul Razak, Abdul Lateh sedang berehat di atas batu itu.

“Tiba-tiba kami dipukul ombak kuat menyebabkan kami berempat, termasuk kedua-dua mangsa terjatuh ke laut hingga menyebabkan semua kelam-kabut menyelamatkan diri.

“Saya keletihan dan berusaha berenang ke tepi, tetapi tidak mampu untuk menyelamatkan Abdullah yang belajar di Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Pulau Betong sebelum Abdul Razak berenang untuk membantunya.

“Kelibat Abdul Razak yang cuba menyelamatkan Abdullah dapat dilihat tetapi hilang selepas ditelan ombak kuat hingga menyebabkan kedua-dua mereka tidak dapat diselamatkan.

“Beberapa minit kemudian usaha mencari dijalankan dan kedua-dua mereka ditemui masih hidup oleh anggota polis dan Pasukan Bomba dan Penyelamat, tetapi dalam keadaan lemah dan nadi masih berdenyut-denyut.
“Kedua-dua mereka kemudian dihantar ke Hospital Balik Pulau. Doktor cuba memberi bantuan kecemasan tetapi kedua-dua mereka disahkan meninggal ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya yang masih trauma berikutan kejadian itu.

Beliau berkata, jenazah Abdullah Mukmin akan dikebumikan di Pulau Betong, manakala Abdul Razak pula akan disemadi di Kampung Perlis pagi ini.

Sementara itu, Abdul Lateh berkata, arwah tidak berapa sihat kerana demam dan baru saja pulang dari Pahang.

“Kami tidak menyangka percutian ini akan membawa tragedi kerana kehilangan dua orang tersayang secara serentak,” katanya.

Di PORT DICKSON, seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dipercayai terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir dua meter ketika ibu bapanya sedang menunaikan solat Maghrib berhampiran pantai Batu 10 di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa Nur Zahira Mohammad Arif Yap, sedang bermain di kawasan berhampiran sebelum dikatakan terjatuh ke dalam longkang tidak berpenutup dan dihanyutkan ke pantai berhampiran.

Bapa mangsa, Mohammad Arif Yap, 40, berkata dia meletakkan kenderaan di bahu jalan berhampiran pantai Batu 10 untuk menunaikan solat di tepi jalan bersama isteri dan tiga saudara lain.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Buang Ibrahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.18 malam dan bergegas ke tempat kejadian bersama sembilan anggota.